Search
Close this search box.

Revolusi Gen Z Bangladesh: Berwaspada Sambil Optimistik

Penulis: Marwan Bukhari

Setelah lima minggu protes mahasiswa di Bangladesh, akhirnya Perdana Menteri, Sheikh Hasina meletak jawatan dan melarikan diri ke India. Protes pelajar yang dikelola oleh aktivis mahasiswa, Abu Sayed asalnya bertujuan membantah sistem kuota yang diperkenalkan oleh kerajaannya.

Sistem itu memberi keistimewaan kepada anak cucu keturunan para pejuang kemerdekaan Bangladesh dengan jaminan 30 peratus jawatan kerajaan yang menjadi rebutan para graduan dan anak muda.

Akhirnya, dari protes terhadap sistem kuota, mereka melihat masalah lebih besar pada kerosakan sistem yang diamalkan oleh rejim Hasina. Kesimpulannya, Hasina mesti dijatuhkan. Setelah ratusan pelajar termasuk Abu Sayed mati terbunuh pada 16 Julai 2024, Hasina juga berjaya dijatuhkan oleh gerakan protes yang istikamah sejak hari pertama bantahan.

Hasina berada di tampuk kuasa sejak 2009, bermaksud sudah 15 tahun menjadi Perdana Menteri buat kali kedua setelah kali pertama pada 1996-2001. Pada kali kedua pemerintahannya ini, Hasina telah berjaya meningkatkan kedudukan ekonomi Bangladesh. Namun, di sebalik itu, Hasina melakukan penindasan terhadap rakyat dan sistem demokrasi. Sebab itu dikatakan bahawa protes besar-besaran kali ini sudah ditanam benihnya sejak 15 tahun lalu. Anehnya, benih itu disiram oleh air penindasan Hasina sendiri.

Namun, kejatuhan Hasina bukan segala-galanya kerana revolusi adalah tindakan meruntuh, bagaimana membina? Siapa yang akan menuai hasil? Adakah Bangladesh akan digantikan dengan sistem yang berpandukan demokrasi dan tatakelola yang baik ataupun akan disailang oleh para politikus berminda Hasina ataupun mana-mana tajaan negara asing?

Segala peristiwa revolusi yang berlaku dalam sejarah memang menunjukkan bahawa fasa sangat genting ialah setelah kejatuhan diktator. Kemudian, beberapa tahun selepas itu akan mencabar kestabilan kerana banyak lagi tangan akan cuba memainkan peranan demi kepentingan masing-masing.

Oleh itu, berbanding “optimis sambil berwaspada” yang pernah menjadi syiar penulisan sesetengah pemikir ketika Revolusi Arab 2011, saya menggunakan kenyataan “berwaspada sejalan dengan optimisme” dengan mendahulukan sikap berwaspada yang tinggi.

Sikap berwaspada ini boleh diterjemah menerusi gerakan yang tersusun diwakili oleh pelbagai pihak tanpa dimonopoli oleh satu kumpulan politik sahaja, menumpukan prioriti tertinggi terutama melibatkan raison d’etre kepada protes ini dijalankan dan mengutamakan kepentingan ramai berbanding kelompok sedikit. Paling penting, darah mesti dielakkan untuk tertumpah sekali lagi setelah lebih 200 pelajar menyiram protes ini dengan darah mereka hingga berjaya menghalau Hasina.

Akhirnya, penting diulang peringatan salah seorang pemikir yang pakar tentang psikologi diktator dan revolusi, ‘Abd al-Rahman al-Kawakibi. Beliau menegaskan sejak beberapa kurun lepas tentang bahaya kewujudan “campur tangan asing” yang suka mengambil peluang huru–hara revolusi, lalu menjadikannya sebagai justifikasi untuk menjajah sesebuah negara serta memperhambakan penduduknya. Kalau hari ini, mungkin dengan ‘penjajahan jarak jauh’.

Al-Kawakibi berkata:

Apabila revolusi tercetus pada saat wujudnya campur tangan asing, ditambah dengan pertahanan dalaman rakyat masih lemah, dibimbangi ia boleh menjadikan revolusi sebagai peluang yang akan dipergunakan oleh kuasa luar yang membawa aspirasi bertentangan dengan kehendak rakyat, “negara lain akan mengambil peluang, lantas menguasai negara ini, memperbaharui perhambaan kediktatoran dengan mudah, lalu menyebabkan rakyat sekali lagi masuk ke dalam kitaran perhambaan yang sial”.

Intelektual Mauritania, Dr Shinqiti ketika menukilkan kata-kata itu menyebut, “boleh jadi al-Kawakibi mengenang semula peristiwa kegagalan Revolusi ‘Urabi di Mesir pada tahun 1881. British mengambil kesempatan pada revolusi tersebut untuk menjajah Mesir pada tahun 1882.

Pepatah Melayu menyebut, “keluar dari mulut buaya, masuk ke mulut harimau.” Contoh revolusi yang disailang mahupun counter-revolution juga berlaku di Timur Tengah sepanjang lebih satu dekad ini. Hal ini lebih mengukuhkan sikap berwaspada dalam memerhatikan perkembangan politik Bangladesh ini.

Namun, sekiranya berjaya melepasi cabaran tersebut, lalu pentadbiran baru berdiri di atas prinsip dan nilai pemerintahan yang baik, maka protes ini menjadi suatu peristiwa yang akan membawa Bangladesh ke taraf politik dan ekonomi yang lebih baik.

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

ARTIKEL MENARIK

Ikuti Kami

Sertai Kami

Wawancara Menarik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *