Search
Close this search box.

Video Montaj, King Sing & Islam Terancam

Penulis: Marwan Bukhari A Hamid

Video montaj promosi pelancongan memang selayaknya dikritik. Menteri Pelancongan, Tiong King Sing dan kementerian terlibat sememangnya perlu menerima kritikan, mengakui kesalahan dan mohon maaf.

Kemudian tunjukkan video yang dipinda yang lebih baik. Tapi King Sing memilih jalan mati apabila dia menuduh penegurnya sebagai pelampau.

Kalau video dihasilkan tanpa meletak gambar rumah ibadat, maka tidak perlu letak semua dan hanya fokus tempat-tempat utama lain sahaja. Tapi kalau letak, sepatutnya diutamakan rumah ibadat masyarakat majoriti iaitu masjid kerana identiti negara Malaysia sebagai sebuah negara Islam moden.

Secara sentimen politiknya pula, perkara ini mudah difahami dan perlu diberi perhatian lebih dalam konteks politik identiti atau berorientasi sentimen kaum-agama yang dominan sekarang. Isu-isu sebegini lebih mudah panas berbanding isu-isu pentadbiran yang lain.

King Sing Lagak “King”

King Sing politikus dari Sarawak dan dia bukan budak mentah dalam politik. Dia ada jawatan dalam kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin dan Ismail Sabri sebelum ini sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke China bertaraf Menteri.

Sebelum itu juga dia Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Timur zaman Datuk Seri Najib Razak (2014-2018). Kalau termasuk jawatan di bawah Datuk Seri Anwar Ibrahim sekarang, maka dia sudah berkhidmat dengan empat Perdana Menteri.

Andai kata kerajaan bertukar parti selepas ini pun, kemungkinan dia tetap akan dilantik jadi menteri atau jawatan bertaraf menteri sekiranya jawatannya dalam parti politiknya di Sarawak masih kekal seperti sekarang. Kalau ingat balik, zaman Muhyiddin, dia diberi jawatan Duta Khas bertaraf menteri setelah dia tolak jawatan Timbalan Menteri Perpaduan Negara.

Mungkin rasa besar diri itu sebabnya dia tidak merespon dengan lebih merendah diri. Ini pula bukan kali pertama. Sebelum ini negara heboh juga kerana dia menyebut penguatkuasaan papan tanda dwibahasa di ibu negara sebagai mencetuskan persepsi negatif.

Alasan simplistik yang digunakan oleh King Sing ketika isu papan tanda menunjukkan seolah-olah dia bukan sahaja berasa besar diri, tapi juga tiada strategi komunikasi. Kalau politik identiti adalah cabaran besar pentadbiran Kerajaan Madani sekarang, sepatutnya semua Menteri dan ahli politik kem Kerajaan lebih berhati-hati dalam berkomunikasi.

King Sing “Harbi”?

Setelah kita menyebut King Sing sebagai selayaknya dikritik dan dihentam. Saya mahu menyebut satu perkara lagi iaitu sikap mudah segelintir orang meloncat dengan menyebut King Sing sebagai “harbi” atau kafir harbi ataupun memukul rata kepada kerajaan sebagai tidak memelihara ciri Islam pada Malaysia.

King Sing ialah ahli politik bukan Muslim yang kita boleh sebut bermasalah. Dia bukan kafir harbi kerana haknya sebagai warganegara terjamin dalam perlembagaan. Kalau dia ada melakukan kesalahan, dia boleh dihentam dan dibantah sebagai politikus yang bermasalah. Andai kata ada yang melibatkan jenayah, boleh dibawa ke muka pengadilan.

Namun, istilah seperti kafir harbi perlu dielakkan daripada diguna kepada King Sing dan watak seumpamanya kerana istilah ini langsung tidak relevan di tanah air kita.

Bukan itu sahaja, malah di negara-negara bukan Islam yang lain juga tidak lagi digelar sebagai darul harbi, tapi menurut istilah Imam Abu Zahrah, faqih yang hidup zaman negara moden, semua negara itu ialah darul ‘ahd (negara yang ada perjanjian).

Al-Qaradawi menyebut hanya satu yang harbi iaitu rejim Israel, selebihnya berasaskan perjanjian antarabangsa. Kalau begitu dengan negara-negara lain, maka negara sendiri lagilah tiada harbi, yang ada hanyalah warganegara sama ada rakyat atau pemimpin, baik atau jahat, bagus atau bermasalah.

Letak Isu Pada Kedudukannya

Saya setuju sebagaimana ramai rakyat Malaysia yang lain dari pelbagai latar belakang bahawa video montaj itu bermasalah. Tetapi isu ini juga perlu diletak pada kadarnya.

Tidak perlu menjadikannya isu untuk meruntuhkan sepenuhnya usaha-usaha kerajaan padahal dibanding dengan pelbagai dasar kerajaan berkaitan hal ehwal Islam, isu ini dalam kategori yang amat kecil. Amat kecil bukan bermaksud remeh ya, tapi amat kecil jika dibandingkan dengan isu-isu lain yang lebih utama untuk dibincangkan.

Tapi dari segi sentimen, isu ini kecil yang mudah terbakar dan membakar. Kecil tapi berbisa. Dalam konteks ini, pemimpin politik di kem kerajaan perlu lebih bijaksana dalam berkomunikasi termasuk memohon maaf jika terbukti bersalah. Mungkin akan digelak rakyat kerana mohon maaf, tapi itu tetap lebih baik berbanding buat tidak tahu sahaja.

Semua pihak terutama golongan terpelajar dan pemimpin masyarakat perlu meletakkan sesuatu isu di kadarnya. Tidak perlu memainkan isu masjid dipinggir atau Islam terancam kerana tiada peminggiran masjid serta terbukti selama ini bahawa Islam juga tidak terancam.

Bukan sahaja kerana peruntukan, program dan inisiatif keagamaan yang tinggi dan banyak, malah tiada ruang untuk Islam terancang dari segi perundangan yang kukuh memelihara Islam di Malaysia.

Tidak perlu juga menganggap selepas ini masjid tidak lagi menjadi tumpuan pelancongan kerana masjid-masjid di Malaysia terutama yang bersejarah tetap kekal menjadi lokasi tarikan pelancong. Kesalahan pada keculasan video montaj biar diletakkan pada kadarnya.

Hujung

Namun segala dasar dan fakta dalam pergeseran politik tidak diambil kira kerana sentimen kaum-agama lebih kuat. Oleh itu sekiranya King Sing dan insan sepertinya mengulangi lagi selepas ini, mungkin satu-satunya tindakan lebih tegas perlu dilakukan.

Kalau satu-satunya tindakan itu tidak diambil oleh PM kerana menjaga kestabilan, percayalah bahawa kestabilan itu sendiri telah terjejas teruk. Sebabnya seperti disebut dalam rencana ini, ada sesuatu yang mungkin tampak kecil tapi berbisa sekali.

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

ARTIKEL MENARIK

Ikuti Kami

Sertai Kami

Wawancara Menarik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *