Search
Close this search box.

Bagaimana Menggalakkan Perpaduan Nasional? (Bahagian I)

Penulis: Dr Sahul HM

Apakah cara yang barangkali boleh menggalakkan perpaduan dan integrasi nasional?

Pertama, promosikan sejarah nasional. Gunakan segala aparatus kerajaan untuk gerakan propaganda. Propaganda patriotisme. Ia harus dicetuskan oleh kerajaan, dan harus tulus melangkaui kerangka pemikiran peti undi. Patriotisme mesti dipropagandakan. Kepada yang agak alergik dengan istilah propaganda harus dimaklumkan bahawa propaganda bukannya suatu istilah yang busuk. Ia bermaksud maklumat untuk mempengaruhi. Jadi jika kerajaan fikir ‘rasa’ patriotisme perlu diselinap dalam hati dan fikiran, ia perlu ada keupayaan dan usaha untuk mempengaruhi. Upaya dan usaha itulah yang disebut sebagai propaganda.

Walau bagaimanapun, bicara tentang sejarah nasional belum popular di negara kita. Yang kita ada ialah sejarah rasmi berdasarkan buku teks dan sejarah tidak rasmi yang ditulis oleh sekalian pengkaji sejarah yang bercita-cita untuk keluar daripada resam “sejarah ditulis oleh golongan yang menang.” Sejarah rasmi terhad, tetapi ia bukan menipu. Pandangan segelintir masyarakat yang mengatakan sejarah di dalam buku teks ada unsur penipuan adalah tidak benar sama sekali. Mungkin ada bahagian yang pernah ditenggalamkan, tetapi lama kelamaan ia semakin timbul. Ada yang pernah diperbesar-besarkan, kini diceritakan seadanya, sesuai dengan sifat buku teks sekolah yang memerlukan kepada pendekatan  ‘ringkas, padat tetapi menyeluruh’.

Apakah sejarah nasional? Sejarah nasional ialah sejarah sepunya yang ditulis secara panjang lebar dan menyeluruh, melibatkan pengkaji dan sejarawan daripada pelbagai latar belakang. Ia seperti sejarah rasmi, tetapi berjilid-jilid, dan ia bukan untuk diajar di sekolah. Ia merupakan bacaan umum yang bersifat separa akademik. Indonesia ialah contoh terhampir bagi kita menuruti usaha menulis sejarah nasional ini. Ia terhasil di Indonesia buat pertama kali pada 1975. Walaupun terdapat kontroversi dan polemik tentang penulisan Sejarah Nasional Indonesia misalnya, kita di Malaysia boleh sahaja cuba untuk sebaik-baiknya mengelak sebarang kontroversi dengan menyerahkannya kepada kumpulan pakar, tanpa campurtangan langsung oleh para ahli politik. Satu lagi contoh yang boleh dirujuk ialah teks sejarah yang dihasilkan oleh Cambridge University seperti Cambridge History of India, Cambridge History of China atau Cambridge History of Islam. Bayangkan, sejarah tamadun dan bangsa tersebut ditulis secara sistematik dan popular oleh para akademia universiti di luar negara, bukannya oleh anak negerinya atau oleh penganutnya sendiri.

Di Malaysia, kita bisa membahagikan sejarah nasional kepada tiga bahagian terbesar. Sejarah prakolonial, sejarah zaman kolonial dan sejarah pascakolonial. Jika sejarah prakolonial tidak memadai, tambahkan satu bahagian lagi sebelumnya, iaitu Sejarah Zaman Awal. Mengapa saya cadangkan pembahagian ini? Berdasarkan pengamatan dan pengalaman saya yang baru 20 tahun aktif dalam “dunia sejarah”, sejarah rasmi yang tercetak dalam buku teks agak kurang diterima oleh orang bukan Melayu@bukan Islam adalah kerana pandangan mereka bahawa ia terlalu condong kepada orang Melayu-Islam. Penat sudah menjelaskan keadaan ini. Ia tidak ditulis secara semberono tetapi berdasarkan imbauan sejarah yang panjang. Sejarah negara ini bukan hanya bermula pada abad ke-19 -yang menyaksikan permulaan pembentukan masyarakat majmuk-, tetapi jauh lebih awal daripada itu.

Sejarah prakolonial berkisar sejarah masyarakat Melayu sebelum wujudnya zaman ekonomi komersil yang ditandakan dengan kehadiran kuasa kolonial baik Portugis, Belanda mahupun British. Barangkali boleh dimulakan dengan kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka, seperti yang lazim hari ini. Jika pembahagian ini didahului dengan Zaman Awal, ia boleh memasukkan segala kerajaan dan politi yang wujud di Tanah Melayu/Malaysia ini sejak awal, misalnya Gangga Negara, Beruas dan Kedah Tua.

Sejarah zaman kolonial pula meliputi peranan kolonial khususnya British dalam mencorakkan wilayah dalam negara ini, dari sudut pengenalan aktiviti ekonomi dan proses pencerobohan dalam sistem politik tradisional. Di sinilah berlakunya proses pemodenan negeri-negeri Melayu mengikut piawaian kuasa kolonial Barat. Ketika ini, British khususnya, membawa masuk tenaga kerja dari China dan India. Bab ini perlu dibincangkan lanjut dan meluas. Di bahagian ini melibatkan matlamat pencerahan bagi sifat kemajmukan. Sejarah penentangan dan watak penentang penjajah turut diua-uarkan di sini. Dalam ini juga perlu diselami lebih dalam tentang interaksi antara kaum yang mula bertunas. Siapa yang memperjuangkan kemerdekaan sejak awal? Siapa yang terkemudian? Siapa yang bersungguh dan siapa yang menempel, semuanya di sini. Segala sumbangan yang terhasil daripada pakatan kaum yang menjurus ke arah proses kemerdekaan adalah klimaks bagi bahagian ini.

Sejarah pascakolonial. Bahagian ini merupakan pembinaan sejarah sepunya. Ia melibatkan soal proses sejurus selepas kemerdekaan dan pembentukan Malaysia. Di bahagian ini, sejarah ditempa untuk mewujudkan persefahaman dan menonjolkan kepentingan kepelbagaian kaum berdasarkan proses pembentukan negara, Malaya dan Malaysia. Setiap segmen mempunyai ciri tersendiri dan kesemuanya berinteraksi bersama bagi melangsungkan kehidupan dengan kondusif. Kerosakan di mana-mana bahagian masyarakat mengganggu ekosistem sosiopolitik yang wujud. Sejarah pascakolonial ialah sejarah kita bersama. Sejarah semua anak bangsa yang sedang hidup di atas bumi Malaysia hari ini. Ia ditulis berdasarkan dokumen dan pengalaman kolektif.

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

ARTIKEL MENARIK

Ikuti Kami

Sertai Kami

Wawancara Menarik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *