Search
Close this search box.

Mencari Madinah

Penulis: Khubaib Akhi

Seekor gajah di dalam sebuah bilik kecil, mana mungkin kita terlepas pandang, mana mungkin kita tidak terkesan, mana mungkin kita diamkan diri. Politik adalah gajah tersebut dan kitalah orangnya yang berada di dalam bilik kecil bernama Malaysia.

Benar kata orang, kita mungkin boleh sahaja tidak menghiraukan politik tetapi politik akan selalu menghantui kita. Mutakhir ini, di tengah dahsyatnya ujian pandemik yang merakamkan jumlah kes yang tidak pernah terjangkau di fikiran kita, Malaysia turut mendepani krisis pemerintahan, polemik politik yang kacau-bilau sehingga melempias ke isu perlembagaan dan kerukunan dalam bernegara.

Apa yang berlaku?
Mengapa ia berlaku?
Ke mana halatujunya?

Itu terserah kepada inisiatif setiap daripada kita untuk memahaminya dengan jujur dan adil. Untuk saya dan anda dalam makalah kecil ini, kita mahu sama-sama mencari ‘Madinah’ sebagaimana Nabi (ﷺ) dan para sahabat telah menemuinya.

Tulisan ini bersempena dengan Awal Muharram sebagai hari memperingati peristiwa besar Hijrah Nabi (ﷺ) dari Makkah ke Yathrib yang kemudian dikenali dengan nama Madinah al-Munawwarah.

Makkah Dalam Krisis

13 tahun lamanya Makkah menjadi tapak semaian risalah agung. Tiga tahun yang pertama nampak lebih tenang, sebelum peristiwa pewartaan dakwah secara terbuka oleh Baginda SAW di bukit Safa menandakan bermulanya era baru menatijahkan pergeseran yang lebih keras dengan masyarakat Musyrikin di Makkah.

“Celakalah engkau sepanjang hari ini,” Abu Lahab, bukan orang lain tetapi bapa saudara Nabi SAW sendiri yang menempelaknya, “Adakah semata-mata untuk ini engkau kumpulkan kami?” (Riwayat al-Bukhari)

Dalam fabrik masyarakat berbudaya asabiyah pada kurun ke-7 di Makkah, perlindungan adalah secara total bergantung kepada kabilah masing-masing. Penolakan keras Abu Lahab, orang nombor dua Banu Hasyim terhadap Nabi (ﷺ) adalah suatu isyarat tidak baik kepada keadaan Baginda.

Abu Talib, orang nombor satu Banu Hasyim menjadi benteng akhir yang melindungi Baginda, ‘anak angkatnya’ setelah kematian ibu bapa dan datuk Nabi (ﷺ). Berkali-kali juga kepala Musyrikin Makkah bernegosiasi dengan Abu Talib agar melepaskan perlindungannya ke atas Muhammad (ﷺ).

Tekanan dan kejahatan pihak Musyrikin Makkah masih dalam mode terkawal sehinggalah kematian Abu Talib. Lebih mendukacitakan, Khadijah r.a. turut meninggal dunia.

Kecemasan. Baginda (ﷺ) telah bertemu dengan pelbagai kabilah di Makkah, yang besar dan yang kecil sebagai ikhtiar mendapatkan perlindungan dan naungan setelah keluarganya sendiri, Banu Hasyim tidak lagi membela. Lebih-lebih lagi, kini Abu Lahab menjadi orang pertamanya. Semuanya menolak Baginda, ada yang menerima tetapi dengan syarat-syarat yang tidak munasabah.

Kejahatan Banu Thaqif di Taif yang melempari Baginda dengan batu-batuan sehingga luka teruk menambahkan lagi beban yang ditanggung. Mesyuarat di Dar an-Nadwah yang merakamkan pertemuan pemuka Musyrikin pula menyimpulkan bahawa Muhammad bin Abdullah harus dibunuh.

Makkah dalam krisis!

Pasak Madinah

“Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, Dia akan memberikannya jalan keluar dan memberikan kepadanya rezeki dari arah yang tidak dia sangka-sangka. Barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, cukuplah Allah baginya. Sesungguhnya Allah menjalankan urusan-Nya, Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu.” (Surah at-Talaq: 2-3)

Maha Suci Allah, betapa agung kasih sayang dan rahmat-Nya. Ketika yang diharapkan membela adalah keluarganya sendiri, Abu Lahab menolak. Kabilah-kabilah di Makkah juga menolak. Taif pula khianat. Rupa-rupanya 6 orang pemuda Yathrib yang menyahut seruan, lalu datang bersama 7 orang peserta lain memeterai Perjanjian ‘Aqabah Pertama yang dilanjuti Perjanjian ‘Aqabah Kedua disertai 75 orang.

Luar biasa. Inilah kota yang bakal menjadi tapak semaian iman, lebih dari sekadar tanah jajahan atau sempadan kuasa. Masyarakat dan negara baru akan terbina lalu memulakan sebuah naratif baru ketamadunan buat dunia seluruhnya.

“Wahai sekalian manusia, sebarkan salam, berikan makanan, hubungkan silaturahim, solatlah pada waktu malam sedang orang lain tidur.” (Riwayat Ahmad)

Menurut Abdullah bin Salam r.a., ini ialah kalam pertama yang Baginda ucapkan saat tiba di Madinah. Ia bahkan terkandung pasak-pasak sebuah kota yang bakal menggegar dunia.

Pertama; Sebarkan salam. Sama ada salam dengan maksud khusus memberi lafaz ‘Salam’ ataupun menyebarkan kesejahteraan, kedua-dua maknanya membawa konotasi bahawa pasak sebuah ‘Madinah’ adalah keamanan. Hanya dengan keamanan sesebuah institusi kenegaraan dapat berfungsi dengan baik.

Ini antara faktor ayat-ayat al-Quran berupa Syariat yang mengatur hubungan bermasyarakat dan bernegara bahkan ibadat berbentuk kolektif hanya muncul pada era Madinah dan bukan pada era Makkah. ‘Salam’ juga diaplikasikan dalam hal ehwal perundangan, perlembagaan bahkan dalam isu-isu kelestarian alam sekitar, pendidikan dan kesihatan yang memberi pengaruh kepada wellbeing sesebuah negara.

Kedua; Berikan makan. ‘Makan’ adalah ekonomi terkecil seorang manusia, maka yang lebih utama daripada itu adalah ekonomi-ekonomi besar seperti pelaburan, perindustrian, digitalisasi, ekonomi gig yang memberi maslahah kepada awam.

Pengasasan Pasar Madinah oleh Nabi (ﷺ), pembangunan institusi dan produk kewangan adalah terjemahan kepada frasa ‘memberi makan’ ini. Persoalan tentang agihan kekayaan, kesenjangan ekonomi, mobiliti sosial, peluang pekerjaan, kebolehpasaran dan lain-lain perkara berkaitan juga termasuk dalam pasak kedua ini.

Ketiga; Hubungkan silaturahim.

Tidak terhad kepada silaturahim sesama Muslimin, aplikasi yang ditampilkan Baginda (ﷺ) menjangkaui hubungan dengan masyarakat bukan Islam di dalam Madinah. Tidak hanya institusi persaudaraan al-muakhah yang mempersaudarakan sesama Muslimin, pelbagai perjanjian dan kontrak sosial dimeterai berupa Sahifah Madinah dan pelbagai wathiqah dengan Arab tempatan dan masyarakat Yahudi. Ia bukan saja percubaan berani melawan stigma perpuakan Arab ketika itu bahkan menjadi solusi kepada isu-isu co-existence bagi masyarakat majmuk dunia pada hari ini.

Keempat; Bangun malam. Religiousity atau keberagamaan adalah pasak unik yang diletakkan Baginda (ﷺ). Ia menggambarkan betapa terhubungnya unsur-unsur Rabbani kepada sebuah ‘Madinah’. Kita dapat lihat bagaimana Madinah membangun dengan komitmennya kepada urusan ritual keagamaan.

Sifirnya, semakin hampir hubungan dengan Tuhan semakin terasa pula ‘pemerhatian’ Allah (ﷻ) terhadap cara negara diuruskan, cara kekayaannya diagihnya, cara si miskin disantuni, cara keadilan ditegakkan, cara kezaliman dihancurkan dan sebagaimana. Malangnya, amatlah risau jika keberagamaan berubah menjadi alat tunggangan untuk maraih laba politik dan helah dalam makar siasah.

Demikianlah empat pasak ‘Madinah’ yang kita cari. Anda akan dapati ia terkandung dalam Sustainable Development Goals yang diasaskan oleh Pertubungan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebagai model negara bangsa bagi kurun ke-21 ini. Terlepas daripada soal kepartian dan isu-isunya, alangkah besarnya impian kita untuk melihat Malaysia pada masa-masa yang akan datang sekurang-kurangnya mempunyai roadmap ke arah ‘Madinah’ yang kita cari ini.

Sebagai pendesak dan pemegang undi pilihanraya kelak, letakkanlah pasak-pasak ini dalam deria bernegara kita. Pasak-pasak ini telah membawa Madinah berevolusi daripada ranah yang tandus kepada sebuah hub-ketamadunan yang menawarkan kelestarian pembangunannya kepada dunia.

Bersempena Maal Hijrah, ayuh mencari Madinah.

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

ARTIKEL MENARIK

Ikuti Kami

Sertai Kami

Wawancara Menarik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *