Penulis: Luqman Tarmizi
Menipu merupakan satu perbuatan yang diterima secara universal sebagai satu kesalahan atau dosa yang tercela. Tiada orang yang suka dirinya ditipu, kecuali dalam beberapa hal, contohnya ketika menyaksikan pertunjukan silap mata. Menipu itu sendiri pula merupakan satu perbuatan yang mengasyikkan bagi sesetengah orang, kerana ia melibatkan penguasaan terhadap orang yang ditipu.
Perbuatan menipu juga boleh berlaku dalam banyak bentuk, dan pada pelbagai peringkat. Anak-anak menipu ibu bapa. Suami isteri menipu antara satu sama lain. Majikan menipu pekerja. Rakyat menipu kerajaan dengan mengelak daripada membayar cukai. Kerajaan menipu rakyat dengan pelbagai propaganda politik.
Namun pemimpin yang menipu lebih besar dosanya berbanding rakyat biasa yang menipu, kerana mafsadah dan kerosakannya jauh lebih meluas. Oleh kerana itulah Rasulullah SAW memberi ancaman yang keras terhadap pemimpin yang menipu rakyat:
مَا مِنْ عَبْدٍ يَسْتَرْعِيهِ اللَّهُ رَعِيَّةً يَمُوتُ يَوْمَ يَمُوتُ وَهُوَ غَاشٌّ لِرَعِيَّتِهِ إِلاَّ حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ
Maksudnya: “Tiada seorang hamba pun yang diberikan tanggungjawab untuk memelihara rakyat sedangkan dia mati dalam keadaan menipu rakyatnya melainkan Allah mengharamkan syurga baginya.” (Hadis Riwayat Muslim)
Dosa ditipu pemimpin
Tanyalah sesiapa saja, semua akan bersetuju bahawa tiada sesiapa mahu mengangkat seorang yang penipu sebagai pemimpin. Menipu itu satu dosa, apatah lagi apabila melibatkan amanah pemerintahan dan tanggungjawab mengurus harta negara. Namun tidak ramai yang sedar tentang dosa akibat ditipu, atau membiarkan diri ditipu oleh pemimpin.
Al-Quran melarang dan mengancam daripada mentaati dan menjadi pengikut kepada ketua-ketua, para pemimpin dan pembesar yang memusuhi Allah dan Rasul-Nya, berlaku zalim terhadap rakyat dan menjalankan rencana-rencana penipuan terhadap mereka. Firman Allah SWT:
فَاسْتَخَفَّ قَوْمَهُ فَأَطَاعُوهُ ۚ إِنَّهُمْ كَانُوا قَوْمًا فَاسِقِينَ
Maksudnya: (Dengan yang demikian), maka Firaun memperbodohkan kaumnya, lalu mereka mematuhinya; sesungguhnya mereka itu golongan yang fasik.
Surah al-Zukhruf (54)
Jumhur ulama tafsir menjelaskan bahawa melalui ayat ini, jelas bahawa faktor mengapa begitu mudah kaum Qibti itu taat kepada Firaun adalah disebabkan kefasikan mereka sendiri, seperti yang disebut antara lainnya oleh Imam al-Baidhawi, Syeikh al-Sa’di dan Syeikh Sayyid Tantawi. Mereka sendiri berperangai jelek, malas berfikir, rela dicucuk hidung, sekaligus memudahkan tugas Firaun menipu mereka.
Namun menurut Syeikh Ahmad al-Raisuni, ayat ini secara jelas mengkategorikan hukum fasiq bagi mereka yang mudah terpedaya dalam mentaati pemimpin taghut yang memerintah secara diktator dan berbuat kerosakan. (Rujuk Fiqh Mentaati Pemimpin: Menjernihkan Kekeliruan dan Mewaspadai Kediktatoran, terjemahan karya Syeikh al-Raisuni)
Secara ringkasnya, bagi jumhur ulama: kaum Qibti itu mudah tertipu dengan Firaun disebabkan mereka itu golongan fasiq. Adapun bagi Syeikh Ahmad al-Raisuni, disebabkan mereka itu senang ditipulah yang melayakkan mereka digelar sebagai golongan fasiq.
Mana-mana pentafsiran yang dipilih sekalipun, ia tetap menatijahkan pengajaran penting yang amat perlu diberi perhatian: jangan sesekali terpedaya dengan penipuan yang dilakukan oleh pemimpin. Lebih-lebih lagi apabila penipuan itu dilakukan secara terang-terangan, berskala besar dan penipu itu pula langsung tidak menunjukkan tanda-tanda bahawa dia menyesali perbuatan menipu yang dilakukan.
Seorang mukmin hakiki tidak akan membiarkan dirinya ditipu berulang kali, selaras dengan sabda Rasulullah SAW:
لَا يُلْدَغُ المــُــــؤْمِنُ مِنْ جُحْرٍ وَاحِدٍ مَرَّتَيْنِ.
Maksudnya: “Tidak sepatutnya seorang yang beriman, disengat sebanyak dua kali daripada satu lubang yang sama.” (Riwayat al-Bukhari 6133 dan Muslim 63)
Menghentikan kitaran penipuan
Persoalannya, bagaimanakah kitaran penipuan ini boleh dihentikan? Di sinilah datangnya tanggungjawab ilmuan dan ulama, seperti yang ditegaskan oleh Noam Chomsky: “It is the responsibility of intellectuals to speak the truth and to expose lies.”
Seterusnya rakyat bertanggungjawab untuk memberi perhatian terhadap ucapan dan pandangan yang dikemukakan oleh para ilmuan ini, untuk menilai sesuatu polisi pemerintah sesuai dengan dan timbangan ilmu serta neraca kebenaran.
Inilah konsep sebenar ketaatan kepada pemimpin dan hubungan rakyat dan pemerintah yang dibawa oleh syarak. Bacalah pandangan al-Hafiz al-‘Iraqi yang menyebut: Ketaatan kepada pemerintah itu wajib hanya jika arahan dan keputusan mereka itu terbina di atas landasan ilmu, yakni setelah dinilai polisi kerajaan itu dengan pendirian para ilmuan.
Hanya dengan cara ini sahaja perbuatan memperbodohkan rakyat oleh pemimpin dapat dibasmi, iaitu dengan rakyat sendiri tidak redha dengan penipuan yang cuba disuap ke dalam minda mereka, hasil daripada usaha pencerahan yang dilaksanakan oleh golongan ilmuan.
Dalam sebuah esei penting yang dikarang oleh aktivis politik Rusia Aleksandr Solzhenitsyn yang bertajuk ‘Live not by lies’, beliau menegaskan:
“…when people renounce lies it simply cuts short their existence. Like an infection, they can exist only in a living organism.”
Sepertimana penyakit yang menghinggapi tubuh badan, penipuan hanya boleh hidup dalam minda yang mempercayainya.
Akhir kata, di samping kita berdoa agar dikurniakan pemimpin yang baik, kita juga perlu berdoa agar kita diberi hidayah untuk menjadi rakyat yang baik. Apa ciri rakyat yang baik? Antaranya adalah dengan sentiasa bersifat kritis, bersuara melawan kezaliman dan menyuarakan kebencian apabila pemimpin cuba memperbodohkannya.




