Penulis: Luqman Tarmizi
Rentetan penghakiman oleh Mahkamah Persekutuan ke atas mantan Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak (NR) baru-baru ini, masyarakat mula mengeluarkan pelbagai reaksi dan pendapat. Walau apapun, hakikat yang tidak boleh dinafikan adalah beliau telah melalui proses mahkamah yang cukup panjang dan melelahkan (buat beliau sendiri dan kita yang menyaksikan), serta dijatuhkan hukuman oleh sembilan orang hakim daripada tiga peringkat mahkamah. Fakta bahawa beliau sememangnya bersalah tidak boleh dinafikan.
Lalu apa seterusnya? Apa sikap dan pendirian yang perlu kita ambil? Menurut pandangan saya sendiri, ada sekurang-kurangnya empat sikap yang perlu diambil oleh seorang Muslim tatkala menerima berita pemenjaraan beliau ini:
1. Syukur kerana Allah SWT memberi pengajaran terhadap orang zalim
Firman Allah SWT:
فَقُطِعَ دابِرُ الْقَوْمِ الَّذِينَ ظَلَمُوا وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعالَمِينَ
Maksudnya: Lalu kaum yang zalim itu dibinasakan sehingga terputus keturunannya. Dan (dengan itu bersyukurlah kerana musnahnya kezaliman, dengan menyebut): “Segala puji tertentu bagi Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian Alam”.
Menurut al-Zamakhsyari – seorang ulama tafsir terkenal, ayat ini merupakan satu pengisytiharan daripada Allah SWT akan kewajipan menzahirkan kesyukuran tatkala orang zalim dibinasakan, kerana ia merupakan sebesar-besar nikmat kurniaan-Nya.
Ibn Sa‘ad pula meriwayatkan dalam al-Tabaqat beliau, bahawa tatkala Hammad bin Abu Sulaiman menyampaikan berita gembira akan kematian al-Hajjaj bin Yusuf al-Thaqafi (seorang gabenor zalim pada zaman Dinasti Umayyah) kepada Ibrahim al-Nakha‘ie, beliau telah sujud kerana terlalu gembira.
Jika kebinasaan atau kematian orang zalim pun kita dibenarkan – bahkan dituntut – untuk bersyukur dan bergembira, maka apatah lagi jika orang zalim itu sekadar dipenjara dan didenda, serta dikenakan hukuman yang setimpal pula dengan jenayah yang dilakukan?
2. Gembira kerana keadilan ditegakkan dan kejahatan dikalahkan
Firman Allah SWT:
إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَيَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ ۚ
Maksudnya: Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji, mungkar dan kezaliman.
Seorang penjenayah dihukum bersalah dan dijatuhkan hukuman. Itulah keadilan. Jenayah rasuah dan salah guna kuasa dicegah. Itulah natijah amar makruf nahi munkar. Maka tatkala kesemua perkara ini menjadi realiti, masakan kita sebagai rakyat tidak gembira? Bukankah gembira kerana keadilan tertegak dan kejahatan terhalang itu merupakan tanda keimanan?
Rasulullah SAW juga pernah bersabda:
اللَّهُمَّ مَنْ وَلِيَ مِنْ أَمْرِ أُمَّتِي شَيْئًا فَشَقَّ عَلَيْهِمْ فَاشْقُقْ عَلَيْهِ
Maksudnya: Ya Allah, jika pemimpin kepada umatku menyusahkan rakyatnya, maka Engkau timpakanlah kesusahan ke atasnya!
Sahih Muslim (1828)
Mengenangkan banyaknya kerosakan yang dilakukan, bukankah ia satu yang menggembirakan apabila doa Rasulullah SAW ke atas pemimpin yang menyusahkan rakyat itu dimakbulkan Tuhan?
3. Menguatkan keazaman untuk terus melawan rasuah
Rasuah ialah akar kepada kerosakan dalam sesebuah negara. Syed Hussein Alatas dalam bukunya Rasuah: Sifat, Sebab dan Fungsi telah memetik tulisan Sari Mehmed Pasha, Bendahara Kerajaan Turki pada abad ke-17 Masihi mengenai rasuah:
“Penyuapan adalah biang keladi dan akar segala pelanggaran hukum dan kewenang-wenangan, sumber dan landasan segala macam gangguan dan benih-benih pemberontakan, kejahatan dan bencana yang paling besar. Tidak ada yang membawa bencana lebih besar bagi rakyat negara Islam atau yang lebih merosak sendi-sendi agama dan pemerintahan daripada rasuah yang tidak ada habis-habisnya. Tidak ada penyebab ketidakadilan dan kekejaman yang lebih besar daripada rasuah, kerana penyuapan menghancurkan baik iman mahupun negara.”
Justeru kemenangan ke atas jenayah rasuah ini perlu diraikan, serta menjadi pemangkin semangat untuk kita memburu gerombolan perasuah dan tali-barut mereka hingga ke lubang cacing. Syed Hussein Alatas dalam karya yang sama merakamkan pandangan beliau antara langkah yang wajib diambil untuk membanteras rasuah:
“…membangkitkan sebanyak mungkin orang untuk melawan rasuah, membangunkan kesedaran intelektual melawan rasuah, memperingatkan para pemuda akan bahaya rasuah bagi masyarakat manusia, menjadikan rasuah sebagai inti percakapan, membuang rasa hormat dan kepercayaan kepada orang yang rasuah, menghubungkan rasuah mereka dengan masalah-masalah kenegaraan, dan menulis sebanyak mungkin tentang rasuah.”
Bahaskan isu rasuah pada tiap kesempatan, samada secara serius mahupun santai. Jangan beri ruang kepada perasuah ini untuk bernafas, bangkitkan kesedaran melawan rasuah agar mereka ini terus terhimpit dan tersudut ke dinding pengadilan.
Inilah sikap yang perlu kita ambil tatkala mendapat berita seorang perasuah besar menerima hukuman. Bukannya dengan mudah berpuas hati meskipun dia baru saja dipenjara beberapa malam, atau menyeru untuk memberi kemaafan sedangkan empunya badan tidak pernah mengaku salah, apatah lagi menyesali perbuatannya.
4. Terus pertahan dan perkasakan institusi utama negara
Mengapa sesebuah institusi perlu dipertahankan? Kerana ia merupakan senjata dalam melawan tirani dan kediktatoran. Tanpa kebebasan dan integriti institusi sebagai badan pengawas, kerakusan penguasa dan golongan elit tidak akan mampu dibendung.
Petunjuk Nabawi mengajar kita betapa pengasingan kuasa (separation of power) itu amat perlu diberi perhatian. Meskipun doktrin tersebut tidak wujud pada zaman Rasulullah SAW – memandangkan Baginda merupakan ketua negara merangkap hakim tertinggi – namun Baginda tetap sedar akan tanggungjawab mengasingkan kedua-dua bidang kuasa tersebut.
Tatkala ada sebahagian sahabat Baginda yang cuba memohon ‘pengampunan diraja’ bagi pihak salah seorang anggota kabilah mereka yang melakukan jenayah, apa jawapan Baginda? “Jika anakku Fatimah sekalipun yang mencuri, nescaya aku sendiri akan memotong tangannya!”
Imbas kembali pra-2018, NR sebagai Perdana Menteri ketika itu berdepan tekanan daripada segenap segi. SPRM dan Pejabat Peguam Negara mencapai kata sepakat untuk memulakan kertas pendakwaan ke atas beliau atas pertuduhan rasuah dan salah guna kuasa.
Apa tindakan beliau? Peguam Negara dipecat serta-merta, dan dilarang daripada membawa keluar sebarang dokumen daripada pejabatnya. Pegawai SPRM yang terlibat dalam penyiasatan telah dipindahkan sebelum kertas siasatan disempurnakan, dan wujud dakwaan mereka diugut dan diancam.[1]
Kali ini episod hampir sama berulang, yang menyaksikan institusi kehakiman pula ditohmah dan dicerca habis-habisan. Prosedur kehakiman dan kemuliaan mahkamah dicabul sesuka hati. Ketua Hakim Negara ditohmah sebagai bias dan dipengaruhi suami.
“It is institutions that help us to preserve decency. They need our help as well…..choose an institution you care about—a court, a newspaper, a law, a labor union—and take its side.” – Timothy Snyder dalam On Tyranny
Jalan panjang
Sikap-sikap ini sudah pasti tidak terhad dalam kes melibatkan NR sahaja. Kita masih punya senarai panjang politikus yang sedang dibicarakan, atau yang akan dibawa ke muka pengadilan atas pertuduhan merompak wang rakyat sepanjang mereka berkuasa.
Maka oleh kerana itu, pemenjaraan NR ini tidak boleh dianggap titik kemuncak dalam perjuangan kita melawan rasuah, bahkan ia merupakan titik mula dalam perjalanan panjang menuju ke arah negara yang adil, bersih dan diberkati.
[1] Rujuk laporan-laporan berikut:
https://www.astroawani.com/berita-malaysia/pengarah-operasi-khas-sprm-dipindahkan-ke-jpm-68500
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/05/428811/saya-hampir-mati-dalam-kes-ini-mohd-shukri
https://www.astroawani.com/berita-malaysia/najib-arah-saya-pecat-gani-patail-ali-hamsa-223093




