Penulis: Imran Rasid
Pada tanggal 22 Mei, 2014, Jeneral Prayuth Chan-ocha telah mengerahkan tentera Thailand untuk menggulingkan Perdana Menteri Yingluck Shinawatra. Pentadbiran ketenteraan yang totalitarian mula dilaksanakan. Sekatan dan penapisan media dan internet segera dikenakan, lebih daripada 10 saluran TV ditutup, sekitar 200 ahli akademik, wartawan, dan aktivis ditahan. Rakyat Thailand terpaksa tunduk dan hidup dalam kebimbangan.
“Kita kini mempunyai Big Brother yang sentiasa memerhati kita. Meluahkan pandangan adalah sesuatu yang sangat berisiko. Ianya menyedihkan, namun adalah lebih selamat untuk terus berdiam diri di Thailand hari ini,” keluh Kasama Na Nagara, salah seorang pekerja Kewangan dari Thailand. Bahkan, beberapa media turut melaporkan beberapa aktivis ditahan hanya kerana memegang sepanduk “Peace Please” di ruang awam.
Berbekalkan suasana yang autoritarian dan censorship yang dahsyat ini, anda mungkin membayangkan suasana politik yang sunyi daripada perlawanan atau bangkangan. Anda ternyata tersilap. Dalam keributan ini sebahagian rakyat Thailand masih membangkang dengan cara mereka sendiri. Bagaimana? Dengan membaca!
Beberapa minggu selepas berlakunya penggulingan kuasa, sekumpulan anak muda berkumpul di kawasan lalu lalang yang sibuk, atau di kawasan sekitar pusat membeli belah mewah. Mereka tidak berbual sesama sendiri, atau berinteraksi dengan orang yang lalu lalang. Mereka tidak “berhimpun” kerana melalui pengisytiharan darurat yang dideklarasikan pentadbiran junta melarang perhimpunan melebihi lima orang.
Sebaliknya, anak-anak muda ini hanya “melepak”, dan dalam diam mereka membaca, tanpa berselindung, buku-buku yang mengangkat tema pentadbiran kuku besi. Antara buku-buku yang menjadi pilihan ialah buku 1984 karangan George Orwell, Unarmed Insurrections oleh Kurt Schock, dan Thailand: The Politics of Despotic Paternalism tulisan Thak Chaloemtiarana. Melalui aksi mereka menyuarakan suatu bentuk mesej perlawanan yang tersembunyi, suatu bentuk protes. Protes dengan buku. Aksi kecil mereka ini mendapat liputan meluas oleh media antarabangsa.

“Rakyat kebanyakan cukup marah dengan kudeta ini, namun mereka tidak mampu meluahkannya,” kata Mook, seorang aktivis hak asasi manusia. Pun begitu, menurut Mook lagi, “Kami lekas mencari jalan lain untuk melawan, jalan yang tidak terlalu berkonfrontasi, dan salah satunya adalah dengan membaca.” Seperti kata seorang pemikir Perancis, Michel Foucault: “Where there is power, there is resistance!”
Anak muda yang protes dengan membaca di ruang-ruang awam. Sumber Gambar: Reuters
Kisah ini mengingatkan saya kepada perbualan bersama teman-teman daripada aktivis Buku Jalanan. Membaca buku, atau bahan bacaan apa sekalipun, adalah suatu praktis sosial. Kita sering membayangkan seorang pembaca adalah seseorang yang tenggelam dalam dunia kebukuan yang sunyi dan terpisah daripada realiti dunia. Hakikatnya, membaca juga boleh difahami dari lensa kolektif, suatu amalan berjemaah yang mampu menggugat status quo sang penguasa.
Gerakan Buku Jalanan, misalnya, adalah sebuah kolektif yang dimulakan pada tahun 1 Oktober 2011 oleh Zikri Rahman, Azrie Ahmad, dan Mohammad Idham. Kolektif ini berfungsi sebagai perpustakaan jalanan yang egalitarian, yang mengheret budaya membaca ke ruang awam. Modus operandinya mudah: tiap Sabtu petang, kolektif ini akan membentangkan tikar dan meletakkan buku-buku yang mereka kumpul di taman awam di Shah Alam. Buku-buku ini terbuka untuk dipinjam dan dibahaskan tanpa prejudis mahupun protokol.

Di sebalik aksi kecil tersisip suatu dimensi yang radikal. Kita harus membaca tindakan Buku Jalanan ini bukan hanya sebagai program santai tetapi juga sebagai suatu kritik terhadap sekatan dan kawalan maklumat di ruang-ruang awam di Malaysia. Intisari kegiatan Buku Jalanan ini harus difahami dengan latar sekatan budaya diskusi di Universiti, sekatan kebebasan berkarya melalui akta PPPA 1984, larangan untuk berkumpul dengan aman melalui Akta Perhimpunan Awam,dan yang sewaktu dengannya. Usaha mewujudkan ruang membaca alternatif di luar lingkaran sekatan dan projek pembodohan di institusi awam adalah suatu protes halus yang sangat bermakna.
“Buku dan tindakan membaca boleh ditanggap sebagai neutral, namun melihat sekumpulan pelajar berkumpul dan mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti dan sesi perkongsian dalam ranah buku, seni, budaya dan aktivisme membantu mengisi kekosongan dalam wacana universiti dan membayangkan semula apa yang boleh kita lakukan secara bersama… menjadi hasrat kami untuk menggalakkan budaya wacana, dan terutamanya budaya perlawanan, untuk mengambil tempat dalam komuniti kami” – wawancara bersama Zikri Rahman.
Usaha Buku Jalanan yang dimulakan pada tahun 2011 telah menginspirasi pertumbuhan pelbagai kolektif yang sama di tempat-tempat lain. Jaringan kolektif Buku Jalanan mencambah menjadi lebih daripada 80 cawangan, di dalam dan di luar negara. Perpustakaan jalanan ini berkembang dengan senarai buku yang lebih pelbagai, termasuk buku-buku yang diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri. Dengan slogan “membenih ilmu, mengakar pengetahuan”, kolektif ini cuba merangkul semula ruang awam dari sekatan dan kawalan kekuasaan elit melalui aksi membaca yang berani, terbuka, dan bersama.
Saya sering berpesan pada teman-teman pembaca buku tegar untuk meluaskan imaginasi mereka tentang makna membaca. Membaca bukan hanya aktiviti yang bersendirian. Bukan sekadar hobi atau fetish yang dicanang-canang di ruang awam. Buku, dan juga membaca, mempunyai simbolisme dan hubungan sosial yang luar biasa. Ianya juga mengandungi dimensi politik dan kemasyarakatan yang meluas, sekaligus harus digembleng sepenuhnya membentuk suatu tindakan massa.
Intipati ini tersingkap juga dalam ayat Quran pertama yang diturunkan dalam sejarah kenabian. Tidakkah kita lupa, ketika Malaikat Jibril menggesa Nabi Muhammad SAW untuk “Baca (Iqra’)” sewaktu baginda menerima wahyu pertama, susulan daripada peristiwa itu adalah sebuah tanggung jawab sosial yang besar menggunung? Begitulah tanggungjawab membaca, bukan untuk syok sendiri atau memperkayakan diri sendiri, tetapi untuk dihalakan kepada perubahan sosial dan pembentukan masyarakat yang lebih adil.




