Penulis: Ali al-Husaini
Tular video yang memaparkan kemurkaan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Mukhriz terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, Datoβ Haji Ismail Lasim. Keterangan daripada video tersebut menunjukkan kemurkaan itu berpunca daripada isu Proklamasi Turun Takhta Tuanku Mukhriz yang ditandatangani oleh Menteri Besar dan Exco-Exco Negeri Sembilan pada September lalu.
Menariknya, isu ini walaupun telah diamarankan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, bahawa Raja-Raja Melayu meminta agar ia tidak dipolitikkan bagi menarik sokongan, tetap tidak mampu menafikan bahawa ia menjadi elemen penting yang melatari Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 pada Ogos lalu.
Apatah lagi, sentimen anti monarki telah lebih awal dimainkan oleh parti-parti kanan di Semenanjung Malaysia seperti Barisan Nasional dan Perikatan Nasional bagi menakutkan orang Melayu untuk mengundi Pakatan Harapan. Mahu tidak mahu, untuk menjadikan krisis ini tidak menjadi daya tarik politik seperti hasrat Raja-Raja Melayu, kita perlu mengajarkan orang Melayu realiti sikap politik UMNO dengan istana, lalu bolehlah dikiaskan kepada sekalian sikap ahli politik di Malaysia ini.
Krisis UMNO dan Sultan Idris di Perak 1977
Meskipun sering dilihat sebagai parti istana, hakikat sejarahnya, UMNO tidaklah maksum. Di Perak, terdapat pertikaian istana dengan Datuk Ghazali Jawi dan Sultan Idris di awal usia negara kita. Datuk Ghazali dikatakan melakukan kesalahan rasuah dan ditangkap pada 1960.
Bagaimanapun, kes itu sepi. Beliau dihantar menjadi duta di Mesir. Pada 1974, beliau dilantik lagi menjadi Menteri Besar dengan janji pentadbirannya akan berlangsung hanya 2 tahun. Janji ini dibuat kerana Sultan Idris tidak begitu berkenan dengan beliau.
Pun begitu, setelah dua tahun, beliau tetap tidak melepaskan jawatan. Sebegitu tegangnya sehingga Sultan Idris bersumpah tidak bercukur Pulau Pangkor selagi Datuk Ghazali tidak diturunkan sebagai Menteri Besar. Baginda juga tidak menandatngani dokumen-dokumen berkenaan pentadbiran Perak ketika itu. Akhirnya ia memaksa Datuk Ghazali turun daripada jawatan Menteri Besarnya.
Pertikaian Konsensi Balak Terengganu (1972) dan Pahang (1979)
Di Terengganu, Sultan Ismail Nasiruddin Shah telah meminta agar diluluskan beberapa konsesi balak oleh Menteri Besar Terengganu waktu itu, Datuk Nik Hassan Wan Abdul Rahman. Beliau bagaimanapun enggan berbuat demikian dan berkeras agar kawasan balak didapatkan melalui tender terbuka.
Pendirian Datuk Nik Hassan tidak sebulu dengan kepimpinan UMNO di peringkat pusat menyebabkan beliau akhirnya tidak lagi menjadi calon pada pilihanraya seterusnya.
Sudah tentu, ini bukan satu-satunya pertikaian UMNO dengan Istana Terengganu kerana kelak pada 2008, pemilihan Datuk Ahmad Said menggantikan Datuk Seri Idris Jusoh sebagai menteri besar membawa ketegangan sekali lagi.
Di Pahang, Datuk Abdul Rahim Bakar selaku Menteri Besar Pahang ketika itu telah diminta untuk memberikan 30, 000 ekar tanah kepada Sultan Ahmad Shah.
Beliau enggan, menyebabkan Sultan tidak perkenankan bajet yang dibuat kerajaan negeri. Setelah 4 tahun dibela Tun Hussein Onn, beliau akhirnya diturunkan oleh Tun Mahathir Mohamad dari Menteri Besar dan dilantik menjadi Timbalan Menteri.
Jawatan Menteri Besarnya diganti Datuk Seri Najib Razak yang kemudian meluluskan 7,000 ekar tanah untuk pembalakan buat Sultan Ahmad Shah.
Kekalahan UMNO Kelantan dan Istana
Bagaimanapun, krisis paling menarik ialah pada tahun 1990 ketika Barisan Nasional mendapat tentangan hebat daripada Angkatan Perpaduan Ummah yang dianggotai oleh PAS, Semangat 46, BERJASA dan HAMIM di Kelantan. UMNO menyalahkan istana Kelantan atas kekalahan mereka itu.
Bahkan, Perhimpunan Agong UMNO 1991 menjadi ruang pembantaian istana khususnya Sultan Kelantan waktu itu. Ini akhirnya melahirkan Kod Etika Raja Melayu yang dirangka oleh pimpinan utama UMNO waktu itu yang mengehadkan penglibatan politik dan perniagaan bagi raja-raja Melayu.
Krisis Perlembagaan 1983 dan lain-lain peristiwa
Ironinya, dalam pertembungan UMNO dan istana pada Krisis Perlembagaan 1983, DAP sebagai parti yang dimomok anti monarki telah menyokong pihak istana.
Ini berlaku ketika kerajaan yang dibawah pentadbiran UMNO kepimpinan Tun Mahathir telah mengurangkan kuasa Yang Di Pertuan Agong. Seterusnya pada 1991 ketika diwujudkan Mahkamah Raja-Raja yang merupakan penarikan kepada kekebalan raja-raja.
Tiada pelindung selain Pelindung
Sebenarnya banyak lagi siri-siri penderhakaan UMNO kepada istana. Bagaimanapun, generasi hari ini mudah termakan dengan penyamaran UMNO sebagai parti pendaulat raja-raja Melayu dan simbol kemelayuan.
Hakikatnya tujuan parti politik ialah kuasa. Tiada kawan yang selamanya dipeluk. Tiada lawan yang selamanya diludahi. Lebih sering pertemanan parti politik itu bagai mulut disua pisang, pantat dikait onak.
Orang Melayu sekiranya meletakkan kepercayaan penuh kepada mana-mana entiti tunggal untuk melindungi mereka khususnya dalam aspek identiti keislaman, kemelayuan dan kemajuan, hakikatnya memperjudikan nasib mereka sendiri.
Kita sepatutnya berusaha keras mendidik generasi kita agar melihat realiti seperti apa adanya dan bertindak dengan penelitian dan akal. Agar tidak mudah diumpan sentimen dari parti manapun ia datang.




