Penulis: Izmil Amri
William Shakespeare menerbitkan Macbeth pada tahun 1623, sebuah karya bertemakan cita-cita politik. Ia mengisahkan seorang panglima perang Scotland yang diberitahu ahli sihir tiga beradik bahawa beliau (si Macbeth ini) akan suatu hari nanti menjadi Raja Scotland.
Macbeth kemudiannya (atas anjuran sang isteri) membunuh Raja Duncan, dan menduduki takhta kerajaan. Hidupnya kemudian tidak aman. Beliau malah dihantui rasa bersalah dan terpaksa terus membunuh, demi melindungi dirinya daripada syakwasangka.
Tema dan jalan cerita Macbeth ini kemudiannya diterjemahkan dalam bentuk filem jidaigeki, atau apa yang kita terbiasa sebut sebagai filem samurai, dengan tajuk Kumonosu-jō, bererti istana jaring labah-labah. Pembikin filem Jepun terkemuka, Akira Kurosawa menghasilkan filem ini pada tahun 1957 dengan ciri lakonan ala pementasan ‘noh’, seni teater klasik Jepun.
Ceritanya juga sama. Seorang samurai dikurniakan pangkat dan kedudukan setelah berjaya menewaskan musuh, namun terserempak dengan semacam hantu di tengah hutan sedang menjalin benang. Hantu itu memberitahunya dan seorang lagi teman bahawa kedua-duanya bakal menguasai istana, dan ramalan itu benar-benar berlaku.
Namun si samurai ini, Taketoki Washizu namanya; tidaklah begitu cerdik. Isterinya jauh lebih punya pemikiran yang licik serta bercita-cita tinggi. Si isteri meracuni pemikiran Washizu sehingga sanggup membunuh tuannya sendiri, dan kemudian berlangsunglah babak-babak kehancuran seperti yang telah diramalkan.
Kalau mahu tonton, silakan gelintar sendiri di Google. Tak sampai dua jam pun filemnya.
Namun bagi saya apa yang menarik ialah perkembangan plot cerita ini, terutama sekali kerana saya menemukannya selepas Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10.
Kuasa nafsu, nafsu kepada kuasa
Kita dihidangkan dengan gambaran realpolitik pada babak-babak awal filem Kurosawa ini yang dijual di Barat dengan tajuk lebih memikat, Throne of Blood. Sementelahan realpolitik itu pun benda berdarah juga.
Seorang samurai dengan penuh drama mengetuk pintu kubu membawa perkhabaran tragis, seolah-olah tiada harapan untuk menang. Namun kemudian diikuti utusan-utusan berkuda yang lain, setiap satunya dengan khabar gembira kemenangan. Seperti para aktivis politik media sosial yang tanpa henti membawa khabar perkembangan dari lapangan di tengah hangat PRU15, meski dia hanya duduk menghadap skrin.
Sang penguasa utama pun gembira, lalu mengutuskan supaya para pengkhianat dibunuh, dan para perwira negeri dipanggil pulang untuk diberikan kurnia. Demikian mudah ilustrasi permainan kuasa politik. Segala-galanya mungkin berlaku, dalam sela masa yang begitu singkat. Yang kalah boleh menang, yang awalnya tadi nampak akan menang akhirnya kalah tersungkur. Pun seperti yang kelihatan dalam PRU15.
Namun Kurosawa meletakkan penekanan kepada aspek harapan dalam permainan kuasa dan nafsu untuk mendapatkan kuasa.
Aspek harapan ini digambarkan dalam babak ketika dua panglima itu tadi tersesat di hutan dan bertemu dengan hantu (nak sebut jin macam tak kena) yang sambil menjalin benang, ia bersyair:
Alangkah peliknya dunia ini
Kenapa manusia diberikan nyawa
Hidup manusia tiada makna
Seperti hidupnya si serangga
Alangkah bodohnya demikian sengsara
Dunia sementara seperti kembangnya bunga
Tiada lama sebelum mereput akhirnya
Manusia berusaha saban hari
Membakar diri
Dalam nyala cita-cita
Menyerah kepada takdir berlima
Menimbun karma demi karma
Pada akhirnya yang menanti hanya
Daging reput dan tulang belulang
Menjadi baja bebunga mengembang
Busuknya bertukar wangi
Oh alangkah menariknya hidup manusia
Demikianlah lebih kurang terjemahannya, kerana sarikata Inggerisnya juga wujud dalam beberapa versi. Dan saya pula tidak belajar bahasa Jepun selain apa yang ditonton dalam siri Naruto dan seangkatan dengannya.
Berbalik kepada si hantu penyair ini tadi, ia kemudiannya memberikan suatu ramalan kepada dua panglima samurai tadi. Pada ramalan inilah kita menemukan aspek harapan yang diberikan penekanan oleh Kurosawa, (dan Shakespeare juga pastinya); kerana pada ramalan itulah timbulan harapan, cita-cita dan nafsu untuk mencapai apa yang tidak pernah muncul di akal fikiran.
Sama halnya seperti yang kita saksikan sepanjang beberapa minggu ini.
Harapan, dalam konotasi Melayu; selalunya bukanlah suatu benda yang baik sifatnya. Bahkan mengharap itu dilihat sebagai kerja sia-sia. Hampir tak ada beza antara berharap dengan berangan. Seperti orang yang ditolak cintanya, namun masih menyimpan harapan. Hatta ketika kekasih sudah beranak dua pun, masih ada sekelumit harapan.
Dibunuh tidak mati mati. Demikianlah sifatnya harapan itu.
Namun dalam konteks filem Kurosawa ini, ramalan yang memberikan harapan dan membenih cita-cita itu ibarat api lilin yang membesar berperingkat sehingga menjadi marak menjulang dan membakar rentung semuanya sekali. Demikianlah bahayanya cita-cita politik yang tidak dibendung. Manusia akan sentiasa punya nafsu, dan nafsu kepada kuasa adalah barangkali nafsu paling liar.
Hidup pengkhianat tidak pernah aman
Dek kerana cita-cita dan nafsu terhadap kuasa yang tidak pernah kenyang mahupun puas, kita menyaksikan watak protagonis Kurosawa akhirnya beransur hilang akal setelah menurut hawa nafsu cita-cita politiknya.
Bisikan syaitan si isteri – Asaji, yang membuka mata Washizu adalah api lilin yang tadi disebut. Kecil-kecil masih berguna. Namun apabila sudah marak menjulang; semuanya habis menjadi korban.
Washizu begitu paranoid apabila tuannya, Kunimari Tsuzuki; datang berziarah ketika dalam perjalanan untuk memburu, menyangkakan ia mahu menyerangnya atas sebab mengesyaki dia akan memberontak. Sikap paranoid ini berlanjutan, sehingga dia sendiri akhirnya membunuh tuannya, dan kemudian rakannya sendiri; demi mengekalkan kuasa yang dia nikmati.
Si Washizu ini akhirnya mati dibedil anak panah bertali arus oleh tenteranya sendiri. Salah satunya menembusi kerongkong. Kematiannya itu kelihatan sangat menyeksakan.
Pada hujung-hujung plot cerita ini, sukar untuk kita tidak melihat bayangan para pengkhianat Langkah Sheraton yang tersungkur dikebumikan rakyat dalam PRU yang baru selesai.
Dari Gombak ke Ampang, Bandar Tun Razak dan Batu Pahat; ramai yang geli hati dan menarik nafas lega melihat hampir kesemuanya tewas dengan begitu memalukan.
Azmin Ali misalnya, dijangka mampu mempertahankan kerusinya di Gombak. Apatah lagi sekadar dicabar Amiruddin Shari yang jauh lebih junior. Namun Azmin tewas, setelah berdegar-degar berucap dengan angkuh sekali, penuh keyakinan akan kekal menjadi pilihan pengundi Gombak. Entah nasihat hantu mana yang membuat keyakinan beliau begitu tinggi.
Sepertimana kesudahan cerita Takhta Berdarah Kurosawa itu, samalah juga halnya Macbeth tertipu dengan salah fahamnya sendiri terhadap ramalan yang diberikan bomoh tiga beradik kepadanya.
Ramalan itu memberitahu Macbeth bahawa dia hanya akan boleh dibunuh oleh seorang lelaki yang tidak dilahirkan oleh seorang perempuan. Macduff, watak yang akhirnya memenggal kepala Macbeth, kemudian memberitahu bahawa dia sebenarnya lahir secara pembedahan Caesarean, bukan lahir secara alami melalui liang faraj ibunya. Ah, sudah.
Kematian Macbeth yang seterusnya menyaksikan seorang raja baru ditabalkan di Scotland menutup tirai pementasan Shakespeare itu dengan andaian bahawa keadaan kembali aman dan semuanya akan ‘okay’.
Di Malaysia, kita masih meramal dan berkira-kira bagaimana semuanya akan berakhir. Adakah cukup sekadar sebuah kerajaan perpaduan untuk mencetuskan perdamaian dan muafakat? Entah. Kita sama-sama tunggu.
Namun saya percaya, bagi sebahagian besar daripada kita yang tiada kemaruk mahu duduk di tengah perebutan kuasa dan kemabukan cita-cita, babak ketiga filem Kurosawa adalah sangat-sangat bertepatan.
Dalam babak itu, kedua-dua watak panglima Washizu dan Miki baru sahaja keluar dari sesat di hutan dan kabus tebal, setelah mendengar ramalan sang hantu. Kedua-dua keletihan setelah menjumpai istana yang mereka cari, lalu turun dari pelana kuda masing-masing dan duduk berehat.
Miki lalu berkata, ”Satu-satunya perkara yang aku inginkan sekarang ialah tidur yang lena dan panjang.”
Disambut Washizu, “Aku pula rasa seakan sudah pun lena, dan sedang berdepan mimpi yang menakutkan.”
Lebih kurang macam Malaysia hari ini lah, kan?




