Search
Close this search box.

Memahami Kestabilan Versi Umno

Penulis: Izmil Amri

Johor yang dahulunya disebut kubu United Malays National Organisation (Umno), pernah juga menjadi ‘kubur’ Umno empat tahun lalu. Namun seperti zombie, ia kembali bangkit dari pembaringan dan berjaya menyusup menjadi kerajaan semula; seolah-olah tiada apa yang pernah berlaku.

Namun takdir menentukan, kebangkitan semula dari kubur itu bukanlah semudah yang dijangka. Lalu untuk beberapa purnama ia bertopang dengan bantuan parti-parti lawan yang ketika itu berpendirian bahawa kepentingan rakyat perlu diutamakan berbanding kepentingan politik kumpulan tertentu.

Takdir juga kemudiannya kelihatan gemar berjenaka, apabila kerajaan negeri dengan majoriti satu kerusi itu merasakan ia tidak stabil kerana, ya lah ia berpaut pada sokongan musuh-musuh politiknya. Justeru, demi mendapatkan kestabilan, Dewan Undangan Negeri Johor pun bubar bagi membuka peluang kepada BN Johor memperoleh kestabilan.

Itulah tema yang dijual kepada pengundi di setiap sepanduk yang mereka naikkan – kestabilan. Bagi mereka, kestabilan ini akan dibeli oleh pengundi, kerana kestabilan dalam kamus hidup orang ramai bererti keadaan kembali kepada status quo pra Pakatan Harapan. Biarlah pembangkang kekal membangkang, tak perlu kerusi banyak-banyak. Manakala BN dibiarkan merajalela dengan kuasa yang tidak tercabar. Barangkali begitulah.

Hakikatnya, kestabilan yang dimahukan BN adalah seperti kembali duduk di kerusi yang mempunyai lima kaki terbuat daripada besi. Tiada boleh digoyang-goyang, dan kalau berlanggar dengan kaki sesiapa, kerusi itu tiada menjerit sakit.

Kestabilan yang dimahukan BN ialah kedudukan yang tidak tercabar, dan kemampuan untuk kembali berbuat sesuka hatinya. Boleh korup tanpa disiasat, boleh salahguna kuasa tanpa dipersoal, boleh kembali bebas daripada letih naik turun mahkamah.

Bangsa Johor perlu betul-betul sedar akan hal ini. Walaupun harus diakui, permainan politik negara ini memang meletihkan dan serabut sehingga ramai yang tidak lagi mahu peduli; tetapi politik dan ahli politik rakus akan terus peduli tentang anda, walaupun hanya lima tahun sekali.

Selepas beberapa hari turun sendiri ke beberapa kawasan di Johor dan menyukat reaksi masyarakat terhadap kempen politik yang sedang berlangsung, sukar untuk kita menafikan bagaimana demikian ramai sudah pun membuat keputusan masing-masing untuk tidak ambil peduli.

Analisis Dr Ong Kian Ming hari ini juga tepat. Kata beliau, walaupun kita menyangka ramai anak muda dan pengundi kali pertama begitu teruja untuk menunaikan tanggungjawab mereka, mungkin ada angka yang lebih besar dalam kalangan pengundi lebih berusia yang tidak nampak apa perlunya mereka keluar mengundi pada 12 Mac nanti.

Pengundi sudah melihat bagaimana wakil-wakil rakyat yang mereka pilih sendiri akhirnya mengkhianati mandat yang diberikan setelah menang dan melompat ke parti lain demi kepentingan sendiri. Kata Dr Ong, kesan pemikiran yang sedemikian itu telah pun kita amati dalam dua pilihan raya negeri yang lalu di Melaka dan juga di Sarawak.

Dalam kedua-dua PRN, peratus keluar mengundi yang rendah ternyata memberi kelebihan kepada BN. Hakikat inilah yang menjadi pendorong kepada BN Johor untuk mengambil langkah serupa dengan mengadakan pilihan raya negeri mendahului Pilihan Raya Umum ke-15. Dengan berbuat demikian, apa sahaja sentimen nasional ketika PRU dapat dielakkan; selain faktor Covid-19 dan keengganan pengundi untuk pulang.

Pun begitu, bagi para pengundi yang telah membuat keputusan untuk keluar mengundi pada 12 Mac nanti dan dengan keazaman penuh untuk mengundi Pakatan Harapan; apakah pula motivasi mereka?

Memahami kehendak dan keperluan pengundi

Dalam perlawanan antara hati dan akal, hati sentiasa menewaskan akal; kecuali dalam beberapa perkara yang melibatkan perut dan tulang empat kerat.

Contohnya jika ada orang yang pendek akalnya mahu memainkan sentimen perkauman dan mempermainkan perasaan pengundi; yang akan mengalahkan hal itu iakah kesedaran tentang hal-hal yang boleh digaul bersama nasi.

Perut yang lapar tidak peduli soal remeh permainan kaum. Perut yang lapar hanya mahu diisi dengan makanan yang mampu dibeli, hasil pekerjaan yang peluangnya juga tidak sukar didapati.

Masyarakat Johor Selatan hakikatnya ramai yang bergantung kepada Singapura sebagai sumber pendapatan. Sementelahan nilai dolar Singapura hari ini tiga kali ganda lebih besar berbanding ringgit. Justeru soal peluang pekerjaan, pendapatan, harga barang makan, kos sara hidup dan bantuan yang boleh ditawarkan sesiapa sahaja yang diberikan mandat serta kuasa melalui peti undi.

Pakatan Harapan justeru perlu mengetengahkan tawaran dan ikhtiar yang lebih substantif bagi mendorong pengundi untuk menolak tawaran BN dan PN, dan seterusnya menafikan usaha kluster mahkamah untuk kembali bertapak di Putrajaya dan kekal ‘stabil’ di sana untuk entah berapa dekad lagi tanpa risau dicabar sesiapa.

Alangkan sekarang setelah didapati bersalah oleh dua mahkamah pun orang itu masih tiada rasa malu dan dijulang sebagai seorang boss. Inikah pula kalau kuasa sudah benar-benar kembali kepadanya. Ha, itulah dia kestabilan yang BN mahu. Soalnya, adakah pengundi Johor akan sanggup menunaikan kemahuan BN itu?

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

ARTIKEL MENARIK

Ikuti Kami

Sertai Kami

Wawancara Menarik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *