Penulis: Luqman Tarmizi
Pada tanggal 29 Mei ini, genaplah 52 tahun pemergian Seniman Agung Allahyarham Tan Sri Datuk Wira (Dr.) P. Ramlee atau nama penuhnya Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh.
‘P’ itu merujuk kepada Puteh, nama ayahandanya. Ramlee itu kerana diceritakan, nama Zakaria semacam ‘tidak serasi dengannya, lantas Teuku itu dihilangkan pada namanya dan nama ayahnya sekali, dan Zakaria diganti dengan Ramlee.
Betapa melekatnya nama P. Ramlee ini, sewaktu jenazah beliau ditalkin barulah orang tahu nama asalnya.
Wali seni dan pencetus getaran
Timbalan Mufti Pahang, Ustaz Badli Shah Alauddin menobatkan beliau sebagai seorang ‘wali seni’. Wali ini kalau dalam Islam, tarafnya tinggi, meski di bawah berbanding Nabi.
Beliau memang tiada tolok bandingnya. Beliau ialah pelopor dan perintis jalan, satu-satunya yang tiada tara.
Beliau bertanggungjawab sebagai sutradara filem arahan Melayu pertama, Penarik Beca, sekaligus memecahkan monopoli pengarah-pengarah terkenal dari India dan Filipina, meskipun ketika mula-mula ditawarkan peluang ini, rakan-rakan seniman seperti Kasma Booty dan A.R Tompel memperlekeh dan mempersoal kemampuan beliau.
Filem Semerah Padi arahan beliau juga dikatakan sebagai filem pertama di dunia yang memaparkan babak laungan azan.
Beliau juga bertanggungjawab ke atas sekian banyak getaran, hiruk-pikuk dan gempa yang berlaku di sekelilingnya, sama ada disengajakan dan diniatkan atau tidak, sama ada getaran itu dicetuskan olehnya, atau tercetus ke atasnya.
Yang paling makruf sudah tentu gelombang getaran cinta kalangan wanita dan gadis, tidak hanya kepada umat Melayu, tetapi juga bangsa-bangsa lain.
Tidak hanya terhadap kepada rakyat Malaysia, bahkan menjalar juga ke negara asal ibu bapanya Indonesia. Tidak hanya digilai rakyat marhaen, tapi juga bangsawan istana.
Satu getaran geopolitik juga tercetus gara-gara konfrontasi Indonesia terhadap pembentukan Malaysia, yang melibatkan fitnah yang direkayasa tabloid mingguan dari Medan, kononnya P. Ramlee terpaksa menceraikan Saloma demi menjaga hati Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri yang menyimpan Saloma sebagai gundik peribadinya. Pemerintah Malaya telah menyatakan protes keras terhadap Indonesia melalui saluran diplomatik.
Sosok versatil
Pencapaiannya sungguh luar biasa sehingga diberikan pelbagai anugerah di dalam dan di luar negara, dan akhirnya dianugerahi gelaran The Most Versatile Talent pada Festival Filem Asia di Jepun tahun 1961, satu anugerah yang belum pernah diterima mana-mana penggiat seni di dunia ini.
Maka wajarlah beliau dianggap sebagai seorang genius kerana memainkan pelbagai peranan seperti pengarah, pelakon utama, penulis lakon layar, penyanyi dan penggubah muzik dalam lebih 50 buah filem.
Namun bukan itu sahaja, P. Ramlee juga seorang yang versatil dalam sumbangannya terhadap bangsa, masyarakat dan negara, tidak hanya terhad dalam industri hiburan semata-mata.
Beliau ialah seorang nasionalis tegar yang dapat dilihat dalam usahanya melebarkan sayap perfileman Malaysia ke Hong Kong, agar filem negara setanding dengan filem antarabangsa. Begitu juga dengan kritikan terhadap pemikiran rakyat yang menurutnya masih terjajah (captive mind) meskipun negara telah mencapai kemerdekaan, antaranya melalui filem Seniman Bujang Lapuk yang memaparkan bagaimana filem-filem asing mendapat keutamaan dari sudut promosi utama di pawagam-pawagam besar berbanding filem-filem tempatan.
Dalam Kongres Kebudayaan Kebangsaan pada tahun 1971 di Universiti Malaya anjuran Kementerian Kebudayaan Belia Dan Sukan, yang telah dihadiri seramai 1000 orang tetamu termasuk Menteri-menteri Kabinet, Ketua-ketua Perwakilan asing dan tokoh-tokoh budaya, P. Ramlee telah membentangkan satu kertas kerja yang antara lain menekankan keperluan mengawal kemasukan filem-filem asing ke negara kita, antaranya untuk memberi ruang yang lebih kepada karya-karya tempatan untuk lebih diutamakan.
Beliau juga sangat tinggi kepeduliannya kepada kebajikan masyarakat marhaen, pekerja dan golongan tertindas, antaranya peranan aktif beliau dalam kesatuan pekerja industri filem iaitu Persatuan Artis Malaya (Persama), dalam memperjuangkan hak mereka menuntut upah dan layanan yang adil daripada syarikat mereka bernaung dan mencari rezeki.
Dr. Muhaimin Sulam menyifatkan P. Ramlee berjiwa ‘sosialis’ berkat peranan beliau dalam soal hak pekerja ini, meski saya secara peribadi tidak gemar sikap menempel-nempel pada watak-watak sejarah sebegini, lebih-lebih lagi melibatkan istilah yang sebegitu sarat dengan kontroversi dan sejarah panjang. Namun sebenarnya tidaklah keterlaluan untuk diandaikan beliau terpengaruh dengan perjuangan sosialis khasnya dalam isu kebajikan pekerja dan marhaen, melihatkan pengaruh besar gerakan sosialis dan parti Buruh di Singapura pada waktu itu.
Beliau juga boleh dianggap sebagai ‘perakam sejarah’ kerana filem-filemnya boleh dikira mencerminkan realiti masyarakat pada waktu itu, justeru Prof. Dr. Khairudin Aljunied dalam makalah beliau berjudul “Films as Social History: P. Ramlee’s Seniman Bujang Lapok and Malays in Singapore (1950s-1960s)” mengakui filem ini boleh dijadikan sumber sejarah yang berguna untuk sejarah sosial orang Melayu pada tahun 1950-an dan 1960-an di Singapura.
Bahkan menurut Prof Dato’ Ahmad Murad Merican, P. Ramlee juga nampaknya terpengaruh dengan gerakan intelektual ‘ASAS 50’ yang aktif pada tahun 50 dan 60an – berbetulan dengan zaman P. Ramlee – dalam mempromosi pembaharuan dalam kalangan masyarakat Melayu serta membebaskan mereka daripada cengkaman kolonialisme dan kemunduran sosial, antaranya melalui gagasan ‘Seni Untuk Masyarakat’.
Beliau juga seorang pejuang bahasa Melayu dengan menyumbang kepada kosa kata baharu seperti pawagam (panggung wayang gambar) dan kugiran (kumpulan gitar rancak). Begitu juga sumbangan beliau berbentuk ungkapan indah semisal ‘tiada kata seindah bahasa’, ‘kalau dah jodoh tak ke mana’ dan frasa yang biasa digunakan orang kita seperti ‘bagai ulat naik daun’, yang kesemuanya diilhamkan oleh P. Ramlee lewat lagu dan filem beliau.
Beliau juga mempelopori dakwah melalui filem, namun bukan dengan dialog berjela-jela persis khutbah, bukan dengan skrip amar makruf nahi mungkar yang dipaksa dan dibuat-buat tetapi dengan penzahiran ketulusan perbuatan, seni, dan kasih sayang. Dakwahnya mengajak tanpa memaksa. Menjentik tanpa meluka.
Inilah yang menjadikan karya-karyanya terus hidup, bahkan masih relevan untuk generasi hari ini dan akan datang. Kerana karyanya bukan sekadar lambakan hiburan kosong, tapi umpama tiram berisi mutiara yang bermanfaat untuk umat manusia, selaras dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Ra‘d ayat ke-17:
فَأَمَّا الزَّبَدُ فَيَذْهَبُ جُفَاءً ۖ وَأَمَّا مَا يَنفَعُ النَّاسَ فَيَمْكُثُ فِي الْأَرْضِ ۚ
Maksudnya: Adapun buih itu maka akan hilang lenyaplah ia hanyut terbuang, manakala benda-benda yang berfaedah kepada manusia maka ia tetap tinggal di bumi.
Kita doakan agar karya-karyanya itu dikira sebagai satu amal jariah yang kekal mengirim pahala kepadanya, saat menanti hari perhitungan.
RUJUKAN
SN Abdullah Hussain, Kisah Hidup Seniman Agung, Dewan Bahasa dan Pustaka
Prof. Dr. Khairudin Aljunied , Films as Social History: P. Ramlee’s Seniman Bujang Lapok and Malays in Singapore (1950s-1960s)
Prof Ahmad Murad Merican, P Ramlee: The Getaran of the Modern Malay Hikayat Lives on: https://www.melakahariini.my/p-ramlee-the-getaran-of-the-modern-malay-hikayat-lives-on/
‘Kita Mogok!’ oleh Muhaimin Sulam: https://www.malaysiakini.com/columns/546757




