Search
Close this search box.

Haji Hadi dan Politik Agama Yang Memecah-Belah Umat

Penulis: Imran Rasid

Saya tidak pasti apa yang bermain dalam pemikiran Ustaz Haji Abdul Hadi Awang sejak dua menjak ini. Sebagai orang politik, dan juga ahli Dewan Rakyat, bicaranya tidak menggambarkan wacana dasar-dasar awam atau agenda pentadbiran. Sebaliknya, beliau lebih sibuk berfatwa di ruang-ruang media sosial, dengan menghukum parti-parti pemerintah sebagai “melawan Quran”, “fasiq”, dan “sekular”.

Ini bukan bahasa pemimpin politik atau wakil rakyat yang sibuk memikirkan masalah-masalah ekonomi dan politik yang semakin getir menjelang tahun 2023 ini. Bahkan, ini bahasa seorang agamawan berfikiran sempit yang berhasrat melaga-lagakan umat Islam dengan fatwa-fatwa yang memecah-belahkan.

Sebenarnya apabila ditinjau latar riwayat politik Haji Hadi, maka kelakuan beliau ini konsisten dengan pendekatan beliau sebelumnya. Orang muda hari ini mungkin ada yang tidak tahu, bahawa Presiden Pas yang satu ini dahulunya pernah dikenali dengan “Amanat Haji Hadi”, suatu deklarasi yang kemudian difatwakan sesat oleh Jabatan Islam Negeri Melaka!

Bermula pada tanggal 7 April 1981 di Banggol Peradong, Kuala Nerus, Terengganu, Ustaz Hadi dikatakan telah menyampaikan satu ucapan yang mengundang kontroversi:

“Saudara-saudara sekalian percayalah, kita menentang UMNO, bukan kerana nama dia UMNO. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana namanya Barisan Nasional. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka. Percayalah saudara-saudara sekalian, Perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Kerana itulah kita berjuang dengan puak-puak ini. Kalau kita mati kerana berlawan ini, Mati kita adalah mati Islam. Kita tidak payah masuk Yahudi, kita tidak payah masuk Kristian, Kita tidak perlu masuk Hindu, Kita tidak perlu masuk Buddha, Tapi kita menjadi kafir dengan mengatakan politik suku, agama suku”.

Petikan daripada ucapan yang lebih panjang inilah yang dirujuk sebagai “Amanat Haji Hadi” oleh beberapa pihak. Sedutan ucapan ini dicetak secara besar-besaran dan disebar luas dalam kalangan pengikut dan lawan beliau.

Dan hari ini, ucapan “politik suku, agama suku”, datang dengan bentuk yang berbeza, diulang lagi melalui tuduhan bahawa PKR mempertahankan ajaran Bible “Serahkan urusan kerajaan kepada raja (manusia), dan serahkan urusan Tuhan kepada Tuhan.” (Matthew 22: 21). Apakah ini ulangan Amanat Hadi edisi 2023?

Ramai juga yang mungkin tak tahu, sebab mengapa “Amanat Haji Hadi” ini penuh kontroversi adalah kerana ianya disebut-sebut menjadi pengilham kepada penghidupan semula polemik dan budaya takfiri dalam politik di Malaysia pada waktu itu.

Nah, budaya takfiri ini bukan sesuatu yang baru dalam sejarah Malaysia, ataupun sejarah Islam sendiri. Budaya menghukum sesuatu individu atau kelompok sebagai kafir berlaku sejak kewafatan nabi Muhammad SAW lagi, dan ramai ulama’ mencela kegiatan mengkafirkan seseorang secara semberono.

Haji Hadi mungkin tidak mengkafirkan PKR atau mana-mana individu secara spesifik, tetapi sejak dari dulu beliau tidak segan, dan secara sipi-sipi, memetik ungkapan “kafir’ sewaktu berceramah tentang lawan politiknya.

Pada tahun 1986, misalnya, dalam sebuah perhimpunan mengalu-alukan pembebasan seorang tahanan ISA, Haji Hadi ditanyakan oleh ahli-ahli UMNO (melalui nota) sekiranya ada mana-mana nas atau hadis yang boleh membuktikan orang UMNO itu kafir.

Jawab beliau, orang-orang UMNO boleh menjadi kafir atas tiga faktor; (i) Ahli-ahli UMNO telah menyokong perlembagaan negara yang bukan merupakan perlembagaan Islam; (ii) Pemerintah yang terdiri dari orang-orang UMNO telah meletakkan perlembagaan negara lebih dari Al-Quran; (iii) Kezaliman yang ditunjukkan oleh pemerintah terhadap orang-orang Islam, khususnya PAS, jelas menunjukkan mereka tidak Islam.

Logik seperti ini juga boleh ditemui dalam pelbagai kes-kes takfiri yang lain. Misalnya, timbul satu kes takfir pada Ogos 1979 di Mahkamah Syariah Besut, Terengganu melibatkan individu bernama Haji Mustafa bin Abu Bakar.

Beliau dibicarakan atas sebab memberi syarahan agama yang mengandungi kenyataan-kenyataan seperti: (i) Orang-orang UMNO Islam dalam Barisan Nasional hukumnya murtad; (ii) Orang-orang UMNO dalam Barisan Nasional tidak sah dijadikan imam sembahyang; (iii) Sembelihan orang-orang UMNO Barisan Nasional tidak boleh dimakan; (iv) Tidak sah akad nikah sekiranya jurunikah itu orang Barisan Nasional.

Tidak menghairankan pada periode yang sama, timbul pelbagai isu tentang solat Jumaat berlainan imam, kes cerai-berai antara suami dan isteri, semuanya akibat garis parti politik yang di “aqidahkan”. Hujahan seperti ini bukan sahaja tidak selaras dengan pemahaman idea politik dan kenegaraan moden, tetapi juga berbahaya dan boleh memecah-belahkan masyarakat Islam dan mencetuskan pergaduhan bersaudara. Nauzubillah!

Berbeza dengan zaman dahulu, zaman edan hari ini diperkasakan dengan kelebihan teknologi maklumat dan media sosial dengan capaian yang cukup meluas. Maksudnya, sekiranya orang politik tidak berhati-hati, budaya takfiri ini boleh jadi jauh lebih meluas dan tersebar.

Tak perlu lagi mengedar-edar kaset atau berceramah hari-hari. Cukup dengan paparan FB, diikuti dengan selingan gambar dan poster yang memuatkan petikan perenggan terpilih, sudah cukup untuk menyebar luas sesuatu idea kepada khalayak ramai.

Contohnya, apabila Ketua Pemuda PAS Sik, Mohd Shahiful Mhd Nasir, mengeluarkan hukum sesiapa mengundi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan masuk neraka sewaktu ceramah kempen PRU, videonya itu telah menular kepada ribuan pengguna. Susulan permohonan maaf beliau tidak lagi berguna kerana mesejnya sudah tersebar luas.

Orang agama dan orang politik harus lebih sensitif dalam berpolitik dan tidak menunggang agama untuk kepentingan mereka semata-semata. Semua maklum bahawa agama dan politik TIDAK BOLEH diceraikan, tetapi ianya boleh dan harus DIBEZAKAN. Meratib-ratib frasa “politik suku, agama suku” dengan niat mengakidahkan politik hanyalah suatu retorik politik yang membahayakan amalan beragama itu sendiri dalam sesebuah masyarakat.

Rujukan

  • Abdul Mutalib, M. F. M., Omar, H., & Ahmad, M. H. A.-S. (2020). Pemikiran Radikal Politik Kepartian Melayu Islam di Malaysia:Analisa Peristiwa Takfir. Jurnal Pengajian Islam, 13(1), 78-85. Retrieved from https://jpi.kuis.edu.my/index.php/jpi/article/view/35
  • Hj Abd. Latiff, A. Z. (2003). Isu Kafir-mengkafir Dan Implikasinya dalam Perkembangan Politik dan Sosial Masyarakat Melayu. Jurnal Usuluddin, 17, 15–32. Retrieved from https://ejournal.um.edu.my/index.php/JUD/article/view/4068
  • Bakar, I.A. (1993). Takfīr: Interpretasi Semantik dan Teologi Islam. Bangi: UKM
  • Malhi, Amrita. “11. The PAS–BN Conflict in the 1990s: Islamism and Modernity”. Malaysia: Islam, Society and Politics, edited by Virginia Hooker and Norani Othman, Singapore: ISEAS Publishing, 2003, pp. 236-266. https://doi.org/10.1355/9789812305220-013
Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

ARTIKEL MENARIK

Ikuti Kami

Sertai Kami

Wawancara Menarik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *