Search
Close this search box.

Dah Masuk 15 Kali, Kenapa Kita Tetap Kena Mengundi?

Penulis: Izmil Amri

Sudah masuk 15 kali, dalam tempoh lebih 60 tahun; rakyat Malaysia telah meraikan pesta demokrasi memilih parti politik mana yang mereka suka untuk membentuk kerajaan bagi mentadbir negara.

Sepanjang tempoh terbabit, hampir sahaja pasti bahawa pilihan yang ada bagi rakyat Malaysia ialah antara dua: kerajaan atau pembangkang. Kalau sokong kerajaan, pilih Barisan Nasional. Kalau sokong pembangkang, sokonglah yang lain-lain. Demikian acuan demokrasi sejak merdeka. Pilih satu antara dua.

Dan cara memilih juga tiada pernah berubah. Beratur, periksa nama, ambil kertas undi, pangkah di kotak bersebelah parti yang mereka sokong, kemudian letakkan ke dalam sebuah peti. Itu sahaja. Mudah bukan?

Selesai mengundi, balik rumah, bancuh kopi, tidur. Esok pagi tahu-tahu sudah ada kerajaan baharu, atau mungkin kerajaan lama kekal berkuasa. Hidup pun kembali berjalan seperti biasa.

Tapi inilah dia masalah yang kita ada sekarang. Seluruh negara terjerat dalam sistem yang tidak pernah berubah sejak penghujung abad 1900. Pada tahun 2022, kita semua akan masih mengundi dengan sebatang pensel dan secebis kertas. Lalu kertas itu nanti akan dikira secara manual. Hanya untuk memilih seorang individu, yang berkemungkinan besar tidak akan ditemui lagi untuk lima tahun akan datang.

Tambah menyedihkan lagi, orang yang mengundi itu pun ada waktunya tidak mengetahui untuk apa dia mengundi, dan apakah bidang tugas orang yang disokongnya itu. Inilah dia masalah sistem politik Malaysia. Sistem yang tidak mengajar, apatah lagi belajar.

“Menteri Besar Bangi”

Maka tersebutlah kisah, tercetus persoalan apabila seorang pengguna media sosial membalas ciapan calon Pakatan Harapan di kerusi Parlimen Bangi. Beliau berharap supaya sang calon menyediakan perancangan yang teliti untuk penduduk Bangi. Seolah-olah Bangi itu sebuah negeri, dan sang calon akan menjadi Menteri Besar Bangi.

Sistem yang sudah bongkok tiga inilah yang mendidik para pengundi, rakyat Malaysia untuk mengangkat wakil rakyat sebagai tukang selesai masalah mereka, dan pada masa yang sama dilayani seperti anak raja yang lahirnya dari muntah lembu pada malam terang bulan purnama; sarat dengan sakti dan seharusnya dijulang tinggi.

Sistem memupuk bangsa ini selama enam dekad lampau untuk melihat Ahli Parlimen sebagai pemimpin, ketimbang tugasnya di Parlimen sebagai anggota badan legislatif, penggubal undang-undang, perangka dasar, pemikir dan segala sesuatu yang berlangsung dalam cabang legislatif.

Sistem telah mengacuankan bangsa ini untuk melihat Ahli Parlimen sebagai kuasawan, yang dipilih rakyat untuk memimpin negara, kerana jika ia kebetulan seorang yang berjawatan dalam parti kerajaan, maka ia akan dilantik menjadi menteri, dan kemudian ia boleh memberi arahan begitu dan begini supaya hajat dan kehendak rakyat dipenuhi.

Maka demikianlah sudut pandang orang ramai kepada para calon pilihan raya, diangkat dijulang sebagai penguasa.

Lalu tidak hairanlah kenapa bangsa ini begitu terpinga-pinga dengan kewujudan kerajaan tempatan dan janji untuk mengembalikan kuasa memilih ahli majlis kepada penduduk setempat. 

Untuk kebanyakan orang, longkang tersumbat, jalan berlubang, tiang lampu tak menyala, itu semua turut merupakan tanggungjawab yang perlu dipikul dan diselesaikan oleh Yang Berhormat Ahli Parlimen, kalau pun tidak Ahli Dewan Undangan Negeri.

Para YB itulah kemudiannya akan memberikan arahan kepada juak-juaknya di pejabat-pejabat kerajaan untuk menjalankan tugas melayani keperluan orang ramai.

Inilah sebabnya kenapa politik Malaysia masih feudal sifatnya. Jumpa YB harus salam, cium tangan. Dia kan pemimpin kita.

Menawarkan pembaharuan, tetapi mengekalkan dinosaur

Politik feudal dan bersifat teritorial inilah yang membawa kepada kesinambungan rejim lama. Sebuah rejim etnosentrik yang mengenepikan kepentingan ramai demi menjaga kepentingan yang sedikit. Perkumpulan serupa yang baharu sahaja cuba menjual idea pembaharuan dengan mengetengahkan muka-muka baharu sebagai calon pilihan raya di seluruh negara; padahal pada masa yang sama masih mengekalkan mat-mat sakau sedia ada.

Barisan Nasional ketika mengumumkan calon-calonnya, menyenaraikan beberapa wajah baharu termasuk Ustaz Kazim Elias (yang kemudiannya menarik diri) selain Ustaz Fathul Bari, Dr Mashitah Ibrahim dan Jamil Khir Baharom; dalam usahanya untuk antara lain membasuh imej parti itu yang terpalit demikian banyak skandal rasuah dan kleptokrasi berpanjangan.

Majlis pengumuman tersebut malah diserikan lagi dengan gimik mengangkat sumpah untuk tidak makan rasuah. Jika tidak, harta yang dimakan itu adalah haram seharam-haramnya. Bukan mereka tidak tahu bahawa rasuah itu haram hukumnya. Tapi ya lah, kena ada drama.

Meski wujud usaha-usaha untuk mengetengahkan wajah-wajah baharu (dan tidak berapa baharu), Umno tetap mengekalkan wajah-wajah redup yang mengundang syak wasangka, terutamanya presidennya sendiri Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid bagaimana pun telah menggugurkan rakan-rakan kongsi kabinet Ismail Sabri, dan secara tidak rasminya telah membentangkan karpet merah untuk beliau sendiri disokong sebagai calon perdana menteri sekiranya BN berjaya membentuk kerajaan.

Politik feudal penuh tipu daya demi mengekalkan ‘kestabilan’ agar aktiviti sakau-menyakau tidak diganggu inilah yang menjadi akar tunjang kepada kewujudan sebuah ekosistem agar para kleptokrat dan perasuah kekal merajalela demi mengisi tembolok masing-masing untuk seribu tahun lagi.

Maka kenapa kita mengundi?

Kita mengundi, pertamanya untuk memilih seorang individu mewakili sejumlah populasi dari sesebuah kawasan untuk menjadi suara perkumpulan tersebut membahas dan menentukan undang-undang serta dasar negara. Itu nombor satu.

Maka jangan dianggap mereka itu pemimpin umat yang bakal membawa kita keluar dari gelap kesesatan.

Kedua, kita mengundi untuk membawa perubahan kepada sebuah sistem yang begitu liat sekali nyawanya. Sebuah sistem yang membenarkan ahli politik menjadi pintu gerbang kepada para ahli perniagaan dan mereka yang tamak haloba untuk menyedut kekayaan negara demi kepentingan diri dan rakan-rakan sendiri, ketimbang rakyat yang sepatutnya menerima faedah daripada kekayaan itu.

Ketiga, kita mengundi supaya wacana politik negara ini boleh dibawa keluar menjauhi naratif perkauman dan perbezaan agama. Sudah lima belas kali pilihan raya, ceritanya tiada berubah daripada minda tertawan angkara perbezaan kaum dan agama. Sedangkan di luar musim pilihan raya, semua ini tidak menjadi tumpuan sangat.

PRU ke-15 adalah penting kerana inilah satu-satunya PRU yang menyaksikan kesemua parti-parti politik sudah pun mempunyai pengalaman dan rakam jejak menganggotai kerajaan persekutuan. Semuanya sudah merasa dan telah memperlihatkan belang masing-masing sesudah meraih kekuasaan.

Yang mengaku tidak rasuah juga telah terpalit rasuah, yang mengaku pejuang agama juga telah terbukti menunggang sentimen keagamaan, dan yang mengaku muda juga sudah kian lama kian bergelumang dengan kebiasaan politik orang tua-tua.

Rakyat Malaysia perlu membuat keputusan yang jauh lebih bijak dan bermaklumat pada ronda kali ini. Semoga negara kita selamat dan sejahtera daripada tangan-tangan oportunis dan politikus durjana.

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

ARTIKEL MENARIK

Ikuti Kami

Sertai Kami

Wawancara Menarik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *