Penulis: Mukhriz Mat Rus
Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) – SOSMA diperkenalkan kerajaan pada tahun 2012 bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri, – ISA 1960. Biar pun sebagai pengganti, kedua-dua undang-undang ini membawa pendekatan yang berbeza dalam menangani ancaman dan tindakan yang mampu menggugat keselamatan negara.
ISA v/= SOSMA
ISA yang diperkenalkan sesudah Darurat 1948-1960 menawarkan langkah tahanan pencegahan tanpa bicara kepada pihak berkuasa, selain menjenayahkan beberapa perbuatan yang mengancam keselamatan dan ketenteraman awam. Sasaran utama ISA ketika itu ialah insurgensi komunis. ISA, hakikatnya ialah penjenamaan semula Emergency Regulations yang diperkenalkan pentadbiran kolonial British dalam membungkam penentangan di tanah-tanah jajahannya.
ISA dimansuhkan pada 2011 dan digantikan dengan SOSMA. Berdasarkan Hansard Dewan Rakyat dan ucapan Perdana Menteri ketika itu, perubahan ini merupakan sebahagian daripada ‘agenda transformasi negara’. Namun bagi sebahagian pemerhati dan penganalisis, perubahan itu tidak lebih sekadar ‘political stunt’ mengambil kira prestasi parti pemerintah Barisan Nasional ketika itu yang kian merosot, terutama dalam Pilihanraya 2008. Bahkan jika diamati kemudian, kerajaan ketika itu seolah mengambil langkah undur ke belakang dalam mengotakan ‘transformasi’ yang dijaja pada awalnya.
Sebagai contoh, kerajaan membatalkan hasrat memansuhkan Akta Hasutan 1948, bahkan membuat beberapa pindaan yang hakikatnya memperkasa undang-undang pra-merdeka itu. Kerajaan juga memperkenalkan Akta Pencegahan Keganasan, POTA 2015, mirip ISA, yang memberi kuasa menahan tanpa bicara selama tempoh tidak melebihi dua tahun. Tindakan ini juga memperlihatkan bagaimana kerajaan terpaksa akur dengan desakan agar penahanan pencegahan tanpa bicara dikembalikan.
Pindaan juga dibuat ke atas Akta Pencegahan Jenayah, POCA 1959, yang membenarkan tahanan tanpa bicara, juga seumpama ISA. Jadi tindakan memansuhkan ISA, menggantikan dengan SOSMA, dan memperkenalkan POTA dan POCA 1969, dilihat bukan langkah progresif ke depan, tapi lebih sekadar perbuatan lari setempat.
SOSMA: SATU JALAN TENGAH?
Berbalik kepada SOSMA. Secara amnya, undang-undang tatacara khas ini mengandungi pendekatan keadilan jenayah (criminal justice/criminalisation approach). Sistem keadilan jenayah diguna pakai dalam membasmi keganasan, jenayah terancang dan sebagainya. Dalam erti kata lain, suspek akan di bawa ke muka pengadilan untuk dibicarakan. beralih dari tahanan tanpa bicara kepada pendekatan pendakwaan khas juga pernah diambil oleh kerajaan British di Ireland Utara.
Pendakwaan di mahkamah merupakan perbezaan ketara antara SOSMA dengan ISA. Berbeza dengan ISA yang mana suspek ditahan tanpa bicara di mahkamah, melalui SOSMA, suspek dibicarakan di mahkamah dan diwakili oleh peguam. Maka secara asasnya, anjakan perubahan yang dibuat tampak lebih positif.
Bahkan semasa pembentangan undang-undang ini, Perdana Menteri menggarisbawahkan beberapa lindung jamin (safeguards) bagi memastikan undang-undang ‘luar biasa’ ini tidak menyeleweng dan melanggar nilai-nilai keadilan. Termasuk lindung jamin yang dimaksudkan adalah ‘sunset clause’ di bawah seksyen 4(11), yang menuntut kerajaan untuk mendapatkan kelulusan di Parlimen setiap lima tahun bagi meneruskan penguatkuasaan penahanan suspek selama tidak lebih 28 hari. Proses ini yang berlaku baru-baru ini pada 26 Julai 2022, merupakan kelulusan kedua untuk melanjutkan penguatkuasaan seksyen 4(11) setelah 10 tahun SOSMA diperkenalkan. Selain itu, seksyen 4(3) SOSMA juga melarang penahanan dibuat berdasarkan kepercayaan dan kegiatan politikal semata.
Memandangkan SOSMA secara teorinya menyasarkan pendakwaan, maka penahanan yang dibuat bukanlah sepatutnya penahanan pencegahan (preventive detention), tapi penahanan ‘bagi maksud penyiasatan’. Hal ini turut mengubah cara kerja siasatan pihak polis. Polis kini perlu mengumpul bukti dan keterangan untuk dikemukakan di mahkamah. Tanpa bukti yang berwibawa menurut prinsip undang-undang keterangan, tertuduh akan dibebaskan. Namun apa jaminan yang ada bahawa penahanan 28 hari itu tidak disalahguna untuk tujuan lain?
Yang Menyokong dan Membantah
Berdasarkan penyelidikan dan pemerhatian di lapangan, reaksi terhadap pengenalan SOSMA secara amnya boleh dibahagikan kepada tiga kumpulan atau perspektif.
‘Mereka Musuh Negara’
Pertama, golongan yang tidak bersetuju dengan pemansuhan ISA dan menolak SOSMA secara total. Mereka berhujah bahawa ISA lebih efektif dan pantas dalam menangani ancaman keselamatan negara. Hujah yang kerap digunakan adalah kerana pengganas sepatutnya dilayan sebagai ‘musuh negara’ dan tidak layak untuk mendapat hak-hak bagi warganegara. Sifat rumit yang ada jenayah keganasan dan terancang dilihat sebagai penghalang untuk memastikan pelaku disabitkan atau dihukum.
Tindakan Amerika Syarikat di Teluk Guantanamo dan ‘kejayaan’ membasmi kumpulan tertentu dulu sering dijadikan justifikasi. Lebih menarik, ada yang berhujah penahanan tanpa bicara lebih kondusif bagi proses pemulihan. Dengan mengambil contoh tahanan berkait keganasan, seorang tahanan boleh dibebaskan lebih awal mengikut kadar ‘pulih’nya. Mereka juga berhujah, penjara bukan tempat yang sesuai untuk proses pemulihan dan turut mendedahkan risiko kepada banduan yang lain.
Namun pandangan begini sukar untuk diterima sepenuhnya mengambil kira proses pemulihan yang dilakukan secara tertutup (tidak terbuka kepada penilaian pihak bebas), dan terdapat banyak aduan berkenaan penggunaan kekerasan terhadap tahanan. Lantas, keberkesanan proses pemulihan dalam tahanan sentiasa diragui, biarpun kadar kejayaan pemulihan sering dicanangkan sebagai tinggi oleh pihak kerajaan.
‘Jalan Tengah’
Kedua, golongan yang menyokong keperluan undang-undang khas dalam menangani jenayah tertentu. Melalui perspektif ini, SOSMA dilihat dapat mengimbangkan antara kepentingan keselamatan negara dan hak-hak warganegara, selain dilihat sebagai jalan tengah dan lebih baik daripada ISA. Perspektif ini tercermin dalam perbahasan YB Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz di Parlimen:
Jadi sebab itulah dalam SOSMA ini, kita ambil perbandingan iaitu kalau dulu ISA 60 hari dan juga di bawah Akta Kanun Keseksaan 14 hari. So, we find somewhere in the middle. 14 days jenayah yang berat tidak boleh, tidak cukup. Yang Berhormat menyebut sebentar tadi, 20 hari not enough for even 21 days, the last one-week hendak kena bagi ke mahkamah dah. Jadi kita kena ambil antara 60 hari dengan 14 hari. Ini kita cakap tentang jenayah yang berat bukan jenayah bawah Kanun Keseksaan. Ini yang berat. Ia perlu lebih daripada 14 hari. So, kita ambil yang di tengah.. (Hansard Dewan Rakyat, 26 Julai 2022, hal.49)
Pendirian ini terbina mengambil kira ciri-ciri luar biasa yang ada pada jenayah keganasan dan jenayah terancang, berbanding jenayah lain. Tanpa tatacara khas, sabitan cukup sukar diperolehi dan hasilnya undang-undang tidak efektif dan berfungsi dalam melindungi masyarakat. Misalnya, terdapat tatacara dan aturan keterangan tidak lazim bagi kes rasuah dan penyalahgunaan dadah.
Bagaimana pun, sebahagian golongan ini menyokong prosedur khas dan SOSMA secara bersyarat. SOSMA wajib memperuntukkan lindung jamin yang ampuh bagi memastikan ruang salah guna diminimumkan dan semua langkah-langkah luar biasa (exceptional measures) mestilah berkadaran dengan ancaman. Juga, terdapat saranan agar semakan berkala dibuat ke atas SOSMA secara keseluruhannya, iaitu bukan sekadar semakan berkaitan tempoh penahanan 28 hari sahaja. Pandangan ini mengambil kira Perkara 149 yang meletakkan tanggungjawab kepada Parlimen untuk mengawal penguatkuasaan undang-undang tentang kuasa-kuasa khas dan darurat.
‘Business as Usual’
Ketiga, golongan yang membantah SOSMA tapi percaya undang-undang prosedur biasa yang sedia ada sudah cukup bagi mencegah, mengekang dan membasmi keganasan dan kesalahan keselamatan yang lain. Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) menawarkan mekanisme yang memastikan ‘rule of law’ dipatuhi oleh semua pihak. Tatacara di bawah KTJ juga sudah teruji dan ampuh (well-established) dalam memastikan hak-hak tertuduh terpelihara. Sebagai contoh, berkenaan prosedur penahanan suspek untuk tujuan siasatan. SOSMA memberikan kuasa sepenuhnya kepada pihak polis untuk menahan suspek sehingga 28 hari, tanpa ada ruang untuk ‘semak dan imbang’ dari pihak Mahkamah. Berbeza dengan peruntukan lazim di seksyen 117 yang menuntut pihak polis membawa individu ditahan ke mahkamah sekiranya siasatan tidak dapat disiapkan dalam masa 24 jam. Semasa perbahasan di Parlimen baru-baru ini, YB Tuan Ramkarpal Singh a/l Karpal Singh menjelaskan:
Kanun Acara Jenayah khususnya seksyen 117 memperuntukkan satu prosedur di mana yang selaras dengan Artikel 54, Perlembagaan Persekutuan di mana seorang itu yang ditangkap atau ditahan perlu dikemukakan ataupun dihadapkan di hadapan seorang hakim ataupun majistret dalam tempoh 24 jam. Ini satu perkara yang satu undang-undang untuk safeguard– kepentingan orang yang ditahan tersebut. RUU SOSMA ini- Seksyen 4 (5) mengeluarkan keperluan tersebut. Dalam seksyen 4(5) tidak perlu seorang itu dibawa kepada seorang majistret dalam 24 jam. Seperti mana yang diperuntukkan oleh Artikel 45, Perlembagaan Persekutuan oleh kerana ia dikecualikan daripada Perlembagaan Persekutuan di bawah Artikel 149 (Hansard Dewan Rakyat, 26 Julai 2022, hal.49)
Selain itu, beberapa pindaan terbaru pada KTJ dan Akta Keterangan 1950 juga dilihat memberi kemudahan kepada pihak penyiasatan dan pendakwaan. Pindaan-pindaan mengambil kira bentuk dan ragam baharu jenayah dan perkembangan teknologi.
Harapan Untuk Ke Depan
Dalam membicarakan tentang SOSMA, samada menyokong atau tidak, ada dua perkara yang wajib ditekankan; keperlembagaan dan ketelusan.
Dua nilai mustahak dari Perlembagaan yang wajar diberi penekanan dalam menanggani keganasan dan kesalahan keselamatan. Nilai pertama adalah berkait rapat dengan prinsip kedaulatan undang-undang (rule of law) yang dijunjung Perlembagaan. Proses semak dan imbang dan lindung jamin perlu ampuh. Nilai kedua dari Perlembagaan yang wajib diberi perhatian berkait dengan penggunaan undang-undang khas (special legislation), seperti SOSMA. Biarpun Perlembagaan membenarkan tindakan tertentu yang bercanggah dengan prinsip-prinsip utama perlembagaan diambil, kelonggaran sepatutnya bersifat sementara dan mengambil kira keperluan dan ancaman semasa yang dihadapi negara. Penggunaan undang-undang khas perlu dibataskan, bersifat sementara, dipastikan beroperasi selari dengan niat asal penggubalan dan dipantau keberkesanannya.
Berkaitan ketelusan dalam menangani keganasan dan kesalahan keselamatan pula, ia bukan bermakna pihak berkuasa perlu mendedahkan segala maklumat atau taktik kepada orang awam. Dua langkah berikut wajar dipertimbangkan oleh kerajaan.
Pertama, satu dokumen rangka tindak yang jelas mengenai pendekatan dan strategi negara dalam melawan dan mencegah keganasan di Malaysia perlu dihasilkan. Dokumen itu berupaya menjadi sumber rujukan berguna, bukan sahaja kepada jentera kerajaan dan pihak berkuasa, tapi memudahkan ahli masyarakat untuk turut sama membanteras keganasan. Golongan akademik juga berupaya membuat penyelidikan dengan lebih mudah dan menyumbang buah fikiran bagi tujuan tersebut.
Kedua, laporan berkala mengenai pelaksanaan pelan bertindak dan undang-undang berkaitan keganasan. Melalui dokumen ini, pihak kerajaan misalnya boleh mendedahkan jumlah bilangan tangkapan, kes-kes yang didakwa dan disabitkan oleh mahkamah. Tindakan ini bukan sahaja menunjukkan komitmen sesebuah kerajaan kepada aspek ketelusan pentadbiran, tapi turut mempamerkan kesungguhan kerajaan dalam menangani keganasan secara adil dan berkesan.
Selain itu, pelantikan penilai bebas undang-undang anti-keganasan sebagaimana yang diamalkan di United Kingdom juga wajar diteliti. Satu penelitian terhadap pelaksanaan undang-undang akan dijalankan, laporan berkenaannya akan dibentangkan di parlimen dan masyarakat umum.
Tulisan akademik penulis yang berkaitan:
Mukhriz Mat Rus (2022), Malaysia’s counter-terrorism policy: Shifting from the executive-based to the criminal justice approach? UUM Journal of Legal Studies, 13(1), 409-429
Mukhriz Mat Rus, (2021). Keganasan Sebagai ‘Jenayah Istimewa’: Satu Pengungkaian Perspektif. Proceedings: Seminar on Law and Society 2021, 245 – 254.
Clive Walker, Mukhriz Mat Rus (2018), Legislating for National Security, Nuraisyah Chua Abdullah (ed.), Developments in Malaysian Law (Sweet & Maxwell, Subang Jaya)




