Penulis: Izmil Amri
Pada suatu masa dahulu, saya pernah kehilangan kerja tanpa kemungkinan menemukan pekerjaan baharu. Dalam satu jam pertama diberikan notis berhenti, saya bertindak merancang kehidupan tanpa tempat berteduh.
Saya fikirkan bagaimana tempat duduk belakang kereta Proton Saga yang belum habis bayar itu boleh dijadikan tempat tidur.
Saya fikirkan juga apakah harta punya yang perlu saya buang, kerana tidak mungkin kesemuanya sekali boleh saya muatkan dalam ruang letak barang yang tidaklah begitu luas. Pakaian harian boleh duduk di kerusi penumpang depan. Tandas, boleh tumpang stesen minyak atau masjid di mana-mana.
Makanan boleh dicatu. Sehari sekali pun cukup. Nasi selambak seperti kebiasaan buruh migran, digaul dengan sedikit sambal dan kicap ABC pun sudah okay. Air kosong percuma, kalau makan hanya di gerai nasi padang tepi jalan, seperti buruh migran juga.
Demikian mungkin kesusahan yang saya hadapi pada waktu itu. Mujurlah saya ada kawan-kawan yang baik, maka saya tidak sempat hidup terseksa. Namun sejam dua yang pertama itu, akal saya memang terdera. Mampu atau tidak hidup miskin di tengah bandar?
Cerita hidup miskin di tengah bandar inilah yang menjadi tajuk besar filem arahan Muzzamer Rahman, ‘Prebet Sapu’ yang ditayangkan di tengah berlangsungnya bencana banjir besar di beberapa negeri di tanah air.
Sambil karya lakonan Amerul Affendi itu menyorot jurang ekonomi golongan kayangan dan murbawan di celahan kota metropolitan, kita melihat realiti masyarakat yang ditenggelami air berdepan lakonan kluster kayangan yang datang menaiki sampan dipenuhi jurugambar dan pengawal peribadi, sekadar melintas dan melayangkan senyum kambing sebagai ‘content’ media sosial masing-masing.
‘Prebet Sapu’ menawarkan realiti dalam lakonan, supaya sengsara marhaen boleh dikumpulkan dalam sela masa satu jam lebih sikit untuk dihadam orang ramai; kritik sosial yang mengajak massa rakyat berfikir. Bukan sekadar menonton filem buat menghabiskan masa. Ini filem yang mendorong penontonnya untuk melihat realiti di luar panggung dengan sudut pandang yang baharu. Ini filem yang mengajar empati, sambil berusaha memupuk kesedaran politik sedikit sebanyak.
“Siapa pun menang, kita tetap macam ni juga”
Dalam babak pertama Prebet Sapu, kelihatan watak utamanya sedang memanjat masuk ke dalam lubang kubur yang baru digali. Ada yang mengulas bagaimana manusia itu bermula kehidupannya keluar dari liang yang gelap gelita, dan pada akhirnya juga kembali ke dalam liang yang gelap gelita. Ulasan ini memang makan dalam.
Tetapi gelita itu tidak meninggalkan kita. Ada antara masyarakat kita yang hidup dalam gelita, tanpa sekelumit harapan untuk memajukan ekonomi diri dan keluarga, malah tertekan dengan tuntutan kehidupan lantaran keadaan ekonomi, politik dan sosial yang begitu menduga.
Tema ekoposial (ekonomi politik sosial) ialah tema utama Prebet Sapu. Ia mengajar kita tentang demokrasi yang kadang-kadang bukan soal kehendak majoriti semata-mata. Demokrasi juga ialah soal mengangkat keperluan rakyat kecil, kerana rakyat kecil itulah punca yang memberi mandat kepada sang wakil yang dipilih dengan sekeping kertas bertanda pangkah.
Namun menurut Prebet Sapu, siapa pun yang menang, “kita tetap macam ni juga.” Ini pun deep kerana ia mempersoal setiap agenda mereka yang dengan berani menawarkan diri untuk menjadi pemimpin masyarakat. Persoalan penting buat masa ini, apatah lagi ketika jauh di Selatan sana ada orang telah membubarkan Dewan Negeri untuk mengadakan pilihan raya negeri; dengan alasan untuk mendapatkan mandat rakyat.
Demokrasi, dalam konteks ini telah dijadikan tebusan. Dua tahun selepas Langkah Sheraton, pemain politik negeri Johor sedang cuba bermain lagi dengan demokrasi, di saat keyakinan masyarakat terhadap pilihan raya dan hasil daripadanya berada di tahap yang sangat rendah. Undi orang lain, orang lain pula yang berjaya lolos melalui pintu belakang dan berjaya mengambil alih kerajaan. Setakat ini, Johor sudah tiga kali menukar menteri besar sejak PRU14.
Tetapi itulah. Berapa kerat orang politik yang menagih undi ini betul-betul pernah hidup susah seperti para marhaen yang memberi undi kepadanya?
Kalau diikutkan Prebet Sapu, orang politik itu sesuci mana pun ia; akhirnya tewas kepada korupsi, bukan setakat suapan wang ringgit, malah gaya hidup mewah dan godaan moral juga. Lantas lupa dengan tanggungjawab dan mandat yang dirayunya daripada pengundi. Kalau boleh dipikul kerusi roda pengundi dari rumah sampai ke pusat buang undi, pasti akan dilakukannya.
Tetapi apa alternatif kepada politik penuh nista seperti ini? Apa pilihannya bila berdepan permainan politik jahat yang penuh lakonan dan tipu daya hanya untuk mendapatkan laba buat diri sendiri dan kawan-kawan yang dia suka?
Demokrasi senjata marhaen
Di sini kita perlu menyedari bagaimana kita sebagai rakyat mempunyai kuasa, bukan setakat untuk memilih tetapi juga melengser ahli politik yang kita tidak suka.
Ada satu babak dalam Prebet Sapu yang menampilkan Sharifah Amani sebagai seorang penumpang e-hailing. Babak ini menarik bukan hanya kerana kemunculan cameo beliau, tetapi juga kerana ia menuntut kita berfikir tentang kuasa untuk melawan penipuan.
Dalam babak itu, ketika sang penumpang menyedari bahawa kenderaan yang dipandu watak Amerul Affendi tidak sepatutnya dijadikan kenderaan e-hailing; ia bertindak berani untuk tidak dibohongi sebuah sistem korup yang membolehkan pemandu tanpa lesen dan memandu kenderaan lanjut usia.
Inilah dia demokrasi tuan puan sekalian. Bukan hanya soal siapa yang dapat kuasa dan boleh buat apa yang dia suka. Bukan soal suara majoriti semata.
Demokrasi ialah soal keterlibatan kita, dengan semangat dan keberanian untuk berkata ya dan tidak terhadap apa sahaja. Demokrasi ialah kesanggupan untuk bersuara menyatakan kebenaran, menuntut keadilan dan menyatakan setiakawan.
Demokrasi ialah hak yang tidak boleh dinafikan. Termasuk hak untuk bikin filem dan memuatkan watak ahli politik yang namanya Bijan Kazar, tanpa sekelumit rasa takut.
Ya, itu lah dia. Demokrasi ialah kebebasan daripada kebimbangan dan rasa takut. Selagi mana itu tidak kita temukan, teruskan berjuang.




