Search
Close this search box.

KERAJAAN PERPADUAN TIDAK HUKUM PENGHINA ISLAM?

Penulis: Ahmad Amirul Rashid

Beberapa hari ini timbul isu yang tidak menyenangkan apabila beberapa penyampai radio swasta membuat kelakuan yang menimbulkan kemarahan penganut Hindu. Sebelum itu juga tular mengenai hukuman yang dikenakan kepada penjual jagung yang melakukan diskriminasi dan bahasa kasar terhadap masyarakat India. Pihak berkuasa telah mengambil tindakan terhadap kedua-dua insiden ini.

Namun terdapat sebilangan masyarakat, terutamanya yang beragama Islam mendakwa berlaku double-standard kerajaan dalam menangani insiden ini dengan insiden-insiden yang melibatkan penghinaan terhadap Islam. Benarkah dakwaan ini?

Dakwaan yang mengatakan tiada tindakan diambil oleh Kerajaan Perpaduan dalam isu melibatkan Islam dilihat tidak berpijak di atas fakta yang sahih. Menurut Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), seramai 61 individu telah ditahan pada tahun 2020 sehingga 2024 kerana menghina Islam dengan 52 daripadanya telah didakwa.

Angka ini turut menunjukkan Kerajaan Perpaduan yang mula terbentuk sejak hujung 2022 tidak berdiam diri terhadap kesalahan penghinaan terhadap agama Islam.

Di samping itu, dakwaan orang ramai bahawa syarikat KK Mart tidak diambil tindakan atas kesalahan penjualan stokin kalimah Allah juga tidak tepat. Pada Julai 2024, Pengasas KK Mart serta syarikat pembekal, masing-masing telah dikenakan denda sebanyak RM 60,000.00 atas kesalahan melukakan perasaan orang Islam.

Selain itu, diberikan juga beberapa bukti hukuman yang telah dikenakan terhadap perbuatan menghina agama Islam sejak Kerajaan Perpaduan memerintah sehingga sekarang:

Pada April 2023, seorang wanita yang menghina Islam di atas pentas komedi telah dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM 8,000.00.

Pada Mac 2024, seorang individu telah dijatuhkan hukuman penjara selama 6 bulan dan denda sebanyak RM 12,000.00 atas kesalahan menghina Islam.

Pada Mac 2024 juga, seorang lagi individu dikenakan hukuman penjara selama 6 bulan bersama denda sebanyak RM 15,000.00 atas kesalahan memuat naik komen berbaur penghinaan terhadap kalimah Allah di laman Facebook.

Pada Januari 2025, seorang individu juga telah ditahan polis setelah membuat kenyataan menghina Islam di aplikasi TikTok.

Pada Februari 2025, seorang lelaki berdepan dengan pertuduhan membuat kenyataan menghina agama Islam di Mahkamah Majistret Selayang.

Semua kes-kes yang dinyatakan ini hanyalah beberapa contoh daripada kes-kes yang sudah dikenakan hukuman dan yang sedang berjalan di peringkat pendakwaan mahkamah di bawah Kerajaan Perpaduan.
Dalam masa sama, dakwaan yang kononnya mengatakan bahawa kesalahan hina Islam melibatkan yang tidak diambil tindakan juga tidak sahih. Sehingga hari ini pihak polis sudahpun mengambil keterengan beberapa saksi kejadian di samping menunggu laporan forensik .

Tidak terkecuali dalam isu melibatkan seorang pelawak lelaki dan seorang wanita yang hangat sekarang. 18 Januari 2025 kesalahan dilakukan, setelah proses siasatan dilaksanakan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerima izin daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mengenakan tindakan kompaun sebanyak RM10,000 setiap seorang. Kandungan yang menyentuh sensitiviti itu juga telah diturunkan oleh Meta setelah permohonan daripada SKMM dibuat. Berapa lama masa yang diambil? Kira-kira sebulan lebih.

Adakah pendakwaan lambat bertindak?

Harus ditekankan di sini bahawa kerja-kerja menyediakan kertas pertuduhan terhadap sesuatu kes ini bukanlah perkara yang boleh dilakukan secara semborono bagi mengelakkan pelaku yang benar-benar bersalah terlepas daripada mendapat hukuman sewajarnya.

Sebagai contoh, wanita yang dikenakan hukuman atas kesalahan menghina Islam di pentas komedi, hanya dijatuhkan hukuman setelah hampir setahun selepas kesalahan itu dilakukan. Oleh sebab itu, orang ramai harus memberikan ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan sewajarnya dan elakkan daripada memberikan komentar mengikut emosi semata-mata.

Peranan Masyarakat Awam

Selain melapor terus kepada pihak polis, mulai Mei 2024, JAKIM juga telah memberikan ruang kepada orang ramai untuk menyampaikan aduan mengenai perbuatan menghina Islam melalui talian 017-3234533 di aplikasi WhatsApp ataupun melalui emel kepada aduan@islam.gov.my.

Talian aduan khas yang berfungsi selama 24 jam ini juga melibatkan kerjasama beberapa agensi lain termasuk Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri (JAIN), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC).

Ruang aduan tambahan ini juga menjadi bukti komitmen Kerajaan Perpaduan untuk mengesan dengan lebih aktif sebarang cubaan untuk menghina Islam. Orang ramai yang mempunyai bukti mengenai cubaan hina Islam ini, dijemput untuk sama-sama melaporkan.

Tulisan ringkas ini telah menjawab tuduhan beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab bahawa Kerajaan Perpaduan tidak mengambil tindakan terhadap individu-individu yang menghina Islam. Walhal secara faktanya, banyak kes penghinaan terhadap Islam sudahpun dikenakan tindakan di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan, di samping kes-kes lain yang masih lagi dalam proses perundangan.
Marilah sama-sama kita merenungi firman Allah di dalam ayat 6 Surah Al-Hujurat,

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya”

Selain menyelidik dan tabayyun, kita juga memerlukan lebih ramai golongan terpelajar dan pemimpin masyarakat yang memainkan peranan sebagai pemadam api berbanding mencurah minyak ke dalam api yang marak.

Berdasarkan statistik daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), 63.5% daripada rakyat Malaysia adalah beragama Islam, namun jumlah masyarakat bukan Islam juga adalah amat signifikan dengan 36.5% daripada keseluruhan rakyat Malaysia.

Sudah tentu dengan komposisi kaum dan agama yang rencam di Malaysia, ianya menjadi cabaran kepada kerajaan untuk mengekalkan kestabilan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat.

Isu-isu sensitif antara agama dan kaum akan datang dan pergi pada setiap zaman pemerintahan kerana negara kita adalah majmuk sebagaimana telah diterangkan. Sesiapa yang melakukan kesalahan, laporkan kepada pihak berkuasa dan serahkan kepada undang-undang untuk mengambil tindakan.

Jangan pula cuba mengambil kesempatan daripada isu-isu yang berlaku dengan menuduh yang bukan-bukan, contohnya menuduh penghina Islam tidak dihukum zaman Kerajaan Perpaduan, sedangkan saya sudah buktikan sebaliknya dalam tulisan ini.

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

ARTIKEL MENARIK

Ikuti Kami

Sertai Kami

Wawancara Menarik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *