Search
Close this search box.

‘Wartawan Cilik’: Antara Dihargai dan Dieksploitasi?

Kredit gambar: Berita Harian Online

Penulis: Furqan Abdullah

Istilah eksploitasi menurut bahasa membawa erti perbuatan, tindakan atau seumpamanya yang mengambil kesempatan untuk mempergunakan seseorang atau sesuatu keadaan secara tidak adil demi kepentingan dan keuntungan diri sendiri. Dasar Perlindungan Kanak-kanak Negara menakrifkan eksploitasi terhadap kanak-kanak sebagai penggunaan kanak-kanak dalam aktiviti yang membolehkan pihak lain mendapat faedah dari segi kewangan, seksual, politik serta kepentingan lain yang boleh mengancam kesejahteraan fizikal dan psikologikal mahupun kelangsungan hidup kanak-kanak.

Ini bermaksud, perlindungan kanak-kanak itu bukan hanya pada melindungi kanak-kanak daripada perbuatan atau tindakan pengabaian, penderaan, keganasan dan pemerdagangan semata-mata, akan tetapi melindungi mereka daripada sebarang bentuk eksploitasi terhadap mereka bagi memperoleh laba keuntungan dan kepentingan pihak tertentu. Mutakhir ini, fenomena eksploitasi terhadap kanak-kanak dilihat berada pada tahap yang amat membimbangkan. Meskipun demikian, kadangkala perbuatan eksploitasi tidak dapat dilihat dengan mata kasar atau dihidu baunya kerana ia kebiasaannya berlaku tanpa disedari oleh masyarakat ataupun boleh jadi telah menjadi norma kebiasaan.

Antara bentuk eksploitasi kanak-kanak yang dilihat berleluasa dari dahulu sehingga kini ialah penggunaan kanak-kanak sebagai peraih atau pengutip derma. Dalam sesetengah keadaan, gambar anak-anak dijadikan sebagai kempen promosi untuk meraih derma dan simpati orang ramai. Pernahkah kita terfikir setelah mereka dewasa nanti, dan berkemungkinan kondisi mereka sudah berubah, namun gambar mereka ketika kecil dalam keadaan serabai, rambut kusut masai dengan pakaian compang-camping, menadah tangan ataupun memegang sepanduk untuk memohon sumbangan masih lagi ada dan berlegar-legar di media? Jika kita berada dalam situasi mereka, apa agaknya perasaan kita?

Kita dapat lihat di negara kita kebiasaannya kanak-kanak ini akan ditempatkan di beberapa lokasi tumpuan ramai seperti di stesen minyak, pasar tani dan pasaraya untuk mengutip derma. Modus operandinya kebiasaannya dilakukan oleh organisasi atau perniagaan (berselindung di sebalik nama NGO atau yayasan kebajikan) namun hakikatnya berorientasikan keuntungan untuk melakukan program-program umpama tanggungjawab sosial korporat dengan tujuan melariskan perniagaan ataupun untuk membuatkan masyarakat mengenali jenama mereka.

Adakalanya mereka berselindung di sebalik nama pusat tahfiz ataupun pondok pengajian kononnya bagi menampung kos pembinaan dan kebajikan para pelajar. Akan tetapi hakikatnya, penggunaan kanak-kanak sebagai pemohon derma adalah salah satu bentuk eksploitasi kerana terdapat banyak lagi cara dan jalan yang lebih murni untuk pengusaha tahfiz memohon derma. Lebih-lebih lagi, majlis agama setiap negeri menerusi pusat-pusat zakat umpamanya dan juga pihak kerajaan sendiri sememangnya mempunyai peruntukan untuk membantu kelangsungan pusat tahfiz dan pondok pengajian. Lebih memeranjatkan pada tahun 2012, Al-Jazeera telah membongkar dan melaporkan bagaimana kegiatan ini sebagai salah satu penyumbang kepada peningkatan kadar eksploitasi terhadap kanak-kanak di Kemboja.

Selain itu, terdapat juga beberapa peristiwa yang dilihat berpotensi membawa kepada perbuatan eksploitasi kanak-kanak terutamanya yang disebarkan menerusi media sosial dan media arus perdana. Namun agak menyedihkan juga, kadangkala tindakan ini dilakukan secara tak sedar tidak lain oleh ibu bapa kandung kepada kanak-kanak tersebut sendiri. Berkemungkinan tujuan asal sesetengah ibu bapa adalah untuk berkongsi telatah dan kepetahan kanak-kanak tersebut, akan tetapi tanpa kewaspadaan yang tinggi ia berubah menjadi suatu bencana dan mudarat kepada jiwa, perkembangan intelektual, kesejahteraan emosi dan psikologi kanak-kanak tersebut pada jangka masa yang panjang.

Mutakhir ini, kita banyak membicarakan tentang kemunculan seorang kanak-kanak bernama Haziq yang berbakat persis seorang wartawan dewasa dan berpengalaman yang berasal dari utara tanah air. Kepetahan beliau dalam berbicara dan kepelbagaian kemahiran yang dimiliki dilihat adalah sesuatu yang luar biasa jika dibandingkan dengan kanak-kanak seusia beliau. Kemunculan kanak-kanak berbakat atau yang sering mendapat julukan sebagai kanak-kanak genius, atau menurut disiplin psikologi disebut sebagai kategori child prodigy sememangnya merupakan suatu anugerah, akan tetapi anggota masyarakat terutama sekali ibu bapa kanak-kanak tersebut sewajarnya lebih berwaspada agar mereka tidak hanyut dek kerana terlalu menurut rentak dan permintaan (demand) sesetengah pihak yang mengambil kesempatan serta inginkan publisiti murahan atas pelbagai sebab.

Kita dapat lihat saat ini semua pihak samada media, selebriti, pempengaruh, ahli politik malahan pimpinan tertinggi negara turut berlumba-lumba ingin berjumpa dan bersemuka dengan kanak-kanak tersebut. Berkemungkinan tujuannya adalah atas dasar konten, umpan klik, political stunt dan seumpamanya. Atau boleh jadi sebagai helah untuk menutup mata dan mulut rakyat daripada berbicara soal kepincangan dan fasad yang dilakukan ahli politik. Masakan tidak, kita tertanya-tanya di manakah ahli politik demikian saat kanak-kanak yang terpinggir (marginalized) tidak mendapat akses sepatutnya kepada pendidikan asas sehingga adakalanya terpaksa bergadai nyawa menyeberangi jambatan gantung untuk ke sekolah? Apakah wujud langkah segera dan proaktif mereka dalam menangani fenomena kemiskinan dan hak kanak-kanak bandar di flat kos rendah sepertimana Langkah Sheraton mereka untuk merebut tampuk kuasa? Di manakah kamera dan media propaganda mereka saat kanak-kanak tidak cukup makanan berzat dan bergizi, di sebalik kecelaruan pelaksanaan Rancangan Makanan Tambahan di sekolah?

Fenomena ini tidak lain menimbulkan kekhuatiran dan kegusaran buat mereka yang mengerti marabahaya fenomena ini untuk jangka masa panjang. Hal ini kerana, seseorang yang memahami fiqh aturan alam (fiqh sunan atau sunnatullah) tidak akan sewenang-wenangnya terpengaruh dengan sebarang bentuk propaganda ataupun perkara yang tular dan digilai oleh sesetengah masyarakat. Justeru, menjadi tanggungjawab mereka yang cakna akan fiqh ini untuk berterusan mendidik masyarakat agar tidak melakukan sesuatu perkara yang boleh menggelapkan masa depan kanak-kanak dalam kategori ini.

Jika kita telusuri sejarah negara, beberapa peristiwa hitam yang melanda sebahagian kanak-kanak dalam kategori ini seharusnya menjadi pengajaran dan iktibar agar pisang tidak berbuah dua kali. Umpamanya, dahulunya kemunculan nama Shukri Hadafi yang suatu ketika dahulu mampu membaca akhbar seawal usia 4 tahun sehingga diambil sebagai anak angkat oleh Almarhum Ungku Aziz. Namun, kita boleh lihat apa kesudahan beliau saat ini (semoga Tuhan memelihara beliau). Begitu juga seorang kanak-kanak bernama Sufiah Yusof yang pernah melayakkan diri mendaftar di Universiti Oxford seawal usia belasan tahun telah melalui pelbagai episod yang berliku-liku sehingga menyebabkannya memilih jalan yang salah dalam kehidupan. Begitu juga nasib seorang kanak-kanak yang bernama Chiang Ti Ming, seorang genius matematik yang turut berakhir dengan tragedi kematiannya akibat kemurungan dan tekanan.

Oleh yang demikian, sama-sama kita berganding bahu untuk memelihara generasi anak-anak kita daripada terdedah kepada sebarang bentuk eksploitasi untuk kesejahteraan negara dan dunia pada jangka masa yang panjang. Kanak-kanak dalam kategori child prodigy pula merupakan aset negara yang perlu dipelihara dan dipulihara sebaik-baiknya. Mereka sepatutnya diberi ruang seluas-luasnya untuk menjalani kehidupan peribadi dan mengalami perkembangan hidup secara normal seiring usia mereka tanpa dirosakkan dan dieksploitasi oleh tangan-tangan rakus. Mereka tidak memerlukan pancaran kamera yang berlebih-lebihan, publisiti murahan, kilauan cahaya, kontrak palsu dan hamparan permaidani merah. Hanyasanya mereka perlu kepada pemeliharaan dan pembangunan berterusan dalam merealisasikan makna Maqasid penjagaan jiwa, maruah dan akal mereka. Mereka ialah kanak-kanak yang memiliki jiwa nurani, akal budi, hati yang suci dari sebarang noda dan kesalahan. Mereka ialah khazanah bernilai negara, bukan komoditi niaga yang ada tanda harga. Justeru, kanak-kanak memerlukan pemberdayaan bukan diperdayakan untuk tujuan keuntungan oleh segelintir pihak.

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

ARTIKEL MENARIK

Ikuti Kami

Sertai Kami

Wawancara Menarik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *