Search
Close this search box.

Apa Makna Perayaan Bon Odori Untuk Malaysia?

Penulis: Amirul Mukminin

Perayaan Bon Odori menjadi tumpuan ramai pada tahun ini. Disebalik beberapa kontroversi yang berlegar, ramai yang tidak benar-benar faham mengapa dan apa signifikan perayaan ini diadakan.

Perayaan Bon Odori merupakan salah satu perayaan tradisional pada musim panas yang diadakan setiap tahun di Jepun. Di sana, masyarakat tidak lagi menganggap perayaan ini sebagai perayaan agama, sebaliknya hanya bersifat kebudayaan dan melambangkan identiti nasional mereka. Bon Odori ialah festival musim panas yang popular di Jepun, dan ia disambut dengan nyanyian dan tarian mengikut rentak gendang, gong dan melodi seruling yang indah.

Walaupun asal-muasalnya berasal daripada perayaan menyambut kepulangan arwah keluarga yang telah meninggal, namun secara realitinya, modenisasi telah merubah ‘geist’ asal perayaan ini. Benar.

Begitulah dalam kebanyakan adat diseluruh dunia apabila bertembung dengan modenisasi. Tarian Mak Yong, ataupun upacara-upacara dalam silat misalnya memang mempunyai akar Melayu pra-Islam namun semua itu sudah tidak lagi memberi nilai spiritual, apatah lagi dianggap keagamaan oleh masyarakat kita. Sama juga dengan perayaan tahun baru Cina, walaupun kalendar Cina mungkin didasari dengan ilmu astrologi yang sudah tidak lagi relevan dengan astronomi sains moden, perayaan tahun Cina tetap disambut meskipun oleh Cina Muslim. Bertitik tolak daripada kefahaman sosiologi inilah, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor bertitah untuk meneruskan acara tersebut.

Ramai juga tertanya-tanya: apakah relevannya acara kebudayaan Jepun ini diraikan di Malaysia?

Sebenarnya di Malaysia, festival ini telah pun diraikan bermula sejak 1977. Ia diadakan untuk mempromosi dan mengeratkan hubungan budaya antara Malaysia dan Jepun dengan mempamerkan makanan, minuman, seni dan tarian Jepun. Syarikat-syarikat Jepun selalunya menyambut Bon Odori dengan pekerja mereka yang pelbagai bangsa. Sambutan di Malaysia menandakan kerencaman budaya dan kepelbagaian kaum di Malaysia, dan sudah tentunya mengenal budaya merupakan sesuatu yang baik untuk memupuk kestabilan, keharmonian kaum dan toleransi.

Tahun ini, pesta Bon Odori akan diadakan di Kompleks Sukan Shah Alam di Selangor pada 16 Julai. Kali ini ia menjadi tumpuan setelah 2 tahun dibatalkan kerana Covid-19. Bon Odori tahun ini juga merupakan anjuran bersama Kelab Jepun Kuala Lumpur, Sekolah Jepun Kuala Lumpur dan Kedutaan Jepun, dengan kerjasama Alumni Look East Policy Society (ALEPS), Japan Graduates Association of Malaysia (JAGAM), The Japanese Chamber of Trade and Industry Malaysia (JACTIM) dan Tourism Selangor Sdn Bhd.

Lebih menarik lagi, festival ini disambut selari dengan ulang tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur yang gilang-gemilang itu. Dasar Pandang Timur (DPT) yang dipelopori oleh Malaysia pada 1982 bukan sahaja diiktiraf kejayaannya oleh para pengkaji Dasar Luar dan Hubungan Antarabangsa, bahkan ia turut cuba disarankan untuk ditiru oleh beberapa pakar di negara lain.

Manfaat daripada DPT ini kepada Malaysia bukan sahaja dari sudut kemajuan sains dan teknologi, malah lebih daripada itu kita dapat merealisasikannya dengan pembukaan universiti teknologi, kemajuan infrastruktur seperti pembuatan jalan, terowong, pengangkutan awam, kejuruteraan bangunan dan kita berbangga dengan sektor automotif keluaran negara, Proton.

Pelajar Malaysia juga menerima manfaat dari sudut peluang pendidikan pada peringkat sarjana sehingga kedoktoran di Jepun, bahkan ada yang ditawarkan biasiswa oleh negara matahari terbit itu.

Dasar ini tidak dihentikan, bahkan diperbaharui dengan paradigma baharu pada zaman PM ke-6 dan ke-7.  Semasa PM7 mengambil alih, beliau segera berjumpa dengan Perdana Menteri Jepun untuk mengimbangi pelaburan China supaya tidak wujud dominasi geoekonomi di negara ini kerana naratif cengkaman ekonomi China sedang kuat dibahaskan pada peringkat antarabangsa ketika itu.

Hubungan baik dua hala ini digambarkan sebagai ‘kokoro to kokoro no kankei’ (hubungan dari hati ke hati). Sejak sekian lama syarikat Jepun setia menjadi pelabur di Malaysia. Disebalik hambatan wabak pandemik, pada 2021 sahaja, menurut MIDI, Malaysia memperoleh RM8.9 bilion Pelaburan Komited untuk daripada Korea Selatan dan Jepun. Bahkan Jepun dengan hampir 1,500 syarikatnya yang beroperasi di negara ini adalah kerana mewujudkan lebih 400,000 pekerjaan dengan beribu-ribu lagi pekerjaan baharu dijangka akan ditbuka apabila ia bakal memulakan siri pelaburan baharu tidak lama lagi.

Maka kehadiran Jepun di Malaysia dari sudut kebudayaan sebenarnya merupakan suatu yang positif. Budaya Jepun yang sering ingin dijadikan contoh seperti rajin, cekap, amanah dan integriti juga wajar dipelajari. Dari pihak Jepun juga mereka mahu bertukar budaya untuk saling memahami. Inilah yang dipanggil sebagai Diplomasi Budaya yang sering dijalankan untuk mewujudkan suasana harmoni serta membina kepercayaan antara dua pihak. Acara Bon Odori merupakan salah satu manifestasi bagi semangat muhibbah ini.

Menjunjung kasih Sultan Selangor, seharusnya kita mendepani polemik Bon Odori ini secara lebih rasional serta melalui lensa yang lebih luas dan terbuka. Jika ia dilakukan, kita akan sedar bahawa acara tahunan ini merupakan satu bentuk diplomasi dua pihak yang akhirnya berupaya menatijahkan kebaikan kepada rakyat Malaysia dan Jepun.

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

ARTIKEL MENARIK

Ikuti Kami

Sertai Kami

Wawancara Menarik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *