Search
Close this search box.

Pemberi atau Penerima Rasuah: Siapa Sebenarnya yang Bersalah?

Penulis: Dr Sahul HM

Baru-baru ini kita dikejutkan oleh pendedahan satu kajian berkaitan rasuah. Dalam artikel jurnal tersebut dinyatakan bahawa 88% pemberi rasuah terdiri daripada orang bukan Melayu. Lalu gegak-gempitalah sebilangan manusia yang kononnya bergelar pejuang, melancarkan serangan terhadap orang bukan Melayu (dan bukan Islam tentunya) atas kesalahan yang menyebabkan Malaysia dipandang sebagai negara korup. Merekalah yang menyebabkan Indeks Persepsi Rasuah kita terus merudum sampai ke tempat 62 pada 2021, daripada 51 dan 57 pada tahun-tahun sebelumnya. Dipropagandakan kepada sekalian pengikut seolah-olah berlakunya rasuah itu hanyalah salah si pemberi rasuah sahaja. Kisah peminta atau penerima rasuah disenyapkan.

Hakikatnya, data dalam artikel tersebut menunjukkan bahawa 82% penerima rasuah adalah kalangan orang Melayu yang beragama Islam. Orang yang sebangsa dan seagama dengan para pencanang yang menyebarkan “keburukan” orang bukan Melayu tadi. Soalnya di sini, mengapa data yang ini disenyapkan? Apakah penerima rasuah itu suci, manakala yang memberi itu sahaja yang keji? Tiadakah dalam agama kita, Islam, yang menjadi anutan utama orang Melayu, mengajarkan kejijikan rasuah yang menyebabkan kerosakan di atas muka bumi ini? Atau mereka barangkali terlupa dengan hadith Nabi s.a.w. yang melaknat kedua-duanya, pemberi dan penerima rasuah? Hadith ini pastinya ditujukan kepada umat Islam, dan tidak pula Nabi s.a.w. memberikan kelonggaran atau menyembunyikan dosa si penerima rasuah. Kedua-duanya dilaknat. Ini bukan laknat sembarangan orang, Nabi s.a.w. sendiri yang melaknatnya!

Malangnya golongan yang menyembunyikan kebenaran ini. Mereka memilih maklumat yang mereka suka dan menyembunyikan yang mereka tidak suka. ‘Cherry-picking’ kata orang putih. Bagaimanakah jika di tangan mereka ini terletaknya kuasa pemerintahan yang total? Sebelum berkuasa ‘selective accusation’, barangkali selepas berkuasa ‘selective prosecution’ pula.

Penulis mencadangkan mereka semua ini untuk membaca dan memahami karya Prof. Syed Hussein Alatas yang berjudul “Rasuah: Sifat, Sebab dan Fungsi”. Ini, penulis fikir, merupakan buku paling asas tapi komprehensif yang membicarakan soal rasuah dalam bahasa yang mudah difahami.

Rasuah ialah jenayah mutual. Satu jenayah yang melibatkan dua pihak, tetapi tiada mangsa. Dalam jenayah rasuah, pemberi dan penerima sama-sama bersalah. Masing-masing mempunyai kehendak yang perlu dipenuhi dan kehendak itu harus dipenuhi dengan apa-apa sahaja cara yang ada. Dalam jenayah rasuah, kedua-duanya adalah pemangsa. Masing-masing berkepentingan dan saling memerlukan sesama mereka.

Kita boleh berhujah kalau penerima menolak pemberian si pemberi, rasuah tidak berlaku. Secara umumnya kenyataan ini benar. Namun, terdapat keadaan berlakunya tekanan daripada pemberi supaya rasuah diterima dengan terpaksa. Dalam keadaan lain, pemberi pula terpaksa memberi kerana tekanan daripada penerima. Sebagai contoh, dalam satu organisasi, si pemberi rasuah mempunyai hubungan dengan orang atasan yang sudahpun dirasuah lebih awal. Tapi untuk memastikan kerja yang dimaksudkan berjalan lancar, si celaka itu perlu juga merasuah orang bawahan dalam organisasi. Lalu ia pun merapati orang bawahan dengan menggunakan modal “orang atasan sudah setuju”, dan memujuk orang tersebut untuk menerima rasuah, dengan alasan “walaupun kamu tak terima, kerja ini pasti berjalan lancar, dengan kamu atau tanpa kamu.” Ini hanya satu contoh kecil yang boleh berlaku.

Walau bagaimanapun, menyalahkan hanya pemberi rasuah dalam jenayah rasuah, adalah tindakan yang bodoh. Seolah-olah penerima itu tidak berakal dan tidak cukup ajaran agama untuk mengekangnya daripada menerima rasuah. Jika tiada permintaan tiadalah penawaran, bukan? Demikianlah asas teori ekonomi yang boleh diaplikasikan dalam perihal rasuah. Permintaan untuk rasuah bukan perlu dalam bahasa yang rasmi, seperti “Saya nak RM1000 jika kerja ini nak dipermudahkan.” Tidak begitu. Gerak-geri, isyarat badan atau perlambangan bahasa boleh menjadi medium untuk menyampaikan hasrat si peminta rasuah. “Nak setel ke atau naik mahkamah?”; “Tak apa ini saya boleh permudahkan, serah saja kepada saya”; atau “Saya jaga awak, awak jagalah saya…” Ini mungkin dialog-dialog popular yang kita semua faham, pernah diceritakan dan mungkin ada yang pernah terlibat dalam keadaan sedemikian.

Kembali kepada pokok persoalan dalam tulisan ini. Di manakah maruah kita sebagai orang Melayu-Islam yang menjadi penerima rasuah terbesar seperti yang didedahkan? Apakah akan tenggelam hakikat ini hanya jika ia tidak didedahkan dalam di atas pentas politik? Sebenarnya, semakin kita menyalahkan orang lain, semakin kita mendedahkan betapa lemahnya budaya dan agama kita daripada menjadi pendinding kepada jenayah rasuah. Kita melaung dan mempromosikan, kitalah umat yang terbaik. Tetapi umat itulah yang menjadi penerima rasuah yang terbesar. Lekeh sangatkah agama, agamawan dan pemimpin kita bagi mengekang jenayah yang mencelakakan ini?

Sebelum berakhir, penulis merasakan cukuplah perpecahan yang disebabkan oleh “fatwa” 1981 yang memecahbelahkan umat Islam di Malaysia, janganlah ditambah pula dengan pandangan baharu yang mengeruhkan hubungan antara kaum di Malaysia. Jika ingin membicarakan kebaikan untuk negara ini, sampaikanlah hakikat sebenar supaya sama-sama dapat kita memperbaikinya. Katakanlah yang benar, sekalipun pahit. Itupun Islam juga…

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

ARTIKEL MENARIK

Ikuti Kami

Sertai Kami

Wawancara Menarik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *