Search
Close this search box.

Pilihan Raya Pada Musim Bah yang Musibah 

Penulis: Dr Sahul HM

Desas-desus parlimen dibubarkan semakin kencang, sekencang ribut yang melanda beberapa kawasan di Kuala Lumpur beberapa minggu yang lalu. Cuma yang membezakan antara dua ‘kencang’ ini, yang satu implikasi kepada kuasa, yang kedua implikasi kepada nyawa. Setelah berbulan-bulan kita disajikan dengan cerita desakan untuk membubarkan Parlimen, akhirnya pada malam 30 September yang lalu, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, dengan kehadiran Perdana Menteri selaku Naib Presiden UMNO, memutuskan untuk memohon kepada Yang di-Pertuan Agong supaya memperkenankan pembubaran Parlimen.

Rencana ini bukannya bertujuan untuk menelusur dan meneropong pelbagai motif yang terselindung di sebalik keinginan supaya Parlimen terbubar segera. Bukan. Rencana ini hanya ingin membincangkan betapa keputusan untuk membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya umum di penghujung tahun merisikokan rakyat yang perlu, dalam keadaan terdesak, untuk memilih set kepemimpinan baharu bagi negara ini. Mengapa rakyat pula yang terdesak? Kerana kita perlukan satu kerajaan baharu yang stabil, yang mendapat sokongan majoriti, dan yang prihatin dan empati terhadap kesukaran rakyat. Rakyat perlukan kerajaan yang bersungguh-sungguh membicara dan mewacanakan keperitan rakyat dalam medannya. Kejatuhan nilai ringgit, kenaikan harga barang, kenaikan OPR yang melonjakkan bayaran balik pinjaman dan pengangguran misalnya. Mewacanakan bukan bermaksud berforum di atas pentas seperti kita orang biasa. Ia bermaksud membawa segala perihal kesukaran, kesempitan dan keperitan rakyat ke Parlimen yang menghimpunkan 222 anggota yang dipilih dalam pilihanraya yang lepas. Kita lihat, ahli Parlimen mana yang serius ingin membicarakan hal ini? Siapa daripada anggota parti pemerintah yang mengemukakan usul sepertinya? Setakat ini, kelmarin yang membangkitkannya adalah Ketua Pembangkang, itupun ditolak. Juga sebelum itu disuarakan oleh Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, tidak diambil serius.

Berbalik kepada persoalan utama sekarang, terdesaknya rakyat itu adakah sehingga kita perlu bersetuju supaya pilihanraya diadakan segera, dalam musim hujan, ribut dan banjir ini? Pertimbangan kita, sang rakyat, harus berkiblatkan fakta dan pandangan para pakar daripada pelbagai bidang. Pakar daripada pelbagai bidang, kecuali labunan daripada mulut para politikus yang sedang dahagakan kuasa mutlak buat mencatur survival masa hadapan. Oh, maaf, sebelum terlupa. Para penguasa tidak memerlukan persetujuan kita pun untuk pembubaran Parlimen. Ia diizinkan dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan, tanpa menyebut dengan jelas sebarang penangguhan yang mengambil kira kesukaran rakyat ketika mana Parlimen dibubarkan itu. Teknikaliti membenarkan. Yang boleh menahan, hanya rasa kemanusiaan.

Setakat 30 September 2022, beberapa pakar secara umumnya sependapat bahawa penghujung tahun 2022 ini bukanlah waktu yang sesuai untuk diadakan pilihanraya umum. Jabatan Metereologi Malaysia (MetMalaysia) awal-awal lagi memberi amaran hujan lebat akan bermula pada pertengahan November 2022, yang berisiko mengakibatkan banjir di banyak kawasan. Sehubungan itu, Kementerian Alam Sekitar dan Air juga sudah mengeluarkan senarai hot spot banjir mengikut negeri.

Bermaksud ini bukan “cobaan”, ini betul-betul. 

Sebanyak 5,496 kawasan di seluruh negara disenaraikan sebagai lokasi berisiko tinggi. Sarawak tertinggi dengan 1034 lokasi, dan Labuan terendah dengan 18 lokasi. Lokasi di negeri-negeri yang dikenali sebagai Malay Belt pula adalah sebanyak 2,085. Untuk makluman, negeri-negeri tersebut semuanya dikuasai oleh parti pemerintah pusat, termasuklah di Sarawak yang pro-pusat. Jika dicampurkan kesemuanya, ia melebihi 50% daripada jumlah hot spot seluruh Malaysia yang ditandakan.

Adakah parti pemerintah bersedia untuk menanggung risiko para pengundi tradisional di sini tidak keluar mengundi kerana cuaca buruk kelak? Terpulang, jika masih terlalu over-confident.

Selain itu, pakar meteorologi Prof. Azizan Abu Samah turut menyatakan hal yang sama. Kita tidak boleh membandingkan keadaan pada tahun November 1999, ketika pilihanraya umum diadakan pada musim tengkujuh. Indian Ocean Dipole (IOD), suatu kondisi suhu permukaan laut di Lautan Hindi, pada November 1999 dan tempoh 2022 tidak sama. Pada tahun ini, indeks IOD berisiko untuk menyebabkan taburan hujan yang tinggi sekaligus mengakibatkan banjir besar di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor. Pendapat ini diperkuatkan oleh dapatan dari Asean Specialised Meteorological Centre dan disokong oleh Australian Meteorological Bureau. 

Bagi Dr. Jeniri Amir, seorang penganalisis politik dan mantan ahli akademik di Unimas, musim hujan dan banjir akan membataskan jumlah pengundi yang keluar mengundi. Akibatnya, parti yang menang sebenarnya menang dengan jumlah undi yang kecil, dan membentuk sebuah kerajaan yang tidak mempunyai mandat daripada majoriti rakyat Malaysia. Kerajaan mendapat jumlah undi terbanyak tetapi bukan mandat terbesar.

Pilihan raya dalam musim banjir akan menyebabkan kantung negara terpaksa dikorek habis-habisan, untuk menampung belanja perjalanan pilihan raya dan untuk menguruskan bencana banjir yang melanda. Dengan kejatuhan nilai ringgit dan inflasi yang sedang mencanak, wang negara kita dihadapkan dengan dua pilihan, pada saat dan ketika ini. Untuk pilihan raya atau untuk bencana banjir? Pengerusi SPR sendiri mengumumkan bahawa belanja pilihan raya umum akan datang melebihi RM1.1 bilion! Ya, walaupun kita boleh berhujah “kalau tahun depan pun tetap kena keluar belanja yang sama,” tapi kita sedang berbicara soal keutamaan, fiqh al-awlawiyat. Pada waktu ini, jumlah wang yang sebesar itu boleh digunakan untuk memobilisasi segala jentera kerajaan buat membantu dan menyelamatkan rakyat yang sengsara dilanda banjir.

Walau apapun yang dihujahkan, akhirnya kita rakyat tidak mempunyai sebarang upaya untuk menahan pembubaran Parlimen waktu ini. Namun, dengan memahami segala rasional dan fakta yang dibentangkan, kita masih mempunyai kuasa untuk menghukum para politikus elit yang sedang ghairah bermain politik ketika ramai saudara kita menghitung hari untuk berpindah ke pusat perlindungan sementara dan menyelamatkan nyawa dan harta benda yang bakal dilantak banjir. Kuasa kita terletak pada pena dan kertas undi. Satu sahaja, jangan undi mereka yang tidak memikirkan kepentingan kita rakyat biasa yang terpaksa bersusah demi kesenangan mereka. Khalas!

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

ARTIKEL MENARIK

Ikuti Kami

Sertai Kami

Wawancara Menarik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *