Penulis: Luqman Tarmizi
Sebulan dua ini, masjid-masjid dan surau-surau di seluruh negara seakan-akan berpakat dan bersatu hati dalam menyampaikan khutbah Jumaat bertemakan rasuah dan korupsi. Berdasarkan carian pantas di internet, trend ini dimulakan oleh negeri Sabah pada 8 Oktober 2021 sempena ulang tahun penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), disusuli negeri Perak pada 24 Disember tahun yang sama. Ia diteruskan lagi di Selangor pada 7 Januari 2022, dan yang terkini teks khutbah yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang dibaca di dua buah masjid kelolaannya pada 14 Januari.
Pegangan teguh masyarakat Muslim terhadap agama perlu diambil kesempatan sepenuhnya untuk memastikan kefahaman agama yang mereka anuti itu merupakan kefahaman agama yang melawan rasuah, bukan kefahaman yang menyalahgunakan nas-nas agama untuk melindungi perasuah, atas nama ketaatan pada ulil amri, perpaduan umat Islam dan demi memelihara kestabilan negara. Justeru langkah melontarkan isu rasuah pada hari perhimpunan mingguan umat Islam amatlah tepat.
Jutaan tahniah diucapkan kepada semua pihak yang terlibat. Namun menjadi lumrah hidup, setiap usaha manusia akan terdedah kepada kekurangan yang perlu diperbaiki, dan ada kelompangan yang perlu diisi.
Mengarang khutbah antirasuah yang efektif
Syed Hussein Alatas dalam bukunya “Rasuah: Sifat, Sebab dan Fungsi” telah merakamkan pandangan beliau akan langkah yang wajib diambil untuk membanteras rasuah:
“…membangkitkan sebanyak mungkin orang untuk melawan rasuah, membangunkan kesedaran intelektual melawan rasuah, memperingatkan para pemuda akan bahaya rasuah bagi masyarakat manusia, menjadikan rasuah sebagai inti percakapan, membuang rasa hormat dan kepercayaan kepada orang yang rasuah, menghubungkan rasuah mereka dengan masalah-masalah kenegaraan, dan menulis sebanyak mungkin tentang rasuah.”
Berdasarkan panduan ini, dalam konteks yang sedang kita bicarakan, sebuah khutbah Jumaat yang efektif itu seharusnya mengandungi elemen berikut:
- Membangkitkan kesedaran untuk melawan rasuah
- Menyahkan rasa hormat dan kepercayaan terhadap perasuah
- Mengaitkan rasuah dengan masalah yang dihadapi negara
- Membincangkan isu rasuah dengan lebih kerap
Sebagai seorang pendengar setia khutbah Jumaat, saya fikir rata-rata khutbah Jumaat yang bertemakan rasuah yang sempat saya teliti masih belum menepati ciri-ciri yang disebutkan di atas.
Khutbah secara amnya tidak menyeru sikap yang aktif dalam menolak rasuah, semata-mata menggunakan laras bahasa yang umum, mengulang-ulang hadith ‘laknat Allah ke atas perasuah dan peminta rasuah’ tanpa tafsiran yang segar, serta tidak mencadangkan tindakan konkrit yang boleh diambil oleh sidang jemaah bagi melawan rasuah. Bahana rasuah terhadap negara dan rakyat juga tidak dikupas secara tuntas, sedangkan wujud perkaitan yang jelas antara rasuah dengan kemelesetan ekonomi, jenayah dan masalah negara yang lain.
Selain itu, disamping berdoa supaya sidang jemaah terhindar daripada jenayah rasuah, sepatutnya perlu juga dilantun doa semisal:
“Ya Allah, jadikanlah hati kami ini jijik kepada jenayah rasuah sepertimana jijiknya kami kepada daging babi, arak dan zina. Janganlah Engkau jadikan hati kami cenderung untuk menyokong, menghormati atau mengasihani mereka yang terlibat dengan rasuah. Satukanlah hati-hati kami untuk menyokong segala usaha bagi membanteras jenayah rasuah dan menjadikannya sebagai antara agenda utama negara.”
Rasulullah SAW menegaskan bahawa doa itu senjata orang beriman. Sesuai dengan sifat sebuah senjata, ia mesti diasah supaya bukan sahaja tajam menikam sasaran musuh, bahkan juga menusuk ke dalam hati pendoa itu sendiri.
Bahaskan rasuah pada tiap kesempatan
Kekerapan isu rasuah dilantunkan di mimbar Jumaat juga perlu ditambah. Sepanjang tahun 2020 dan 2021, tiada satupun teks khutbah di Wilayah Persekutuan yang disediakan oleh JAWI bertemakan rasuah, sedangkan dalam tempoh masa yang sama, khutbah bertemakan ketaatan kepada pemimpin telah disampaikan sebanyak tiga kali! Tambah mengecewakan, khutbah untuk menjustifikasikan perintah Darurat dan mempromosi kempen ‘Keluarga Malaysia’ sempat pula diselit dalam tempoh tersebut. Jelas pada hemat penulis, wujudnya keadaan misplaced priorities dalam pemilihan tajuk khutbah Jumaat di Wilayah Persekutuan, jikapun tidak di seluruh negara.
Jika pihak berkuasa agama benar-benar komited dalam isu rasuah, hal-hal ini perlu diberi perhatian sewajarnya. Bahaskan isu rasuah pada tiap kesempatan, samada secara serius mahupun santai. Jangan beri ruang kepada perasuah ini untuk bernafas, bangkitkan kesedaran melawan rasuah agar mereka ini terus terhimpit dan tersudut ke dinding pengadilan.
Masjid anti-feudalisme
Feudalisme dalam erti kata yang mudah bermaksud sebuah sistem masyarakat yang terlalu menekankan soal perbezaan darjat dan strata sosial, sehingga menatijahkan amalan ketaatan dan ketundukan melampau kepada pemimpin dan pembesar. Ini sekaligus mengakibatkan masyarakat berasa takut atau segan untuk melawan kebejatan yang dilakukan pembesar, hingga ke tahap kesalahan yang dilakukan itu dijustifikasikan dengan pelbagai hujah dan alasan.
Dalam hal ini, masjid sebagai rumah Allah SWT sewajarnya menjadi tempat pertama yang dikikis daripada budaya feudal yang terlalu mengagung-agungkan manusia berpangkat dan pembesar-pembesar negara. Amat mendukacitakan, tatkala Islam mengangkat prinsip kesetaraan seluruh manusia di hadapan Tuhan mereka, amalan membentangkan karpet merah bagi meraikan kehadiran pembesar ke masjid masih berleluasa.
Ditambah pula isu ‘menempah’ slot solat Jumaat di saf hadapan untuk golongan VIP dan pembesar, yang membangkitkan kemarahan rakyat. Sudahlah datang lambat, dibenarkan masuk oleh AJK masjid sedangkan ramai yang beratur di bawah terik matahari, kemudian dapat saf hadapan pula!
Penutup
Tidak terdetik langsung di hati penulis untuk memperlekehkan usaha pihak berautori agama dalam kempen rasuah ini. Bahkan kesediaan penulis meluangkan masa berfikir dan mengarang makalah ini menjadi bukti akan keinginan tulus penulis agar khutbah anti rasuah tidak dibuat sekadar melepas batuk di tangga.
Akhir kata, penulis mengalu-alukan mana-mana Jabatan Agama negeri yang masih belum, dan bercadang untuk menyediakan teks khutbah bertemakan rasuah, untuk mengambil mana-mana buah fikir yang dicadangkan dalam artikel ini demi kemaslahatan bersama.
Harta negara rakus dijarah,
Hutan dan balak lahap ditarah.
Marilah kita hidup bermaruah,
Benci korupsi laknat perasuah.




