Search
Close this search box.

Maqasid Zakat Fitrah

Penulis: Furqan Abdullah

Bulan Ramadan cukup sinonim dengan ibadat zakat fitrah selain daripada ibadat puasa dan penurunan al-Quran yang menjadi tonggak kemuliaan bulan ini. Zakat fitrah ini jika tidak dihayati sebaik-baiknya menurut kaca mata syarak akan kekal hanya menjadi rutin tahunan umat Islam, lebih-lebih lagi kadar wajibnya adalah amat ringan sekali jika dibandingkan dengan zakat harta yang lain. Justeru, hantaran ini akan cuba menyingkap sisi-sisi yang mungkin sudah pudar daripada masyarakat berkenaan ibadat ini.

Kewajipan zakat fitrah bermula pada 28 Ramadan tahun ke-2 hijrah. Kewajipan ini mendahului perintah wajib zakat ke atas harta. Berdasarkan kepada nama ibadat ini, zakat fitrah terdiri daripada dua perkataan iaitu zakat dan fitrah. Zakat dari sudut bahasa bermaksud bersih, suci, berkembang dan subur. Fitrah pula bermaksud permulaan, penciptaan dan tabiat semula jadi.

Secara asasnya, kewajipan zakat fitrah adalah ke atas seluruh muslim yang mempunyai kecukupan buat diri dan tanggungannya bermula pada malam raya sehingga pada pagi raya Aidilfitri. Kadar kecukupan adalah seperti yang digariskan dalam hadis iaitu satu gantang daripada makanan asasi tempat atau negeri kediamannya ataupun yang menyamai nilaiannya.

Kewajipan zakat ini digandingkan dengan fitrah, iaitu hari perayaan yang berkesinambungan dengan puasa di bulan Ramadan. Oleh yang demikian, antara falsafah yang boleh diambil daripada kewajipan ini adalah menerusi nama fitrah itu sendiri, agar manusia merenung dan muhasabah diri mereka adakah mereka masih berada di atas garis fitrah yang telah digariskan oleh Allah SWT dan tujuan penciptaan manusia di atas muka bumi. Di samping itu, ia turut mengisyaratkan fitrah manusia yang bersifat belas ihsan dan simpati sesama manusia sesuai dengan maqasid pensyariatan ibadat ini yang diketengahkan oleh para ulama iaitu al-Muwasah.

Bertitik tolak dari falsafah ini, syariat Islam telah mewajibkan suatu kewajipan berupa pemberian sebahagian harta kepada golongan yang memerlukan, dan zakat menjadi tonggak utama kepada kewajipan ini. Zakat fitrah pula ibarat batu asas ataupun mukadimah bagi persediaan manusia untuk menunaikan kewajipan zakat ke atas harta-harta milik mereka. Ini kerana jika manusia sudah mampu memberi komitmen untuk menunaikan kewajipan zakat fitrah tanpa sebarang keculasan atau alasan, maka lebih mudahlah atau kurang rasa berat bagi mereka untuk mengeluarkan zakat ke atas harta-harta mereka yang lain. Justeru itu, perkara ini dilihat bertepatan dengan jiwa dan psikologi manusia yang lebih mudah dilenturkan melalui suruhan yang diarahkan secara bertahap-tahap.

Di samping itu, gandingan ibadat zakat fitrah dengan ibadat puasa itu sendiri mengisyaratkan kepada kita falsafah di sebalik penciptaan dan fitrah manusia itu sendiri yang digelar oleh sebahagian ilmuwan sebagai makhluk sosial. Hal ini kerana manusia tidak akan mampu untuk hidup berseorangan tanpa adanya pasangan ataupun lingkungan manusia di sekitarnya. Meskipun ibadat puasa itu adalah merupakan ibadat yang eksklusif antara hamba dengan Tuhan, namun ia tidak lengkap sempurna tanpa ditunaikan kewajipan zakat fitrah. Para ulama semisal Waki’ bin al-Jarrah menyinggung soal ini dengan berkata: “Zakat fitrah pada bulan Ramadan berfungsi untuk menampung kekurangan pada ibadat puasa, sepertimana sujud sahwi yang berperanan untuk menampung kekurangan solat.”

“Zakat fitrah pada bulan Ramadan berfungsi untuk menampung kekurangan pada ibadat puasa, sepertimana sujud sahwi yang berperanan untuk menampung kekurangan solat.”

Seperti yang dimaklumi, zakat fitrah ini adalah satu-satunya kategori ibadat yang terdapat di bawah kategori kewajipan zakat ke atas tubuh badan ataupun setiap individu. Perkara yang boleh kita renungi dalam hal ini adalah ia mengisyaratkan kepada salah satu mekanisme yang ampuh untuk memelihara jiwa kita daripada sikap kikir, kedekut dan bakhil, seterusnya mengelakkan diri kita daripada disambar api neraka di akhirat nanti. Lebih-lebih lagi, maqasid secara serampang dua mata bagi ibadat ini disebut dengan jelas dalam riwayat Ibn Abbas:

1. Penyucian bagi orang berpuasa daripada perkataan yang buruk dan perbuatan yang keji.

2. Memberi makan kepada golongan miskin.

Jika kita lihat dua maqasid di atas, pasti ada persoalan yang mungkin timbul, antaranya mengapa zakat fitrah turut diwajibkan ke atas kanak-kanak yang mana dimaklumi bahawa mereka tidak diwajibkan berpuasa? Persoalan ini dijawab dengan sangat menarik oleh Almarhum Syeikh Atiyyah Salim yang menukilkan daripada sebahagian ulama, beliau menyatakan bahawa sebagaimana wujudnya anak-anak orang kaya yang tidak berpuasa dan dalam masa yang sama mereka mempunyai makanan, akan tetapi pada sisi yang lain, wujudnya anak-anak fakir miskin yang juga tidak berpuasa namun mereka tidak mampu atau tidak mempunyai makanan untuk dijamah. Justeru, zakat fitrah turut diwajibkan ke atas kanak-kanak (ditunaikan oleh ketua keluarga) antaranya bagi mendidik mereka bersikap cakna kepada golongan yang kurang bernasib baik dan memupuk fitrah kekayaan jiwa dalam diri mereka sedari kecil.

Di samping itu, jika kita merenung dengan lebih mendalam dua maqasid zakat fitrah yang disebutkan, ia berkait dengan dua aspek yang penting, iaitu aspek penyucian diri (tazkiyah al-nafs) yang memberi kesan kepada individu yang berpuasa itu sendiri dan juga aspek sosial iaitu sebagai salah satu medium untuk memberi makan serta berkongsi kegembiraan dengan golongan fakir miskin yang sering dianggap sebagai golongan terpinggir (marginalized community). Aspek ini yang sewajarnya ditonjolkan sebagai sisi unik Syariat yang bersifat sejagat dan sentiasa merangkul kesemua lapisan masyarakat tanpa mengira darjat dan pangkat.

Justeru, apa jua ibadat yang dilaksanakan tanpa penghayatan yang mendalam kepada makna, tujuan dan rahsia yang digariskan oleh syarak berkemungkinan menjadikannya tidak berbeza dengan perbuatan rutin. Sedangkan, setiap ibadat yang disyariatkan sepatutnya mendatangkan kesan kepada diri pelaku ibadat, sekurang-kurangnya menjadikannya seorang manusia secara hakikatnya sebelum menjadi hamba kepada Tuhannya. Zakat fitrah sepatutnya menjadikan pelakunya merenung erti dan hakikat beragama yang bukan hanya mengambil berat berkaitan aspek penyucian diri dan jiwa individu, malahan turut menyingkir sifat individualistik. Ia juga berfungsi untuk menanam sifat cakna, memupuk sikap empati, belas ihsan dan kebajikan terhadap golongan terpinggir serta tertindas.

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

ARTIKEL MENARIK

Ikuti Kami

Sertai Kami

Wawancara Menarik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *