Secara umumnya, kriteria seorang pemimpin digarap menerusi firman Allah dalam surah al-Qasas, ayat 26:
إِنَّ خَیۡرَ مَنِ ٱسۡتَـٔۡجَرۡتَ ٱلۡقَوِیُّ ٱلۡأَمِینُ
“Sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah.”
Jika kita teliti, kedua-dua kriteria yang digariskan oleh al-Qur’an ini adalah berwajaran dengan beban tugas dan tanggungjawab seorang pemimpin. Oleh sebab itulah kita dapat fahami bahawa penilaian kepada seseorang pemimpin bukan dilihat pada pakaian seperti jubah dan kopiah mahupun kot dan bertali leher, tetapi melihat kepada nilai Quwwah dan Amanah.
Walau bagaimanapun, segelintir masyarakat kita termasuklah sesetengah agamawan dan cerdik pandai kadangkala mengelirukan masyarakat, contohnya mendakwa kualiti seorang pemimpin itu pada asasnya terletak pada kepandaian membaca doa dan menjadi imam dalam solat semata-mata.
Secara realitinya, segelintir pemimpin yang memegang tampuk pemerintahan ataupun menteri dalam sesebuah kementerian misalnya dilantik bukan berasaskan merit, malahan dalam situasi yang lebih teruk, segelintir pihak menjadikan jawatan sebagai pertaruhan dan medan perebutan antara elit politik.
Ibn Taimiah menyebut perihal pelantikan pemimpin ini di dalam al-Siasah al-Syar’iyyah fi Islah al-Ra’i wa al-Ra’iyyah:
“Mereka yang memerintah sebahagian urusan umat Islam hendaklah terdiri daripada orang yang paling layak menyandangnya.”
Sabda Rasulullah SAW:
“Barangsiapa melantik seseorang sebagai pemimpin atau pegawai di dalam sebuah urusan sedangkan masih ada di kalangan mereka orang yang lebih layak menguruskan urusan masyarakat daripadanya, maka sesungguhnya dia telah mengkhianati Allah SWT dan Rasul-Nya.”
Kemudian, beliau menyambung:
“Hendaklah diketahui mereka yang paling layak menjawat sesuatu jawatan, hal ini kerana soal pemerintahan mempunyai dua rukun iaitu kompeten (quwwah) dan amanah.”
Kesukaran Menggabungkan Antara Kedua-dua Kriteria
Jika kita menelusuri sejarah terutamanya dalam kalangan para sahabat, kita akan mendapati bahawa amat sedikit yang memenuhi kedua-dua kriteria ini sekaligus, dalam masa sama ada segelintir yang bersifat dominan dalam salah satu kriteria berbanding yang lain. Perkara ini adalah lumrah kerana manusia selain Rasulullah SAW hakikatnya ada kelemahan dan kekurangan.
Dr Muhammad al-Mukhtar al-Syanqiti meletakkan sebilangan kaedah untuk menilai secara adil sejarah para sahabat, salah satunya ialah kaedah ketujuh dengan menerima realiti bahawasanya amat sedikit sifat amanah dan kuat terhimpun dalam diri seseorang.
Justeru, dalam konteks negara kita hari ini, pelantikan pemimpin dalam sesebuah kementerian misalnya hendaklah melihat kepada kesesuaian posisi tersebut dengan kepakaran, ilmu pengetahuan dan pengalamannya.
Berhubung hal ini, terdapat beberapa contoh dalam kalangan sahabat, antaranya ialah kisah masyhur berkenaan Abu Zar RA. Dalam Siyar A’lam al-Nubala’, al-Zahabi menyatakan:
“Meskipun memiliki tubuh badan yang sasa dan berani, Rasulullah SAW berkata kepada Abu Zar:
“Wahai Abu Zar, sesungguhnya aku melihat engkau lemah, dan aku juga mengasihi untuk memberi yang terbaik untuk engkau sepertimana keinginan aku sendiri. Engkau tidak akan mampu menjadi pemimpin ke atas dua orang, apatah lagi menjadi wali anak yatim.”
“Sabda Baginda ini memberi isyarat berkenaan lemahnya pandangan (atau pembuatan keputusan) pada diri Abu Zar. Hal ini kerana sekiranya beliau diamanahkan menjaga harta anak yatim, nescaya kesemua harta itu akan habis diinfaq ke jalan kebaikan, maka pasti akan miskinlah anak yatim tersebut! Diceritakan kepada kami juga bahawa beliau (Abu Zar) tidak mampu untuk menyimpan dua dinar atau dirham (matawang ketika itu).”
Justeru, jika dalam urusan pemeliharaan anak yatim pun ditekankan aspek ini, apatah lagi dalam urusan yang lebih besar, utama dan penting yang melibatkan masa depan negara dan ramai manusia.
Contoh kedua pula berkenaan sahabat bernama ‘Amru bin al- ‘As yang disifatkan oleh al-Zahabi beliau sebagai seorang gabenor Mesir yang terbaik pada zaman pemerintahan Khalifah Umar dan Uthman.
Beliau juga disifatkan mempunyai kriteria quwwah yang amat tinggi, namun elemen amanah terutama terhadap harta kebendaan dilihat kurang. Menurut al-Zahabi:
“Jika bukan kerana faktor kecintaannya terhadap dunia dan terjebaknya dalam urusan-urusan (berkaitan harta), maka pasti beliau amat layak menjadi khalifah. Ini kerana beliau lebih layak berbanding Mu’awiyah.”
Larangan Pelantikan Pemimpin Bukan Atas Dasar Merit
Saidina Umar al-Khattab pernah memperingatkan kepada kita:
“Sesiapa yang melantik seseorang kerana rasa sayang atau hubungan kekeluargaan, serta dia tidak melantiknya melainan kerana faktor tersebut sahaja, maka dia telah mengkhianati Allah, Rasul-Nya dan umat yang beriman.”
Melalui kenyataan yang diriwayatkand daripada Saidina Umar ini, kita dapat fahami bahawa pelantikan seseorang dalam sesebuah posisi perlulah berdasarkan merit, namun jika dilantik dalam kalangan yang tidak kompeten, tidak layak, tidak amanah, tidak jujur, ataupun lebih parah atas dasar kronisme, nepotisme, sogokan, timbal balik sokongan (scheme of things), maka kita amat risaukan risiko tiada keberkatan, tadbir urus negara menjadi caca merba, kehidupan rakyat semakin terhimpit dan sengsara, malahan berpotensi mengundang laknat Allah SWT.
Selain itu, kita juga dilarang daripada melantik pemimpin yang bersikap jahat, bodoh lagi sombong (jadong). Dr Fadl Murad berkata dalam karya beliau al-Muqaddimah fi Fiqh al-‘Asr:
“Diharamkan untuk melantik seorang yang bodoh, kerana urusan kepimpinan bersangkutan dengan maslahat umum, sedangkan orang bodoh tidak bertindak menurut kaca mata maslahat. Allah SWT telah mengharamkan pemberian harta kepada mereka (seperti dalam surah al-Nisa’ ayat 5), maka secara perbandingan yang lebih utama (qiyas awla) dilarang ke atas orang bodoh kerana ia berkait rapat dengan urusan umum yang melibatkan urusan harta, samada secara langsung ataupun sebagai faktor penyebab. Maka lebih utama larangan menyekat orang bodoh (untuk mengurus harta umum) berbanding pengurusan harta khusus (skala kecil).”
Sebagai kesimpulan, sesuatu jawatan yang melibatkan kepentingan umum rakyat dan juga kemaslahatan negara seharusnya mengambil berat dua aspek utama yang digariskan oleh dalil al-Qur’an dan hujah sokongan yang telah disentuh, bukan atas dasar kronisme, nepotisme, anugerah timbal balik sokongan, kuota parti-parti sokongan dan seumpamanya.
Jauh sekali untuk diberikan jawatan kepada mereka yang bodoh (umpamanya terbukti memalsukan latar belakang pendidikan), rasuah, pecah amanah dan langsung tiada kelayakan untuk mengendalikan urusan negara, sedangkan ada alternatif yang terbukti lebih berkelayakan dan kompeten.




