Search
Close this search box.

Mungkinkah PAS Menawan Selangor?

Penulis: Izmil Amri

Ketika gerakan Reformasi tercetus, PAS paling ke depan menggalas gabungan Barisan Alternatif dan kemudian muncul johan dalam pilihan raya 1999. Lima tahun kemudian, Barisan Alternatif terbarai setelah DAP meninggalkannya akibat desakan Dokumen Negara Islam PAS. PKR ditinggalkan terkontang-kanting dengan satu kerusi.

2008, ekoran tiada pilihan, PAS dan segala pendukungnya sekali lagi membentuk komponen penting dalam gabungan Pakatan Rakyat; setelah usaha untuk membentuk kerajaan perpaduan bersama UMNO di Selangor digagalkan. PAS malah berpeluang menjadi MB di Perak dan Kedah.

Tidak lama kemudian, PAS sekali lagi mencetuskan perbalahan; kali ini dengan isu hudud, lalu Pakatan Rakyat pun berkubur pada sekitar pertengahan 2015. Politik Selangor turut bergolak ekoran Langkah Kajang, maka PAS pun melangkah pergi meninggalkan rakan-rakan gabungan buat ke sekian kalinya.

Gerombolan ‘Anwarinas’ yang ditolak PAS pada muktamar tahun itu akhirnya membentuk parti Amanah, bergabung dengan koalisi Pakatan Harapan dan kemudian menang dalam PRU ke-14 serta membentuk kerajaan. Namun PAS memperkukuh kedudukannya di ‘negeri-negeri Melayu’ ekoran penolakan pengundi terhadap rejim kleptokrat yang diketuai Najib Razak. PH di negeri-negeri tersebut ternyata tidak cukup kuat. Maka pengundi memilih PAS.

Pada PRU ke-15 pula, PAS ‘menunggang’ jenama Perikatan Nasional, sebuah gabungan yang terhasil daripada gerakan politik pintu belakang Langkah Sheraton. Ia ternyata memberikan hasil lumayan, lalu PAS menang besar. Hatta ia menyangka kemenangan terbabit adalah hasil daripada gelombang sokongan terhadapnya, seraya menggelar fenomena terbabit sebagai ‘Gelombang Hijau’.

Sampai hati PAS. Kecik hati Muhyiddin Yassin.

Pendek ceritanya, untuk sekian lama PAS telah meraih laba daripada setiap langkah penjenamaan baharu yang boleh ditumpang. Kalau kekal solo, PAS akan kekal berada di poket-poket sokongan yang menepati demografinya sahaja.

Kalau anda tidak percaya, cuba andaikan kalau Perikatan Nasional itu tidak ada dan lakukan kira-kira semula.

PAS malah lebih selesa hari ini mengenakan uniform biru tua Perikatan, ketimbang rompi coklat lusuh yang menjadi seragam para ‘amilin bertahun-tahun lama. Warna korporat PN itu ternyata lebih laku, kerana yang baharu tentunya lebih menawan kalbu. Apatah lagi dibingkai bersama larisnya jenama Abah Muhyiddin Yassin dalam kalangan penjawat awam.

Lalu kerana kira-kira inilah maka PAS dan segala penyokongnya begitu yakin dan percaya bahawa ia bakal mengatasi segala kemungkinan dan seterusnya menawan lubuk emas permata negeri Selangor Darul Ehsan.

Politik Kaum dan Agama

Kalau kita unjurkan angka-angka daripada PRU15 untuk meneka siapakah yang akan muncul juara dalam siri pilihan raya negeri yang bakal berlangsung tidak berapa lama lagi, memang tidak mustahil untuk PAS dan Perikatan mengekalkan momentum tersebut dan melanggar beberapa kerusi yang disandang Amanah dan Umno di Selangor. Malah mungkin juga kerusi-kerusi PKR.

Apatah lagi jika kita mengambil kira denyut nadi massa rakyat setelah tertubuhnya kerajaan campuran pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Denyut nadi ini pula begitu lunak untuk dimanipulasi bermodalkan jarum-jarum politik perkauman dan (politik) keagamaan. Benda-benda yang menyentuh hati memang lebih cepat buat melenting daripada benda yang menyentuh akal fikir.

Ini tidak jauh beza dengan strategi ketika Pakatan Harapan menjadi kerajaan pada ronda pertama setelah menang dalam PRU14.

Kegagalan mengawal naratif, menetapkan agenda dan menyampaikan mesej jelas akhirnya memberi kelebihan kepada pihak lawan mengisi vakum penghasilan kandungan media massa yang baru merasai nikmat kebebasan.

Sama sahaja dengan realiti hari ini.

Baru sahaja beberapa hari lalu kita menemukan semula isu-isu yang sudah lama tidak didengari, termasuk isu LGBT, program melawat rumah ibadat, tapisan filem dan (entah apa sebab) rampasan alat mainan seks. “Liberal betul dah kerajaan hari ni,” ujar lebai kepada rakan lebainya yang satu lagi. Dan sembang-sembang begini pun menular.

Pusat Kewartawanan Bebas (Centre for Independent Journalism, CIJ) baru-baru ini telah menjalankan pemantauan ketika PRU15 berlangsung, dan mengumpulkan hampir 100,000 angka data laporan penggunaan media sosial untuk menyampaikan mesej kebencian, dengan kadar keseriusan pelbagai.

Hasil cerapan daripada pemantauan terbabit menunjukkan 66,933 (57.41%) laporan melibatkan isu perkauman, dengan 12,054 daripadanya merupakan perkongsian atau komen yang bersifat melampau. Isu-isu keagamaan pula membentuk 21.24% daripada keseluruhan angka laporan.

Demikian cerminan sosiopolitik masyarakat, yang setelah lebih enam dekad Merdeka dan membentuk sebuah negara masih mempunyai banyak isu-isu tidak selesai, seputar perpaduan antara kaum dan persefahaman antara agama.

PAS dan politiknya pula langsung tidak membantu hal ini. Malah jika masyarakat lebih terpolarisasi, semakin tinggi kemungkinan PAS merampas kuasa di Selangor.

Namun masalah di satu pihak lagi ialah kegagalannya untuk mematikan tarikan terhadap PAS dan Perikatan Nasional sebagai alternatif yang wajar. Dengan 74 kerusi Parlimen, PN mewajahkan diri mereka sebagai benteng terakhir dan dahan berpaut bagi umat Melayu-Islam.

Di persimpangan itu, apa yang tinggal untuk dijawab oleh rakyat Selangor dalam kalangan demografi sasaran PAS ialah, “Apa salahnya undi PAS? Dulu pun PAS pernah jadi kerajaan di Selangor.”

Jadi apakah yang boleh dibuat oleh pakatan parti-parti pimpinan Anwar untuk menyelamatkan rakyat Selangor daripada kemungkinan diperintah PAS?

UMNO sebagai parti yang paling mungkin menerima laba besar hasil pakatan politik bersama Pakatan Harapan sewajarnya ditugaskan untuk menyusun serangan terhadap PAS dengan bermodalkan sejarah pentadbiran pimpinan Ismail Sabri. Ini supaya PAS dibuktikan untuk ke sekian kalinya memang bukan sebuah organisasi yang mampu mentadbir dengan baik, dan lebih tertumpu kepada usaha-usaha lain yang tidak menangani masalah-masalah perut dan dompet rakyat terbanyak.

Komunikasi Selangor harus lebih rancak menjalankan program-program fizikal, ketimbang program atas talian; untuk memberi sudut pandang yang lebih tepat kepada pengundi di kerusi-kerusi kelabu yang berpotensi beralih arah ekoran kempen kebencian yang sedang dijalankan oleh PAS secara atas talian. Tidak cukup sekadar duduk depan kamera dan bercakap sendirian dengan harapan orang mendengar serta percaya.

Perlu juga ada upaya untuk membersihkan institusi negeri daripada simpatisan PAS dan Perikatan, yang sehingga hari ini kelihatan jelas sedang berusaha untuk mensabotaj kerajaan negeri dengan langkah-langkah untuk memperlihatkan betapa ‘liberal’nya pentadbiran Pakatan Harapan Selangor. Institusi keagamaan misalnya, memang terkenal sebagai lubuk penyokong PAS. Perlu ada iltizam dan keberanian politik untuk berbuat ‘sesuatu’ supaya tindakan sabotaj boleh dihentikan.

Langkah-langkah ini penting kerana kalau denyut nadi pengundi Melayu-Islam yang ‘baina-baina’ itu dicerap, hampir pasti bahawa mereka amat terkesan dengan kempen PRU15 yang begitu galak mewarnakan PH dan DAP sebagai ancaman terbesar terhadap budaya dan nilai agamis yang menjadi amalan turun temurun, meski ini belum pernah berjaya dibuktikan. Masalahnya benda-benda ini tidak perlu bukti, cukup sekadar membina persepsi dan kepercayaan.

Pakatan Harapan Selangor serta rakan-rakan kongsinya yang baharu tidak boleh mengambil pendekatan ‘tidak apa’ sekiranya mereka mahu kekal meneruskan khidmat bakti kepada rakyat negeri Selangor, serta menyelamatkan negeri daripada tangan-tangan rakus ahli politik yang mempergunakan agama sebagai modal untuk mempermainkan emosi masyarakat supaya menyokong mereka. Khalas!

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

ARTIKEL MENARIK

Ikuti Kami

Sertai Kami

Wawancara Menarik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *