Tarikh 16 September sentiasa mengingatkan kita tentang suatu ikatan yang dipasak atas nama Malaysia, menggabungkan seluruh warga di tanah air tercinta ini. Meskipun kemerdekaan telah dicapai pada tahun 1957, mengisi kemerdekaan lebih sukar.
Penubuhan Malaysia pada tahun 1963 adalah simbolik kepada persetujuan untuk hidup bersama, berintegrasi, bertoleransi dan membangunkan negara.
Walaubagaimanapun, hari-hari yang dilalui setelah itu sentiasa mendebarkan. Daripada sekadar kelibat, ia beransur-ansur bertukar menjadi suatu gejala yang nyata.
Pergeseran kaum membarah lalu memuncak pada tahun 1969 sehingga darurat diisytiharkan yang merupakan suatu peristiwa hitam dan tragedi yang meninggalkan parut besar dalam sejarah kita.
Pengisytiharan Rukun Negara pada tahun 1970, Dasar Ekonomi Baru dan yang terkini Dasar Perpaduan Nasional, merupakan rangkaian inisiatif bagi menguruskan kemajmukan dalam Malaysia. Saban tahun, ada saja ketegangan khususnya antara kaum dan agama yang nampaknya bertentangan dengan impak yang diharapkan daripada dasar-dasar yang dianjurkan.
Ada yang ditimbulkan oleh orang-orang politik dan pemerintah sendiri, ada yang dicetuskan oleh rakyat kebanyakan, serta ada pula yang dimarakkan oleh influencer dan figur publik.
Indahnya jika kita telusuri sunnah menguruskan kemajmukan yang dipamerkan oleh Nabi SAW sendiri kerana pada hakikatnya, tidak kurang majmuk masyarakat yang dihadapi oleh Baginda SAW dalam rangka membangunkan sebuah Madinah.
Di Madinah, terdapat kaum Arab Muhajirin yang berasal dari Makah yang terdiri daripada kabilah yang pelbagai yang termasuk juga golongan hamba. Selain itu, ada juga kaum Arab Ansar yang terdiri daripada Aus dan Khazraj.
Ada juga kaum Arab bukan Islam yang sekian lama berada di Yathrib. Antaranya ialah kaum Yahudi yang berbilang pula kelompoknya, Quraizah, Nadir dan Qainuqa’. Ada juga minoriti Nasrani dan Arab-arab Badwi yang berselerakkan di seluruh tanah Hijaz.
Berhubung hal ini, suatu persoalan yang menarik untuk dikaji lanjut ialah: Bagaimanakah Baginda menguruskan kemajmukan?
Melihat Madinah dengan kemajmukan dan segala retak menanti belahnya, Nabi SAW telah merencana sebuah persefahaman. Apa saja krisis dan masalah yang tercetus, semuanya akan kembali kepada perkara yang disepakati. Masyarakat pada waktu itu memang gaya hidupnya agak tidak berperaturan dan tidak berperlembagaan.
Tetapi mereka punya jati diri yang tinggi dan hidup sangat bermaruah, tidak sesekali akan memungkiri janji mereka. Alangkah bijaksana Baginda SAW melihat hal tersebut sebagai potensi supaya Madinah menjadi sebuah wilayah yang aman damai dan hidup dalam kerukunan.
Pertama, Baginda telah mengusulkan siri-siri persefahaman dengan mewujudkan ‘kontrak sosial’ antara pelbagai kelompok di Madinah dan sekitarnya. Bai’ah ‘Aqabah pertama dan kedua antara Nabi SAW dengan Ansar, Tahaluf Islami antara Muhajirin dan Ansar, siri-siri perjanjian dengan Yahudi, Sahifah Madinah (Piagam Madinah) dengan seluruh warga Madinah dan Sulh al-Hudaybiah (Perjanjian Hudaybiyyah) antara Muslimin dengan Musyrikin Quraisy.
Baginda juga telah memeterai persefahaman dengan Bani Damrah dan Bani Mudlij dalam ekspedisi Badar. Bukan setakat itu, pada penghujung tahun keenam Hijrah, Baginda SAW telah mengirimkan surat-surat kepada Raja-raja di luar lingkungan tanah Hijaz seperti Raja Najasyi, Raja Muqauqis, Kisra, Kaisar dan lain-lain menandakan prospek persefahaman Baginda sehingga ke peringkat global.
Kedua, tidak hanya bersungguh-sungguh di peringkat ‘perasmian’ dan ‘potong reben’, menerusi hadis-hadis Baginda, kita dapat melihat bahawa usaha menguruskan kemajmukan ini berlaku sehingga ke peringkat akar umbi. Hal ini menjadi perbendaharaan kata yang menghiasi hubungan antara masyarakat di Madinah.
Dalam kalangan masyarakat Muslimin, institusi al-Muakhah (pemersaudaraan) diwujudkan dan dijalankan secara intensif. Lihatlah bagaimana Sa’d bin Rabi’ sanggup menyerahkan segala-galanya kepada Abdurrahman bin ‘Auf yang sehelai sepinggang tiba di Madinah
Begitu juga dengan Salman al-Farisi yang membantu Abu Darda’ untuk menyelesaikan masalah perhubungan dengan isterinya (sebagaimana dalam riyawat Imam al-Bukhari). Malah, amalan bergotong-royong telah menjadi rutin termasuk dalam membina masjid, menggali parit di Khandaq dan sebagainya.
Di luar lingkungan Muslimin, kebersamaan dan perpaduan turut dibudayakan. Lihatlah bagaimana Uthman bin ‘Affan telah mewakafkan telaga ar-Rumah yang bukan hanya untuk meringankan beban Muslimin malah kepada seluruh warga Madinah termasuklah yang bukan Islam. (Az-Zahabi, Siyar al-A’lam Wa Al-Nubala.)
Ketiga, penguatkuasaan yang saksama dan walk the talk. Ketika datangnya krisis, akan tersingkaplah watak sebenar kita sama ada sebagai seorang penyatu yang jujur ataupun hanya berdegar-degar dengan retorik kesatuan. Nabi SAW juga menghadapi krisis pada zaman baginda.
Sebagaimana yang kita percaya, baginda merupakan seorang yang adil, objektif dan tidak bersikap memihak kepada umat Islam dalam erti kata pilih bulu atau double standard terhadap kelompok lain.
Contohnya, ketika Abdullah bin Sahl daripada Ansar terbunuh di Khaibar, baginda SAW tidak mudah-mudah menyerang Khaibar sebaliknya bertanyakan jika ada sebarang bukti atau saksi pembunuhnya.
Oleh sebab tiada siapa yang dapat membuktikannya, atas sifat keadilan Nabi AW berdasarkan konteks perundangan zaman itu, baginda tidak menghukum Yahudi Khaibar walau sedikit, tetapi hanya meminta mereka bersumpah bahawa mereka tidak melakukannya. (Riwayat Imam Muslim)
Sempena Hari Malaysia, ingatlah bahawa integrasi nasional tidak hanya tertegak dengan dasar-dasar dan retoriknya yang indah-indah. Tetapi, hal ini terlaksana juga menerusi ground work dan implimentasi yang adil buat semua.
Sementara itu, sekiranya kesatuan masih suam-suam suku, integrasinya palsu dan dibuat-buat, eloklah jika kita melihat sifat holistik dalam pengurusan kemajmukan yang dijalankan oleh Nabi SAW di Madinah untuk kita sama-sama pelajari dan praktikkan di Malaysia.




