Penulis: Amirul Mukminin
*Penulis merupakan seorang penganalisis dan pemerhati politik antarabangsa, serta graduan dalam bidang Sains Politik dan Hubungan Antarabangsa
Serangan Rusia terhadap Ukraine telah bermula. Ia diisytiharkan secara sebelah-pihak oleh Rusia sebaik sahaja negara itu juga mengisytiharkan dua negeri milik Ukraine sebagai ‘merdeka’. Kejadian ini mengejutkan ramai pemerhati politik antarabangsa yang tidak menjangkakan tindakan demikian akan diambil sepantas itu. Untuk kita yang jauh dari benua Eropah mungkin lebih bingung. Oleh itu berikut merupakan beberapa fakta yang perlu kita ketahui:
1. Konflik antara Ukraine dan Rusia sudah lama berlaku rentetan daripada kekalahan Soviet Union dalam perang dingin. Rusia baharu di bawah kepimpinan Putin kembali aktif meluaskan pengaruhnya di negara-negara bekas jajahan Soviet Union.
2. Secara amnya, penduduk Ukraine mempunyai belahan dua ideologi iaitu Pro-Kesatuan Eropah dan Pro-Rusia. Hal ini sering diterjemahkan melalui pilihanraya dan kempen-kempen parti politik. Selain itu, terdapat juga puak pemisah pro-Rusia yang berusaha untuk memasukkan Ukraine dibawah kekuasaan Rusia sama ada secara langsung atau ‘bernaung’ di bawah Rusia secara tidak langsung.
3. Presiden Ukraine Yanukovych (2010-2014) mempunyai hubungan yang sangat akrab dengan Rusia terutamanya dengan Putin sejak Presiden Rusia itu masih berjawatan sebagai Perdana Menteri lagi. Hubungan yang rapat ini membolehkan Rusia menggunakan tanah Ukraine untuk kegiatan ketenteraan.
4. Pada tahun 2013, gerakan rakyat pro-Eropah di Ukraine mengadakan demonstrasi besar-besaran di Euromaidan atau medan Eropah. Gerakan ini menggesa Presiden meletak jawatan atas alasan korupsi, menjual kedaulatan negara pada Rusia dan mereka menggesa Ukraine supaya segera bergabung dengan NATO dan menandatangani Perjanjian European Union–Ukraine Association. Hal ini dilakukan untuk mendekatkan dan meletakkan Ukraine dibawah radar kekuasaan kuasa Barat dan Eropah.
5. Pada tahun 2014, Kremia- sempadan Ukraine dan Rusia – telah bergolak. Dengan bantuan ketenteraan Rusia, seperti bantuan kewangan dan persenjataan, Puak Pemisah Pro-Rusia telah berjaya mengilhak (annex) negeri sempadan itu. Kremia merupakan kawasan yang sangat strategik untuk geopolitik Rusia kerana memberi akses kepada laut dan kawalan di Laut Hitam. Walaubagaimanapun, Rusia menafikan tindakan itu sebagai sebuah pencerobohan, apatah lagi pengilhakan, ini kerana rakyat yang pro-Rusia telah memenangi sebuah referendum yang diadakan pada ketika itu.
6. Sejak 2014, Presiden Ukraine telah bertukar sebanyak dua kali. Kedua-duanya mempunyai sentimen dan ikatan kuat dengan blok Eropah dan Amerika; Poroshenko 2014-2019 dan terkini Presiden Zelenskyy.
7. Sejak itu, ketenteraan Rusia dipertingkatkan di sempadan Rusia-Ukraine dan sempadan Belarus yang merupakan sebuah lagi negara Pro-Rusia. Alasan Rusia adalah mudah, pada awalnya Putin menafikan niat untuk interversi dan masuk ke dalam Ukraine, namun kemudian Putin dengan jelas menyatakan ia sebagai sebuah tindakan untuk menghentikan pembesaran pakatan NATO. Dengan bahasa lain, Putin sedang mengugut NATO untuk tidak menerima Ukraine sebagai ahli baharu.
8. Suasana hangat ini cuba dikendurkan oleh Presiden Turkiye, Erdogan kerana posisinya yang unik. Turkiye bukan sahaja anggota NATO tetapi mempunyai hubungan istimewa dengan Rusia dan Ukraine. Turkiye merupakan rakan dagangan bagi dua negara yang bertelingkah ini. Turkiye menjual dron perangnya kepada Ukraine dan pada masa sama Erdogan juga mempunyai banyak kesefahaman dengan Rusia -yang banyak berunding dalam konflik di Syria. Tetapi nampaknya tindakan ini digagalkan oleh sikap Presiden Perancis Emmanuel Macron dan Presiden Amerika Joe Biden sendiri.
9. Sikap tidak diplomatik dan keras kepala NATO dan Rusia telah membuatkan Rusia hari masuk ke negeri Donetsk dan Luhansk atas alasan negeri itu sudah merdeka. Tentu sahaja ia melanggar Undang-undang Antarabangsa.
10. Pakatan Barat sama ada Eropah dan Amerika masing-masing mengisytiharkan sekatan ekonomi terhadap Rusia, media dan juga terhadap sabahat-handai Putin. Sekatan ini dibuat untuk melemahkan ekonomi Rusia agar dana perang mengecil, lalu seterusnya diharapkan agar Putin akan menghentikan perang. Tetapi Amerika tentunya tidak akan masuk secara langsung dalam perang ini kerana sekiranya Biden mengambil langkah tersebut, konflik yang maha dahsyat akan berlaku.
11. Secara ketenteraannya, Rusia tentulah lebih unggul berbanding Ukraine. Tambahan pula, senjata nuklear Ukraine telah dihapuskan dalam perjanjian ‘Nuclear Non-Proliferation Treaty’ pada 1994. Dengan murah hati ketika itu, Barat mengarahkan Ukraine agar menutup penjanaan nuklearnya. Hal ini dibantah keras oleh ‘ulama besar’ Hubungan Antarabangsa iaitu John Mearsheimer secara berulangkali sejak 1993 dan pada 2006 beliau telah pun meramalkan akan berlaku konflik besar yang akan memakan Ukraine sendiri.
12. Saat ini, kita melihat jet berterbangan di udara Ukraine, dentuman bom dari Rusia dan Ukraine telah pun bermula. Lebih menggerunkan, ibu negara Ukraine, Kiev diserang melalui serangan roket dan peluru berpandu. Ribuan rakyat meninggalkan tempat tinggal, keluarga terpisah dan kecederaan dilaporkan meningkat. Krisis kemanusiaan sudah bermula, perang meratah darah.
Konflik ini bukan hanya akan merubah lanskap politik Eropah sahaja, bahkan mengakibatkan krisis kemanusiaan pada benua itu dan seluruh dunia kelak. Harga minyak akan naik, pasaran saham antarabangsa akan terganggu dan industri penerbangan antarabangsa juga akan terjejas. Belum pun pulih wabak Covid, kita sudah termasuk ke kancah konflik lagi.




