Search
Close this search box.

Pondok Perlu Diaudit Walau Tidak Lahirkan Ekstremis

Penulis: Furqan Abdullah

Saya tidak berhasrat untuk mengulas berkenaan kenyataan Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid yang dilaporkan oleh akhbar Utusan mengenai dakwaan bahawa pondok berpotensi melahirkan ekstremis. Kenyataan ini telah mengundang reaksi dan maklum balas yang beragam daripada pihak yang bersetuju dan juga pihak yang membantah.

Walau bagaimanapun, saya lebih cenderung untuk membicarakan kenyataan susulan dalam laporan akhbar sama yang menggesa agar institusi pondok dipantau dan diaudit secara berkala. Saya kira ini merupakan elephant in the room dan inti kepada laporan akhbar tersebut. Ia merupakan isu pokok dan prioriti utama yang sewajarnya diambil berat oleh pihak-pihak berkaitan. Isu tatakelola dan pengurusan masuk-keluar sumber dana institusi tahfiz serta pondok sering menjadi tumpuan saya dalam penulisan dan komentar menerusi pelbagai pelantar (platform / medium) sama ada media sosial, media bercetak mahupun wacana umum.

Hal ini adalah disebabkan rata-rata penubuhan dan pengoperasian pondok serta pusat tahfiz didanai menerusi kutipan dana awam (crowdfunding) ataupun sebahagiannya dibiayai oleh institusi seliaan kerajaan seperti pusat zakat, jabatan agama islam negeri dan seumpamanya untuk memastikan kelestarian institusi. Oleh sebab itulah, apabila kita membuka aplikasi Youtube (versi percuma) umpamanya, kita akan disajikan dengan iklan-iklan berkaitan kutipan derma untuk pembinaan pondok dan pusat tahfiz selain iklan Octafx yang begitu menyakitkan mata dan menyesakkan dada.

Itu belum dicampur dengan tabung-tabung kutipan yang diletakkan di kedai-kedai, pasar-pasar, surau, masjid dan sebagainya. Malah lebih teruk lagi sebahagian pengusaha pondok menggunakan kanak-kanak dan remaja untuk meraih derma di stesen-stesen minyak dan kawasan-kawasan tumpuan ramai secara sukarela atau paksa rela (dengan disogokkan sedikit imbuhan yang tak setimpal dengan ‘pekerjaan’ mereka). Kita tidak mahu fenomena pada tahun 2012 berulang, apabila Al-Jazeera membongkar dan melaporkan bagaimana kegiatan kesukarelawanan (termasuk kutipan derma) menjadi antara penyumbang kepada peningkatan kadar eksploitasi terhadap kanak-kanak di Kemboja.

Penubuhan pusat tahfiz atau pondok pengajian mengajar ilmu-ilmu agama adalah sangat terpuji, manakala perbuatan berkempen dan mengajak orang ramai untuk menderma atau berwakaf untuk merealisasikan hasrat ini tidak patut dikeji. Namun demikian, hasrat ini perlu disertai dengan feasibility study dan strategi yang betul, terutama sekali untuk jangka masa panjang dan kelestarian operasi serta kebajikan pusat tahfiz tersebut.

Janganlah setelah tercapai hasrat atau sasaran derma yang dijangka, lalu operasi pusat tahfiz menjadi cacamarba, kebajikan guru-guru, kakitangan dan anak-anak tidak terbela. Malah lebih memeritkan para pengusaha dan pemilik tahfiz tersebut bermewah-mewah pula dengan kemewahan dunia, namun berterusan berbangga dengan ‘pencapaian berjaya’ menubuhkan pusat tahfiz, tetapi tanpa segan silu terus mengemis derma orang ramai atas alasan ingin mengembangkan lagi pusat tahfiznya. Lebih parah, ada pula ‘ustaz’ pengusaha tahfiz yang terpalit dengan gejala dan aktiviti tidak bermoral terhadap anak didik mereka! Tiada sekelumit rasa malukah dengan wang yang dikutip dari orang ramai, namun akhirnya tergamak melakukan aktiviti tidak bermoral?! 

Akhirnya, pusat-pusat tahfiz bertambah bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan, namun tidak mampu memberi impak atau kesan positif terhadap kemajuan dan ketamadunan. Jangan pula ada yang menuduh saya anti pondok atau anti pusat tahfiz pula, sebaliknya saya sangat kagum dengan beberapa pondok dan pusat tahfiz yang sangat bagus dan berkualiti, melahirkan penghafaz Quran dan juga profesional yang menyumbang kepada kemajuan negara.

Jika dianggarkan, kutipan dana yang diraih oleh institusi pondok dan tahfiz menerusi pelbagai medium pada hari ini tentunya menghasilkan jumlah yang tinggi secara keseluruhannya. Sebahagian pengusaha pondok pula dilihat lebih menekankan aspek pembinaan bangunan berbanding pembinaan modal insan. Seni bina pondok tak mahu kalah dan nak nampak eksklusif, namun kebajikan penghuni pondok seringkali tak diendahkan. 

Tidak salah hendak membina bangunan yang gah, tetapi perlu diseiringkan dengan perkhidmatan dan layanan yang selayaknya. Umpamanya, ada projek pembinaan pondok yang dikatakan kutipan untuk membina kubah sahaja mencecah hampir setengah juta ringgit. Padahal lebih elok sekiranya kos tersebut dilaburkan untuk kemenjadian pelajar, kebajikan guru, pembaikan fasiliti, pembinaan modul atau silibus yang bersepadu dan seumpamanya. 

Pada pandangan saya, setiap pusat tahfiz atau pondok pengajian memerlukan pengkhususan menurut disiplin ilmu tertentu seperti halnya pengkhususan di universiti. Pengkhususan ini merupakan elemen pelengkap kepada pengajian asas fardu ain dan pengajian berkitab yang diajar oleh guru-guru pondok. Pusat-pusat pengajian ini boleh dianggap sebagai alternatif atau pelengkap kepada sistem pengajian arus perdana, ataupun lebih fokus kepada pembinaan kemahiran insaniah (softskills) para remaja. Contohnya, pembinaan pondok pengajian yang mengkhusus kepada aspek keusahawanan untuk melahirkan usahawan muslim, justeru antara yang dipelajari adalah asas berkaitan muamalat, hukum-hakam riba, kewajipan zakat dan seumpamanya. Malahan, saya sedia maklum ada sebahagian institusi pondok yang sudahpun melaksanakan kegiatan ini, umpamanya mereka membeli haiwan ternakan daripada sebahagian dana yang terkumpul, kemudian dibiakkan dan dijual kepada orang ramai. Hasil jualan dijadikan modal pusingan untuk pengoperasian institusi. Ini merupakan antara contoh teladan yang wajar diketengahkan bagaimana sesebuah institusi pondok mampu berdiri sendiri dan berdaya saing tanpa berterusan meraih simpati dan derma orang ramai.

Justeru, isu ini perlu diberi perhatian yang sewajarnya malahan boleh dianggap sebagai aulawiyyat (prioriti) yang paling utama saat ini. Kita sedia maklum bahawa usaha untuk memastikan aspek tadbir urus, kawal selia dan pemantauan pengurusan pentadbiran institusi pondok ada dilakukan oleh majlis atau jabatan agama Islam setiap negeri. Namun, usaha ini boleh dikatakan masih lagi berada di tahap yang minimum atau dikatakan oleh sebahagian pengkaji sebagai bersifat pra-matang. Kajian berkaitan mekanisme untuk memastikan tadbir urus yang baik pula masih berada pada tahap bayi kecil (infancy level). Hal ini kerana, rata-rata kajian berkisar berkaitan metod pengajaran dan pembelajaran, teknik hafalan, keberkesanan pelajar dan seumpamanya. Sebaliknya, isu-isu berkaitan kepatuhan (compliance), prestasi (performance), pengurusan dana (fund management), ketelusan dan kebertanggungjawaban (transparency and accountability) lebih memerlukan perhatian dan sewajarnya dijadikan prioriti saat ini oleh institusi pondok dan pusat tahfiz.

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

ARTIKEL MENARIK

Ikuti Kami

Sertai Kami

Wawancara Menarik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *