Search
Close this search box.

Ilmuwan dan Persoalan Rasuah

Penulis: Luqman Tarmizi

Saya cuba memahami kekecewaan dan kemarahan warga netizen terhadap apa yang mereka lihat sebagai sikap pasif para ulama dan ilmuwan tentang isu rasuah dan salahguna kuasa yang terpalit ke atas agensi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini. Di sebalik sikap keterlaluan sebahagian pihak yang menghambur makian dan melemparkan tuduhan melulu terhadap para ulama dan sarjana, saya fikir sikap adil dan insaf ialah sikap yang terbaik.

Adakah kita ingin mendakwa para ulama dan sarjana kita tidak bercakap langsung soal rasuah? Jelas itu tidak benar. Banyak buku, makalah soal jawab hukum yang telah mereka hasilkan yang menekankan betapa kejinya amalan rasuah dan akibatnya terhadap masyarakat dan negara.

Adakah kita menggesa supaya mereka bercakap soal rasuah sepanjang masa? Setiap hantaran di media sosial wajib berbicara soal rasuah dan langsung tidak boleh membincangkan isu yang dilihat kecil dan remeh? Tentunya tidak. Almarhum Prof Syed Husein Alattas yang mengarang karya penting tentang rasuah pun tidak sepanjang masa dua puluh empat jam sehari menulis tentang rasuah.

Adakah kita mahu mereka membahas soal rasuah secara mendalam yang merangkumi persoalan teknikal yang rumit, sekaligus mencadangkan solusi yang boleh menghapuskan rasuah hingga ke akar umbi? Pastinya tidak. Bukan semua orang ada masa dan kepakaran.

Adakah kita kata akan tergamak menuduh mereka menghalalkan rasuah? Jauh sekali. Mereka golongan alim ilmu agama, terpelajar dan bijak pandai, pastinya arif benar bahawa rasuah itu perbuatan terlaknat.

Tapi saya fikir tidak salah jika masyarakat ingin supaya golongan ulama dan ilmuwan ini berperanan dengan lebih aktif dan bersuara dengan lebih vokal dan agresif. Suka atau tidak, kita perlu menerima realiti bahawa suara dan teguran ulama serta ilmuwan dalam isu rasuah sememangnya amat nadir kedengaran; jika ada pun hanya sayup-sayup dari kejauhan dan dibuat dengan amat berhati-hati, seperti kelihatannya tidak mahu mengguris hati pihak yang ditegur. Ada yang menggunakan alasan ‘tidak mahu kenyataan dipolitikkan’. Mungkin juga kerana mahu menjaga hubungan baik dengan semua pihak. Walau apa jua alasan yang diberi, saya fikir ia tidaklah lebih penting berbanding memelihara institusi penting negara daripada dirosakkan oleh tangan-tangan jahat bernafsu serakah.

Dulu kita biasa dengar gelaran ‘ulama terompah’ yang ditujukan terhadap golongan agamawan kerajaan yang didakwa hanya berperanan untuk membaca doa di majlis-majlis rasmi. Sekarang saya fikir peranan mereka telah meningkat dengan pesat. Namun ruang penambahbaikan sentiasa ada, khususnya yang berkait dengan polisi-polisi dan halatuju negara.

Sejujurnya saya bimbang peranan ulama dan ilmuwan di negara ini akan dihina dan dipandang remeh, yang diistilahkan oleh ahli falsafah tersohor Itali Antonio Gramsci sebagai ‘experts in legitimation’. Tugas mereka tidak lebih sekadar memberi keabsahan kepada polisi kerajaan atau tindak-tanduk pihak berkuasa, dengan hiasan nas-nas agama, terminologi ilmu dan konsep-konsep bombastik supaya kedengaran, atau kelihatan ilmiah, muluk dan patuh syariah.

Malangnya hal ini telah, sedang dan kemungkinan akan terus berlangsung. Tanggal 19 Jun 2020, satu kenyataan media oleh 115 ilmuwan PHD dalam pelbagai bidang pengajian telah melaungkan sokongan yang tidak berbelah-bagi kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang baharu dilantik ketika itu. Sejurus pelantikan beliau juga, seorang ulama tersohor segera menerbitkan makalah yang menyeru ketaatan kepada pemimpin, bahkan mecela pula perbuatan buruk sangka terhadap pemerintah, dengan mendakwa ia sebagai hasutan syaitan!

Pada 12 Januari 2021, keluar pula kenyataan media yang menghimpunkan 222 ‘intelektual, profesor dan pemegang PHD’ yang menzahirkan sokongan terhadap proklamasi darurat, disusuli pula oleh penghasilan majalah oleh ilmuwan ternama yang mendokong proklamasi tersebut dengan sokongan dalil-dalil agama dan kaedah-kaedah syarak.

Begitu pantas sekali kenyataan bersama dikeluarkan terkait dua perkara ini dikeluarkan. Tapi apabila isu bersangkut dengan integriti institusi membanteras rasuah negara menjadi pertikaian, di mana pendirian mereka? Tatkala isu 1MDB mula meletus dahulu, adakah ada kenyataan mendesak kerajaan bersikap telus? Yang ada hanyalah kenyataan menolak campur tangan asing dalam isu tersebut, yang sebenarnya merupakan propaganda pihak yang terlibat bagi mengaburi masyarakat daripada fokus terhadap isu sebenar.

Justeru apa yang kita inginkan daripada para ulama dan ilmuwan ini? Saya fikir tidak banyak, dan tidaklah terlalu membebankan hingga tidak mampu dipikul oleh mereka. Masyarakat tidaklah terlalu mengharapkan golongan ini menyinsing jubah dan mencabut tahi leher dan sama-sama berpanas di tengah jalan menuntut keadilan ditegakkan (kalau ada, Alhamdulillah!) Rakyat juga tidak menyuruh kesemua ulama dan ilmuwan ini meletakkan jawatan daripada posisi yang disandang dalam kerajaan untuk menzahirkan ketegasan dan sikap berprinsip yang enggan bertolak ansur dengan sebarang unsur rasuah dan penyelewengan.

Rakyat mahu supaya golongan ini berhenti memberi keabsahan dan justifikasi agama terhadap penyelewengan, ketidakadilan dan kelemahan tadbir urus yang berlaku. Rakyat tidak mahu ulama dan ilmuwan terlalu rapat dengan penguasa, hingga seolah-olah mengaburi mata mereka daripada melihat segala kebejatan yang berlaku.

Rakyat mahu ilmuwan bertegas dan mengambil sikap apabila tiba masanya; isu yang berlaku pada 2022 memerlukan kepada pendirian berprinsip dan ketegasan pada tahun 2022, bukannya apabila didesak, cuba mengelak dan beralasan bahawa isu itu telah diulas bertahun-tahun dahulu. Rakyat mahu supaya satu kenyataan tegas diambil yang mendesak supaya siasatan yang telus dijalankan, keadilan mesti ditegakkan dan dilihat bahawa ia ditegakkan (justice must be done, and it must be seen to be done).

Rakyat mendambakan kesatuan suara para ulama dan ilmuwan yang menggegar pihak berkuasa, yang menggoncang hati dan minda penguasa korup; bukannya kenyataan-kenyataan muluk yang penuh dengan ayat-ayat berbentuk umum dan cliché. Rakyat mahu ulama dan ilmuwan tegas mempertahankan institusi yang jelas sedang dicerobohi, bukannya sekadar menulis makalah yang ada kaitan sipi-sipi dengan isu yang sedang berlaku.

Akhir kata, insan yang kerdil ini dengan rendah hati memohon para ilmuwan kita supaya menerima teguran masyarakat dengan dada yang lapang, jangan terlalu banyak beralasan dan bersilat dengan pelbagai ‘mental gymnastics’ bagi menjustifikasikan sikap pasif dalam menghadapi barah kerosakan institusi yang menimpa negara sekarang.

Susah nak menang di kawasan Segamat,

Cubalah intai di Parlimen Batu Pahat.

Ilmuwan bermaruah dijulang rakyat,

Ulama berprinsip diangkat martabat.

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

ARTIKEL MENARIK

Ikuti Kami

Sertai Kami

Wawancara Menarik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *