Penulis: Dr Sahul HM
Bagaimanakah pendidikan membina negara bangsa? Inilah persoalan yang berlegar-legar tanpa disodorkan hujah yang meyakinkan. Pendidikan yang kita sedang lalui dan yang sedang kita aturkan ini lebih menjurus kepada penyediaan tenaga kerja bagi memenuhi kehendak pasaran dan menjamin peluang kerjaya bagi semua lepasan entiti pendidikan, dari sekolah rendah hingga ke institusi pengajian tinggi.
Kita jarang membicarakan soal membina negara bangsa, secara bersungguh-sungguh, dalam memformulasikan kurikulum pendidikan. Biasanya yang menjadi pokok perbincangan ialah ‘kebolehpasaran’ dan ‘multi-tasking’, iaitu berkeupayaan untuk menjadi pekerja yang boleh melaksanakan banyak perkara dalam satu-satu masa.
Salahkah jika pendidikan kita menyasarkan untuk melahirkan pekerja yang berkebolehan? Tidak. Tidaklah secara mutlak. Namun, di sana ada lompong yang terperongo, sehingga menjejaskan unsur kemanusiaan daripada membaluti dan menghiasi keseluruhan sistem pendidikan kita. Di sinilah mustahaknya untuk kita menjenguk kembali Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang sekian lama hanya gah di atas kertas, di belakang buku panduan mengajar dan di dinding bangunan sekolah. Menurut FPK:
Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.
Kata kunci dalam FPK yang sering menjadi bualan para guru dan peserta arena pendidikan adalah, ‘insan yang seimbang dan harmonis dari segi JERI’. JERI merujuk kepada jasmani, emosi, rohani dan intelek. FPK ini ialah hasil daripada Laporan Jawatankuasa Kabinet 1979 yang dijelmakan semula secara sistematik. Jawatankuasa 1979 ini mendambakan anak-anak yang “…bukan sahaja perlu cekap bahkan perlu boleh berfikir dan bertindak dengan baik sama ada secara sendiri mahu pun secara beramai-ramai dengan berpandukan punca-punca akhlak yang mulia. Tegasnya individu yang lahir dari sistem persekolahan negara perlu selaras dengan tujuan pembangunan kemanusiaan.”
Tujuan yang dinyatakan di sini adalah untuk pembangunan kemanusiaan, bukan semata-mata untuk memenuhi permintaan sektor pekerjaan sehingga menekankan soal kemanusiaan dan pembinaan bangsa.
Kembali kita kepada persoalan asas tadi, bagaimana untuk menggunakan pendidikan bagi membina negara dan bangsa, negara bangsa? Kita harus kembali kepada tujuan asalnya, iaitu pendidikan yang menekankan akhlak mulia dengan tujuan untuk membangunkan kemanusiaan. ‘Kembali’ yang dimaksudkan di sini ialah keluar daripada kelaziman hari ini yang lebih banyak menjurus kepada soal teknikal dan pencapaian gred. Pernah sekitar awal abad ke-21, ramai pelajar kita berlumba-lumba untuk mengait sebanyak mungkin A dalam peperiksaan SPM. Semakin banyak A, semakin glamor diburu media. Bilangan A menjadi ukuran kejayaan. Jika A sahaja menjadi ukuran kejayaan, bagaimana dengan mereka yang tidak mendapat A? Satu lagi, adakah semakin banyak A menandakan generasi yang kita hasilkan tersebut semakin baik akhlak dan perangainya? Mereka ini ramah menyapa orang? Meraikan kepelbagaian kaum, budaya dan agama? Mengutip sampah di jalanan dan di stadium? Bingkas menolong orang yang berkeperluan? Atau bangkit memberi tempat duduk kepada sang tua dalam tren LRT?
Dalam zaman media sosial ini, jika ada anak-anak dalam tren yang bangun dan menawarkan tempat duduk kepada orang tua, itu menjadi satu keajaiban yang perlu dikongsikan. Ia tular seolah-olah berlaku satu pencapaian yang besar, sehingga kita lupa itulah yang sepatutnya dilakukan. Bukan tak boleh ditularkan, tetapi masyarakat kita seolah-olah tandus dan dahaga akan kebaikan sebegitu. Begitu juga, kita kagum kepada penonton bola sepak Jepun yang mengutip sampah selepas perlawanan tanpa kita sendiri mahu berubah dan mempraktikkannya. Ya, barangkali ada seorang dua yang melakukannya. Bagus, tetapi kita mahukan ia berlaku dan menjadi kebiasaan dalam masyarakat secara keseluruhannya, bukan seorang dua. Untuk menjadikannya satu keseluruhan dan sistemik, ia perlu diajar, diasuh dan diindoktrinasikan. Maka di sinilah peranan pendidikan diperlukan. Pendidikan sebagai alat membina bangsa dan menyemai kemanusiaan.
Saya masih kuat berpegang bahawa, pendidikan asas pada usia sekitar 5 hingga 7 tahun itu mestilah menitikberatkan elemen kemanusiaan dan pengenalan kepada kebangsaan. Di tadika dan prasekolah, inilah tempatnya kita menyemai benih akhlak dan adab kerana mereka masih seperti rebung yang mudah dilentur, bukan buluh yang mudah patah. Di peringkat usia ini, yang perlu dididik dan ditunjuk ajar kepada mereka adalah tentang nilai-nilai baik untuk berhubung dengan manusia, dari pelbagai latar kaum dan agama. Hubungan hablumminnannas diberi keutamaan, berbanding mengajar soal teknikal dan akademik. Pada usia 5 hingga 7 tahun ini, anak-anak ibarat span yang dituang air ke atasnya. Ia menyerap dan menyimpan air tersebut. Demikianlah pula jika kita menuangkan ke atas mereka segala nilai dan adab yang baik, akan disimpan kemas sehingga besar kelak.
Daripada nilai dan adab yang baik inilah terjelma sebuah negara bangsa yang baik pula. Sebuah negara yang bangsanya mempunyai patriotisme yang kukuh; jati diri yang teguh; kemanusiaan yang tinggi; dan adab yang terpuji. Ia tidak lagi hanya berbicara soal mendapat kerja, menjadi pekerja yang tekun atau bisa ‘bermulti-tasking’, tetapi lebih daripada itu, berkeupayaan untuk menyantuni manusia di sekitarnya dengan berhemah dan menyebarkan rahmah. Akhirnya, bukankah ini juga satu peluang kepada kita untuk berdakwah dan mentarbiyah?




