Penulis: Izmil Amri
Kalau kita jenis yang melazimi drama Melayu berlatarkan pertelingkahan antara dua darjat, misalnya dua insan bertembung, jatuh cinta tetapi ditakdirkan tidak dapat bersama kerana salah satunya datang daripada keluarga kaya-raya; kita akan menemukan babak-babak cliche yang memaparkan orang kaya ini semua sedang mengambil angin petang sambil minum jus oren atau berdiri di tengah panas sambil pegang kayu golf dan berwacana tentang projek juta-juta.
‘Sembang projek juta-juta’ adalah kebiasaan elit Melayu. Tidak kira ia tergolong dalam kelas kuasawan atau usahawan bumiputera. “Papa nak Danish ambil alih bisnes papa.” Contohnya. Atau, “Tan Sri dah setuju. Tak lama lagi projek tu jalan lah.” Atau, “Tengku patut dapat lebih banyak lagi. Arwah lebih sayangkan Tengku!” Contoh la ni, contoh.
Satu lagi contoh dapat kita saksikan dalam skandal LCS (Littoral Combat Ship) atau kapal tempur pesisir yang meski sudah bertahun lama wang dibelanjakan, tetapi kapalnya sehingga hari ini masih tidak siap. Butir-butirnya membosankan, walaupun membawa kesan yang amat besar kepada kekuatan pertahanan tanah air.
Kontraktor yang bertanggungjawab membina kapal-kapal ini, Boustead Naval Shipyard ialah anak syarikat Boustead Holdings, syarikat yang mempunyai pegangan dalam beberapa industri termasuk petroleum serta perubatan, dan dimiliki sebahagian besar sahamnya oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP).
Enam buah kapal tempur masih belum nampak rupa, walaupun sebuah kapal olok-olok diperbuat daripada kayu dan plastik ‘berjaya’ dibina untuk dirasmikan pada tahun 2017. Tingkap kapal pun hanya petak-petak yang dicat hitam.
Skandal bernilai RM6 bilion itu didedahkan secara rasmi oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) dalam laporannya yang turut memetik mantan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Dato’ Sri Dr Abdul Aziz Jaafar. Mantan PTL tersebut memberi kesaksian tentang masalah-masalah perolehan, serta surat-surat yang dihantar namun langsung tidak diendahkan.
BNS ‘berjaya’ mendapat kontrak kapal ini secara rundingan terus. Jika rajin buat sedikit carian, kita akan menemukan pertalian antara BNS, Boustead Holdings, LTAT dan KWAP. Pertalian ini adalah seorang individu bernama Tan Sri Lodin Wok Kamarudin, yang berada dalam lembaga pengarah kesemua syarikat ini.
Tan Sri Lodin juga merupakan ahli lembaga pengarah syarikat bermasalah milik negara, 1MDB. Lodin juga duduk dalam lembaga syarikat Perimekar; yang turut terpalit skandal kapal selam Scorpene. Masih ingat Scorpene, Altantuya, Razak Baginda, dan tentunya boss sekalian penyamun, Najib Razak? Ya, mana mungkin kita lupa.
Cerita beli kapal ini ialah manifestasi bagaimana politik dan kekuasaan selalunya menjadi jalan untuk menjadi kaya-raya. Peluang merayap di koridor kuasa, apatah lagi di koridor Kementerian Pertahanan yang memuatkan markas-markas perhidmatan Angkatan Tentera; tentunya menjadi ‘port’ untuk bersembang ‘bisnes’, sambil ajak main golf di hujung minggu.
Demikianlah kelaziman politik elit Melayu. Naratifnya selalu sama sahaja, seperti yang boleh kita tonton dalam drama-drama yang disebut awal tadi. Usaha untuk membina semula naratif yang sudah bertapak kukuh ini, hampir pasti merupakan usaha yang akan jadi kerja tak siap. Seperti juga kapal-kapal LCS.
Kerja tak siap
Sebenarnya kerja ‘membina semula naratif politik Melayu’ ialah usaha yang telah dibuat sepanjang beberapa dekad lampau. Ini bukan benda baharu. Hatta tidak melampau kalau kita katakan bahawa sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka pun sudah ada. Sewaktu Hang Jebat mengamuk sampai Sultan Melaka harus pindah ke rumah Bendahara, naratif politik Melayu turut beranjak. Begitu juga ketika Sultan Mahmud mangkat dijulang. Tema-tema besar politik Melayu yang feudal fitrahnya habis cuba diruntuhkan.
Namun hakikatnya, politik Melayu ialah politik feudal. Politik istana, mudah cerita. Ini sebabnya kenapa pentadbiran negara disebut ‘kerajaan’. Padahal raja tidak mentadbir. Kerajaan, dalam bahasa Inggeris disebut ‘kingdom’. Apa kena mengena ‘kingdom’ dengan kerja pentadbiran hari demi hari di negara ini? Sebenarnya tak ada pun. Yang ada ialah ilusi, dan budaya mengangkat ahli politik sebagai perantara raja.
Justeru, kita melihat bagaimana benda yang disebut ‘kerajaan’ itu ialah amalan politik dan sistem pentadbiran feudal Melayu. Dahulu, pusat pentabiran ialah balairung istana. Raja ialah ketua eksekutif, ketua negara, ketua hakim, ketua agama, ketua segala ketua.
Apabila kerja mentadbir ini difaraidkan kepada Umno, sebuah parti politik elit Melayu yang lahir dari rahim istana; amalan feudal ini diteruskan. Rumah-rumah pemimpin Umno dibina dengan konsep istana. Tetamu yang bertandang diberi makan yang sedap-sedap, supaya taat dan setia mereka itu terhadap ketua masing-masing tiada goyah barang sedikit pun.
Memberi makan anak buah ialah budaya politik elit Melayu yang tidak boleh dibuang. Paling kurang karipap sepiring, dengan air teh. Amalan ini berlanjutan hingga ke mesyuarat-mesyuarat pejabat kerajaan.
Amalan memberi makan anah buah inilah antara masalah yang menjadikan usaha membuang korupsi dan permainan wang ringgit daripada kaum elit politik Melayu sebagai kerja mencangkul angin. Kerja yang bukan sahaja tidak akan pernah selesai, bahkan dangkal dan sia-sia.
Lihat sahaja bagaimana kerja politik parti-parti Melayu hari ini (sudah ada banyak parti) seringkali terkandas akibat tidak memberi makan anak buah. “Paling kurang hulur la rokok sekotak, bagi duit minyak.” Contohnya lagi. Akibat tiada benda ‘dihulur’ maka kerja tak jalan, atau ditinggalkan separuh jalan. Inilah realitinya.
‘Vicious cycle’, kata orang kampung saya. Pemimpin beri makan anak buah, anak buah makan duit pemimpin, pemimpin terpaksa cari lebih banyak sumber wang ringgit untuk jaga anak buah, anak buah pula makan duit tepi dengan pemimpin lain; masing-masing gadai maruah memberi dan mengambil rasuah untuk kekal dalam kelas kuasawan, dan begitulah seterusnya. Jadi ke mana akhirnya trend feudal elit politik Melayu? Entah. Saya pun tak tahu.
Cuma yang saya tahu adalah hari ini semakin ramai orang Melayu sedang cuba untuk menjauhi kerangka politik feudal sedemikian. Meski masih ada sejumlah besar yang kekal menjadi faktor politik orang Melayu tidak berubah sejak sekian lama.
Tanah Air
Sebut tentang faktor politik orang Melayu tidak berubah-ubah kita harus melihat kembali kepada cara orang Melayu mengukur kekuasaannya. Kekuasaan Melayu, dan kerajaan Melayu; sejak dahulu sehingga kini adalah berbentuk teritorial.
Ini bermaksud bahawa orang Melayu mementingkan sempadan, dan cukup pantang apabila sempadan kekuasaannya itu diganggu gugat. Melayu juga satu-satunya kaum yang merujuk kawasan tempat tinggalnya sebagai tanah air. Bukan sahaja tanah, tempat ia mendirikan rumah, bercucuk tanam dan menternak lembu kambing; malah air, sumber ia membersihkan diri, menyediakan makanan, dan laluan ia berpergian dari satu tempat ke suatu tempat yang lain. Tidak kiralah sungai atau pun laut.
Maka secara fitrahnya, orang Melayu itu sangat sensitif dengan sempadan tanah airnya. Justeru apabila ia perlu dikongsi dengan ‘orang lain’, ia akan rasa tidak selesa. Ini sebabnya kenapa sehingga 2022 pun masih ada keperluan untuk elit politik Melayu menubuhkan parti Melayu bagi menjaga kepentingan serta mendamaikan keresahan orang Melayu daripada ancaman ‘orang lain’.
Mentaliti inilah yang menyukarkan perubahan naratif politik Melayu yang feudal sifatnya daripada menjadi lebih demokratik dan merakyat. Ia mengehadkan politik Melayu daripada melangkau jauh meninggalkan politik teritorialkepada politik idea, kerana politik idea ialah politik yang dipenuhi nilai-nilai kontra kepada nilai-nilai politik feudal Melayu.
Lalu bagaimanakah naratif politik Melayu ini mahu ditulis semula? Bagaimana perubahan boleh dihadirkan dalam kerangka yang mendewakan pemimpin, yang kalau boleh bukan sahaja tangannya mahu dicium, kaki dan tapak kasutnya juga mahu dijilat. Apatah lagi kalau pemimpin itu menjaga betul anak-anak buahnya, dan memberi makan yang mewah-mewah kepada mereka.
Di sinilah titik buntu kita. Di sini lah sangkutnya kerja kita untuk membenih perubahan. Kerana jauh di sudut hati yang paling dalam, kita pun sebenarnya feudal juga. Dan kita selesa dalam keadaan itu. Lalu kita tiada mahu kepompong kita itu digugat. Barangkali sehingga ada Hang Jebat yang berani mengamuk lagi, dan mendobrak keselesaan elit politik ini semua.
Selagi tidak ada yang mengamuk, selagi itu lah perjuangan merobah naratif politik Melayu akan berakhir seperti kapal LCS yang tak siap-siap.




