Search
Close this search box.

Siapa Kafir Harbi di Malaysia?

Penulis: Marwan Bukhari

Antara persoalan yang kerap timbul akibat pertembungan politik di Malaysia ialah menyebut lawan parti politik sebagai kafir harbi.


Persoalannya, bolehkah disebut sedemikian terhadap kelompok/parti tertentu dalam kalangan bukan Melayu-Islam di Malaysia?


Secara umumnya semua rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan negara adalah warganegara. Penggunaan istilah warganegara kepada bukan Muslim bukan sahaja sesuai di negara-negara Islam pada zaman ini termasuk di Malaysia, malah bertepatan dengan penggunaan istilah dalam perlembagaan yang merujuk semua sebagai warganegara tanpa mengira agama.


Warganegara bukan Melayu-Islam itu bukan kafir harbi kerana gelaran ini adalah kepada pihak yang memerangi orang Islam. Kalau ada pun yang bermasalah di Malaysia, mereka masih tidak dikira memerangi atau memusuhi untuk memerangi, justeru ungkapan yang sesuai ialah warganegara yang melakukan kesalahan.


Kalau kesalahan dalam memberi pandangan, boleh dibalas dengan hujah balas. Kalau kesalahan melibatkan undang-undang, maka individu atau kelompok terbabit boleh dilaporkan kepada pihak berkuasa.


Adapun kalau sekadar kerana berbeza parti politik, maka elakkan untuk digunakan istilah kafir harbi. Ada implikasi besar dari sudut fiqh hubungan antara Muslim dan bukan Muslim dalam sesebuah negara, malah pihak yang bersemangat tanpa ilmu boleh mengambil peluang ini untuk menggunakan kekerasan atas nama Islam.


Oleh itu, kalau anda terlalu emosional dan marah sekalipun, hentamlah lawan anda dengan membongkar kesalahan politik dan pentadbiran mereka. Hal itu lebih tepat dengan logik pertembungan antara parti politik berdasarkan prinsip semak imbang.


Lagi-lagi satu masa dahulu memeluk erat dan cukup menghargai kelompok yang dituduh sebagai kafir harbi itu. Dengan suasana politik yang makin fleksibel dari segi gabungan, tidak pelik jika satu hari nanti dua yang bermusuh itu kembali berkawan.


Kalau dalam konteks antarabangsa, darul harbi ada satu sahaja iaitu negara haram Israel jika menurut pandangan al-al-‘Allamah Yusuf al-Qaradawi dalam Fiqh al-Jihad. Beliau memberi hujah-hujah yang meyakinkan dan relevan.


Tambahan pula, para ulama dan pemikir bidang politik Islam dan perundangan zaman ini seperti al-Qaradawi, Muhammad Imarah, al-Ghannouchi dan sebagainya sudah membicarakan keperluan untuk tidak menggunakan istilah kafir zimmi. Walhal istilah ini mengandungi maksudnya positif yang menunjukkan hak dan tanggungjawab yang samarata antara warga bukan Muslim dan Muslim di dalam sebuah negara yang sama, kecuali hal-hal eksklusif yang bersangkut dengan hal ehwal agama.


Kalau istilah kafir zimmi sendiri sudah tidak digunakan meski bermaksud baik, maka apatah lagi istilah kafir harbi yang tidak tepat dengan fiqh kenegaraan Islam pada zaman ini. Semua adalah warganegara, atau istilah lain yang indah digunakan oleh almarhum Dato’ Dr Siddiq Fadzil ialah “saudara setanahair”.

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

ARTIKEL MENARIK

Ikuti Kami

Sertai Kami

Wawancara Menarik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *