Pondok Siyasah Fasa Lanjutan telah diadakan di Swiss Garden Hotel, Bukit Bintang pada 17 hingga 19 Mei 2024 yang telah melibatkan seramai lebih 20 orang mahasiswa dan dibantu oleh lima orang fasilitator. Pondok Siyasah Fasa Lanjutan ini bertujuan membentuk pasukan mahasiswa dan pendakwah muda dengan pengetahuan mantap mengenai politik Islam, melatih peserta menjadi pemimpin yang menyampaikan mesej perpaduan dan menangkis naratif keagamaan sempit melalui media sosial.
Tambahan lagi, Pondok Siyasah ini menjadi platform untuk menyediakan rujukan bagi masyarakat dalam isu politik Islam dan membina jaringan pemimpin pendapat (thought leaders) yang kritis dan berpengaruh.
Modul ini memberi penekanan kepada kesesuaian dan keberkesanan rancangan serta menghasilkan generasi pertama peserta yang dilatih melalui tiga modul berbeza. Peserta akan diberi tugasan awal dan diminta untuk membentangkan cadangan projek selepas program.
Terdapat 3 slot ceramah yang telah diadakan seperti Dialog Isu-isu Islam dan Politik Kontemporari oleh Ustaz Marwan Bukhari merangkap Mudir Pondok Siyasah, slot bersama Dr Nizamuddin Alias berkaitan kerencaman dan kerumitan Sistem Tatanegara.
Sesi kemuncak pula menampilkan Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Amirudin Shaari dalam satu Sesi Dialog Khas bersama para peserta dan alumni Pondok Siyasah. Soalan-soalan ‘panas’ yang diajukan oleh para hadirin dijawab secara jujur dan tuntas, merangkumi polisi kerajaan negeri, latar belakang peristiwa Langkah Sheraton serta bacaan terhadap intrik politik semasa.

Pondok Siyasah Fasa Lanjutan ini juga mengetengahkan idea-idea para peserta dalam sesi pembentangan yang diadakan. Para peserta telah diberi masa untuk membuat kajian dan penulisan untuk menghasilkan satu kertas cadangan yang menyentuh isu-isu semasa seperti masa depan kuasa ketiga (third force) dalam politik nasional, polisi geopolitik negara di bawah pimpinan YAB PMX dan kaedah menangani kebangkitan politics of fear golongan pelampau kanan.





