Search
Close this search box.

Fenomena Pecah Undi dan Pengajaran Buat Demokrasi Malaysia?

Penulis: Tengku Ameer Faiqal Bin Tengku Ferozdin

Apabila Rafizi Ramli dan Nik Nazmi mengumumkan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk membentuk (baca:mengambil alih dan menjenamakan semula) Parti Bersama Malaysia, ia tampak seperti satu lagi episod drama cerai politik kepartian Malaysia. Akan tetapi, jika dilihat secara lebih mendalam, ia sebenarnya mencerminkan suatu perubahan struktur kuasa dalam politik negara.

Untuk tempoh yang panjang selepas merdeka, Malaysia beroperasi dalam logik politik warisan Westminster yang stabil secara relatif bilamana sebuah gabungan dominan boleh memenangi majoriti mudah, membentuk kerajaan, lalu merealisasikan idealisme blok dengan mengawal naratif negara melalui institusi, birokrasi, media dan patronage politik. Dalam konteks Malaysia, model ini paling jelas diterjemahkan melalui dominasi panjang Barisan Nasional (BN) yang diwarisi daripada Perikatan, dan kemudian Pakatan Harapan (PH) walaupun singkat.

Meskipun Malaysia sering dipersembahkan sebagai negara demokrasi pelbagai parti (kita ada lebih 70 parti berdaftar), realitinya untuk beberapa dekad negara memiliki kuasa hegemonik yang didominasi oleh suatu blok yang jelas— pilihan raya berlaku, tetapi keputusannya boleh dijangka. Misalnya, BN sebelum 2018 tidak semestinya memenangi semua undi popular, tetapi sistem politik, pembahagian kawasan, struktur patronage dan fragmentasi pembangkang memastikan mereka terus kekal dominan.

Namun, landskap itu mula retak selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, apabila BN kehilangan majoriti dua pertiga buat pertama kali. PRU 2013, peratusan undi popular Pakatan Rakyat mengatasi BN. Kemudian, PRU 2018 menyaksikan buat pertama kalinya kerajaan pusat bertukar tangan. Sejak itu, terutama pasca Langkah Sheraton 2019, Malaysia memasuki era ketidakstabilan politik yang hampir berterusan bilamana sejarah mencatatkan kejatuhan kerajaan, pertukaran Perdana Menteri silih berganti tanpa pilihan raya, pembentukan jajaran dan pakatan baharu, dan akhirnya PRU Malaysia ke-15 yang menghasilkan Parlimen tergantung.

Pecah Undi dan Blok Hegemonik

PRU15 merupakan anekdot sangat penting kerana ia mungkin menandakan satu permulaan bahawa struktur sosial-politik Malaysia hari ini tidak lagi membenarkan mana-mana blok memperoleh dominasi mudah seperti dahulu. Demografi semakin berpecah, kelas menengah bandar berkembang, politik wilayah semakin kuat, dan identiti pengundi semakin kompleks. Pengundi Melayu sendiri tidak lagi terkonsolidasi di bawah satu (atau dua) payung politik. Sebahagian bergerak kepada politik Islamis (yang terpecah kepada Islam haraki lama, dan Islam reformis), sebahagian kepada nasionalisme Melayu (yang terpecah kepada nasionalisme Melayu elit, Melayu progresif) atau nasionalisme kebangsaan.

Pada masa yang sama, Sabah dan Sarawak semakin memainkan peranan sebagai “kingmaker”. Ini sesuatu yang signifikan. Jika dahulu politik nasional sering ditentukan hampir sepenuhnya oleh Semenanjung, hari ini blok Borneo memiliki leverage yang signifikan dalam pembentukan kerajaan pusat.
Namun, mengemudi kerajaan perpaduan bukan sesuatu yang mudah. Secara teorinya, ia sering dipuji kerana lebih inklusif dan mengurangkan autoritarianisme. Tetapi dalam praktik, ia memerlukan kompromi yang kadangkala terpaksa mengorbankan idealisme asal sesebuah gerakan politik.

Dalam kerajaan perpaduan hari ini, PH (yang terdiri daripada Amanah, PKR dan DAP) dahulu membina kekuatan melalui slogan reformasi institusi, anti-korupsi dan perubahan sistemik akhirnya terpaksa bertemu mata, bekerjasama (dan berkompromi) dengan United Malays National Organisation (UMNO) termasuk parti komponen seperti MCA dan MIC yang merupakan ‘musuh politik’ lama demi kestabilan kerajaan.

Secara strategik, langkah itu mungkin perlu. Tetapi secara simbolik dan moral, ia mencipta dilema besar kepada penyokong reformasi dan nasionalism Melayu. Bagi pejuang pro-reformasi, pengekalan individu-individu tertentu yang berhadapan kes mahkamah, penangguhan atau penyelesaian beberapa kes berprofil tinggi telah memberi ruang besar kepada pembangkang untuk menyerang kredibiliti perjuangan PH yang kini menjadi sebahagian daripada kerajaan.

Pada masa sama, kerajaan perpaduan juga sentiasa perlu mengurus persepsi terhadap keterlanjuran parti komponen apabila acap kali mengeluarkan kenyataan yang memberi “bola tanggung” kepada pihak pembangkang. Di sinilah nampaknya sifat paradoks kerajaan perpaduan. Untuk memastikan kestabilan, kerajaan perlu sentiasa menenangkan semua pihak. Tetapi proses “menenangkan semua pihak” itu sendiri menyebabkan kerajaan kelihatan tidak mempunyai pendirian yang jelas.

Permasalahan Idealisme

Kesan daripada ini, politik kenegaraan akan terarah menjadi sangat pragmatik kerana dasar-dasar yang mencerminkan suatu naratif besar (grand narrative) semakin sukar dilaksanakan kerana setiap keputusan perlu mengambil kira sensitiviti pelbagai blok. Sebagai contoh, reformasi subsidi, reformasi cukai, autonomi wilayah, pengasingan kuasa pendakwa raya dan peguam negara, reformasi pendidikan, atau bahkan isu pelaksanaan undang-undang syariah yang banyak menyentuh status quo semuanya menjadi terlalu sensitif untuk disentuh secara konstruktif kerana risiko kehilangan sokongan komponen pakatan yang membentuk blok kerajaan.

Malaysia kini bergerak ke arah keadaan di mana tiada siapa cukup kuat untuk mendominasi, tetapi semua cukup kuat untuk menghalang antara satu sama lain. semua pihak mempunyai kuasa untuk mengganggu, tetapi tiada siapa mempunyai kuasa mencukupi untuk melaksanakan visi secara menyeluruh. Ia semacam bentuk politik veto yang akhirnya susah nak capai suatu konsensus.
Di samping itu, perubahan ini juga memberi kesan lebih mendalam terhadap pembentukan identiti nasional.

Sebagai negara pasca-kolonial, Malaysia sejak awal dibina di atas keseimbangan rapuh antara identiti kaum dan agama. Apabila politik menjadi semakin fragmented, persoalan representasi akan jadi lebih kompleks bilamana berlaku kekaburan antara blok-blok ideologikal yang dominan. Golongan Melayu-Islam mula bertanya: jika tiada lagi dominasi jelas blok Melayu-Islam tertentu, siapakah yang benar-benar mempertahankan kedudukan Melayu, Islam dan Bumiputera? Adakah ia akan cair dalam politik kompromi?

Tetapi persoalan sama turut timbul dalam kalangan liberal dan progresif bandar. Mereka juga bertanya: jika kerajaan sentiasa perlu bergantung kepada blok konservatif Melayu-Islam, adakah reformasi liberal dan agenda progresif akan sentiasa dikorbankan demi kestabilan kuasa kerajaan pusat?

Maka kerajaan perpaduan akhirnya memaksa kelompok-kelompok ideologi yang dahulunya berada dalam dunia blok berasingan untuk hidup bersama. Nasionalis Melayu, Islamis, teknokrat neoliberal, progresif bandar, Borneo — semuanya kini terpaksa berunding dalam ruang kuasa yang sama. Semestinya setiap rundingan pasti akan menghasilkan kompromi.Persoalannya bukan lagi tentang nilai kompromi tersebut, tetapi: siapa yang menanggung harga kompromi tersebut?

Kadangkala, kos itu dibayar dengan idealisme yang dikendurkan. Ada kalanya, ia dituntut daripada agenda reformasi yang terpaksa diperlahan atau diputar belit. Tidak kurang juga, identiti politik sendiri yang akhirnya luntur dan kehilangan garis pembeza yang jelas. Dalam suasana sebegini, tidak menghairankan semakin ramai pengundi merasakan parti-parti politik kelihatan “sama sahaja”: retorik ketika pilihan raya lantang dan penuh garis merah, tetapi sebaik tiba saat membentuk kerajaan, hampir semuanya terpaksa beranjak ke tengah dan berkongsi ruang kompromi yang serupa.

Peranan Yang Dikembalikan Kepada Rakyat?

Tetapi di sinilah ada suatu bentuk optimisme yang dapat dikecapi. Apabila parti-parti gagal membina naratif besar yang dominan, ruang politik terutama soal konstruk naratif mungkin perlahan-lahan sedang kembali kepada rakyat. Dalam keadaan tiada blok yang cukup kuat membentuk hegemoni stabil, pengaruh individu dan politik tempatan menjadi semakin penting. Pengundi mungkin mula mengundi berdasarkan calon, rekod kawasan, kecekapan pengurusan, atau kemampuan menyelesaikan masalah setempat — bukan semata-mata kesetiaan ideologi kepada parti.

Ini sebenarnya sudah mula kelihatan di beberapa kawasan campuran dan bandar. Ahli politik yang berjaya membina hubungan akar umbi yang kuat kadangkala mampu bertahan walaupun parti mereka mengalami kemerosotan nasional. Politik patronage lama mungkin perlahan-lahan digantikan dengan politik perkhidmatan dan reputasi individu.

Jika trajektori ini berterusan, maka Malaysia mungkin sedang bergerak ke arah bentuk nasionalisme baharu — bukan nasionalisme yang dibina oleh blok dominan, tetapi nasionalisme yang lebih tersebar dan dirunding secara berterusan oleh masyarakat itu sendiri. Sudah tentu keadaan ini juga mempunyai risiko besar. Politik terpecah boleh menghasilkan ketidakstabilan kronik, dasar yang tidak konsisten, populisme jangka pendek dan kelemahan institusi. Negara mungkin terperangkap dalam mode survival politik tanpa kemampuan melakukan reformasi besar selain isu-isu patronage dan klientelisme dalam wajah yang baharu.

Inilah proses pembelajaran yang perlu dilalui oleh demokrasi Malaysia: suatu proses yang sememangnya akan kelihatan kusut masai, penuh kompromi, hipokrasi dan kadang kala timbul percanggahan, dan paradoks demi paradoks. Namun barangkali, di situlah letaknya kematangan demokrasi yang sebenar untuk menguji keteguhan dan keutuhan institusi kuasa. Hanya masa akan menentukan, paling kurang sehingga menjelangnya PRU-16, dan menerangkan arah politik kita. Buat masa ini, sebarang pendapat hanyalah andaian semata-mata.

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

ARTIKEL MENARIK

Ikuti Kami

Sertai Kami

Wawancara Menarik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *