Search
Close this search box.

Budaya ‘Biasa-Biasa’ dan ‘Asal Cukup Syarat’

Penulis: Tengku Ameer Faiqal

Sekolah tak meraikan murid cemerlang sebab nak jaga hati orang yang tak capai keputusan yang baik?

Budak genius tapi tak diraikan sebab tak ikut sistem arus perdana?

Jawab soalan matematik guna cara sendiri, tapi dipangkah sebab tak ikut ‘bentuk lazim’?

Budaya kerja yang menghukum orang rajin dengan timbunan kerja?

Yang kritikal dan lantang bersuara dihukum, tapi yang tunduk persis lembu dicucuk hidung disanjung tinggi?

Terbit kajian banyak asal capai KPI berbanding kualiti?

Fenomena ini semua mengingatkan saya kepada satu buku bertajuk “Mediocracy: The Politics of The Extreme Centre” tulisan Alain Deneault. Buku ini merupakan gabungan bagi buku ‘Mediocracy’ yang ditulis pada tahun 2015 dan ‘The Politics of The Extreme Centre’ yang ditulis pada tahun berikutnya. Tulisan ini merupakan satu karya kritik sosial – asal ditulis dalam Bahasa Perancis dan kemudian diterjemahkan dalam Bahasa Inggeris – yang menjadi forte ahli falsafah Kanada tersebut.

Mediokrasi terdiri daripada dua perkataan; medio bermaksud tengah, purata, biasa dan ‘kratos’ bermaksud pemerintahan. Secara istilah bermaksud pemerintah oleh pertengahan atau biasa. “Biasa-biasa” ini bukanlah bermaksud purata atau sikap biasa. Begitu juga, “biasa-biasa” di sini juga tidak bermaksud ‘tak kompeten atau bodoh’. Akan tetapi, menurut Deneault:

Mediocrity merujuk kepada apa yang bersifat sederhana atau purata, sebagaimana superiority dan inferiority merujuk kepada apa yang lebih tinggi atau lebih rendah. Sebagai konsep, kesederhanaan atau kepurataan tidak mempunyai pengaruh yang besar. Namun, mediocrity bukan sekadar merujuk kepada purata secara abstrak—ia adalah tahap purata yang telah menjadi realiti; dan mediocracy pula adalah keadaan di mana yang purata itu telah diberikan kuasa. Mediocracy membentuk satu susunan di mana apa yang sederhana bukan lagi satu gambaran ringkasan untuk memahami keadaan sesuatu, tetapi telah menjadi piawaian yang wajib dipatuhi.

Dalam erti kata lain, ia merupakan suatu sistem yang menjadikan “biasa-biasa” sebagai standard tangkap muat yang kena patuh oleh semua. Ia merupakan suatu sistem cara fikir dan politik yang menghukum orang yang “luar biasa” kerana menyalahi adat orang biasa-biasa. Ia tak mengganjari orang “luar biasa” kerana sistem memaksa orang hebat ikut jalan orang biasa bahkan orang yang biasa-biasa, ikut protokol, ikut SOP, ikut KPI itulah dianggap ‘hebat’ dan ‘di sisi mereka.

Deneault menyalahkan punca masalah fenomena politik “biasa-biasa” ini kepada pembahagian buruh rentetan revolusi industri dahulu. Pembahagian kerja inilah -sama ada kerja fizikal atau intelektual – kepada tugas-tugas kecil yang terpisah-pisah telah menyumbang kepada budaya “biasa-biasa”. Manusia tidak lagi melihat atau memahami gambaran besar terhadap apa yang mereka buat; sebaliknya, mereka hanya melaksanakan peranan berulang tanpa makna. Tidak ada lagi apa yang disebut sebagai craftsmanship (seni pertukangan) yang memerlukan penguasaan yang halus dan menyeluruh. Ini melahirkan “pakar” yang hanya berbicara tentang cebisan ilmu yang sempit tanpa penguasaan rapi, manakala para pekerja pula menjadi alat yang hanya bekerja untuk terus hidup. Akibatnya, pemikiran dan pekerjaan kehilangan erti, sekadar berkhidmat kepada sistem dan bukan kepada nilai kemanusiaan atau kebenaran.

Di samping itu, gejala ini makin parah apabila ‘purata’ itu sering dijadikan sebagai kayu ukur dalam segenap perkara sehingga apa-apa sahaja pekerjaan, maka perkataan “purata” itu diseru dan diterkap sebagai metrik unggul untuk nilai sesuatu kerja. Lama-kelamaan benda itu pun jadi satu teknikaliti yang wajib dipatuhi dan akhirnya ia menjadi satu masalah sistematik yang menjadi darah daging dalam kebanyakan institusi. Yang berada di dua kutub – seperti kompeten dan tak kompeten, genius dan bodoh, ditolak ketepi secara mutlak; yang dipertimbang ialah yang ditengah-tengah itu sahaja. Mereka menggunakan istilah-istilah jargon untuk ‘sugar-coat’ propaganda dan mediokriti mereka selain hegemoni tersusun untuk memastikan mereka kekal berkuasa dan memeras yang lain. Deneault menyebut yang sekolah dan institusi pendidikan merupakan sarang yang menghasilkan dan kebejatan begini.

Oleh sebab itu, guru-guru yang menyerlah akan dicemuh bukan sahaja oleh guru-guru tetapi juga pentadbiran sekolah. Pelajar yang bijak dicemuh sebab banyak bertanya dan fikir luar kotak di dalam kelas. Ini belum lagi soal metode pedagogi yang memaksa pelajar telan saja apa yang belajar tanpa tanya lebih-lebih. Kesemua ini merupakan simptom bagi ‘politik biasa-biasa’ yang dimaksudkan oleh Deneault.

Apabila perkara ini jadi sistematik bermula dari sekolah, ia turut dibawa ke alam pekerjaan yang menyaksikan perkara ini berlaku lebih luas. Cuba fikir balik soalan-soalan yang saya letak di awal tadi. Mesti sebahagian kita yang dah alami beberapa perkara di atas kan? Ketahuilah itulah kesan daripada suatu pemikiran sistemik yang berparasit setelah sekian lama. Akhirnya, orang bekerja untuk capai ‘cukup-cukup makan’ tetapi tidak ingin capai lebih tinggi.

Seperti yang disebut Deneault: “…mediocre scholars do not think for themselves: for the purposes of career advancement, they delegate their power of thought to a superior authority who dictates their strategies” (sarjanawan ‘biasa-biasa’ tak fikir untuk diri mereka sendiri: bagi tujuan pelanjutan kerjaya, mereka bahagikan kuasa berfikir mereka kepada autoriti yang lebih besar yang mengawal strategi mereka)”. Oleh sebab itu kita sering kedengaran kalau nak naik tetangga korporat atau politik, kita perlu ‘jilat’ bos atau orang besar.

Politik “biasa-biasa” ini sukar untuk dikenalpasti sebab biasanya ia menyorok dibelakang konsep seperti profesionalisme yang zahirnya nampak seperti kepakaran dan penguasaan tetapi hanya sekadar pematuhan kepada ‘pemilik kapital’. Selain itu, menunggang istilah meritokrasi tetapi merit tersebut dinilai dengan templat dan indikator mereka. Tabiat mereka ini, Denault mengutip kalam Edward Said: “not rocking the boat, not straying outside the accepted paradigms or limits, making yourself marketable and above all presentable, hence uncontroversial and unpolitical and ‘objective’”.

Oleh sebab itu, bidang-bidang yang menghasilkan duit atau ‘berfungsi’ dalam industri yang buat duit dianggap profesional tetapi bidang yang tak menghasilkan duit ini tidak digelar bidang profesional seperti bidang sains sosial dan agama. Kesannya, seperti yang dikatakan oleh Denault, ‘mediokrasi’ ini menjadikan kita orang yang bodoh kerana ketandusan daya cipta, pemikiran kritikal dan autonomi.

Jadi macam mana nak pecahkan mediokrasi ini? Deneault tidak berikan jawapan yang konklusif untuk menyanggah sistem ini. Akan tetapi, di hujung penulisan beliau setelah mengajukan soalan penanya yang bertanya; beliau berkata:

Berhenti menjadi marah tanpa henti dan teruskan ke persoalan seterusnya; bekerja tanpa lelah untuk membawa sintesis kepada sebab-sebab yang sah; berorganisasi bersama orang lain melampaui klik dan penarikan diri sektarian; ejek ideologi; rendahkan istilah-istilah yang propaganda cuba tulis ke dalam teras subjektiviti kita menjadi sekadar objek pemikiran; atasi cara pengorganisasian hegemonik; lihat sama ada kita boleh bina struktur yang mencerminkan siapa kita. Jadilah radikal!

Nampak mudah kan? Deneault sendiri kata benda ini susah, terutama ingin mengubah kuasa sedia ada yang dibentuk oleh politik ‘biasa-biasa’ tersebut. Nak tak nak, kita perlu melawan kuasa tersebut dengan membentuk kesepakatan merentasi identiti yang kaku, meruntuhkan ideologi tersebut dengan mendedahkan asal-usul sejarahnya, serta menentang bentuk tawanan dalaman yang dibentuk oleh propaganda melalui bahasa, selain memupuk pemikiran kritikal. Kita digesa untuk membina struktur yang bersifat tempatan dan mencerminkan kepelbagaian pengalaman hidup sebagai ganti. Cara ini merupakan satu usaha untuk ubah cara kita berfikir, berhubungan, dan berorganisasi di luar logika kekuasaan tersebut.

Jadi macam mana dengan situasi pelajar cemerlang SPM tak diraikan atas kejayaan mereka untuk ‘jaga hati’ mereka yang tak capai kecemerlangan yang sama? Kalau kita kedepankan tesis Deneault, sekolah patut pupuk kepelbagaian dalam pengiktirafan dan meraikan pelbagai bentuk kecemerlangan sambil membentuk kematangan emosi dalam kalangan semua pelajar bahawa kegagalan akademik bukan gagal segalanya. Daripada meremehkan kecemerlangan, para pendidik harus membantu pelajar memahami bahawa kejayaan orang lain tidak menafikan nilai diri mereka. Ini membina ketahanan dan aspirasi, selain daya saing dan daya cipta yang baik.

Memang, kita patut sensitif dengan orang ‘biasa’ dalam soal akademik tetapi bukan bermakna kita tunduk kepada kerapuhan emosi lalu jadikan ‘biasa-biasa’ atau kesederhanaan sebagai standard. Kita perlu sensitif… sensitif untuk bina ruang yang saksama untuk raikan perbezaan, bukan keseragamaan.

Rujukan:

Deneault, Alain (2021). Mediocracy: The Politics of the Extreme Centre.

Mincuzzi, A. (2019, April 27). Mediocracy has overwhelmed us: That’s why the mediocre took power. Il Sole 24 Ore. Diakses daripada: https://angelomincuzzi.blog.ilsole24ore.com/2019/04/27/mediocracy-has-overwhelmed-us-thats-why-the-mediocre-took-power/

Deneault, A. (n.d.). Conversations with Alain Deneault. BTL Books. Retrieved from https://btlbooks.com/files/Mediocracy_QandA.pdf

Deneault, A. (2018). Mediocre from around the world: You joined, you won, you created suffering and perverse dictatorship (E. Caslli, Trans.). Telegrafi. Retrieved from https://telegrafi.com/en/medioker-nga-e-gjithe-bota-u-bashkuat-fituat-krijuat-vuajtje-dhe-diktature-perverse/

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

ARTIKEL MENARIK

Ikuti Kami

Sertai Kami

Wawancara Menarik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *