Search
Close this search box.

RUU Mufti dan Persaingan Politik Kerusi Mufti Wilayah

Penulis: Tengku Ameer Faiqal

Rang Undang-Undang (RUU) Mufti merupakan salah satu RUU berkaitan pentadbiran agama Islam Wilayah Persekutuan (WP) yang dibentangkan baru-baru ini di Dewan Rakyat iaitu RUU Perlembagaan (Pindaan) 2024, RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024, RUU Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) dan RUU Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024.

RUU Mufti mendapat perhatian ramai pihak terutama berkenaan cadangan mengikat tafsiran Ahlus-Sunnah Wal-Jama’ah (ASWJ) dengan Asyairah dan Maturidiyah bagi syarat pelantikan Mufti WP, yang sebelum ini tidak diikatkan dengan tafsiran tersebut. Cadangan ini menyebabkan polemik Asya’irah dan Salafiah di Malaysia hangat baru-baru ini apabila ruang media sosial digunakan sebagai pentas perselisihan antara kedua-dua aliran.

Biarpun Menteri Agama, Datuk Mohd Na’im Mokhtar berulang kali memberi penjelasan dan jaminan positif berkenaan RUU Mufti, hal yang berbangkit ini mendorong tokoh-tokoh beraliran Salafiah seperti Dr. MAZA, Mufti Perlis untuk menyuarakan kebimbangan dan kekhuatiran.

Mufti Wilayah dan RUU Mufti Wilayah

Mufti Wilayah merupakan satu jawatan lantikan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) sebagaimana termaktub dalam Akta 505. Kerusi ini merupakan salah satu daripada ‘contested seat’ yang sering menjadi rebutan oleh pemuka-pemuka agama daripada kem Asya’irah dan Maturidiyah, dan Salafiah. Walaupun isu ini zahirnya digambarkan sebagai polemik akidah antara kedua-dua aliran tersebut, realitinya pertelingkahan ini lebih berbentuk percaturan kuasa politik agama oleh kedua-dua aliran yang bersengketa.

Untuk ‘Asya’irah, pengukuhan kerusi Mufti Wilayah membantu untuk mengekalkan status quo beragama yang dilanjutkan daripada pentadbiran negeri yang membawa naratif Asya’irah dan Maturidiyah selain pengukuhan naratif yang telah sedia ada. Untuk Salafiah, kerusi ini merupakan satu peluang bagi mereka untuk berganjak daripada kerusi Perlis yang merupakan satu-satunya negeri yang meraikan aliran ini dan menerapkannya dalam pentadbiran negeri. Kerusi Mufti Wilayah ini memiliki beberapa kelebihan yang tidak terhad kepada majlis fatwa negeri semata-mata. Antara kelebihannya ialah:

1 – Mempengaruhi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dalam dasar-dasar pentadbiran. Hal ini kerana Mufti WP mempunyai hubungan yang kuat dengan urusan pentadbiran Islam WP justeru mempengaruhi dasar-dasar yang dikeluarkan oleh majlis agama terutama di peringkat eksekutif melalui penerimaan lantikan-lantikan baharu ke dalam jabatan-jabatan strategik melalui perkenan YDPA, dan penguatkuasaan eksekutif. Semestinya, lantikan ini akan memberi kesan terhadap isu tauliah, fatwa, aktiviti keagamaan dan kawalan masjid dan surau. Golongan yang berjaya akan menguasai naratif bagi mencorak hala tuju serta operasi aktiviti keagamaan di WP.

2 – Mengukuhkan pengaruh dalam JAKIM. Peruntukan yang banyak berserta bidang kuasa yang besar menyebabkan JAKIM menjadi ‘habuan’ rebutan antara kedua-dua aliran untuk melebarkan pengaruh masing-masing. Pengukuhan kuasa di pejabat Mufti WP dan kemudiannya MAIWP merupakan ‘satu gerbang’ ke arah pengembangan pengaruh ini melalui perlantikan strategik ke dalam jawatankuasa, jabatan dan panel-panel pakar JAKIM dengan ‘nasihat’ Mufti atau majlis agama. Penguasaan terhadap jawatankuasa, jabatan dan panel-panel ini membantu mempengaruhi resolusi dan keputusan jabatan yang kemudian diterjemah menjadi dasar, garis panduan, manual atau gerak kerja.

3 – Mempengaruhi agensi-agensi Islam di peringkat persekutuan seperti YADIM, IKIM, TV Alhijrah, YaPIEM dan lain-lain. Agensi-agensi Islam ini mempunyai rangkaian yang luas seluruh Malaysia dan penguasaan ke atas agensi-agensi strategik ini dapat mengukuhkan naratif aliran masing-masing di peringkat persekutuan secara langsung, dan mempengaruhi proses libat urus di peringkat negeri dan cawangan. Sebagai contoh, penguasaan terhadap TV Alhijrah membantu proses penyebaran naratif melalui siaran ke udara dan program Islamik yang berfungsi mengetengahkan pendekatan aliran masing-masing.

4 – Mempengaruhi dasar dalam dan luar negara melibatkan keagamaan. MAIWP mempunyai hubungan terus dengan Kerajaan Persekutuan, berbanding Majlis Agama Islam Negeri lain. Walaupun dasar dalam dan luar negara ini merupakan bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Luar Negeri, penguasaan terhadap jawatankuasa strategik keagamaan di peringkat persekutuan melalui majlis agama Islam dan agensi-agensi Islam mampu mempengaruhi dasar-dasar penguatkuasaan keagamaan kerana realitinya agensi-agensi Islam ini merupakan sumber maklumat dan nasihat bagi sebarang gerak kerja eksekutif oleh kementerian tersebut, seperti pengharaman buku, dan pembatalan lesen perniagaan atas dasar pencegahan terorisme dan ekstremisme.

5 – Mempengaruhi badan legislatif negara dalam menggubal atau meminda undang-undang berkaitan Islam melalui menteri agama. Jabatan Mufti dan Majlis Agama Wilayah Persekutuan mempunyai hubungan strategik dengan Menteri Agama, yang berperanan penting dalam mengusulkan rang undang-undang untuk dibentangkan dan diluluskan di Dewan Rakyat, seterusnya digazetkan sebagai undang-undang rasmi. Ini memberi peluang besar kepada Majlis Agama Wilayah Persekutuan untuk memperluas pengaruhnya dalam menggubal undang-undang berkaitan Islam. Oleh itu, hubungan ini membuka ruang bagi pihak berkepentingan untuk melobi dalam pentadbiran hal ehwal agama Islam, khususnya di peringkat Persekutuan. Contoh yang boleh dilihat adalah dalam polemik RUU Mufti, di mana usul ini dibentangkan melalui Menteri Agama dan dibacakan di Dewan Rakyat.

Jangkaan Implikasi Terhadap Salafiah

Sekiranya RUU Mufti ini diluluskan oleh Dewan Rakyat, kemudiannya di Dewan Negara, hal ini pasti akan memberi kesan terhadap pengaruh Salafiah di Malaysia khususnya dalam pentadbiran Islam di peringkat persekutuan. Antara jangkaan tersebut ialah:

1 – YDPA tidak boleh melantik Mufti Wilayah kecuali seorang tokoh daripada pemuka Asya’irah dan Maturidiyah. Hal ini bermakna, jika diandaikan Raja atau Sultan yang mempunyai penasihat agama daripada aliran Salafiah, maka mereka tidak dapat dilantik menjadi mufti atau timbalan mufti sewaktu penggal pemerintahan baginda. Jika dilantik juga, tindakan dapat diambil kerana melanggar peraturan sedia ada. Hal ini merupakan satu kerugian platform strategik bagi kelompok Salafiah, dan merupakan kelebihan di pihak Asya’irah untuk mengekalkan status quo biarpun setelah pertukaran YDPA.

2 – Rentetan itu, berlaku penguasaan di peringkat Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, MAIWP, JAKIM dan agensi-agensi Islam yang bernaung di bawah Jabatan Perdana Menteri oleh kumpulan yang sama. Hal ini membolehkan kumpulan ini menerima ‘habuan’ yang lebih besar, strategik, terjamin untuk jangka masa panjang tanpa perlu rasa goyah akan perubahan tampuk pentadbiran yang mengganggu status quo masing-masing.

3 – RUU Mufti ini juga menyebabkan proses pemutihan terhadap aliran selain Asya’irah dan Maturidiyah dapat dilaksanakan secara berkesan, dilindungi oleh legal-standing terutama melibatkan pusat-pusat pengajaran agama Islam, aktiviti-aktiviti keagamaan mahupun tokoh-tokoh yang didapati berfikrah Salafiah atas nama pengekangan ajaran sesat. Dengan itu, fikrah Salafiah sukar untuk mendapat tempat di WP secara umum, dan dalam pentadbiran agama Islam secara khusus dengan kekangan perundangan tersebut.

4 – Pengaruh Salafiah hanya akan mendapat tempat di institusi pendidikan tinggi yang lebih menjamin kebebasan akademik tetapi tidak dapat beroperasi di ruang awam kerana tertakluk dengan penguatkuasaan majlis agama dan agensi Islam berkaitan. Selain itu, suara Salafiah khususnya dalam pembentukan dasar keagamaan akan lebih terhad, menyukarkan libat urus dengan kementerian persekutuan dan sukar mengukuhkan naratif di peringkat persekutuan terutama di jawatan berkepentingan.

Orang Awam dan Pendakwah Tidak Perlu Khuatir

Pun begitu, RUU Mufti nampaknya tidak akan memberikan impak yang signfikan kepada orang awam secara umum yang rata-rata pegangan akidahnya sudah ternaung di bawah mafhum Asya’irah dan Maturidiyah yang lebih luas, termasuk mereka yang cenderung kepada Salafiah selagi mereka berpegang kepada teras akidah dan tauhid yang telah dipelajari di sekolah-sekolah rendah dan menengah seperti Rukun Iman, Sifat Wajib 13 (atau 20) bagi Allah SWT, yang merupakan usul akidah yang disepakati baik Asya’irah, Maturidiyah mahupun Salafiah sendiri.

Hanyasanya perbezaan antara aliran ini ialah pada furu’ akidah seperti isu sifat-sifat khabariah, isu perbuatan hamba dan perincian-perincian ilmu kalam yang bukan peringkat fardu ‘ain.

Hal ini kerana asal bagi seseorang Islam itu ialah sejahtera; apabila dia menuturkan dua kalimah syahadah maka status keislamannya maksum dan tidak boleh dikeluarkan daripada Islam dan Ahlus-Sunnah wal-Jama’ah kecuali secara hak dan hujah yang yakin. Justeru, tidak disyaratkan untuk isytihar diri sebagai Asy’ari atau Maturidi untuk mengabsahkan ketertaklukan diri di dalam mafhum Ahlus-Sunnah wal-Jama’ah. Akan tetapi, yang diambil kira ialah tiadanya percanggahan dengan dua manhaj akidah tersebut justeru selagi tidak dibuktikan bercanggah, maka kekal statusnya sebagai muslim di bawah naungan mafhum Ahlus-Sunnah wal-Jama’ah tersebut. Hal ini menjawab dakwaan sebahagian kelompok yang mengatakan RUU Mufti ini mempertikaikan status keislaman warga awam yang majoritinya tidak tahu khilaf firaq Islamiah terutama soal Asya’irah dan Maturidiyah.

Demikian juga bagi agamawan awam atau pendakwah yang berkecenderungan Salafi; mereka boleh meneruskan kegiatan dakwah dan pengajian selagi tidak menyentuh sebarang isu yang menjadi tunjang konflik antara kedua-dua aliran. Mereka boleh meneruskan dakwah mereka dalam ruang kepakaran seperti Fiqh, Tafsir, Al-Qur’an, Hadis, Tilawah dan lain-lain yang kurang polemik khilaf. Pendekatan ini lebih meraikan keutamaan pengajian Islam yang harmoni, dan lebih mendatangkan kemaslahatan berbanding perdebatan sektarian yang akhirnya menatijahkan permusuhan.

Hakikatnya, polemik RUU ini merupakan satu isu politik keagamaan daripada dua kelompok aliran, dengan masing-masing saling mencatur kuasa untuk kepentingan peribadi atau aliran. Pada waktu yang sama, kita perlu hormati andai RUU Mufti ini diluluskan di Parlimen kelak kerana kita perlu lebih berjiwa besar dalam menanggapi isu ini yang tidak terhad dalam gelanggang sektarian, tetapi melibatkan pemurniaan akidah dan seruan kesatuan umat Islam di Malaysia.

Pun begitu, penginstitusian aliran rasmi ini tidak seharusnya bersifat ‘kuku besi’ dan dijadikan usaha mengekang kebebasan suara terutama daripada aliran minoriti yang bukan arus perdana. Penginstitusian aliran ini perlu dijadikan peluang bagi budaya dialog yang ilmiah, kritis dan harmoni, yang boleh menggalakkan lebih banyak kajian intra-aliran Islam dihasilkan bagi tujuan penyatuan umat Islam di Malaysia. Hakikatnya Salafiah sebagaimana Asya’irah di Malaysia memiliki sejarah panjang hingga sebelum kemerdekaan lagi. Kedua-dua aliran memiliki sumbangan tersendiri yang membentuk budaya beragama di Malaysia.

Rujukan

  1. Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505)
  2. Fatwa diwarta ikut RUU Mufti Wilayah Persekutuan tak ketepikan fungsi raja – PGSM. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1310262/fatwa-diwarta-ikut-ruu-mufti-wilayah-persekutuan-tak-ketepikan
  3. Al-Ghazali, Abu Hamid Muhammad (2021) Al-Iqtisad fi Al-I’tiqad. Jeddah: Dar Al-Minhaj.
  4. Jabatan dan Agensi, Portal Rasmi Jabatan Perdana Menteri https://www.jpm.gov.my/ms/info-korporat/mengenai-kami#agensi
  5. RUU Mufti Wilayah Persekutuan relevan untuk menyatupadukan masyarakat – https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/07/1108843/ruu-mufti-wilayah-persekutuan-relevan-untuk-menyatupadukan-masyarakat
  6. RUU Mufti WP: Jika Menteri Agama benar, buktikan beliau faham sebelum paksa rakyat – Dr MAZA. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/ruu-mufti-wp-jika-menteri-agama-benar-buktikan-beliau-faham-sebelum-paksa-rakyat-dr-maza-492025
  7. Malik, Maszlee. (2017). Salafism in Malaysia: Historical Account on Its Emergence and Motivations. Sociology of Islam. 5. 303-333. 10.1163/22131418-00504003.
  8. Tun Abdul Hamid Mohamad (2024) RUU Mufti: Ulasan terhadap titah DYMM Raja Perlis dan kritikan Mufti Perlis – https://malaysiagazette.com/2024/10/20/ruu-mufti-ulasan-terhadap-titah-dymm-raja-perlis-dan-kritikan-mufti-perlis/
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

ARTIKEL MENARIK

Ikuti Kami

Sertai Kami

Wawancara Menarik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *