Penulis: Izmil Amri
Di Mesir, roti disebut sebagai ‘aish. Perkataan yang sama dalam bahasa arab turut bermaksud kehidupan. Maka ketika rakyat Mesir bangkit menggulingkan pentadbiran Hosni Mubarak dalam revolusi 25 Januari 2011, slogan yang mereka laungkan ialah tuntutan tiga perkara: ‘aish, hurriyyah, ‘adalah ijtima’iyyah. Roti, kebebasan dan keadilan sosial.
Sekadar campuran tepung gandum dan air – kadang-kadang minyak, roti ialah penentu hidup mati lebih separuh populasi manusia yang tidak makan nasi seperti kita dunia balik sini. Maka apabila roti pun jadi mangsa birokrasi, dan perut perlahan-lahan bertukar lapar, hanya masa yang menentukan bilakah lapar akan bertukar menjadi marah.
Pada 1977, di bawah dasar infitah (dasar ekonomi terbuka) Anwar Sadat, rakyat Mesir bangkit mengamuk apabila kerajaan menamatkan subsidi tepung, beras dan minyak masak.
Pada 1976, Anwar Sadat memohon pinjaman daripada Bank Dunia untuk meringankan beban hutang negaranya. Bank Dunia kemudian mengkritik dasar kerajaan tersebut yang memberi subsidi bahan makan. Justeru kerajaan bertindak menamatkan subsidi terbabit pada Januari 1977.
Bukan itu sahaja, kerajaan Mesir turut memansuhkan bonus dan kenaikan gaji penjawat awam. Hilang akal agaknya si Anwar Sadat ini.
Dasar baharu ini tentu sekali menyebabkan kenaikan harga barang makan. Bahkan sehingga 50%, yang pada ketika itu sangat besar nilainya.
Rakyat Mesir bingkas turun mengamuk di jalan raya, memaki hamun kerajaan yang telah dengan segala buta perutnya menggugat hak mereka untuk terus hidup dengan berbekalkan sebuku roti.
مش كفاية لبسنا خيش…جايين ياخدوا رغيف العيش
“Tidak cukup kita terpaksa memakai guni, mereka rampas pula bekalan roti!”
Demikian slogan yang mereka teriakkan di jalanan.
يا حرامية الانفتاح الشعب جعان مش مرتاح
“Wahai penyangak infitah, rakyat kelaparan dan hidup susah!”
يا ساكنين القصور الفقرا عايشين في قبور
“Wahai elit yang tinggal di dalam istana, fakir miskin hidup di pusara!”
Berhadapan kemarahan rakyat ini, seperti juga mana-mana penguasa; kerajaan Mesir mengerahkan angkatan bersenjatanya ke jalanan bagi membungkam suara orang ramai yang mengkritik kebodohan dasar Anwar Sadat. Dan seperti juga kebiasaan mana-mana perlawanan, ‘buruh tani mahasiswa rakyat miskin kota’ lah yang paling kedepan menjadi mangsa kekasaran aparat kerajaan, dikeroyok dan disumbat ke penjara.
مين اللي يقدر ساعة يحبس مصر
“Siapa yang mampu memenjarakan Mesir meski buat satu jam?”
Demikian tulisan Zainal Abidin Fouad, seorang penyair kiri yang tersohor di Mesir; dalam menanggapi situasi.
Anwar Sadat akhirnya terpaksa muncul dalam siaran langsung di kaca televisyen untuk mengumumkan keputusannya menarik balik pembatalan subsidi ke atas barang-barang asas. Lalu rakyat Mesir pun menang.
Roti canai mahal
Kita menceritakan kisah intifada yang satu ini ketika keadaan ekonomi rumah tangga keluarga-keluarga berpendapatan rendah sedang berada dalam keadaan bahaya.
Beberapa faktor luaran sedang menyumbang kepada kenaikan harga barang mentah yang kemudian menyumbang kepada kenaikan harga jualan, hatta barang-barang makanan asas seperti roti canai. Di ibu kota khabarnya ada kedai yang sudah menjual sekeping roti canai dengan harga mencecah RM2.50. Kita pastinya sudah tidak ingat bila kali terakhir menjamah dua keping roti canai, dikoyak hancur dengan kuah dhal melimpah tambah telur goyang sebiji pada kadar harga 80 sen sekeping.
Penguasa yang tidak ke pasar dan hidup menjamah sarapan yang dibayar orang tidak tahu realiti kehidupan. Tiada iltizam di pihak mereka untuk mengusahakan dasar-dasar yang akan dapat membantu rakyat mendepani hari-hari muka yang bakal menyaksikan kenaikan harga bahan api pula.
Baru beberapa hari lalu ada aparat propaganda kerajaan cuba membodohi masyarakat dengan berkongsi perbandingan harga minyak petrol antara beberapa negara dengan menggunakan nilai ringgit.
Di Singapura katanya, harga RON95 mencecah RM9.29, manakala di Norway sampai RM10 seliter. Ini dibandingkan dengan harga minyak Malaysia yang dikekalkan pada kadar RM2.05 seliter (itu pun hasil inisiatif apungan harga minyak yang dimulakan oleh kerajaan Pakatan Harapan).
Tidak pula mereka ini cuba membandingkan nilai pendapatan di Singapura dan Norway. Apatah lagi mahu membandingkan nilai gaji minimum antara Singapura dan Malaysia dengan menggunakan Ringgit Malaysia.
Pembodohan terancang ini dijalankan dengan harapan supaya masyarakat kekal bungkam dan terus ‘bersyukur’ apabila nanti kenaikan bahan api akan mengakibatkan kenaikan harga barang ekoran kenaikan kos pengangkutan. Itupun ada cerdik pandai muncul di kaca televisyen dengan bermodalkan angan-angan mahu memulihkan cukai GST.
Marah-marah malas
Dalam satu wawancara beberapa tahun lalu, saya mengulas bagaimana rakyat Malaysia itu marahnya bersukat dan mempunyai had waktu. Dalam perhimpunan aman Bersih misalnya, demonstrasi bermula selepas waktu makan tengah hari, dan beransur selesai menjelang waktu minum petang. Itu pun ada yang pulang awal.
Paling lama pun Bersih 4, 36 jam lamanya rakyat berkhemah di sekitar Dataran Merdeka. Namun kerana mereka punya akses pengangkutan awam, majoriti berdemonstrasi secara shif. Bila lapar, boleh pulang ke rumah; siap makan kenyang-kenyang, kemudian datang melawan lagi. Malam balik tidur atas katil empuk. Tidak dikeroyok aparat keamanan.
Bukannya tidak marah, memang marah. Tetapi perut masih boleh diisi. Masih boleh makan sedap, meski kadang dicatu hidangan nasi kandar seminggu sekali, atau dua minggu sekali.
Bagaimana kalau nanti tidak boleh makan sedap-sedap lagi? Adakah pada ketika itu baru rakyat kita akan marah dengan bersungguh-sungguh? Adakah ketika rakyat negara ini perlu bercucuk tanam di atas bumbung rumah untuk bekalan makanan sendiri baru kerajaan akan menggandakan usaha untuk menangani isu keselamatan makan?
Kita pastinya masih ingat dengan skandal National Feedlot Corporation (NFC). Cerita ‘lembu dalam kondo’ pastinya menjadi bualan untuk beberapa generasi akan datang. Bagaimana sebuah keluarga menteri mendapat manfaat daripada pinjaman mudah oleh kerajaan untuk membangunkan projek ternakan lembu bagi memastikan negara mampu membekalkan produk makanan sendiri tanpa perlu bergantung kepada produk import.
Keluarga itu kemudiannya didapati menggunakan dana NFC untuk ‘melabur’ dalam hartanah. Bukan sebarang hartanah pula, bahkan sebuah kondominium di Bangsar bernilai RM9.8 juta. Bukan hanya sebiji kondo di Bangsar, keluarga ini dilaporkan turut ‘melabur’ di Singapura dengan membeli sebuah lagi hartanah bernilai RM9.9 juta.
Ini baru satu skandal yang kita tahu? Skandal yang sekiranya tidak jadi skandal sepatutnya membolehkan negara bebas daripada pergantungan terhadap produk import yang kini sedang melonjak harganya akibat kejatuhan nilai ringgit yang bersangatan.
Utusan Malaysia dalam satu laporan beberapa hari lalu menyebut bagaimana harga barang keperluan dijangka melonjak sehingga 50-60% menjelang bulan Jun, dan kemudian menyalahkan pelaksanaan gaji minimum. Dalam nafas yang sama ia turut memberitahu kita bagaimana harga barang sudah pun naik secara berperingkat sebelum hari raya Aidilfitri. Mungkin itu pula salah pengeluaran khas KWSP.
Hakikatnya manusia akan sentiasa tamak, dan manusia lain pula akan sentiasa cuba mengambil kesempatan atas ketamakan itu. Tetapi kerajaan tidak boleh berlepas tangan daripada mengambil langkah-langkah perlu untuk memastikan rakyat tidak menjadi mangsa para pemodal. Melainkan kerajaan sendiri pun semuanya punyai sikap pemodal belaka.




