Program Pondok Siyasah 11.0 Fasa Lanjutan telah berlangsung dengan jayanya pada 20 hingga 22 September 2024 yang lalu di Hotel IDEAS Kuala Lumpur. Program ini merupakan inisiatif lanjutan yang bertujuan memperkukuhkan kefahaman para peserta terhadap isu-isu politik semasa, kemahiran kepimpinan, serta pemikiran strategik dalam konteks pembangunan negara khususnya dalam kerangka politik Islam. Program ini dirancang untuk melahirkan pemimpin yang progresif, bertanggungjawab, dan mampu membawa perubahan positif kepada masyarakat.

Berbanding dengan fasa sebelumnya iaitu asa permulaan dan fasa pertengahan, Pondok Siyasah Fasa Lanjutan ini memberikan peluang kepada peserta untuk membentang pelbagai isu dan permasalahan yang merangkumi isu politik semasa dan keadaan ummah sambil dibimbing oleh fasilitator.
Antara isu yang menjadi topik hangat seperti MA63, keperluan wanita dalam mengisi kuota, peranan pendakwah dalam menjalankan keperluan politik dan dasar luar Kerajaan Madani. Kesemua pembentangan ini dijalankan dalam suasana yang harmoni dengan pelbagai pandangan dapat diraikan.
Slot yang menjadi ‘highlight’ peserta pastinya slot Dialog Khas bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari Dalam slot ini, beliau telah menyampaikan syarahan mengenai dasar-dasar kerajaan Negeri Selangor, isu-isu semasa dan literasi politik. Beliau turut menggesa agar golongan belia khususnya mampu terlibat aktif dalam memberi sumbangan terhadap masyarakat setempat sama ada idea, masa, tenaga dan wang ringgit.

Berbetulan dengan tarikh ulang tahun meletusnya gerakan Reformasi 1998 pada tanggal 20 September, YAB MB meluangkan waktu yang tidak sedikit dalam menerangkan peri pentingnya gerakan ini dalam mencorakkan gaya fikir masyarakat, terutamanya dari sudut politik dan kebudayaan, yang tercermin melalui kata-kata beliau:
“Selepas tanggal kemerdekaan, letusan gerakan Reformasi 1998 merupakan peristiwa kedua, atau ketiga terpenting dalam sejarah nasional, yang telah mengubah paradigma kepimpinan negara dan cara fikir rakyat.”
InshaAllah, Pondok Siyasah akan kembali dengan lebih tangkas dan sakti pada tahun 2025. Buat yang berminat untuk sertai, sila isi maklumat pada pautan ini untuk dihubungi oleh koordinator Pondok Siyasah.




