Penulis: Marwan Bukhari A Hamid
Menekuni isu Pesta Air atau Rain Rave Water Music Festival 2026 yang hangat baru-baru ini, hakikatnya tersembunyi di sebaliknya pelbagai persoalan yang wajar dibincangkan sekali.
Pesta ini dianjurkan oleh pertubuhan swasta dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang diketuai oleh Dato Sri Tiong King Sing, ahli parlimen Bintulu mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS). Tiong yang sama ini juga pernah berkhidmat sebagai Duta Khas Bertaraf Menteri sewaktu pemerintahan Mahiaddin dan Ismail Sabri.
Tiong beralasan untuk menarik pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2026. Namun sejauh mana acara ini berjaya menarik pelancong atau sebenarnya para peserta hanyalah warga tempatan atau pekerja asing di Malaysia, masih belum terbukti.
Banyak bantahan dikemukakan daripada pelbagai latar belakang masyarakat terutama para pendakwah, sebahagian pemimpin Muslim dan masyarakat Muslim. Menteri Hal Ehwal Agama dan beberapa agensi di bawah beliau juga tampak jelas membantah pesta ini.
Masyarakat yang tidak bersetuju juga bukan sahaja dari kalangan penyokong pembangkang atau kelompok atas pagar, malah penyokong parti-parti kerajaan juga ramai tidak bersetuju dan menyatakan bantahan.
Saya juga menyertai mereka dalam mengkritik acara ini serta percaya bahawa program ini tidak bermanfaat malah tidak membina masyarakat mengikut aspirasi Madani yang diingini kerajaan. Tidak perlu dipertahankan walaupun acara sebegini juga dilaksana di Kedah dan Melaka.
Lebih-lebih lagi, sepatutnya acara anjuran MOTAC seharusnya lebih memberi perhatian untuk memperkenal dan mempopularkan seni budaya bercorak Malaysia daripada pelbagai kaum dan etnik terutamanya yang diadakan di lokasi awam.
Kuasa saja tidak cukup!
Dalam masa sama, program hiburan ini hanyalah salah satu daripada ratusan, bahkan ribuan program hiburan di seluruh pelosok negara.
Terdapat pelbagai acara hiburan lain lagi telah diadakan bukan sahaja sepanjang pemerintahan Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim, malah juga meriah pada zaman Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Mahiaddin Yasin dan Ismail Sabri.
Laporan akhbar menyebut, pada 15 Oktober 2022 telah diadakan konsert Boys Like Girls, seminggu selepas itu pula konsert artis pro-LGBT iaitu Billie Eilish, disusuli persembahan bintang KPOP Blackpink, Super Junior dan sebagainya.
Kerajaan PN itu juga tentulah didukung oleh Parti Islam SeMalaysia (PAS) juga. Di mana suara pimpinan dan penyokong mereka ketika itu?
Hakikatnya ada ramai penyokong dan sebahagian pemimpin PAS bersuara dan tidak bersetuju. Tapi bagaimana boleh tetap berlaku? Maksudnya, ada kuasa saja tidak cukup untuk menyelesaikan segalanya.
Itu kita belum sebut zaman sebelum mereka terutama ketika pemerintahan Parti Barisan Nasional (BN) yang diketuai beberapa Perdana Menteri berbeza.
Apa yang mahu disampaikan, pelbagai acara hiburan telah berlangsung cukup lama di tanah air kita. Hiburan sudah sekian lama menjadi industri yang punya ekosistem lengkap, selain secara umumnya tidak bercanggah dengan undang-undang.
Jangan silap faham, saya tidak bermaksud kita harus menyerah saja dengan apa yang terjadi. Saya nak beritahu, fikiran bahawa “kuasa sebagai penyelesaian” tidak berjalan secara simplistik begini. Slogan ini memang indah, tapi bukan begitu ia beroperasi.
Apatah lagi dalam konteks semasa politik negara kita yang sudah sukar untuk sesebuah parti atau gabungan berkuasa sepenuhnya. Sesiapa yang mahu berkuasa perlu bersedia untuk berkongsi kuasa.
Berkongsi kuasa bermaksud kena berunding dalam banyak perkara. Adakala panas dan adakala sejuk. Ada hari menyebelahi satu pihak dan ada hari menjatuhkan pihak yang lain.
Berkongsi kuasa juga bermaksud perlu tarik sokongan gabungan lain walaupun berbeza aspirasi politik, contohnya dari Borneo. Sebab itu Ahli Parlimen Bintulu, Tiong dari GPS itu termasuk dalam senarai “cukup jumloh” yang diumumkan presiden sebuah parti selepas PRU15 dahulu. Maksudnya, “Tiong pun Tionglah. GPS pun GPS lah. Asal boleh bentuk Kerajaan Persekutuan.”
Bila ada hal yang wajib dirunding dan dikongsi, maksudnya para pemimpin politik dari pelbagai parti rata-ratanya melihat terdapat agenda lebih besar dan luas. Itulah juga sebenarnya kaedah sewajarnya diamalkan pembaca isu-isu di tanah air.
Ada isu ekonomi, pentadbiran, pembangunan, pendidikan, kesihatan dan lain-lain, selain ada isu program hiburan. Maksudnya melihat secara menyeluruh atau disebut sebagai big picture. Maksudnya anda sokong dan dukung sesuatu sambil boleh membantah beberapa hal yang lain.
Jadi dalam konteks ini, seruan pendakwah bersemangat membara agar Muslim menukar alamat tempat mengundi demi menjatuhkan parti-parti kerajaan di Lembah Klang tampak indah tapi hanya retorik kosong.
Tindakan itu tidak akan menyelesaikan isu yang sedang dibincangkan. Buktinya macam disebut sebentar tadi, pemerintahan yang turut disertai parti ada nama Islam juga gagal menghentikan macam-macam konsert dan pesta hiburan termasuk daripada artis pendukung LGBT.
Amar makruf nahi mungkar oleh masyarakat
Peranan mereka itu termasuk sebagai kumpulan pendesak dan pelobi, selain mendidik dan mendakwah masyarakat. Ini juga ruang untuk mempraktikkan amar makruf nahi mungkar yang sebenarnya terbentang luas, hatta tanpa menggunakan kuasa politik sekalipun.
Ruang operasi mereka juga tentunya meluas bukan sekadar dalam isu hiburan, malah juga pendidikan, pembangunan, kemanusiaan dan sebagainya. Kepentingan pemerkasaan dan keproaktifan masyarakat ini antara yang ditekankan oleh ulama dan pemikir Maghribi, Syeikh Dr Ahmad al-Raysuni dalam buku beliau al-Ummah hiya al-Asl.
Dalam konteks rencana ini, bantahan yang sedang berlaku sekarang boleh jadi contoh yang boleh menyebabkan sebahagian pihak akan mengubah bentuk acara mereka tahun akan datang. Teguran yang dilakukan juga boleh menyebabkan anak-anak muda sasaran penganjur boleh mengelakkan diri daripada menyertainya.
Teguran Menteri Agama dan agensi-agensinya serta kenyataan Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri juga menunjukkan bahawa semak dan imbang ini bukan saja dari masyarakat, tetapi juga sesama kerajaan. Kita berharap pendirian ini membantu untuk mengelakkan acara sebegini berulang, atau setidak-tidaknya tanpa penglibatan MOTAC dan jenama Madani di lain masa.
Begitu juga pemerkasaan pendidikan dan dakwah untuk mengelakkan masyarakat daripada membuang masa dalam acara hiburan berlebihan. Ini mungkin tampak jawapan tipikal, tetapi hakikat yang pahit ialah acara hiburan berlebihan yang diadakan sebenarnya boleh berterusan diadakan kerana ada pasaran, dan konsert ini satu produk yang ada banyak permintaan.
Untuk jangka masa panjang juga, meninggalkan sesuatu kelalaian kerana kesedaran yang lahir dari dalam diri lebih lestari berbanding sekadar dipaksa yang membaja benih kepura-puraan.
Khulasah
Akhirnya, kuasa tidak diharapkan menjadi penyelesaian semua perkara terutama dalam isu melibatkan moral. Pendidikan dan dakwah masyarakat sebenarnya lebih berkuasa dalam diri manusia meski mengambil masa yang lama.
Kuasa pemerintahan pula hakikatnya hanyalah cabang yang terbit daripada masyarakat, justeru setiap kali cabang terpesong daripada agenda utamanya, asas iaitu masyarakat yang berkesedaran tidak bosan untuk terus bertindak sewajarnya.




