Penulis: Tengku Ameer Faiqal
Mukadimah
Baru-baru ini Majlis Fatwa Kebangsaan (atau nama penuhnya Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia) telah mengeluarkan satu fatwa yang mengharamkan 12 judul buku terkini. Dalam senarai tersebut, terdapat beberapa buku yang menjadi buah mulut masyarakat dek kerana ‘kelarisan’ wacana yang wujud berkaitan dengannya sebelum pengharamannya.
Larangan tersebut bukanlah pengharaman kali pertama yang dikeluarkan oleh JAKIM, tetapi merupakan antara siri-siri pengharaman buku yang telah dikeluarkan yang menyaksikan ratusan judul yang telah diharamkan untuk penyebaran baik secara fizikal mahupun digital, baik Bahasa Melayu mahupun Bahasa Inggeris. Rasional pengharaman tersebut secara umumnya ialah disebabkan terdapat percanggahan dengan akidah, syari’ah dan akhlak yang diamalkan di Malaysia. Justeru, kita boleh dapati dalam senarai buku yang pernah diharamkan sebelum ini terdiri daripada judul-judul buku ajaran sesat seperti terbitan Al-Arqam dan kelompok Ahmadiyah, judul-judul yang dihasilkan oleh aliran bukan arus perdana seperti Salafiah, Syi’ah dan lain-lain, serta buku-buku tulisan orientalis seperti Karen Armstrong, W. Montgomery Watt dan sebagainya.
Disebabkan fatwa MKI tidak ada ‘legal-binding’ maka fatwa ini, untuk dikuatkuasakan, perlu diwartakan di peringkat negeri atau melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk diambil tindakan lanjut. Sekiranya fatwa tersebut diwartakan di peringkat negeri, maka penguatkuasaan boleh dilakukan oleh Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) ataupun sekiranya dipertimbang oleh KDN maka diambil tindakan oleh KDN selaras dengan bidang kuasa, dalam fatwa pengharaman buku terkini tersebut, fatwa tersebut telah diusulkan kepada KDN bagi pertimbangan tindakan lanjutan terutama penguatkuasaan larangan tersebut. Dalam erti kata lain, resolusi fatwa MKI tersebut merupakan ‘nasihat’ atau ‘cadangan’ yang belum boleh dikuatkuasakan selagi tidak diwartakan atau dipertimbang oleh kementerian yang berkaitan.
Senarai buku-buku yang diharamkan yang telah dikeluarkan oleh JAKIM / MKI tempoh hari mengundang pelbagai reaksi daripada masyarakat awam terutama golongan agamawan dan intelektual. Antara mereka ada yang menyambut baik kerana menurut mereka, buku-buku yang tersenarai tersebut memang bermasalah dan kontroversi kerana sebahagiannya mendukung kefahaman yang tidak selari dengan pegangan arus perdana. Manakala sebahagian daripada buku tersebut merupakan buku-buku yang didalangi oleh individu yang terkenal dengan kefahaman yang sesat dan telah ada dalam ‘watchlist’ Majlis Agama Islam Negeri (MAIN). Sebahagian judul yang lain menyentuh perbincangan sains yang menjadi tabu dalam masyarakat.
Ada dalam kalangan mereka pula berpandangan bahawa pengharaman tersebut merupakan suatu usaha yang ‘membunuh’ wacana ilmu yang sihat dan konstruktif, sebuah sikap anti-intelektualisme, dan mempersoal kewajaran pengharaman sebahagian buku yang tertera di dalam senarai. Pengharaman tersebut turut mengundang kecaman daripada para penulis buku-buku itu sendiri, dengan dakwaan pihak jawatankuasa tidak berbincang dengan mereka dan memberi peluang pembelaan terhadap penulisan mereka sendiri, selain berkeras tidak ada apa-apa di dalam penulisan mereka yang bercanggah dengan mana-mana budaya beragama di Malaysia.
Sejujurnya, penulis sangat bersetuju dengan pengharaman buku-buku tersebut dan berhujah bahawa hakikatnya pengharaman tersebut sebenarnya turut menyumbang kepada pembentukan wacana ilmu bagi isu-isu yang disentuh oleh buku-buku yang diharamkan tersebut di Malaysia. Pengharaman buku dan kaitannya dalam pembentukan dan pembinaan wacana ilmu itu sendiri dapat dilihat dengan melakukan tinjauan retrospektif terhadap sejarah pengharaman kitab dalam dunia Islam dahulu.
Pengharaman Buku Dalam Sejarah Islam
Pengharaman buku dalam dunia Islam bukan sesuatu yang asing dan khusus pada zaman kontemporari. Apabila menyebut tentang ‘pengharaman’, terdapat dua jenis pengharaman yang berlaku terhadap kitab-kitab atau bidang ilmu tertentu. Pertama ialah pengharaman berbentuk ‘tahzir’ atau tegahan. Apabila kita menyelami wacana ilmu Islam, kita akan dapati bahawa terdapat ulama’ terdahulu yang mentahzir sama ada sesuatu bidang ilmu atau sebahagian penulisan tokoh-tokoh tertentu disebabkan terdapat perbincangan yang kontroversi di dalamnya.
Misalnya, kita dapati ulama’ salaf pada kurun ke-3 Hijrah seperti Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Al-Syafi’i dan Imam Ahmad bin Hanbal yang mengecam ilmu kalam dengan keras sekali. Demikian juga tahzir sebahagian mutakallimin seperti Imam Al-Taftazani terhadap kitab Sheikh Ibn ‘Arabi, dan tahzir Imam Taqiyuddin Al-Subki dan anaknya Tajuddin Al-Subki terhadap kitab Sheikh Ibnu Taymiyyah. Bahkan kita juga dapati sebahagian ulama Ahli Sunnah Wal-Jama’ah (ASWJ) sendiri mentahzir sebahagian kitab-kitab tulisan ulama’ ASWJ sendiri seperti tegahan Imam Al-Tartushi terhadap kitab Ihya’ Ulum Al-Din karangan Imam Al-Ghazali. Pun begitu, tahzir kebiasaannya berupa nasihat dan saranan berbanding suatu fatwa hukum yang mempunyai ‘legal-binding’ sebagaimana hukum yang ditetapkan oleh qadi.
Yang kedua ialah pengharaman dengan penguatkuasaan pemerintah, contohnya ialah pembakaran buku-buku yang dianggap ‘menyimpang’ daripada pegangan arus perdana umat Islam yang berlaku secara meluas pada zaman dahulu. Antara yang terawal pernah direkodkan ialah pembakaran kitab oleh pemerintah Sulaiman bin Abdul Malik (w. 99H) seorang pemerintah kerajaan Umayyah bilamana beliau membakar kitab Sirah Nabawiyyah tulisan Imam Abban bin ‘Uthman bin ‘Affan (w. 105H) ketikamana tidak bersetuju dengan kandungan kitab tersebut. Perbuatannya dipuji oleh bapanya Abdul Malik bin Marwan kerana hal tersebut menurutnya dapat menjaga ‘kemaslahatan’ (baca: kepentingan penguasa) penduduk Syam. Khalifah Umayyah di Cordova Abdurrahman III (w. 350H) turut membakar kitab Ibnu Masarrah (kerana menganggapnya sebagai sesat dan mengenakan hukuman dibuang negeri.
Misal lain, pembakaran kitab Ibnu Hazm (w.456H) oleh ulama Malikiyyah Maghrib akibat kelancangan tulisan beliau mengkritik pandangan-pandangan fiqh mazhab Maliki di dalam tulisannya. Bahkan, kitab Ihya’ Ulum Al-Din karya Imam Al-Ghazali (w. 505H), seorang ulama’ Ahlus Sunnah Wal-Jama’ah (ASWJ) juga pernah dibakar hasil nasihat daripada ulama’ Malikiyyah Andalus pada zaman pemerintahan Ali bin Yusuf bin Tashfin, seorang pemimpin daripada kerajaan Murabitun kerana mereka menganggap kitab tersebut mengandungi perkara-perkara yang sesat. Kitab Al-Muwafaqat Imam Al-Shatibi (w. 790H) turut pernah diperintah untuk dibakar di Andalus disebabkan tuduhan Mu’tazilah terhadapnya.
Buku-buku Sheikh Ibnu ‘Arabi (w. 638H) turut menerima nasib yang sama apabila kitab-kitabnya dibakar dengan arahan pemerintahan pada waktu tersebut. Bahkan, sebahagian penulisan beliau turut dikalungkan pada anjing-anjing dan ‘dibasuh’ di Aleppo sebagai simbolik kepada tegahan keras terhadap kitab tersebut. Kitab-kitab Ibnu Rushd (w. 595H) turut dibakar di Andalus dengan arahan pemerintahnya Abu Ya’qub hasil tekanan daripada ulama’ pada zaman tersebut yang menganggap karya-karya beliau penuh dengan kesesatan falsafah. Beliau turut dibuang negeri disebabkan tragedi tersebut. Demikian juga, kitab-kitab seorang tokoh failasuf Ishraqi Sadruddin Al-Syirazi atau ‘Suhrawardi’ turut dibakar dan beliau pula dihukum bunuh oleh penguasa Ayyubiyah pada zaman tersebut kerana buku-bukunya telah menyesatkan masyarakat Islam pada zaman tersebut. Oleh sebab itu, beliau digelar Suhrawardi Al-Maqtul, untuk dibezakan dengan Syihabuddin Al-Suhrawardi pengarang ‘Awarif Al-Ma’arif.
Dalam sebahagian keadaan berlaku keseiringan antara kepentingan kuasa pemerintah dan budaya beragama yang dogmatik seperti sikap pemerintah yang ingin mengekalkan status quo budaya beragama dogmatik masyarakat untuk memastikan “rakyat tidak tahu” sebagaimana dalam kes pembakaran kitab Sirah Nabawiyyah Imam Abban yang mengandungi bab ‘kemuliaan golongan Ansar dan penduduk Madinah’ yang berkonflik dengan kepentingan politik Bani Umayyah di Syam. Demikian juga sebaliknya apabila terdapat kelompok ulama yang disebabkan dorongan taksub mazhab yang melampau, mengampu pemerintah agar kitab-kitab seterunya diharamkan dan dibakar seperti apa yang dilakukan oleh Syafi’iyyah di Mesir apabila mereka membakar kitab ‘Al-Nusrah li Imam Dar Al-Hijrah’ karangan Qadi ‘Abdul Wahhab bin Al-Nasr Al-Maliki, dan pembakaran kitab Ihya’ ‘Ulum Al-Din karya Imam Al-Ghazali di Andalus.
Rasional pembakaran kitab atau pelupusannya pada zaman dahulu adalah kerana sebelum adanya printing press, kebanyakan kitab itu disalin cetak oleh pencetak secara tulisan tangan. Salinan-salinan cetakan tangan inilah yang kemudian dijual di kedai-kedai buku di kota-kota besar. Kos penghasilan cetakan tersebut teramatlah mahal dan sukar untuk didapati. Justeru, pengharaman dan pembakaran kitab dan salinan kitab tersebut semestinya menjejaskan akses masyarakat terhadap kitab tersebut kerana memiliki salinan tersebut merupakan satu-satunya cara untuk dapat akses kepadanya. Oleh sebab itu, terdapat kitab-kitab yang disebut dalam sejarah Islam tetapi salinan fizikalnya telah lenyap kerana tiada orang yang menyalin semula daripada manuskrip asal atau aksesnya terlalu terhad sehingga salinannya tidak dicapai secara meluas oleh ramai.
Disebabkan perkara tersebut mahal dan memerlukan kos yang tinggi, gerakan terjemahan yang pernah berlaku pada zaman Abbasiyyah kebanyakannya didanai oleh khalifah dan para pembesar sebagai patron agar karya-karya bermutu daripada segenap tamadun dunia diterjemahkan ke dalam Bahasa Arab di Baitul Hikmah. Kisah gerakan terjemahan Abbasiyyah yang menyaksikan kegemilangan wacana ilmu tamadun Islam merupakan satu idealisme keterbukaan wacana ilmu yang pernah berlaku dalam sejarah Islam walaupun hanya sementara. Hal tersebut tidaklah mulus kerana turut mengundang tentangan daripada ulama tradisional daripada kalangan fuqaha dan ahli hadith.
Makin Haram Makin Laris?
Kalau kita lihat kembali sejarah, kita dapati bahawa kitab-kitab yang diharamkan dan dibakar di atas hakikatnya tidak melenyapkan kitab-kitab tersebut daripada wujud apatah lagi diwacanakan. Lama kelamaan, buku tersebut akan bangkit kembali dalam masyarakat dan akan mempengaruhi wacana ilmu seputar pemikiran yang dibawa. Nama tokoh dan penulisannya disebut-sebut serta pemikirannya dikaji dan dinukilkan dalam pelbagai kitab menatijahkan kerencaman pandangan antara yang bersetuju, tidak bersetuju mahupun berkecuali.
Tren ini merupakan satu kebiasaan bagi mereka yang mengamati evolusi perkembangan wacana ilmu dalam dunia Islam; asalnya sesuatu ilmu atau pemikiran itu ditegah kerana dianggap ‘asing’ lalu kemudiannya diterima oleh ulama terkemudian dan disebarkan sama ada secara verbatim ataupun dengan sintesis baharu.
Hal ini bermakna, pengharaman tersebut – dengan apa jua cara pelupusannya – berjaya dipintas oleh ulama dan pemerintah terkemudian dan sedikit sebanyak memberi kesan terhadap wacana ilmu Islam terkemudian. Fokus ulama dalam tahqiq dan pengkajian kritikal terhadap sesuatu bidang ilmu atau pemikiran memungkinkan pemahaman yang lebih baik dan adaptasi terhadap pemikiran tersebut dalam kerangka Islam yang lebih luas.
Misalnya, perbincangan ilmu kalam yang dahulunya ditolak oleh ulama salaf kerana sinonim dengan kesesatan Qadariyyah, Jabariyyah dan Mu’tazilah akhirnya diterima oleh ulama’ Asya’irah mutaqaddimin (Imam Abul Hasan Al-Asy’ari, Imam Abu Ishaq Al-Syirazi, Imam Al-Baqillani, Imam Al-Juwayni) hasil penyelidikan mereka yang kritikal dan konstruktif terhadap ilmu tersebut hingga berjaya memurnikan ilmu kalam daripada pandangan kontroversi mereka dan menyesuaikannya dengan prinsip ASWJ. Demikian juga kitab-kitab ilmu mantiq yang asalnya diharamkan oleh sebahagian ulama ASWJ, kemudian apabila dikaji dengan lebih mendalam, Imam Al-Ghazali berusaha memurnikannya daripada pengaruh ahli falsafah Masya’iyyah dan melakukan adaptasinya ke dalam ilmu-ilmu syarak. Usaha tersebut diteruskan oleh ulama’ Asya’irah terkemudian.
Demikian juga yang berlaku terhadap karya-karya dan pemikiran tokoh yang disebutkan apabila hasil kajian ulama’ terkemudian merubah pandangan awal masyarakat Islam terhadap kitab-kitab tersebut yang bersikap negatif kepada pandangan yang lebih positif. Misalnya, kitab Ihya’ Ulum Al-Din karya Imam Al-Ghazali yang dahulunya dibakar di Maghrib akhirnya diterima secara meluas oleh masyarakat Islam di situ apabila berlaku peralihan kerajaan Murabitun kepada kerajaan Muwahhidun oleh Ibnu Tumart lalu pemikiran Imam Al-Ghazali diterima oleh masyarakat Islam Barat secara meluas, selain turut disambut oleh aliran Hanabilah yang terkenal dengan sikap yang lebih konservatif terhadap tasawuf dan ilmu kalam apabila wujud redaksi baharu terhadapnya.
Demikian juga kitab-kitab Ibnu Hazm yang dicela dan dibakar di Andalus diterima dan diamalkan oleh masyarakat zaman tersebut apabila Abu Ya’qub menyebarkan mazhab Zahiri di Maghrib dengan meluas, dan menjadi mazhab dokongan sebahagian ulama’ sufi dan ahli hadith. Begitu juga pemikiran Ibnu ‘Arabi yang asalnya ditentang keras oleh ulama’ Syafi’iyyah dan Malikiyyah tetapi kemudiannya diterima oleh ulama terkemudian terutama dalam kalangan tokoh mutakallimin Asya’irah dan fuqaha Syafi’iyyah dan Malikiyyah. Kitab Al-Muwafaqat Imam Al-Shatibi kembali diwacanakan di Maghrib menyebabkan wacana Maqasid Syari’ah bangkit dan ‘kembali’ ke Maghrib pada kurun ke-19 dan ke-20 Masihi.
Sebaliknya, terdapat kitab-kitab yang tidak diharamkan secara langsung, tetapi akhirnya lenyap dari sejarah kerana kehilangan relevansi. Contohnya, karya-karya awal Mu’tazilah banyak yang tidak kekal hingga ke hari ini bukan kerana diharamkan atau dibakar (hal ini kerana ramai Mu’tazilah dahulu menduduki jawatan strategik pemerintahan), tetapi kerana ulama terkemudian mewacanakan ilmu tersebut dengan pendekatan yang lebih kukuh, kritikal dan sistematik. Oleh sebab itu, pemikiran Mu’tazilah terdahulu dirakamkan dalam karya ulama Asyairah seperti Imam Al-Juwayni, Imam Al-Shahrastani, Imam Al-Ghazali, Imam Al-Razi, Imam Al-Baidawi dan lain-lain dalam bentuk nukilan sedangkan kitab asalnya telah hilang dan tiada keperluan merujuk kepada karya asal yang hilang tersebut.
Dengan ini, kita dapat faham yang sebenarnya pengharaman tersebut tidak menguncupkan atau mematikan wacana ilmu sekitar perbincangan yang dibawa oleh buku-buku yang diharamkan bahkan sebenarnya membentuk wacana ilmu seputarnya secara implisit. Jika sesuatu kitab tersebut diharamkan di suatu kota, kitab tersebut menjadi perhatian oleh warga kota lain, sebagaimana pemikiran falsafi Ibnu Rushd berpindah tangan ke warga Eropah menyebabkan beliau mempengaruhi pemikiran intelektual di sana untuk beberapa kurun dan membentuk mazhab Averroisme. Demikian juga, karya-karya Suhrawardi terus mempengaruhi ilmuwan Iran pada zaman terkemudian sehingga menginspirasikan Mulla Sadra untuk membina mazhab Hikmah Muta’aliyyah.
Dalam konteks zaman kontemporari terutama zaman pasca-penjajahan, pengharaman buku memiliki konotasi politikal seperti soal pengawalan propaganda dan naratif politik domestik sesuai dengan dasar luar negara tersebut, terutama negara-negara proksi bagi blok-blok hegemoni politik global justeru pemerintah menggunakan apparatus negara dan institusi Islam untuk mengawal naratif rakyat terutama dalam mengekang idea-idea yang bergesel dengan aliran yang ingin diketengahkan oleh pemerintah dan kuasa hegemoni. Misalnya, karya-karya Almarhum Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi yang diharamkan di Mesir, Arab Saudi dan beberapa negara Arab lain atas tuduhan afiliasi Ikhwanul Muslimin (yang disenaraikan dalam senarai teroris) disambut baik di negara-negara lain seperti Qatar dan Malaysia.
Demikian juga kitab-kitab tulisan Salafiah yang cenderung kepada haraki atau tidak pro-pemerintah diharamkan di Arab Saudi biarpun memiliki fikrah pemikiran yang sama. Buku George Orwell yang pernah diharamkan di Amerika Syarikat seperti ‘Animal Farm’ dan ‘1984’ tetap diwacanakan di negara lain. Sebarang penyebaran buku tersebut baik secara fizikal mahupun digital akan didakwa menurut undang-undang domestik. Pun begitu, ia tidak menghalang buku tersebut terus diwacanakan sehingga idea-idea ‘melimpah’ ke pengetahuan negara tersebut melalui ruang media sosial yang tidak bersempadan.
Cubaan pengekangan bagi tujuan mengawal naratif, pengharaman sesuatu judul buku telah terbukti menjadi ‘peluru makan tuan’ dalam beberapa kajian kontemporari yang telah dilakukan. Sebuah kajian oleh George Mason University menyebut bahawa buku-buku yang telah dilarang di Amerika Syarikat sebenarnya menarik perhatian lebih ramai orang untuk mengetahui lantas meningkatkan readership buku tersebut berbanding sebelum dilarang, tanpa menafikan bahawa hal tersebut turut mengundang kesukaran akses terhadap tersebut oleh pelajar di sekolah dan perpustakaan awam. Apatah lagi kini dengan kuasa media sosial dan media digital yang memungkinkan seseorang untuk mendapatkan cetakan lembut (soft copy) bagi buku yang dilarang tersebut. Bukan itu sahaja, larangan tersebut juga menjentik keinginan pembaca untuk memiliki buku tersebut yang lazimnya menyebabkan buku tersebut dijual laku sehingga kehabisan stok sebelum penguatkuasaan dapat dilaksanakan.
Kesimpulan
Kesimpulannya, pengharaman buku bukan sahaja bertindak sebagai larangan semata-mata tetapi juga mencetuskan wacana yang lebih luas dan kritikal. Larangan ke atas sesuatu karya seringkali membangkitkan persoalan dalam kalangan masyarakat, seperti “mengapa ia diharamkan?” dan “apakah kandungan yang dianggap berbahaya atau sesat?” terutama dalam kalangan masyarakat awam. Situasi ini mendorong individu untuk mencari penjelasan dan memahami lebih lanjut isu yang diketengahkan dalam buku tersebut. Sebaliknya juga sama, jika sesebuah karya yang diharamkan ternyata tidak mengandungi penyimpangan yang signifikan, perbincangan terbuka boleh membantu meruntuhkan salah faham yang wujud lantas membina naratif baharu yang menyumbang kepada wacana tersebut.
Tanpa pengharaman, sesuatu isu mungkin tidak mendapat perhatian yang meluas. Apabila institusi agama mengeluarkan senarai pengharaman, ia menarik perhatian khalayak ramai yang sebelum ini kurang menyedari kewujudan buku atau wacana tersebut. Oleh itu, satu-satunya cara yang benar-benar boleh mematikan wacana adalah dengan mengabaikannya sepenuhnya.
Implikasi lain daripada fenomena ini adalah peralihan daripada kepercayaan dogmatik kepada pemikiran yang lebih kritikal dan terbuka. Sebagai contoh, teori evolusi sering dianggap bertentangan dengan ajaran Islam kerana persepsi bahawa ia menyatakan manusia berasal daripada monyet. Namun, apabila muncul tulisan yang mencadangkan bahawa Islam tidak semestinya bercanggah dengan teori evolusi lalu diharamkan, minat untuk memahami isu ini dengan lebih mendalam meningkat dalam kalangan masyarakat. Ini membuka ruang kepada perbincangan yang lebih rasional dan ilmiah, yang akhirnya menghakis kepercayaan dogmatik yang diwarisi sejak sekian lama.
Selain itu, pengharaman oleh institusi Islam turut memberikan dimensi ethos dan telos kepada wacana ilmu dalam bidang agama. Perbincangan mengenai isu-isu yang diharamkan tidak sekadar didorong oleh rasa ingin tahu tetapi juga berlandaskan kepada objektif yang lebih besar, iaitu menilai keserasian atau ketidaksalahan sesuatu pandangan dengan syarak. Ini menjadikan wacana lebih kritikal dan berpandukan matlamat yang jelas, sama ada hipotesis yang dikemukakan dapat diterima atau ditolak berdasarkan hujah yang kukuh. Dengan demikian, perbincangan yang lahir daripada pengharaman buku bukan sahaja memperkayakan kefahaman masyarakat tetapi juga mengukuhkan pendekatan intelektual yang lebih matang dalam menilai sesuatu isu.
Pun begitu, sebelum pengharaman buku-buku yang tersenarai tempoh hari dikuatkuasakan selanjutnya oleh KDN, memandangkan fatwa tersebut masih belum diwartakan baik di peringkat negeri mahupun di KDN, KDN atau JAKIM wajar mengambil tindakan yang terbaik dengan mengadakan sesi libat urus bersama penulis yang tersenarai – selagi mereka belum disenarai hitam atas dakwaan ajaran sesat dan lain-lain – supaya mereka diberi peluang menjelaskan pandangan mereka. Ambil iktibar dalam isu Wahdatul Wujud, bagaimana fatwa MKI tahun 2000 tersebut akhirnya tidaklah diwartakan oleh banyak negeri di Malaysia (selain Selangor dan Johor) setelah pencerahan oleh beberapa agamawan dilakukan.
Rujukan:
- Al-Rayah (2022) Harq Al-Kutub
https://www.raya.com/2022/12/29/حرق-الكتب/ - Al-Jazeera () Limaza Ahraqat Al-Sultah Kutuba Ibn Hazm wal-Ghazali wa-Ibn Rushd?
https://www.aljazeera.net/turath/2021/8/3/صراع-المعرفة-مع-الطغاة-والغزاة-في - Nasser Al-Khuzaimi, Harq Al-Kutub fi Al-Turath Al-’Arabi.
- Uttara M. Ananthakrishnan, Naveen Basavaraj, Sabari Rajan Karmegam, Ananya Sen and Michael D. Smith (2023) Book Bans in American Libraries: Impact of Politics on Inclusive Content Consumption. Carnegie Mellon University & George Mason University.
- Marayana (2024) Al-Sultah wa I’dam Al-Kutub fi Tarikh Islami
https://marayana.com/laune/2024/04/08/10929/ - JAKIM (11 Mac 2025) Kenyataan Media Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Berkenaan Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah MKI Berhubung Perintah Larangan Terhadap Bahan Terbitan Berunsur Islam
https://www.islam.gov.my/ms/kenyataan-media/4661-kenyataan-media-pengerusi-jawatankuasa-muzakarah-majlis-kebangsaan-bagi-hal-ehwal-agama-islam-malaysia-mki-berkenaan-keputusan-mesyuarat-jawatankuasa-muzakarah-mki-berhubung-perintah-larangan-terhadap-bahan-terbitan-berunsur-islam?fbclid=IwY2xjawJNx1dleHRuA2FlbQIxMQABHSg0iKh1leH-9XXJ_Y0Jl6lv82H1gn-4q4QTAyFgVgQk4HW-ct_ZRLOKpA_aem_1O_T0a8f8e4ihdFEIcp_sg - JAKIM (2000) Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) – Fahaman Wahdatul Wujud
http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/15316?fbclid=IwY2xjawJO1t1leHRuA2FlbQIxMAABHT0Kz_wl2hg7xtA4IMUr0sPw5F6dr5crEdcksYDXsqPRJVOLXiRGs7xhBg_aem_Cb77zlvCOXNctSZQfT-EdQ




