Pondok Siyasah 9.0 Fasa Pertengahan telah diadakan di Hotel Swiss Garden Bukit Bintang pada 28 hingga 30 Jun 2024 yang lepas. Program ini menyaksikan kehadiran lebih 20 orang peserta dengan bantuan lima orang fasilitator yang melicinkan lagi perjalanan program.

Program ini diadakan bagi meneruskan agenda membentuk pelapis pemikir, pemimpin, dan pendakwah yang memiliki pengetahuan mantap dalam politik Islam, melatih pasukan yang menyebarkan mesej perpaduan dan menangkis naratif sempit serta membina jaringan pemimpin pendapat dan menghasilkan kandungan wacana politik Islam sederhana.


Program yang telah dianjurkan oleh Asatizah Selangor (ANAS) ini memberi penekanan kepada pelbagai aktiviti iaitu sesi ceramah oleh Dr Azman Husin dan Dr Sahul Hameed. Selain itu, terdapat juga aktiviti dalam kumpulan diadakan seperti perbincangan kumpulan, debat olok-olok, dan sesi dialog isu politik kontemporari.

Modul dalam Pondok Siyasah Fasa Pertengahan ini menekankan isu “Tragedi 13 Mei” dan “Teladan Kepimpinan Rasulullah SAW”. Modul ini dirangka bagi memberi pendedahan kepada para peserta tentang isu-isu semasa dan juga naratif yang diketengahkan oleh Islam dalam kerangka politik.
Semoga melalui program ini tujuan untuk memperkasa kefahaman politik Islam dalam kalangan peserta dan serta dapat membina jaringan diperkukuhkan.




