Search
Close this search box.

Apa Erti Membaca Buatmu?

Penulis: Iman Danial Hakim

“Membaca ialah nyawa. Dengan membaca, saya hidup.”

Sebelum kita mula membaca, satu perasaan ajaib akan meluap di dalam diri. Ia boleh jadi gembira atau teruja. Seperti pengalaman ke tempat baru atau berkenalan dengan orang baru— ia penuh tanda tanya, tetapi tetap mengujakan.

Membaca mengajar kita untuk menikmati setiap perkara yang tidak pasti. Ada sesuatu yang indah pada hal-hal yang misteri.

Membaca adalah sebuah perjalanan yang penuh ketidakpastian. Kita tidak tahu apakah (atau siapakah) yang menanti di penghujung cerita. Atau bagaimana kita akan sampai ke sana. Bahkan kita tidak tahu sama ada cerita ini benar-benar membahagiakan kita.

Perkenalan kita dengan sesebuah buku juga penuh misteri. Buku hadir ke dalam hidup kita dalam pelbagai cara. Paling biasa: kita masuk ke kedai buku, berjalan di antara lorong rak-rak; menikmati aroma buku; tersenyum melihat buku-buku tersusun molek. Saat mata terlihat buku dengan kulit atau judul yang menarik, tangan kita segera tertarik ke arahnya; seperti magnet.

Boleh jadi perkenalan kita dengan buku tidak di kedai buku, sebaliknya berlaku di perpustakaan. Sama ada anda memilikinya dengan sebuah harga, atau pun dengan meminjamnya: saya percaya buku mempunyai kuasa magis untuk mencari nasib baiknya sendiri.

Dan kita, para pembaca: ialah tangan-tangan yang mencipta masa depan bahagia mereka. Buku diselamatkan oleh kita. Tetapi kita juga sebenarnya diselamatkan oleh mereka.

Membaca adalah sebuah perjalanan mencari pulang. Ramai yang mencari kedamaian dalam pelukan kata-kata. Dunia selalu gila. Juga sering memaksa kita untuk ikut tergopoh-gopoh bersama. Entah untuk mengejar apa, tetapi setiap kali kita akan berlari-lari untuk mendapatkan sesuatu.

Tetapi, di dalam buku, kita menemui kerehatan itu. Buku adalah sebuah ruang rehat yang membenarkan kita menarik nafas sebentar. Membaca membenarkan kita untuk melarikan diri ke sebuah dunia yang lain; eskapisme. Kita dibenarkan untuk meluahkan dan merasai apa sahaja. Kita dibenarkan untuk menjadi diri sendiri.

Misalnya, anda tidak boleh menangis dan lemah di pejabat, mungkin kerana anda tersilap membuat kerja atau menghadapi masalah yang sukar diselesaikan. Menunjukkan sisi emosi bermakna anda akan dilabel tidak profesional, bahkan lebih bahaya akan dibuang kerja. Perasaan yang terus berkumpul dan bernanah di dalam amat berbahaya dan membimbangkan.

Kita memerlukan saluran untuk membiarkan segala yang terpendam di dalam diri mencurah-curahkan keluar, supaya tiada lagi beban yang tersekat. Buku menawarkan kepada kita jawapannya.

Membaca ialah perbualan dengan diri sendiri. Membaca juga ialah pengembaraan di luar pengalaman hidup sendiri. Dua perbuatan yang berbeza, tetapi datang dari sumber yang sama.

Mereka yang membaca akan sentiasa berdialog dengan diri sendiri. Kehidupan adalah siri pertanyaan yang berpanjangan. Kita ialah pecahan kepingan teka teki yang kompleks. Maka, dengan sentiasa bertanya kepada diri, kita akan mendapat jawapan yang paling pasti. Membaca buku dan membaca diri, teruskan proses ini sehinggalah kita menghembuskan nafas terakhir nanti.

Bahkan, bagi mereka yang lebih senang menyendiri, membaca adalah satu-satunya cara untuk dia berinteraksi. Walaupun bukan dengan manusia lain, sekurang-kurangnya dengan diri sendiri.

Perjalanan mencari diri sendiri lumrahnya bercabang-cabang. Hampir mustahil kita akan terus berkata, “Ah, inilah apa yang aku cari!” dengan satu peristiwa sahaja. Ia adalah siri pengalaman dan pengetahuan yang terkumpul. Setiap hari adalah hari kita membuat keputusan.

Lebih banyak perkara yang kita tahu, semakin luas pilihan yang kita ada. Buku membenarkan kita untuk merasai pengalaman-pengalaman dalam pelbagai bentuk itu. Daripada kesilapan orang lain, kita belajar untuk tidak mengulangi kesalahan yang sama. Daripada kejayaan orang lain, kita belajar untuk memanfaatkan usaha yang sama.

Justeru, apakah erti membaca bagi saya?

Membaca ialah hidup. Dengan membaca, saya bernyawa.

Untuk terus hidup, kita perlu bernafas dengan udara. Seperti itulah buku buat saya.

Tidak kira pada jam berapa, pagi ataupun malam; saya akan membaca. Saya mahu membaca. Kehidupan saya seperti tidak lengkap jika saya tidak mengambil buku dan membacanya. Jika saya tidak membaca, saya akan sesak dada dan sesak jiwa.

Saya tidak pasti bilakah kali pertama saya membaca buku. Kata ibu, saya sudah mula membelek surat khabar sejak usia lima tahun lagi. Ya, mungkin memori mengeja dan membaca satu per satu perkataan di berita akhbar agak samar-samar di kepala, tetapi saya masih ingat perasaan teruja itu. Anak kecil yang baru menemui dunia baru! Alangkah ajaibnya huruf, bila ia sendiri, ia tidak memberi sebarang makna. Tetapi jika disusun dalam satu baris, dipanjangkan dalam satu perenggan, tiba-tiba ia menjadi satu cerita baru. Huruf mula bermakna apabila ia dibaca.

Dan hidup akan bermakna, apabila anda mula membaca.

Selamat Hari Buku Sedunia buat semua bukuwan-bukuwan. Semoga buku-buku yang dibaca sentiasa memberi makna dalam hidup kalian.

***

Iman Danial Hakim ialah penulis dua buku tentang buku: 1) Aku Mahu Membaca 1000 Tahun Lagi (Anekdot Pencinta Buku), dan 2) Dunia Adalah Senaskhah Dongeng (Kumpulan Puisi Tentang Buku & Membaca).

Seorang pencinta buku yang mahu membaca 1000 buku lagi. Beliau boleh dihubungi melalui:

Twitter: @ImanDanialHakim

Instagram: @imandanialhakim

Aku Mahu Membaca 1000 Tahun Lagi: https://shope.ee/6zejOBglF3

Dunia Adalah Senaskhah Dongeng: https://shope.ee/6pLJC2Q5WU

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

ARTIKEL MENARIK

Ikuti Kami

Sertai Kami

Wawancara Menarik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *