Penulis: Dr Sahul HM
Presiden sebuah parti yang memikul nama Bumiputera padanya dituduh di mahkamah atas kesalahan rasuah baru-baru ini. Ada pemimpin PN yang mendakwa, gelombang ‘Abah’ ini (juga dikenali dengan akronim Gelabah oleh sesetengah pihak) akan menjadi lebih besar berbanding gelombang Reformasi 1998. Benarkah? Cukuplah kita melihat kepada jumlah penyokong yang turun menzahirkan solidariti di Ibu Pejabat SPRM dan mahkamah tempoh hari, itu pun sudah mampu memberikan jawapan awal.
Walau apa pun, gegak gempitalah seantero negara dengan penafian, pekikan dan anjuran.
Penafian, katanya ini adalah pendakwaan terpilih oleh sang penguasa terhadap mereka. Mereka yang didakwa itu tiada salah apa-apa melainkan menerima derma daripada para penderma yang dermawan, itu sahaja.
Pekikan, dihimpun para penyokong dengan berteriak kerajaan zalim, hancur kerajaan. Tak mengapalah, ini juga perkara biasa yang dapat dilihat jika mana-mana ahli politik diheret ke mahkamah. Para penyokong akan berhimpun dan bersolidariti.
Anjuran pula. Maka dianjurkanlah oleh parti sekutu Presiden tersebut supaya ahlinya di seluruh negara mengadakan solat hajat dan bermunajat memohon pertolongan Allah.
Inilah yang kita ‘terkujat’ dan terloncat. Kita tak menafikan pertolongan Allah. Pastinya dalam segala kesukaran kita perlu kembali kepada Rabbul Jaleel untuk mengadu untung nasib. Tetapi di sini, melihat kepada perkataan yang dipropagandakan, puak ini menganggap mereka dizalimi dan bahawa negara ini sedang mengalami kehancuran.
Kehancuran apa, soalnya? Kehancuran kerana pimpinan mereka yang satu masa dahulu mengalu-alukan SPRM menyiasat jika ada salah laku? Bukankah mereka juga dahulu yang menyindir penguasa supaya tidak beretorika dan bermain persepsi? Jika ada salah, katanya mendabik dada, siasat dan dakwalah,. Hari ini, para pegawai penguat kuasa yang mereka sendiri pernah melantik ke puncak jawatan suatu masa dahulu sudah memulakan prosiding dan tindakan seperti yang diminta-minta. Kamu minta, kamu dapat!
Kita percaya dan kita hormati prinsip asas undang-undang, bahawa seseorang itu tidak bersalah sehinggalah ia dibuktikan bersalah. Tiada keraguan terhadap prinsip ini. Ini ialah asas bagi keadilan yang mendasari agama yang suci ini. Pada masa yang sama, kita juga disediakan akses terhadap fakta kes yang dibentangkan di mahkamah. Seperti kes Jana Wibawa yang sebelum ini, jelas berlakunya pemindahan wang ke dalam akaun sendiri orang yang didakwa di mahkamah tersebut. Itulah yang akan dihujahkan, didakwa dan dibela dalam mahkamah kelak. Kesnya nampak jelas dan terang, ibarat purmana yang disuluh lampu picit. Bukan berlaku dalam bilik, antara dua orang, yang tiada orang ketiga menontonnya. Ketika kes ini muncul di media, berduyun-duyunlah penyokong mereka mengaitkan kes liwat, pendakwaan terpilih, yang pernah dihadapkan terhadap PMX, yang sebahagian daripada mereka ini mungkin belum lahir, atau kalau sudah lahir pun mungkin masih belum baligh atau masih bodoh-bodoh alang untuk memahami perjalanan kes tersebut.
Sekian banyak badan antarabangsa, baik terkait kehakiman mahupun hak asasi manusia pada waktu itu melihat kes PMX sebagai benar-benar bermotif politik dan terdapat pelbagai keraguan yang ketara. Kita tak perlu belajar sampai ke Fakulti Undang-undang UCL atau UM untuk menyedari sekian banyak keraguan dan kepelikan yang meliputi kes tersebut: kaedah perolehan DNA yang meragukan, saksi-saksi penting tidak dipanggil memberi keterangan dan lain-lain kepelikan yang merupakan cebisan daripada kecelaruan yang melanda sistem kehakiman negara pada waktu itu.
Sementelahan pula kes PMX dahulu tergolong dalam jenayah syariah, melibatkan qazaf, manakala kes rasuah yang dituduh kini ialah kes sivil yang tidak perlukan kadar pembuktian ketat seperti yang disyaratkan dalam agama dalam jenayah syariah.
Maka adalah dangkal untuk mengaitkan dan membandingkan dua kes ini, satu bersifat peribadi dengan satu lagi yang melibatkan kepentingan negara. Puak ini dan penyokongnya tidak kisah dengan nilai ratusan juta yang bertukar tangan dalam akaun bank, tetapi lebih tertarik untuk menyelongkar cerita orang dalam kelambu. Kalau tiada orang dalam kelambu pun, diciptanya watak dengan kelibat bayang-bayang yang terlihat, bagi menyebarkan kebencian terhadap seteru politiknya.
Lebih memalukan dan menjengkelkan ialah penglibatan aktif para pemuka berwajah agama, berpakaian jubah dan lilitan serban di kepala, mempertahankan kejijikan sebegini. Sepatutnya, pada peringkat ini, serahkan kepada mahkamah dan para hakim yang arif bagi meneliti dan mendengar segala hujah yang berkaitan. Jika kepelikan dan keanehan berlaku, waktu itu barulah kita bangkit dan suarakan bantahan. Ini tidak, belum apa-apa sudah terloncat-loncat macam kera kena belacan. Belum apa-apa diheretnya sentimen bangsa dan dalil agama bagi mensucikan pertubuhan dan parti mereka.
Dalam perkembangan terkini, sang Presiden parti tersebut berkata ia merupakan derma terhadap parti. Isunya, berjuta-juta derma kepada parti pemerintah, apa tujuannya? Itu pula dalam keadaan ekonomi seluruh dunia tersengguk-sengguk dalam musim pandemik Covid-19, ada pula syarikat atau individu yang sanggup menderma berjuta-juta kepada sebuah parti politik. Sudah tentulah ada udang di sebalik batu. Kalau tidak berada-ada, masakan tempua bersarang rendah.
Inilah pentingnya undang-undang terkait pendanaan politik disegerakan. Politik negara kita perlu berevolusi setelah didedahkan tentang banyak skandal kewangan melibatkan parti pemerintah, dari kes 1MDB sampai Jana Wibawa ini. Di Amerika Syarikat, United Kingdom, India, Kanada dan Jerman, undang-undang berkaitan sudah digubal sejak pertengahan abad ke-20 dengan beberapa siri pindaan penambahbaikan dilakukan secara berterusan. Melalui undang-undang ini, mana-mana parti politik yang menerima dana daripada sesiapa sahaja wajib mendedahkan sumbernya. Dana itu perlu dijustifikasikan dan dibatasi jumlahnya. Tujuannya adalah supaya ia tidak menjadi satu ‘deposit’ atau ‘pelaburan’ oleh mana-mana pihak untuk memukat laba jika parti yang didanai itu menang pilihanraya kelak.
Sehingga 9 Mac yang lalu, perkembangan yang dihadapkan kepada umum menunjukkan terdapat usaha yang serius daripada kerajaan, dengan menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, sebelum membentangkan rang undang-undang berkaitan pendanaan politik ini dalam masa yang terdekat.
Inilah namanya iltizam politik. Jika penguasa mahu, tiada yang tidak mampu! Bagi kaki rasuah, ini berita buruk, tetapi bagi kita sang rakyat, ini berita baik yang perlu disambut dengan senyuman penuh harapan.




