Search
Close this search box.

Memaknai Kembali Haji & Umrah

Penulis: Furqan Abdullah

Ibadat haji dan umrah sememangnya mempunyai nilai sentimental dalam kalangan masyarakat Melayu. Sejak sekian lama, umat Melayu bergolok-bergadai untuk mengerjakan haji. Almarhum Pak Ungku Aziz yang mempelopori idea penubuhan Tabung Haji menceritakan keadaan yang menyebabkan tercetusnya idea tersebut:

Saya lihat orang kampung akan menjual kambing, kerbau atau tanah mereka untuk menunaikan haji. Sekembalinya mereka dari sana, mereka tiada ternakan dan sumber rezeki.”

Kesukaran dan kepayahan yang dilalui oleh umat Melayu demi mengerjakan haji dan umrah sewajarnya menjadikan mereka lebih menghargai dan menjiwai falsafah di sebalik pensyariatan ibadat ini. Walau bagaimanapun, setelah berlalunya zaman dengan perkembangan teknologi beserta keupayaan pengangkutan yang memudahkan akses ke tanah suci, segala makna serta tujuan di sebalik pensyariatan ibadat ini kian pudar meskipun seseorang itu sudah berulang kali ke tanah suci.

Ibadat haji dan umrah bukan sekadar ritual kosong menghadap binaan batu Kaabah, apatah lagi dijadikan medan bertelingkah atau perlumbaan menonjolkan siapa yang paling mewah, jauh sekali untuk membeza-bezakan kasta manusia, antara yang paling bawah, kelas menengah atau kayangan yang memiliki pelbagai tuah.

Hakikatnya, ia mengajar, mendidik dan menanam nilai karamah insan, prinsip keadilan dan kesaksamaan, erti toleransi dan empati. Ironinya, segelintir kelompok yang sudah berkali-kali naik haji atau mengerjakan umrah masih menebal dalam diri mereka jiwa feudal, ketagihan layanan VIP, jika hasrat mereka tak dipenuhi nescaya akan dihamburkan kata nista dan caci maki.

Ada juga segelintir penguasa yang pergi mengerjakan umrah sunat sejurus setelah memperoleh kuasa pemerintahan melalui rampasan kuasa secara batil ataupun jalan khianat, untuk menutup kecurangan politik yang dilakukan. Kesemua ini berkemungkinan besar adalah berpunca daripada salah faham terhadap konsep amal ibadat dan kebajikan yang dianuti oleh sebahagian masyarakat sepertimana yang disinggung oleh Za’ba.

Beliau menegaskan, bagi orang Melayu amal ibadat itu hanyalah terkhas maksudnya kepada kerja-kerja untuk akhirat atau untuk mati sahaja, tidak termasuk padanya sesuatu yang ada kaitan dengan tujuan membaiki akhlak, membaiki laku perangai, membaiki kelakuan hidup atau sesuatu yang mengelokkan sifat-sifat keperangaian dan budi pekerti.

Justeru, segala pantang larang semasa ihram dan semasa keberadaan seseorang di tanah suci sebenarnya adalah medan pendidikan dan pedoman untuk dibawa balik sekembalinya mereka ke tanah air. Begitu juga, manasik seperti melontar di jamrah, adalah suatu simbolik untuk membuang serta melempar segala perangai buruk yang sekian lama bersarang dalam diri seseorang, terutama sekali yang mendatangkan mudarat kepada orang lain.

Penyempitan makna juga berlaku pada amal jahat yang lazimnya diertikan sebagai kerja-kerja maksiat peribadi atau pelanggaran larangan agama yang membuahkan dosa dan diancam dengan balasan neraka. Namun, menurut Za’ba lagi, amal jahat juga merangkumi kemungkaran yang terbit daripada kepercayaan yang hodoh dan karut, memuja syaitan, meminta-minta kepada “kubur wali keramat” dan memohon pertolongan daripada kuasa-kuasa ghaib yang lain daripada Allah. Kesemua bentuk kepercayaan ini merupakan sebahagian daripada belitan tipu daya iblis meskipun didakwa sebagai ajaran agama yang diambil daripada mereka yang digelar wali dan tok guru.

Jika kita renung, ibadat haji dan umrah antara lain bermatlamatkan untuk membanteras segala bentuk kemungkaran ini dengan hanya membulatkan kepercayaan kepada Allah. Lafaz talbiah umpamanya, memiliki makna yang sangat agung jika direnung. Ia menandakan kesediaan, kerelaan dan kesanggupan kita untuk menuju serta menyahut panggilan Tuhan. Tujuan dan orientasi para jemaah hanya satu, iaitu kepada Tuhan, untuk Tuhan dan demi Tuhan, tanpa dinodai sebarang unsur syirik (mempersekutukan Allah). Keseluruhan jiwa dan raga diserah dan dikerah hanya untuk memenuhi tuntutan Tuhan di atas muka bumi sebelum bertemu-Nya kembali pada kehidupan abadi.

Menurut Za’ba lagi, perbuatan dusta, mungkir janji, tamak haloba (rakus), tidak merasa belas kasihan (zalim), hasad dengki dan lain-lain seharusnya dimuatkan juga dalam kamus kejahatan masyarakat. Kesemua perangai keji sebegini lebih wajar dihindari oleh pak haji dan mak hajjah. Di samping itu, ibadat ini antara lain bertujuan membuang dan menyingkir sifat individualistik (keakuan atau ananiyah). Sifat ini semakin menebal dalam dunia hari ini, setiap manusia sibuk dengan hal sendiri, hanya mementingkan amal peribadi (hubungan dengan Tuhan). Padahal dunia ini tempat berbakti dan berbudi, nanti di kubur dan alam barzakh barulah masing-masing membawa amal sendiri, nafsi-nafsi.

Hakikatnya, hubungan spiritual dengan Tuhan (secara menegak) jika tidak digandingkan dengan hubungan sosial sesama makhluk (secara melintang) akan menjadikan kehidupan seseorang individu tempang dan cacat, dilanda kemiskinan jiwa, atau menurut Za’ba miskin watak. Dalam khutbah haji perpisahan (hajjatul-wada’) umpamanya, tercerna kesemua makna dan nilai akhlak dalam interaksi sosial, hubungan kemasyarakatan, malahan turut dimuatkan dasar ekonomi serta siasah.

Ini amat menarik untuk direnung, kerana pada hari arafah yang mana kebiasaannya pesan tipikal didendangkan antaranya ialah merebut fadilat hari tersebut dengan memperbanyakkan amal spiritual, berdoa dan bermunajat. Namun, pesan sebaliknya yang lebih holistik dilontarkan pada inti khutbah Nabi SAW agar umat menitik beratkan aspek-aspek sosial:

  1. Memelihara kehormatan darah (nyawa), harta dan maruah.
  2. Penunaian amanah.
  3. Menjauhi akhlak buruk yang berpunca dari karat-karat jahiliyah, umpamanya pertelingkahan, memakan riba, sikap taasub dan cepat baran seumpamanya.
  4. Jauhi amalan al-Nasi’ yakni mempermainkan hukum Tuhan, mengubah hukum sesuka hati menurut hawa nafsu dan selera.
  5. Memelihara kehormatan dan maruah wanita, bersikap ihsan terhadap mereka, bergaul dengan mereka dengan kaedah yang terbaik, mengangkat martabat mereka.
  6. Berpegang teguh dengan kitab Allah dan sunnah Rasulullah.
  7. Larangan memakan harta orang lain menerusi jalan yang batil dan larangan menzalimi orang lain.
  8. Persaudaraan kemanusiaan (ukhuwwah insaniyyah).
  9. Manusia yang paling mulia adalah yang paling bertakwa, bukan paling berharta, paling tinggi kastanya ataupun paling atas hierarki sosialnya.
  10. Pelihara hubungan kekeluargaan, antaranya menerusi instrumen yang terdapat dalam Islam iaitu wasiat dan faraid serta pemeliharaan nasab keturunan.

Al-Hafiz Ibn Mardawayh memuatkan riwayat sebuah hadis yang panjang berkaitan tanda kiamat yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas, beliau menceritakan semasa peristiwa haji perpisahan, Nabi SAW telah berucap di hadapan pintu kaabah dengan menegaskan, antara tanda kiamat adalah apabila berlaku fenomena berikut:

  1. Para penguasa pergi haji untuk makan angin dan bersiar-siar.
  2. Golongan berharta pergi haji untuk berniaga.
  3. Golongan miskin pergi haji untuk mengemis.
  4. Para qari pergi haji untuk menunjuk-nunjuk (riyak).

Kita dapat lihat sebahagian daripada amaran ini berlaku di hadapan mata kita pada hari ini. Ada segelintir peniaga dan penjual produk timbang kati, ejen MLM beserta duta produk suplemen yang mempromosikan perniagaan mereka di hadapan kaabah, kononnya ia dianggap sebagai pelaris jualan. Ada juga bangsatwan (meminjam istilah Pak Samad Said) yang sedang dibicarakan di mahkamah memperoleh keizinan khas untuk mengerjakan umrah, dengan alasan mengerjakan umrah merupakan acara rutinnya saban tahun. Sungguh ironi, sepatutnya keberangkatan ke tanah suci sebagai acara tahunan menjadikannya lebih kuat kawalan kendiri dari nafsu rakus dan penyalahgunaan kuasa, malangnya ia tidak berlaku dalam kalangan kayangan dan bangsatwan. Inilah antara contoh kelompok bebal, pandir dan jadong (meminjam istilah Almarhum Syed Hussein Alattas) yang tidak memahami falsafah beserta hikmah pensyariatan ibadat haji dan umrah.

Justeru, apa jua ibadat yang dilaksanakan tanpa penghayatan yang mendalam kepada makna, tujuan dan rahsia yang digariskan oleh syarak berkemungkinan menjadikannya tidak berbeza dengan perbuatan rutin ataupun hanya tinggal rangka luaran (mazhar) tanpa jauhar. Sedangkan, setiap ibadat yang disyariatkan sepatutnya mendatangkan kesan kepada diri pelaku ibadat, sekurang-kurangnya menjadikannya seorang manusia yang bertakwa (dalam erti kata mempunyai kawalan kendiri terutamanya jika melibatkan hak awam) dan berakal budi sebelum menjadi hamba Ilahi.

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

ARTIKEL MENARIK

Ikuti Kami

Sertai Kami

Wawancara Menarik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *