Search
Close this search box.

Dari Haji Menuju Revolusi

Penulis: Luqman Tarmizi

Pada tanggapan saya, haji telah hilang fungsi sosialnya lantaran kecanggihan teknologi moden dan pengelolaan haji secara berpusat oleh kerajaan. Jemaah haji Indonesia diangkut beramai-ramai dengan kapal terbang, dan mereka berada di Tanah Suci selama beberapa minggu sahaja. Tempat tinggal untuk mereka – bersama dengan orang Indonesia lain – telah disiapkan sejak awal hinggakan persentuhan dan perhubungan mereka dengan umat Islam dari negara lain amat sedikit.

Demikian ujar Martin van Bruinessen, ahli antropologi dan pengarang kelahiran Belanda dalam karyanya Islam Di Nusantara: Kitab Kuning, Pesantren Dan Tarekat.

Sebagai orang yang tidak pernah menunaikan haji, saya tidak berani mengesahkan pemerhatian dan kenyataan ini. Namun pengalaman singkat mengerjakan umrah sebelum ini seakan mengiyakan hal ini.

Setiap negara mengasingkan penginapan dan pergerakan jemaah masing-masing. Tempoh permukiman yang singkat tidak memungkinkan berlakunya interaksi yang bermakna, ditambah kesibukan dan keletihan menyempurnakan ibadah, ditambah pula perbezaan bahasa yang membataskan komunikasi.

Bahkan ada yang menghabiskan masa berjam-jam lamanya untuk menyunting video-video rakaman, lalu dimuat naik ke media sosial, sedangkan peluang luas tersedia di hadapan mata untuk beribadah dan bertafakur di tanah haram. Jika sewaktu di tanah haram pun masih tidak berjaya mengekang ketagihan gajet, apatah lagi untuk menyemai kepedulian sosial dan kecaknaan terhadap nasib yang menimpa ummah.

Bahkan banyak laporan menyebut, sebarang penzahiran simbol, bendera dan laungan berbaur ‘politik’ juga dilarang keras sepanjang musim haji oleh pihak berkuasa Arab Saudi. Ramai melihat, larangan ini dituju ke atas gerakan solidariti bersama rakyat Palestin dan Gaza yang kini dibantai teruk.

Umum melihat, ibadah haji kini hanya terarah kepada ibadah spiritual yang sangat bersifat peribadi dan tidak ada hubung kaitnya dengan peniupan semangat solidariti umat Islam sejagat.

Namun dulu, keadaannya tidak begitu.

Mekah, suatu masa dulu, menurut Michael Francis Laffan dalam bukunya Islamic Nationhood And Colonial Indonesia, merupakan suatu tempat yang memeningkan kepala dan menimbulkan rasa gerun kepada para penjajah. (“Mecca, the one place closed to Christian Europeans, remained the source of all trouble, and the focus of colonial fear.”)

Kajian-kajian juga membuktikan, ibadah haji amnya, dan Mekah khasnya, merupakan salah satu faktor terpenting kepada pembentukan dan penyebaran nasionalisme di rantau Nusantara.

Sejak awal lagi, penjajah Belanda sememangnya menanam rasa curiga terhadap aktiviti haji lantaran penyebaran pengaruh anti kolonial dalam kalangan jemaah haji, menyebabkan banyak cubaan dilakukan untuk menyusahkan urusan haji. William Roff dalam The Origins of Malay Nationalism menyebut:

Throughout the century, the Netherlands East Indies Government was distrustful of what was thought to be the subversive social and political influence exercised by returned hajis, and attempts were made to discourage the pilgrimage by imposing restrictive regulations requiring, amongst other things, a means test before departure and an examination upon return. The easiest way to avoid these regulations was to travel by way of Singapore, where British requirements were less stringent.”

Hal ini berbeza dengan polisi penjajah British yang pada awalnya kelihatan tidak mengambil endah terhadap hal ehwal haji. Namun akibat pelbagai masalah yang timbul seperti kesesakan melampau kapal-kapal yang dinaiki haji, penyebaran epidemik dan rungutan-rungutan yang disuarakan secara terbuka melalui akhbar-akhbar tentang kebajikan jemaah haji telah mendorong campur tangan pihak British dalam urusan haji orang Melayu. Selain itu, beberapa insiden kapal hampir karam melibatkan ribuan jemaah haji telah mencemarkan nama baik kerajaan British, justeru satu polisi perlu dilaksanakan bagi mengawal aktiviti ini.

Bahkan pengurusan haji telah diletakkan di bawah kawalan Political Intelligence Bureau bukan sahaja bagi mengekang pengaruh gerakan pan-Islam, tetapi juga gerakan khilafah dan propaganda komunis Rusia.
Kebimbangan British ini mungkin boleh dinilai sebagai agak berlebihan, kerana menurut laporan yang dicatat oleh Abdul Majid Zainuddin, Pegawai Haji Tanah Melayu pertama, jemaah haji secara umumnya tidak berminat untuk membincangkan isu-isu tanah air, dan tiada propaganda politik yang tersebar disebabkan tumpuan penuh diberi untuk menyempurnakan ritual-ritual haji.

Namun pada abad ke-17, pengaruh ibadah haji dalam Perang Patani-Siam memberi gambaran yang luar biasa, khasnya pada tahun 1789–1792 yang mencatatkan kehadiran kira-kira 400 bekas jemaah haji yang turun ke medan jihad di bawah pimpinan Syeikh Abdul Samad Palembani, dengan sokongan Sultan Kedah, meskipun sebahagiannya tidak berasal dari wilayah tersebut. Kalangan anak bangsawan dan golongan istana.

Di Indonesia pula pengaruh Mekah dan ibadah haji dalam menyemarakkan perlawanan anti-kolonial adalah jelas dan tidak boleh diragui lagi.

Rakyat dan agamawan yang menunaikan ibadah haji dan kemudiannya pulang ke tanah air mendirikan pondok pesantren telah menjadi benteng kekuatan orang Acheh. Di sana, mereka berguru dengan para ulama kelahiran Nusantara seperti Syeikh Nawawi Banten dan Syeikh Ahmad Khatib al-Minangkabawi, serta bergaul dengan masyarakat Islam dari seluruh pelosok dunia yang turut sama tertindas di bawah rejim penjajah Barat. Pengalaman selama berbulan-bulan dalam suasana anti-penjajahan telah membuka mata mereka terhadap keperluan membebaskan diri daripada cengkaman kolonial dan bangkit sebagai sebuah bangsa mereka.

Menurut Bruinessen, pemberontakan petani Banten tahun 1888 dan pemberontakan Sasak 1892 melawan Bali (yang menjajah Lombok pada zaman itu) jelas diilhami oleh pengalaman tokoh-tokohnya ketika mereka berada di Mekah.

Perkembangan sebegini telah memaksa pemerintah kolonial untuk memperketat kawalan mereka ke atas pelaksanaan haji, demi mengekalkan keutuhan penguasaan empayar Eropah ke atas wilayah jajahan mereka, seperti yang diutarakan oleh Eric Tagliacozzo dalam kajiannya The Longest Journey : Southeast Asians and the Pilgrimage to Mecca (“…control over the Hajj became seen as fundamental to ensuring the bedrock of European rule.”) Kawalan ini penting atas alasan mengekang unsur fanatik, menurut sarjana kolonial seperti Snouck Hurgronje dalam karyanya yang terkenal Mekka in the Latter part of the 19th Century, yang dibawa oleh gerakan Pan-Islamisme yang berpusat di Mekah.

Tidak hanya rantau Nusantara sahaja, tapi juga perlawanan anti kolonial di rantau Arab. Bahkan tidak hanya bersifat meniup semangat jihad sahaja, tetapi juga medan merencana strategi perang.

Dalam travelog The Road to Mecca nukilan Muhammad Asad, beliau telah mengisahkan pertemuannya dengan Sidi Muhammad, pemimpin gerakan al-Sanusiyyah yang melawan penjajah Itali di Libya. (Mereka berkenalan melalui perantaraan Haji Agus Salim, antara pemimpin awal negara bangsa Indonesia)

Sidi Muhammad ketika itu berlindung di Mekah setelah kekalahan di tangan tentera Itali dalam perjuangan kemerdekaan. Beliau meminta Asad untuk bertindak selaku operator dan penyampai mesej kepada saki-baki tentera Sanusiyyah di Libya di bawah pimpinan Sidi Umar Mukhtar (Lion of the Desert) supaya mereka mengumpul semula kekuatan dan mencari jalan mendapatkan bantuan makanan, tenaga dan senjata dari Mesir.

Walaupun akhirnya Asad berjaya menemui Umar dan menyampaikan mesej Muhammad, namun keadaan sudah terlewat kerana pasukan pejuang telah terhimpit teruk dengan kekalahan demi kekalahan dan tidak mungkin akan bangkit lagi. Umar Mukhtar akhirnya syahid dalam perjuangan sebulan setelah pertemuan itu berlaku.

Penutup

Demikianlah haji menjadi tingkap untuk melihat dunia luar, medan perhimpunan umat Islam dari pelbagai latar belakang geografi, bertukar fikiran tentang nasib kolektif mereka di bawah cengkaman penjajah, dan membawa pulang inspirasi untuk perubahan dan perjuangan di tanah air mereka.

Justeru haji tidak hanya sekadar ditanggapi sebagai ibadah spiritual peribadi dan kembara rohani, tetapi juga sebagai medan menyemai kesedaran kesolehan sosial, menyuburkan kesedaran anti-kolonial dan

RUJUKAN

  • The Road to Mecca oleh Muhammad Asad
  • Islamic Nationhood And Colonial Indonesia: The Umma Below The Winds oleh Michael Francis Laffan
  • Hajj and the Malayan Experience, 1860s-1941 oleh Aiza Maslan@Baharudin, Jurnal Kemanusiaan, Vol. 21, No. 2, (2014), 79-98
  • Islam Di Nusantara: Kitab Kuning, Pesantren Dan Tarekat oleh Martin Van Bruinessen
  • The Origins of Malay Nationalism oleh William Roff
  • The Longest Journey : Southeast Asians and the Pilgrimage to Meccav oleh Eric Tagliacozzo
  • Mekka in the Latter part of the 19th Century oleh Snouck Hurgronje
  • Forging Islamic Power and Place: The Legacy of Shaykh Daud bin ‘Abd Allāh al-Fatáni in Mecca and Southeast Asia oleh Francis Bradley
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

ARTIKEL MENARIK

Ikuti Kami

Sertai Kami

Wawancara Menarik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *