Search
Close this search box.

Masyarakat Madani: Antara Nasionalisme yang Membangun dan Asabiyah yang Meruntuhkan

Penulis: Dr Sahul HM

Makalah ini bertujuan untuk menarik keluar satu juzuk kecil daripada keseluruhan ucapan pelancaran gagasan Malaysia Madani oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) di Putrajaya pada 19 Januari 2023. Ia berhubung dengan subtajuk ‘Masyarakat’ apabila PMX memulakannya dengan keperluan mendesak kerajaan perpaduan ini bagi memelihara rakyat daripada penyakit perkauman dan manipulasi politik identiti yang bertujuan untuk memecahbelahkan rakyat negara ini. 

Politik ‘divide and rule’ perlu dinoktah secara muktamad. 

PMX seterusnya memetik tokoh agung dalam kesarjanaan Islam iaitu Ibn Khaldun dengan nukilannya dalam kitab Mukaddimah yang membela asabiyah bagi tujuan membangkitkan kesedaran kepada sesuatu kaum atau puak supaya bersatu dan bekerjasama, ‘taa’wun’ untuk membangunkan negara. 

Ya, memang Ibn Khaldun ada menganjurkan kepentingan asabiyah pada satu tahap yang terkawal, namun beliau juga memberikan syarat bahawa ia tidaklah boleh sampai berta’awun dalam hal yang membawa kerosakan. Di sinilah sempadan asabiyah, iaitu ketika sesuatu kaum atau puak mula menunjukkan ciri pembelaan terhadap salah laku dan kebejatan yang dilakukan oleh puak atau kaumnya.

Ketika sesuatu puak atau kaum mula menyemai fahaman “my country right or wrong” atau “my clan right or wrong”, maka di situlah bermulanya sempadan larangan agama terhadap sikap berkerjasama dalam hal yang membawa keburukan.

Walau bagaimanapun, penulis berpandangan bahawa ciri ta’awun yang dianjurkan oleh Ibn Khaldun itu lebih hampir kepada konsep nasionalisme yang berkembang di negara-negara yang dijajah, khususnya dalam kes ini, di sebelah Alam Melayu – lebih spesifik di Malaysia. Nasionalisme yang difahami sejak sekian lama oleh rakyat Malaysia khususnya umat Islam di negara ini tersasar daripada maksud dan pengalamannya yang sebenar. Nasionalisme yang pernah bercambah dan berkembang di tanah ini bukanlah seperti nasionalisme yang berkembang di Eropah. Ia jauh berbeza.

Nasionalisme yang berkembang di Britain misalnya tersebar dengan perasaan taksub dengan kelebihan diri sendiri dan memandang rendah terhadap bangsa lain, sehingga munculnya idea imperialisme yang menyebabkan dunia terjajah dan terjarah kerananya. Bangsa selain kulit putih dipandang sebagai bangsa yang perlu dibebaskan dan ditamadunkan sehingga munculnya kata azimat angkuh “white men’s burden”, iaitu kononnya beban orang putih bagi memikul tanggungjawab membebaskan dan mencerahkan penduduk dunia di luar benua Eropah. 

Nasionalisme di Malaysia tidak berkembang dalam kerangka pemikiran sebegitu. Lalu, apakah pentingnya untuk membincangkan hal ini dengan sebegitu terperinci? Jawapan penulis – kerana salah faham terhadap nasionalisme inilah berlakunya perpecahan umat Islam yang berpanjangan di Malaysia ini yang berpunca daripada lidah pemain politik yang mengecam parti politik yang pada namanya terdapat perkataan ‘nasional’ atau ‘kebangsaan’. 

Untuk berterus terang, parti UMNOlah mangsanya sejak sekian lama yang dikecam dan ditunjal-tunjal sebagai manusia yang mengamalkan ciri politik jahiliyyah, iaitu asabiyah. Natijah daripada salah faham ini menyebabkan banyak kerosakan yang berlaku terhadap ekosistem umat Islam khususnya dan rakyat Malaysia secara umumnya selama puluhan tahun.

Untuk penjelasan, perkembangan semangat kebangsaan/nasionalisme di Malaysia sejak dekad kedua abad ke-20 sehingga menjelang merdeka pada 1957 tidak pernah menunjukkan ciri asabiyah yang dilarang oleh Islam atau yang dikecualikan oleh karya Ibn Khaldun tersebut. Semangat kebangsaan atau nasionalisme orang Melayu-Islam di Malaysia bertolak daripada kesedaran untuk membebaskan diri daripada belenggu penjajahan berdasarkan ciri sejarah, bahasa, identiti dan nasib yang sepunya. 

Tidak pernah dalam wacana tuntas kebangsaan orang Melayu-Islam di Malaysia ketika itu berbicara soal membenci, memusuhi atau menyerang orang lain yang berbeza latar kaum dan agama. Walaupun ada beberapa tulisan yang tersebar melalui akhbar dan majalah sezaman, misalnya oleh tokoh seperti Rahim Kajai yang mengecam monopoli orang bukan Melayu, ia tidaklah sehingga menyemai kebencian dan permusuhan yang melata di seluruh tanah air. Lagi pula, ia tidakpun menjadi suatu pandangan arus perdana yang membentuk pandangan dunia orang Melayu-Islam. 

Disebabkan itulah menjelang tamatnya perang dunia kedua pada 1945, orang Melayu-Islam dan orang bukan Melayu-Islam mula terbuka untuk bekerjasama bagi menghadapi penjajah British dan menubuhkan PUTERA (Pusat Tenaga Rakyat) dan AMCJA (All-Malayan Council for Joint Actions) pada 1947.

Inilah sejarah sebenar yang tidak disebar dan dijelaskan secara bersungguh-sungguh di Malaysia sehingga berlakunya salah faham terhadap semangat kebangsaan atau nasionalisme ini. Lantas, ucapan PMX yang menganjurkan penyemaian ciri asabiyah itu perlu dipandu dengan berhati-hati dengan memahami dan memperbaharui semula wacana faham nasionalisme.

Nasionalisme sebenar yang berwajah Malaysia, harus disebarluaskan melalui pelbagai wahana yang mampu digerakkan oleh pihak kerajaan. Media konvensional dan media sosial ialah wahana utama yang perlu ‘dimanipulasi’ sepenuhnya supaya citra perpaduan kaum dan agama bagi membentuk satu bangsa Malaysia yang diresapi gagasan Madani dapat ditempa dan dimaujudkan. 

Bangsa Malaysia yang terbentuk perlu merasakan bahawa jiwa mereka ‘ingin dan sedia’ untuk bersatu bagi menuju masa depan yang sama. Ia wajib didasari oleh unsur nilai, etika dan akhlak sejajar dengan kepercayaan agama masing-masing seiring dengan prinsip pertama dalam Rukun Negara yang menjadi ideologi negara: Kepercayaan kepada Tuhan.

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

ARTIKEL MENARIK

Ikuti Kami

Sertai Kami

Wawancara Menarik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *