Penulis: Imran Mohd Rasid
Beberapa minggu yang lepas, saya sempat mendengar perbincangan podcast Pondok Siyasah tentang “100 Tahun Tumbangnya Khilafah — Tinjauan Aspek Geopolitik dan Pemikiran Politik Islam” (pautan videonya ada di sini), menampilkan dua pembicara yang tersohor di Malaysia; saudara Ayman Rashdan Wong dan Ustaz Marwan Bukhari.
Perbincangan sepanjang hampir satu jam setengah itu saya ikuti dengan penuh minat. Kebetulan, tahun lepas (iaitu tahun saya mula menetap di Istanbul) adalah ulangtahun ke-100 pembentukan negara republik Turkiye, sekaligus bermaksud tamatnya juga era khalifah Uthmaniyah yang telah wujud lebih 600 tahun lamanya.
Kedua-dua panelis mengangkat tema perbincangan yang berbeza; Ayman Rashdan lebih membawa pendekatan kronologi, dan sedikit sebanyak mengulas beberapa situasi geopolitik sekitar empayar Uthmaniyyah; manakala Ustaz Marwan pula menekankan perbincangan persoalan kekhilafan dan politik dalam tradisi Islam yang turut melatari peristiwa jatuh bangun empayar Uthmaniyah.
Satu aspek penting yang mungkin kurang dibahaskan dalam perbincangan tersebut adalah mengenai istilah yang tertera pada tajuk podcast itu sendiri — iaitu perihal “Tumbangnya Khilafah”; persoalannya, apakah faktor yang membawa kepada peristiwa “tumbangnya” empayar gergasi ini?
Ceritera kemerosotan (atau lebih canggih, The Decline Thesis) kerajaan khalifah Uthmaniyyah yang umumnya disebut-sebut bermula selepas tewasnya Uthmaniyyah dalam Pertempuran Vienna 1683, sehinggalah memuncak pada era pasca Perang Dunia Pertama, apabila wilayah empayar gergasi tersebut mula berpecah-pecah bagi membuka laluan pembentukan negara-negara bangsa tertentu.
Akhirnya, pada tanggal 3 Mac 1924, sidang parlimen Turkiye memutuskan untuk menamatkan sistem khalifah yang di bawah pemerintahan Sultan Abdul Majid II (1868 – 1944). Di sinilah titik penamat bagi ceritera kemerosotan Kerajaan Uthmaniyyah ini.
Hakikatnya, rentetan peristiwa yang akhirnya bertitik noktahkan penghapusan sistem khalifah pada tahun 1924 itu tidaklah semudah seperti suatu garisan lurus yang boleh disifatkan sebagai suatu era “kemerosotan” yang panjang. Peristiwa-peristiwa yang melatari “proses kemerosotan” ini lebih rumit, dan ianya bukan sepenuhnya terhad kepada aspek empayar Uthmaniyyah semata-mata.
Bahkan, selepas Perang Dunia Pertama, empayar Uthmaniyyah bukan satu-satunya empayar yang tumbang ditelan arus modenisasi: Dinasti Romanov yang mengepalai Empayar Russia turut runtuh melalui Revolusi Russia (1917), empayar Germany juga terkubur melalui Revolusi Germany (1918) apabila Emperor Wilhelm II turun takhta, ataupun tamatnya Dinasti Qing akibat daripada Revolusi 1911.
Maksudya, bukan Empayar Kerajaan Uthmaniyyah sahaja yang menemui waktu ajalnya selepas Perang Dunia Pertama, malah banyak entiti-entiti politik lain yang turut dilambung krisis. Oleh sebab itu, ceritera kemerosotan atau kejatuhan kerajaan Uthmaniyyah bukanlah suatu ceritera yang “singular”, ia harus dibaca seiring dengan kejatuhan empayar-empayar berbentuk tradisional yang lain.
Jadinya, sekiranya nasib kerajaan Uthmaniyah ini dibaca bersama dengan nasib-nasib empayar lain, apakah naratif besar yang boleh kita cadangkan? Di sini ada beberapa naratif yang boleh diusulkan: (a) naratif gelobang modeniti dan kapitalisme global yang menelan/menyerap kuasa empayar tradisional; (b) pertembungan antara struktur empayar pra-moden dengan arus politik nasionalisme moden; (c ) pembentukan orde baru berasaskan negara bangsa, menyingkirkan bentuk pemerintahan empayar, dll.
Kesemua teori ini boleh dibincang dan dibahaskan. Cumanya, apabila kita menilai peristiwa “Kejatuhan Uthmaniyah” ini dengan kerangka sejarah (dan geografi) yang lebih luas; kita tidak lagi menghadkan pemahaman kita pada faktor dalaman atau “spiritual” semata-mata.
Maksudnya, ini bukan lagi soal “Sultan-Sultan selepas Sulaiman I tidak berkualiti atau meninggalkan Islam (krisis kepimpinan)” atau “soal agamawan Uthmaniyah semakin jumud atau bersekongkol dengan Sultan sehingga sukar untuk membawa pembaharuan atau reform (krisis agamawan)”, mahupun tentang “umat Islam semakin lalai (krisis umat)”.
Sebaliknya, di peringkat dunia, sedang berlaku suatu fasa peralihan zaman yang pesat sejak bermulanya abad ke- 15 lagi, melibatkan banyak faktor seperti pengkukuhan dan pemusatan kuasa-kuasa politik di Barat, perkembangan sistem kapitalisme di Eropah Barat, pembentukan empayar melalui usaha perdagangan (merchant’s empire) dan penjajahan rantau Asia dan Amerika, era Haijin (海禁) atau pengharaman perdagangan melalui jalan laut di Cina, dan banyak lagi!
Dan kerajaan Uthmaniyyah dan rentetan peristiwa yang dilalui masyarakat Islam sedunia turut terpalit dan terlibat secara langsung dalam perkembangan ini!
Sisi pandang Longue Duree, disertai dengan sensitiviti yang lebih tinggi pada perkembangan geopolitik, struktur masyarakat, dan faktor-faktor ekonomi-politik, dapat membebaskan kita daripada membentuk suatu gambaran yang terlalu mudah dalam menanggapi soal “kemerosotan” kerajaan Uthmaniyyah.
Bahkan, idea “kemerosotan” yang disebut-sebut bermula selepas abad ke-16 itu sendiri harus dicabar. Bak kata Dr Yakoob Ahmed dalam salah sebuah kuliahnya, pengiraan “merosot” atau tidak itu cenderung hanya pada soal pengaruh kekuasaan terhadap keluasan wilayah (land mass), walhal “kuasa” itu lebih lunak dan halus sifatnya. Tidak sedikit empayar yang keluasan wilayahnya tidak seluas empayar lain, tetapi “kuasa” nya lebih kuat dan menggerunkan.
Bahkan, tesis “decline” ini turut mengetepikan perkembangan intelektual dalam tradisi keilmuan di bawah naungan empayar Uthmaniyyah yang turut berkembang pada abad ke-18 dan awal abad ke-19 (misalnya, rujuk tulisan Islam without Europe: Traditions of Reform in Eighteenth-Century Islamic Thought oleh Ahmad S. Dallal).
Pada abad ke 16 dan abad ke-17 juga, Empayar Uthmaniyyah berhadapan dengan pelbagai faktor geopolitik dan arus penjajahan kuasa-kuasa Barat sehinggakan mereka lebih tertumpu kepada soal “consolidation” (gabungan) berbanding “expansion” (perkembangan). Sebab itu, banyak pembaharuan-pembaharuan (sebelum bermulanya era Tanzimat) melibatkan penstrukturan semula kuasa ketenteraan dan keagamaan, yang turut terilham daripada pembaharuan aristokrasi yang dibuat di empayar Rusia di bawah pimpinan Peter the Great.
Ini hanyalah cebisan-cebisan peristiwa dan faktor yang harus diambil kira (daripada banyak lagi faktor lain) bagi menyuntik nuansa dalam analisis kita tentang bagaimana kerajaan Uthmaniyah jatuh pada tahun 1924. Barangkali dalam siri penulisan yang berikutnya dapat saya nukilkan faktor-faktor ini dengan lebih mendalam.
Pun demikian, apa yang pasti ialah Kerajaan Uthmaniyah tidak tumbang melalui suatu proses “kemerosotan” yang panjang dan linear. Ianya tidak terdorong hanya semata-semata oleh krisis politik dalaman, atau krisis spiritual.
Lebih tepat lagi, sepanjang proses “kemerosotan” ini ada jatuh-bangun, adaptasi dan pertembungan dengan perkembangan arus lain di peringkat global yang mewarnai tempoh transisi ke dunia moden pada waktu itu.
** Bacaan cadangan untuk perbincangan lanjut:
- Anievas, Alexander, and Kerem Nişancioğlu. How the West Came to Rule: The Geopolitical Origins of Capitalism. Pluto Press, 2015. JSTOR, https://doi.org/10.2307/j.ctt183pb6f. Accessed 23 Aug. 2024.
- Suraiya Faroqhi. The Ottoman Empire and the World Around It, The Library of Ottoman Studies 7 (London: I. B. Tauris, 2004). Pp. 304.
- Tezcan, B. (2010). The second Ottoman Empire: Political and social transformation in the early modern world. Cambridge: Cambridge University Press.
Imran Rasid ialah penyelidik International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia dan kini sedang melanjutkan pengajian pasca-siswazah di Istanbul.




