Search
Close this search box.

Turkiye Menuju Kuasa Besar Global: Gagasan Realistik atau Fantasi Erdogan?

Penulis: Huzayl Mohd

Bila kita bercakap tentang Turkiye, pasti rata-rata rakyat di Malaysia akan ada persepsi yang bermacam-macam baik negatif, positif atau sekadar neutral; bila sebut Turkiye, akan terbayang wajah jejaka tampan, wanita yang menawan atau negara yang terkenal dengan belon panas, tempat yang indah dan cantik serta baklava dan teh yang lazat.

Tidak kurang untuk setengah orang yang mungkin meminati perbincangan dunia islam merasakan Turkiye terutama di era Presiden Recap Tayyib Erdogan ini sebagai sebuah kuasa besar Islam semacam zaman Khalifah Uthmaniyah yang mempunyai sejarah yang cukup hebat. Saya sendiri secara peribadi meminati dan mengikuti rapat percaturan politik Turkiye di peringkat antarabangsa.

Turkiye, Penjilat-Barat Kepada Anti-Barat

Turkiye secara mudahnya boleh dilihat dalam beberapa fasa perkembangannya dan bagaimana mereka mencorakkan polisi luar negara. Secara peribadi saya suka untuk membahagikan Turkiye kepada dua era, era Mustafa Kemal Ataturk dan era Erdogan yang menunjukkan perubahan yang cukup besar dari sudut arah polisi luar negara dan juga nuansa sosio-politiknya.

Semasa era Mustafa Kemal Ataturk, Turkiye adalah negara yang berkiblatkan barat (western centric). Lebih 60 tahun presiden dan perdana menteri daripada parti warisan Ataturk, Parti Rakyat Republikan (Cumhuriyet Halk Partisi, CHP) yang sangat pro barat sehinggakan beberapa tahun setia mencuba untuk menjadikan Turkiye salah satu negara European Union, malah presiden İsmet İnönü memutuskan untuk menyertai NATO seawal 1980-an semasa perang dingin antara Soviet dan US.

Semasa era Erdogan pula, sejak awal 2000-an Erdogan menjadi perdana menteri Turkiye, beliau mula memperkenalkan dasar luar yang lebih berkiblatkan kepentingan nasional berbanding sekadar mengikut Barat tetapi tetap mengekalkan pendekatan diplomatik dan beliau memulakan dasar luar Turkiye sebagai good boy dengan memperkenalkan polisi “Zero Problems with Neighbors”.

Salah satu tindakan penting yang menunjukkan dasar luar Turkiye ini lebih berfokus pada kepentingan nasional adalah keengganan menyertai perang Iraq yang diketuai oleh Amerika Syarikat (AS) pada 2003. Parlimen Turkiye menolak permintaan AS untuk menggunakan Turkiye sebagai pangkalan bagi menyerang Iraq, berbeza dengan dasar sebelumnya di mana Turkiye lebih cenderung menurut sahaja arahan AS.

Neo-Ottomanisme: Taruhan Politik Erdogan Untuk Memperluas Pengaruh Turkiye

Sedikit demi sedikit, tahun demi tahun Turkiye di bawah Erdogan mula menunjukkan taringnya dan mula menunjukkan polisi luarnya yang lebih tegas dan berani untuk tidak lagi berpihak pada barat. Waktu ini juga ekonomi Turkiye sedang berkembang dengan sangat baik dan populariti beliau di kalangan rakyat juga sangat kukuh. Erdogan mengambil peluang untuk membina hubungan dengan pemimpin dunia Islam di timur tengah menggunakan isu Palestin-Israel. Erdogan semakin berani mengkritik keras Israel, terutama selepas serangan terhadap Gaza dan insiden Mavi Marmara (2010) ini sengaja dilakukan untuk tunjuk bahawa Turkiye tidak lagi senada dengan barat yang cenderung menyokong Israel dalam konflik dengan Palestin. Isu ini digunakan Erdogan untuk menjadi pemimpin dunia Islam dalam isu Palestin. Peristiwa Arab Spring (2013-2014) juga membuka jalan dan peluang besar untuk Erdogan melebarkan pengaruh Turkiye kepada dunia Islam dan rantau timur tengah. Beliau juga ketika itu melakukan dasar luar yang dilihat lebih pro kepada gerakan Islam yang bangkit menuntut demokrasi di negara negara timur tengah.

Sewaktu konflik di Syria tercetus pada tahun 2014, Erdogan mengubah dasar luar Turkiye dengan lebih berani untuk ikut campur urusan dalam negara Syria, berbeza dengan dasar sebelum ini yang lebih berhati-hati dan terikat dengan sekutu Barat. Turkiye memberi sokongan kepada penentangan terhadap Bashar al-Assad dengan menyokong kumpulan pembangkang dan menyediakan tempat perlindungan untuk pelarian Syria dan lebih daripada 2 juta pelarian Syria diterima untuk masuk ke Turkiye. Turkiye juga mula memperkenalkan dasar direct intervention dalam perang saudara Syria untuk melindungi kepentingan nasional dan menghalang pengaruh Kurdish YPG yang dianggap Turkiye sebagai ancaman. Bukan setakat di rantau timur tengah, Erdogan juga meluaskan pengaruh Turkiye sebagai imej “Pemimpin Dunia Islam” ke rantau Asia Tenggara dengan membina hubungan baik dengan Malaysia dan Indonesia.

Dasar luar Erdogan yang berfokus untuk menunjukkan kepada dunia Islam bahawa Turkiye itu pemimpin dunia Islam ini disebut oleh setengah penganalisis politik antarabangsa sebagai agenda “Neo-Ottomanism” Erdogan, untuk mengembalikan identiti Uthmaniyyah yang berbeza dengan Kemalisme, yang menekankan sekularisme dan hubungan erat dengan Barat. Sebaliknya, Neo-Ottomanisme lebih menekankan Identiti Islam dan warisan Uthmaniyyah, peranan aktif dalam dunia Islam dan politik serantau, campur tangan dalam bekas wilayah Uthmaniyyah, dan kebangkitan semula Turkiye sebagai kuasa global.

Selain agenda Pan-Islamisme, Turkiye di bawah Erdogan juga tidak meninggalkan negara negara serumpun, negara asia tengah seperti Azerbaijan, Kazakhstan, Uzbekistan dan lain-lain yang mempunyai identiti bangsa Turk. Erdogan semakin giat menyusun pengaruhnya di dunia negara bangsa Turk dengan menjadi ketua dalam menggerakkan agenda “Pan-Turkisme”.

Agenda ini sebenarnya pernah diusahakan oleh Khalifah Uthmaniyyah sewaktu abad ke-19, ketika Empayar Uthmaniyyah semakin melemah. Enver Pasha, pemimpin Uthmaniyyah terakhir dalam Perang Dunia Pertama cuba untuk mengembangkan kuasa Uthmaniyyah ke Asia Tengah tetapi gagal dan akhirnya jatuh ke tangan Soviet. Di era Erdogan, Majlis Turkik ditubuhkan pada 2009 oleh Turkiye, Azerbaijan, Kazakhstan, dan Kyrgyzstan kemudian dikenali sebagai Organization of Turkic States (OTS) pada 2021. OTS ini juga bertujuan untuk memperkukuhkan lagi kerjasama ekonomi, ketenteraan, dan kebudayaan serta mengurangkan pengaruh Rusia dan China di Asia Tengah.

Realiti atau Angan-Angan Geopolitik yang Berlebihan?

Setakat hari ini, sejak Erdogan berjaya memenangi pilihan raya presiden walaupun dengan kemenangan yang tipis, tidak nampak tanda-tanda Erdogan akan memperlahankan agenda dan fokus beliau dalam membawa Turkiye menjadi releven di pentas politik antarabangsa sekaligus menempatkan Turkiye sebagai salah satu negara yang berpotensi sebagai negara yang mampu menjadi kuasa besar global.

Jika percaturan ini disusun dengan betul, Turkiye sudah pun di landasan yang betul dalam menjadi pengaruh besar di rantau Timur Tengah, Afrika Utara, Afrika Selatan, Asia Tengah dan Asia Tenggara yang sudah hampir menyamai sepertiga dunia. Dari sudut ketenteraan, Turkiye juga berjaya menjadi negara kedua terbesar dalam NATO dari sudut pemilikan aset dan kapasiti ketenteraan, namun dalam masa yang sama cukup pragmatik dalam membina hubungan dengan musuh utama NATO, Rusia dengan membeli alatan perang dan senjata daripada Rusia.

Tetapi semua ini tidak memberi jaminan apa apa kepada Erdogan dan Turkiye kerana masih banyak halangan dan isu-isu yang mampu meruntuhkan segala yang telah dibina ini. Erdogan sendiri sehingga hari ini diasak kiri kanan atas dan bawah dengan bermacam masalah baik di peringkat antarabangsa mahupun dalam negara. Walaupun Turkiye berusaha untuk meningkatkan pengaruh di dunia Islam dan kawasan serantau, ia sering berhadapan dengan konflik diplomatik dengan EU dan AS. Isu seperti hak asasi manusia, kebebasan media, dan dasar luar Turkiye yang lebih agresif dalam berpihak terutama isu konflik Palestin-Israel dan Ukraine-Russia memberi ketegangan dalam hubungan Turkiye dan Barat.

Isu Ini banyak memberi kesan kepada ekonomi Turkiye sebagai negara yang masih menjalinkan hubungan perdagangan dengan barat dan Israel dan sebagai negara yang masih bergantung kepada sumber tenaga luar, terutamanya gas dan minyak, yang menjadikannya terdedah kepada perubahan harga global. Kesannya, Turkiye menghadapi inflasi tinggi, ketidaktentuan mata wang, dan hutang luar yang membebankan ekonomi negara. Isu ekonomi yang tidak stabil ini menghalang kemampuan untuk berkembang menjadi kuasa besar yang boleh bersaing dengan negara-negara maju. Selain itu, Rusia dan China juga adalah dua kuasa besar yang masih berpengaruh di rantau yang Turkiye cuba untuk masuk membina pengaruh seperti di Uyghur dan Asia Tengah yang masih pekat identiti China dan Rusia.

Dalam negara juga Erdogan masih lagi berhadapan dengan isu kemerosotan kepercayaan rakyat kepada beliau kerana gagal mengurus pelarian dengan baik dan ekonomi yang semakin memburuk. Rakyat juga semakin hilang percaya terutama di bandar-bandar besar kerana Erdogan dilihat sedang membelakangkan demokrasi dan hak asasi rakyat di Turkiye. Rakyat kebanyakan pula sudah tidak sama dengan Turkiye tahun 2016 yang sayangkan Erdogan dan sanggup turun ke jalan raya bagi menggagalkan usaha kudeta tentera, malah rakyat kebanyakan mula merasakan Erdogan adalah diktator dan pemimpin kuku besi yang menggunakan politik untuk kepentingan diri.

Memang seronok untuk umat Islam bereuforia bila bercakap tentang kebangkitan kuasa besar Islam ini. Iyalah, umat Islam sudah hampir satu abad menantikan adanya kuasa Islam yang bangkit dan membela nasib umat Islam yang tertindas, dibantai, diseksa dan dibom saban hari. Melihat kebangkitan sosok Erdogan ini mungkin umat Islam merasakan seolah-olah ada harapan untuk nasib umat terbela. Namun, akhirnya dunia di dalam tatanan international liberal order ini menjadikan negara akhirnya perlu mengutamakan kedaulatan dan kepentingan negara masing-masing berbanding “maslahah umat”. Saya memulangkan semula soalan ini kepada pembaca, adakah agenda Neo-Ottomanism Erdogan ini sebuah Realiti Atau Romantisasi?

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

ARTIKEL MENARIK

Ikuti Kami

Sertai Kami

Wawancara Menarik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *