Search
Close this search box.

Israk Mikraj: Antara Misi Kenabian Dan Kemuncak Kerohanian

Penulis: Marwan Bukhari A. Hamid

Setiap tahun akan ada beberapa hari kebesaran Islam untuk diperingati dan direnung kembali pengajarannya. Salah satunya ialah peristiwa Isra’ dan Mi’raj. Terdapat perselisihan pandangan ulama tentang tahun dan bulan sebenar peristiwa agung ini. Para pengarang bidang sirah Nabi SAW menyentuh isu ini termasuklah al-Mubarakfuri dalam karya terkenal beliau yang berjudul al-Rahiq al-Makhtum. Namun, para ulama bersepakat bahawa peristiwa ini berlaku kerana ayat-ayat al-Quran [terutamanya surah al-Isra’ :1 dan al-Najm: 1-18]  sendiri menyebutnya, selain pelbagai hadith sahih yang saling mengukuhkan dan menjelaskan antara satu sama lain.

Setiap peristiwa yang berlaku dalam sejarah mempunyai pengajaran yang tersendiri, apatah lagi peristiwa yang melibatkan junjungan besar, Rasulullah SAW. Bagi Muslim, setiap saat kehidupan Baginda mengandungi pedoman dan teladan. Hal ini turut berlaku pada peristiwa Isra’ Mi’raj. Banyak sudah pengajaran yang ditulis dan diucapkan. Sebahagiannya kita dengar secara berulang-ulang sejak kecil lagi.

Namun, saya tertarik untuk kongsikan satu pengajaran berharga yang saya pernah baca. Ilmuwan dan pemikir ternama dari India, Allama Muhammad Iqbal menyentuh hal ini dalam The Reconstruction of Islamic Thought secara amat ringkas tetapi cukup membekas. Beliau menukilkan kenyataan seorang ahli sufi besar, Abdul Quddus Gangohi yang berkata:

“Muhammad of Arabia ascended the highest Heaven and returned. I swear by God that if I had reached that point, I should never have returned.”

Seterusnya, Iqbal memberi komen tentang perbezaan antara misi seorang sufi dan misi seorang nabi. Menurutnya, seorang sufi mahu mencapai kemuncak kerohanian dengan meninggalkan segala ikatan keduniaan dan tenggelam dalam keasyikan hubungan dengan tuhan. Namun, bagi seorang nabi pula, kemuncak kerohanian tersebut hanyalah permulaan, bukannya pengakhiran. Disebabkan itu, setelah mencapai puncak langit bertemu Tuhan, Nabi SAW kembali ke bumi menunaikan tanggungjawab maha berat demi melakukan perubahan sejarah di dunia.

Menerusi kenyataan itu, Iqbal memperingatkan pembaca tentang misi kenabian yang cukup besar dan wajar diteladani. Jika tidak dihayati dan diteladani misi yang menjadi alasan pengutusan nabi kita, maka dibimbangi seseorang Muslim akan tersilap dalam beragama. Kesilapan yang mungkin sukar untuk disedari kerana pesona kerohanian yang akhirnya mengasingkan dirinya daripada realiti masyarakat dan kehidupan.

Terdapat banyak ayat al-Quran yang menyentuh kesimpulan yang disebut oleh Iqbal mengenai misi Nabi SAW untuk melakukan perubahan. Saya sebut dua contoh ayat. Pertama, firman Allah dalam surah al-Hadid, ayat 25, yang secara terang benderang menyebut bahawa objektif di sebalik pengutusan para rasul adalah untuk menegakkan keadilan. Allah SWT berfirman:

“Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka Kitab Suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan.”

Itu merupakan contoh misi umum atau sejagat di sebalik pengutusan para rasul dan nabi, termasuk Rasulullah SAW. Contoh misi khusus yang menyebut perihal Nabi Muhammad pula disebut dalam surah al-Anbiya’, ayat 107:

“Tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”

Dua ayat yang dinukilkan ini merupakan contoh sahaja. Hakikatnya, terdapat sangat banyak ayat yang menegaskan tentang misi dan objektif risalah para rasul. Dengan menyelidik satu persatu kisah para nabi dalam al-Quran, pasti terbukti lebih jelas penegasan itu. Mereka diutuskan bukan sekadar untuk menenggelamkan kita dalam lautan kerohanian yang penuh lazat, tetapi menjadikan kerohanian sebagai bekalan menunaikan tanggungjawab sebagai agen perubahan dan kemakmuran. Jika direnungi lebih mendalam, semua itu merupakan penegasan terhadap tujuan agung di sebalik penciptaan Adam, iaitu misi kekhalifahan; mentaati tuhan, membangunkan kemanusian dan memakmurkan bumi amanah Tuhan.

Kembali kepada isra’ mi’raj dan komentar penuh bermakna oleh Iqbal, setelah menunjukkan bahawa misi dan objektif kenabian itu suatu yang cukup Quranik, saya ingin menyebut hal sebaliknya pula. Maksud saya, al-Quran turut merakamkan sikap sebahagian orang yang membelakangi misi perubahan tersebut, tetapi melihat utusan Tuhan dalam kaca mata keajaiban semata-mata. Nabi hendaklah seorang yang lain dari sifat manusia, malah tidak sewajarnya berjalan ke pasar!

Dalam surah al-Furqan, ayat 7, al-Quran menyebut kenyataan golongan kafir:

 “Mengapa Rasul ini makan minum dan berjalan di pasar-pasar (seperti manusia yang lain)? Sepatutnya diturunkan malaikat kepadanya, supaya malaikat itu turut memberi peringatan dan amaran bersama-sama dengannya (sebagai saksi yang membenarkannya).”

Dalam surah yang sama, ayat 20 pula, al-Quran menyebut:

“Kami tidak mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang-orang yang tentu makan minum dan berjalan di pasar-pasar.”

Mereka mahu melihat nabi versi khayalan mereka yang bukan manusia, tidak makan dan tidak juga minum. Selain itu, bagi mereka tidak wajar utusan tuhan turut berjalan di pasar-pasar. Ini merupakan satu bentuk kefahaman salah mengenai tugas para nabi yang dibetulkan oleh al-Quran. Para nabi berjalan ke pasar bererti mereka menyertai aktiviti kehidupan kaum mereka. Allah bukan sahaja tidak menurunkan malaikat, malah seseorang rasul yang diutuskan itu juga merupakan manusia yang berbicara dengan bahasa kaumnya [Ibrahim: 4]. Tujuannya adalah untuk menerangkan kepada mereka ajaran dan perintah Tuhan, serta bersoal jawab, berdialog dan beraktiviti dengan mereka.

Anehnya, sebahagian masyarakat Muslim hari ini juga seolah-olah ditimpa penyakit yang sama apabila mereka berpandangan bahawa pewaris nabi -iaitu para ulama- hendaklah sekadar memimpin kerohanian dan urusan ‘keagamaan’ -dengan makna agama yang sudah disempitkan. Menurut mereka, ulama pewaris nabi tidak wajar mencemarkan diri dengan melibatkan diri dalam ‘pasar ekonomi’, ‘pasar politik’, ‘pasar seni’ dan ‘pasar-pasar keduniaan’ lain.

Sebahagian pelajar bidang agama juga dididik secara terpisah daripada bidang, buku dan isu keduniaan yang lain. Walhal, untuk terlibat melaksanakan misi kenabian, segala simpang siur keduniaan perlu difahami. Jika bukan untuk itu, maka tidak perlu ada Adam dan keturunannya, tetapi memadailah malaikat sahaja yang tekun bertasbih dan menyucikan tuhan.

Untuk melakukan perubahan, hubungan dengan Tuhan perlu dipelihara dan ditambah mutunya. Penyucian dan pembangunan jiwa, atau disebut tazkiyah dalam al-Quran, adalah maha penting. Namun, ia bukan satu-satunya atau kemuncak misi seseorang Muslim kerana teladan yang ditunjukkan Nabi SAW menunjukkan bahawa semua itu penguat diri untuk menunaikan amanah Tuhan untuk membaiki diri dan mengubah kemanusiaan ke arah yang lebih baik.

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

ARTIKEL MENARIK

Ikuti Kami

Sertai Kami

Wawancara Menarik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *