Penulis: Luqman Tarmizi
15 Mei merupakan tanggal ke-74 kemuncak peristiwa Nakba – pengusiran lebih 750,000 rakyat Palestin dari tanah air mereka. Sekarang, terdapat lebih 5 juta pelarian Palestin yang berdaftar dengan agensi pelarian antarabangsa, yang sedang bergelut dengan kemiskinan melampau dan konflik keterasingan di tanah air orang lain.
Di bawah merupakan 10 fakta penting yang ada perlu tahu berkenaan Nakba:
1. Nakba merupakan perkataan daripada bahasa Arab (نكبة) yang bermaksud musibah atau bencana. Namun tidak seperti mana bencana alam seperti gempa bumi atau taufan, Nakba di Palestin merupakan kesan langsung daripada satu pelan pembersihan etnik yang dilaksanakan oleh militan Zionis, bagi menubuhkan sebuah negara Israel di atas tanah air rakyat Palestin.
2. Nakba bukan bermula pada 15 Mei 1948, sebaliknya tanggal tersebut sekadar kemuncak kepada sebuah proses yang panjang, yang berakhir dengan pengisytiharan sebuah negara Israel. Bahkan berbulan-bulan sebelum 15 Mei, militan Zionis telahpun mengusir hampir 250,000 penduduk Palestin, ketika British masih lagi bertanggungjawab mentadbir wilayah tersebut. British juga memejamkan mata tatkala puluhan kontena senjata diseludup masuk dari Rusia oleh militan Zionis.
3. Benih projek settler-colonialism Zionis di Palestin telah bermula sejak 1882 melalui penghijrahan warga Yahudi yang melarikan diri daripada penindasan di Eropah. Kedatangan mereka ke Palestin bertambah berlipat kali ganda setelah Deklarasi Balfour pada 1917 yang ‘menganugerahkan’ Palestin kepada orang Yahudi. Antara tahun 1922 dan 1935, populasi Yahudi bertambah daripada 9% kepada hampir 27% daripada jumlah keseluruhan penduduk. Antara 1933 hingga 1936, hampir 60,000 Yahudi tiba dari Eropah setelah Nazi memegang tampuk kuasa di Jerman. Peningkatan populasi yang mendadak ini membantu Zionis meningkatkan kuasa dan pengaruh di Palestin dari sudut penempatan, pemilikan tanah, penguasaan sumber dan persenjataan.

4. Kenapa begitu mudah Israel menang? Ke mana perginya pasukan tentera Palestin?
Banyak faktor yang menyumbang, antaranya ialah perbezaan besar dari sudut kekuatan ketenteraan. Militan Zionis seperti pasukan Haganah mendapat latihan dan bimbingan secara terus oleh tentera British dan membantu mereka ketika perang dunia kedua. Kekuatan di pihak Palestin pula telah dilumpuhkan hampir sepenuhnya beberapa tahun sebelum, di mana kebanyakan pimpinan utama dan lelaki dewasa telah sama ada terbunuh ketika pemberontakan terhadap pentadbiran British (dikenali sebagai The Great Palestinian Revolt) pada 1936-1939, dipenjarakan atau dibuang negeri.
Negara-negara jiran seperti Mesir dan Syria pula sekadar menghantar sekumpulan kecil tentera dengan kelengkapan yang serba daif, yang langsung tidak setanding dengan kekuatan militan Zionis.
5. Projek pembersihan etnik juga tidak hanya melibatkan kumpulan militan bersenjata dan general tentera, sebaliknya turut menyaksikan penglibatan ramai golongan profesional, orientalis dan inteligensia. Kumpulan Zionis ini telah melaksanakan usaha pengumpulan data yang ekstensif dan komprehensif selama 10 tahun sebelum 1948, yang melibatkan ahli topologi, geologi, jurugambar dan sejarawan. Data ini meliputi maklumat terperinci berkenaan setiap pekan dan perkampungan – berapa jumlah penduduk, demografi jantina dan umur, pekerjaan, kecenderungan politik, jumlah dan kualiti senjata yang dimiliki serta individu yang berpotensi untuk memberikan ancaman ketenteraan. Data ini membantu Zionis untuk merangka strategi terbaik bagi menyerang dan menawan kawasan Palestin dengan cara yang paling efektif dan efisien.
6. Lebih kurang 3/4 daripada populasi rakyat Palestin telah dihalau keluar daripada tanah air sendiri dan dipaksa menjadi pelarian di negara-negara Arab yang berhampiran serta dihalang daripada pulang ke kediaman masing-masing, manakala ribuan lagi dibunuh dengan kejam oleh pasukan tentera Zionis. Sebahagiannya kekal dan tidak sempat dihalau keluar, dan diserap masuk sebagai warganegara Israel. Hari ini, warga Arab Palestin membentuk sebanyak 20% daripada populasi Israel. Meskipun mereka diiktiraf sebagai warga yang sah serta berhak mengundi dan bertanding dalam pilihanraya, mereka berhadapan dengan pelbagai tekanan dan diskriminasi dalam pelbagai bentuk.
7. Kesan daripada Nakba ini, United Nations Relief and Works Agency for Palestine Refugees (UNRWA) telah ditubuhkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 8 Disember 1949 melalui Resolusi 302 (IV) bagi menjalankan kerja-kerja bantuan terhadap pelarian Palestin.
8. Sehingga sekarang, masih tiada pengadilan di peringkat antarabangsa bagi menghukum pihak yang terlibat atau memberi ganti rugi bagi mangsa yang terkesan. Bahkan tragedi Nakba ini masih belum diiktiraf sebagai satu fakta sejarah, atau dengan kata lain, masyarakat antarabangsa secara umumnya tidak tahu, atau tidak memperakui fakta bahawa ratusan ribu rakyat Palestin telah dihalau keluar daripada tanah air mereka.
9. Salah seorang pimpinan utama Zionis ketika Nakba, Golda Meir telah mematerai perjanjian rahsia bersama Raja Jordan sebelum melancarkan perang Nakba. Meskipun pasukan tentera Jordan yang dikenali sebagai Arab’s Legion merupakan ketumbukan bersenjata terkuat dalam kalangan negara-negara Arab, mereka langsung tidak menyeberangi sempadan yang dikhususkan kepada negara Israel melalui pelan pemecahan PBB (partition plan) untuk membantu rakyat Palestin yang sedang dibantai, dan hanya berkubu di kawasan Jerusalem dan Tebing Barat yang dikuasai oleh mereka.

10. Rompakan harta rakyat Palestin yang ditinggalkan juga berlaku secara berleluasa. Ini termasuklah khazanah keilmuan dan kesenian berbentuk buku, manuskrip, fotografi dan lukisan milik sarjana tempatan. Sebuah dokumentari berjudul The Great Book Robbery menganggarkan sejumlah 30,000 buah buku telah dicuri daripada kediaman yang ditinggalkan pemiliknya. Sebahagiannya telah dikitar semula kerana bimbang isi kandungannya menjadi ancaman kepada keselamatan Israel, manakala sebahagiannya telah dibawa ke Perpustakaan Awam Israel dan dilabel dengan huruf AP – abandoned property atau harta tinggalan. Apabila ditanya sama ada buku-buku ini akan dipulangkan semula kepada pemililknya, pihak perpustakaan diam membisu tanpa sebarang jawapan.
Nakba tidak bermula pada 1948, dan tidak pula berakhir pada tarikh itu. Ia berlangsung sehingga sekarang, dalam bentuk penempatan haram (illegal settlement) di wilayah Tebing Barat dan Jerusalem, pemusnahan kediaman dan tanah pertanian wilik warga Palestin, keganasan bersenjata dan pengeboman berkala oleh Israeli Occupation Force (IOF).
Sebagai Muslim yang beriman dan manusia yang cintakan keadilan, saya yakin Palestin akhirnya akan bebas, tiada keraguan padanya.
Palestine shall be free. Be on the right side of history.
Rujukan dan Bacaan Lanjut:
The Ethnic Cleansing of Palestine oleh Ilan Pappe
The Hundred Years’ War on Palestine oleh Rashid Khalidi
https://www.aljazeera.com/features/2013/1/29/israels-great-book-robbery-unravelled
https://www.haaretz.com/.premium-preserving-or-looting-palestinian-books-in-jerusalem-1.5300200




