Penulis: Mohamad Razif bin Mohamad Fuad
Setiap bangsa, pasti ada kisah-kisah magis dan mistik yang mewarnai produk budaya masing-masing. Bumbu-bumbu magis dan mistik ini kebiasaannya menjadi pengukuh kepada amalan dan kepercayaan tahyul dan khurafat dalam masyarakat. Buku Magic and Divination in Early Islam yang disunting oleh Emilie Savage-Smith menghimpunkan pelbagai penyelidikan ilmiah berhubung kepercayaan khurafat dan tahyul dalam kalangan masyarakat Arab pada era awal Islam.
Kehadiran Islam di Nusantara telah membawa perubahan terhadap masyarakat Melayu daripada pelbagai sudut, meliputi semua aspek kehidupan orang Melayu seperti dalam bidang bahasa, sastera, adat istiadat dan lain-lain sehingga menjadikannya sebahagian daripada dunia Islam. Pengaruh Islam merupakan pengaruh terbesar dalam membentuk identiti masyarakat Melayu, walaupun terdapat pengaruh luaran lain seperti Hindu dan Barat.
Justeru, setelah Islam bertapak di Nusantara, sesetengah kepercayaan dan amalan tradisi yang diwarisi sebelum ini melibatkan animisme dan pengaruh agama Hindu-Budha itu ada yang ditinggalkan, namun ada juga yang masih dikekalkan dan diamalkan dalam masyarakat, namun disesuaikan mengikut tuntutan agama Islam. Fenomena ini seiring dengan hasil pemerhatian Frank Swettenham yang dimuatkan melalui Malay Sketches, yang menyatakan bahawa orang Melayu itu pengikut Muhammad dan percaya kepada takdir, tetapi dia juga percaya kepada tahyul.
Pola pemikiran sebegitu membentuk pandangan alam segelintir masyarakat Melayu yang beragama, namun percaya atau lebih bermasalah lagi, obses dengan perkara yang bersifat mistik. Mereka memerlukan keajaiban yang pelik dalam beragama. Semakin mistik, semakin “meningkat” imannya.
Obsesi Melayu dan Dunia Mistik
Meneliti video yang tular di media sosial baru-baru ini berkenaan seorang perawat yang dikatakan berdialog dengan Ketua Iblis, membuatkan saya berasa blucu, gusar, dan marah. Tiga perasaan yang bercampur baur semasa menonton Ketua Iblis petah berbicara dengan loghat Kelantan. Antara yang disentuhnya adalah berkenaan “kekafiran” Wahabi, keperluan mempertahankan pondok, dan perlecehan sistem universiti.
Terdapat sebuah hadis di mana Abu Hurairah bertemu jin dan kemudiannya mendapat pengetahuan tentang keutamaan Ayat al-Kursi. Beliau memaklumkankan kepada Rasulullah SAW dan Baginda menyatakan bahawa kali ini makhluk halus itu benar, padahal mereka sering berbohong. Sabda Baginda:
أَمَا إِنَّهُ قَدْ صَدَقَكَ وَهُوَ كَذُوب
“Adapun Iblis ketika itu berkata benar, namun asalnya dia pembohong.”
Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari ketika mengulas hadis ini menyatakan:
ﻭﺃﻧﻬﻢ – ﺃﻱ ﺍﻟﺠﻦ – ﻳﺴﺮﻗﻮﻥ ﻭﻳﺨﺪﻋﻮﻥ
“Bahawasanya mereka iaitu jin, suka mencuri berita dan menipu.”
Jika sifatnya sudah suka menipu, mengapa pula kita ingin bersungguh-sungguh menyebarkan kalamnya?
Begitu juga seakan ada satu trend dalam kalangan segelintir kecil perawat, untuk mengadakan siaran langsung (live) di media sosial semasa rawatan. Lebih menarik, jika ada aksi kerasukan dan “pertarungan” antara perawat dan pesakit. Adakalanya, perawat pula yang dimasuki jin saka atau khadam atau diistilahkan sebagai menurun.
Menurun ini dapat difahami dalam tiga bentuk; menghadirkan roh-roh (tahdir al-arwaḥ) ataupun persalinan roh/reinkarnasi (tanasukh al-arwah) dan istinzal al-arwah. Dr. Ahmad Shalaby menghuraikan panjang lebar tentang konsep tanasukh al-arwah dalam agama Hindu atau juga dinamakan oleh sebahagian pengkaji lain sebagai tajwal al-ruh. Di alam Nusantara, bomoh atau pawang yang sedang melakukan rawatan akan “berubah” menjadi “individu lain” dengan suara dan perwatakan yang berbeza. Ada yang memperkenalkan diri sebagai Bonda, Raja Bunian, pahlawan tertentu atau wali-wali dan nabi-nabi tertentu.
Antara para ulama’ silam yang mengkritik akidah tanasukh al-arwah ini ialah Ibn Ḥazm, Al-Amidi, Ibn al-Qayyim , dan Ibn Abi al-‘Izz al-Ḥanafi. Memetik fatwa oleh Syeikh Mutawalli al-Sya’rawi berhubung amalan tahdir al-arwaḥ, beliau menyatakan bahawa ia tidak mempunyai asas daripada al-Qur’an dan al-Sunnah serta satu pembohongan semata-mata. Tidak syak lagi, ia merupakan perbuatan jin dan syaitan yang sentiasa ada untuk menyesatkan manusia.
Obsesi segelintir masyarakat Melayu dengan dunia mistik ini memerlukan satu usaha serius untuk dibasmi. Sebagai seorang Muslim, wajib kitab beriman dengan hal yang ghaib namun pertimbangan (mizan) yang diambil perlulah tepat. Sebagaimana yang dijelaskan oleh Syeikh Dr. ‘Ali Muhyiddin Qaradaghi dalam Fiqh al-Mizan, mizan ghaib yang mutlak kepada wahyu dan akal membawa kefahaman bahawa perkara ghaib tidak dibincangkan dengan mendalam kecuali apa yang hanya dinyatakan oleh Allah SWT.
Realiti perkara ghaib tidak akan dapat dicapai melalui qiyas perkara ghaib kepada yang nyata kerana perinciannya tidak akan mampu digarap oleh pancaindera.
Budaya Berfikir Melayu Yang Kritis
Al-Qur’an menekankan konsep berfikir dan penggunaan akal yang betul. Kita boleh dapati 5 metod berfikir yang dinyatakan dalam al-Quran iaitu metod berfikir (ta’qil), mengingat (tazakkur), berfikir secara mendalam (tafakkur), merenung dan menghayati (tadabbur), dan memahami (tafqih).
Masyarakat Melayu seharusnya tidak menerima sesuatu perkara secara bulat-bulat tanpa membuat penilaian. Sikap hanya menerima idea-idea lama tanpa melakukan penilaian dengan akal yang sihat dan selari dengan al-Qur’an serta al-Sunnah, cuma akan membinasakan. Hal ini bertepatan sekali dengan ajaran al-Quran yang turut menempelak golongan yang cenderung mewarisi amalan nenek-moyang yang bercanggah dengan ajaran Islam
وَإِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً قَالُوا وَجَدْنَا عَلَيْهَا آبَاءَنَا وَاللَّهُ أَمَرَنَا بِهَا ۗ
Dan golongan yang tidak beriman itu apabila mereka melakukan sesuatu perbuatan yang keji, mereka berkata: “Kami dapati datuk nenek kami mengerjakannya, dan Allah perintahkan kami mengerjakannya”
Sejujurnya, saya cuma menanggapi isu Ketua Iblis itu seolah-olah seperti saya sedang membaca Siri Bercakap dengan Jin oleh Tamar Jalis. Enak didengar, sedap dibaca, tetapi usah dipercaya.




